Membangunkan kemanusiaan
adalah aspek yang sangat dititikberatkan oleh Islam kerana dari situlah
lahirnya masyarakat dan tamadun yang hebat dan unggul.Juga, agama Islam itu
membawa nilai-nilai kemasyarakatan yang cukup bererti untuk memberi harapan
terciptanya masyarakat yang adil, makmur dan sejahtera. Sayangnya, di sebalik
kemurnian ajaran Islam itu, tingkat kesedaran masyarakat umat Islam itu sendiri
masih rendah. Rata-rata umat Islam kini kurang peka dengan perkembangan
nilai-nilai yang seharusnya dimiliki dalam membina kemanusiaan seperti
persaudaraan, keadilan, keprihatinan dan kasih sayang sepertimana yang dituntut
oleh ajaran Islam. Sedangkan pembuka kata dari kitab al-Quran itu sendiri
berupa penampilan sifat Tuhan ar-Rahmanar-Rahim, (Yang Maha Pemurah, Maha
Penyayang); iaitu sifat-sifat yang membawa makna betapa besarnya perhatian dan
keprihatinan Tuhan terhadap manusia dan segala permasalahan dan keperluannya.
Maka atas sifat keTuhanan
yang sedemikian itulah, lalu Allah mengutus para rasul sebagai penyelamat
manusia dari bencana kesesatan dan penderitaan. Lanjutan daripada itu jugalah
maka tujuan para rasul diutus ke dunia ini tidak cuma bersifat kerohanian
semata-mata, tetapi juga bersifat kemasyarakatan.Atas sifat Keadilan dan Kasih
SayangNya, maka Allah mengutus Nabi Muhammad yang membawa ajaran tauhid dan
sekaligus membebaskan manusia dari cengkaman cara hidup dan budaya jahiliah
yang zalim dan tidak berakhlak.Begitu juga perutusan Nabi Musa a.s yang
mengajak manusia menyembah Tuhan Yang Maha Esa dan sekaligus membebaskan kaum
Bani Israil dari derita penindasan Firaun. Nabi Musa a.s telah meninggalkan
istana dan segala kemewahannya kerana keprihatinannya yang tinggi kepada
masyarakat dan jiwa kemanusiaannya yang peka dan rasa terpanggil untuk membela
kaumnya yang tertindas.
Tidak terkecuali kita di
Malaysia yang saban minggu mimbar-mimbar Jumaat tidak pernah lupa mengingatkan
umat dengan ayat innallaha ya’muru bil’adli wal-ihsan (sesungguhnya Allah
memerintahkan kamu agar berlaku adil dan membuat kebaikan). Peringatan dari
mimbar ini seharusnya dapat meningkatkan kesedaran, keprihatinan dan kepedulian
umat terhadap masalah-masalah masyarakat yang wujud hari ini seperti
ketidakadilan, kemiskinan, rasuah, keruntuhan akhlak, pecah amanah,
penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
Sebenarnya masih banyak
kelemahan lain yang terlonggok pada umat ini, tetapi antara yang ingin
diketengahkan ialah gersangnya rasa peka terhadap permasalahan masyarakat. Ini
jelas memperlihatkan bahawa aspek kemasyarakatan ajaran Islam itu sendiri
ternyata telah tidak dihayati sebagaimana semestinya. Walaupun Islam pada
hakikatnya adalah merupakan ad-Din, cara hidup yang serba lengkap (syumul),
namun penghayatannya masih banyak menumpu pada aspek ‘ritual’ atau kerohanian
sahaja.
Seolah-olahnya tanggungjawab
kemasyarakatan seperti telah dipisahkan dari agama. Seringkali umat Islam
berasa tanggungjawab keagamannya sudah selesai dengan melaksanakan rukun Islam
yang lima. Pengabaian terhadap tanggungjawab masyarakat tidak dirasakan sebagai
pengabaian terhadap tanggungjawab keagamaan. Sedangkan al-Qur’an denganjelas
menyebut ketidakpedulian terhadap nasib golongan miskin yang terlantar dan
terbiar adalah merupakan pendustaan terhadap agama. Hakikat inilah yang ditegaskan
oleh al Quran dalam surah al Ma`un, “Tidakkah kamu melihat orang yang
mendustakan agama? Iaitu orang yang mengabaikan anak yatim dan tidak memberi
makan kepada orang miskin.”Inilah yang menghairankan kita bagaimana orang Islam
boleh hilang kepekaannya terhadap masalah-masalah kemanusiaan sedangkan
agamanya sendiri menuntut supaya berlaku adil walaupun kepada seekor binatang.
Ini memperkukuhkan lagi
pandangan bahawa umat Islam kini tidak begitu pandai dalam meletakkan urutan
keutamaan dalam menyusun kehidupan mereka, walaupun dalam hal-hal yang
berkaitan dengan urusan keagamaannya. Akibatnya banyak hal-hal yang penting dan
mendesak telah diabaikan kerana mengutamakan hal-hal yang pada hakikatnya
kurang penting. Sebagai contoh, jutaan umat Islam mengerjakan ibadat umrah sunat
setiap tahun, dan tidak kurang juga yang mengerjakan ibadat haji berkali-kali
banyaknya. Di mana pembiayaan dari ibadah sunat yang berulang kali ini tentu
mencecah jutaan ringgit. Memang kita digalakkan untuk mencari jalan mendekati
Allah dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat yang tertentu, namun andai
kata pembiayaan yang berjuta-juta ringgit ini disalurkan kepada orang-orang
yang lebih memerlukan seperti menyelamatkan mangsa-mangsa kebuluran atau
malapetaka, atau mewujudkan pusat-pusat penguasaan ilmu pengetahuan di kalangan
umat Islam, maka pastinya itu lebih bermakna dan menjadi kepentingan yang lebih
diutamakan. Tetapi malangnya keadaan ini tidak berlaku dalam amalan harian umat
masa kini, dan inilah yang dinamakan sebagai gejala kehilangan fiqhu
`l-awlawiyyat (fiqh urutan keutamaan).
Apa yang lebih memeranjatkan
kita pada hari ini ialah di saat timbulnya sekelumit harapan dengan kebangkitan
Islam kebelakangan ini, pada masa yang sama kita dikecewakan pula oleh gejala
kelembapan umat dalam menangani masalah-masalah kemasyarakatan sehingga hal-hal
seperti buta huruf, kemiskinan, kebuluran, dan pelbagai wabak penyakit terus
mewarnai kehidupan sebilangan besar dari kalangan umat Islam. Apa yang difahami
sebagai kebangkitan Islam itu masih berada di takuk keghairahan untuk beribadat
dalam erti kata yang sempit, dan masih belum dapat dijelmakan secara lebih
nyata dalam bentuk peningkatan kesungguhan untuk memperbaiki tahap hidup
masyarakat Islam.
Kebangkitan Islam yang kita
inginkan bukan hanya terbatas kepada keghairahan untuk beribadah dan berada di
atas tikar sembahyang semata-mata, tetapi harus juga mampu menampilkan satu
dorongan yang berupaya melonjakkan kekuatan umat ini pada tahap yang sesuai
dengan jolokan ummah terbaik (khairun ummah) yang telah diberikan oleh al
Quran.Jika ini mampu ditampilkan menerusi kesedaran dan kepekaan masyarakat
Islam menerusi kebangkitan ini, maka tidak mustahil kuasa Islam yang terbentuk
bukan hanya dapat melahirkan masyarakat Islam yang mantap tetapi juga ummah
yang berupaya untuk menentukan percaturan siasah dunia, kerana Islam itu adalah
risalah sejagat yang menjanjikan keadilan dan pembebasan serta kemuliaan demi
kesejahteraan alam seluruhnya.