Ahad, 12 Jun 2022

PERLIS TANPA "INDERA KAYANGAN" ATAU "DARUL SUNNAH"

 

Kebanyakan negeri di seluruh Malaysia mempunyai istilah "Darul" bagi melambangkan sesebuah negeri. Misalnya, Kedah Darul Aman, Perak Darul Ridzuan dan Johor Darul Takzim. Sekiranya kita perhatikan, terdapat 5 buah negeri di Malaysia tidak mempunyai istilah darul tersebut. 5 negeri tersebut ialah Sabah, Sarawak, Melaka, Pulau Pinang dan Perlis. Dalam kelima-lima senarai negeri tersebut, Perlis satu-satunya negeri yang mempunyai Raja Pemerintah namun tidak ada penggunaan istilah darul atau gelaran tertentu.

Sejak dahulu, ramai yang beranggapan Perlis menggunakan istilah "Indera Kayangan" sebagai gelaran simbolik kepada negeri paling kecil dan paling utara ini. Sebaliknya, berdasarkan fakta dan hakikat sebenar, tidak pernah ditulis atau disebutkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 berkenaan penggunaan istilah tersebut. Perkataan "Indera Kayangan" bukanlah gelaran rasmi bagi negeri Perlis seperti yang majoriti beranggapan.




Menurut sebuah penulisan yang dinukilkan oleh anak jati Perlis, Dr. Hazman Hassan, Istilah "Indera Kayangan" adalah merujuk kepada nama sebuah kota lama di Perlis dan ketika itu, Perlis dibawah pemerintahan Sultan Dhiauddin al Mukarram Shah I yang merupakan sultan Kedah ke 15 bermula dari tahun 1661-1687. Menurut catatan sejarah, Baginda sultan telah memilih Perlis sebagai lokasi pentadbiran dan pemerintahan Kesultanan Kedah dengan membina Kota Indera Kayangan di sebelah hilir Sungai Perlis. Barangkali orang ramai sendiri yang telah menisbahkan hal itu tanpa melakukan semakan.

Selain istilah "Indera Kayangan", Perlis juga suatu ketika dahulu pernah disebutkan sebagai "Darul Sunnah". Perkataan "Darul Sunnah" ini barangkali lebih sinonim dengan pendirian negeri Perlis yang lebih terbuka dari sudut pengamalan Islam tanpa terikat kepada satu-satu mazhab. Lantaran itu, sebahagian masyarakat yang juga kurang pengetahuan beranggapan Perlis adalah negeri yang menolak mazhab atau tidak bermazhab. Perlis mengamalkan mazhab Perlis, dan pelbagai lagi tanggapan salah faham yang mesti diperjelaskan.

Satu hakikat yang harus kita akui bersama, Perlis sejak tahun 1918 telah menerima kemasukan para pendakwah bermanhaj Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Bermula dari situ, beberapa tokoh hebat yang berpegang kepada manhaj Ahlu Sunnah telah berdakwah menyampaikan ajaran Islam selari dengan kehendak al Quran dan as Sunnah. 30 tahun kemudian, dibawah pemerintahan Tuanku Syed Putra Jamalullail, manhaj Ahlu Sunnah telah dikanunkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 yang juga merupakan perlembagaan bagi negeri Perlis.




Dalam perlembagaan negeri Perlis, perkara 5 telah menyatakan bahawa agama bagi negeri adalah agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti telah diamalkan di dalam negeri. Berdasarkan kenyataan tersebut, ajaran sunnah telah lama membumi di negeri Perlis bahkan diangkat menjadi pegangan rasmi negeri meskipun tanpa perlu menggelarkannya sebagai "Darul Sunnah". Oleh yang demikian, jelas bagi kita bahawa pendirian Perlis berdiri diatas manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan mengiktiraf semua khazanah mazhab dibawah payung besar Ahli Sunnah namun tidak terikat untuk mengamalkan pandangan daripada satu-satu mazhab sahaja. Perlis bukan menolak mazhab apatah lagi membuat mazhab baharu.

Dalam hal ini, Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah menegaskan dalam sebuah titahnya pada 25 Mei 2015, baginda telah menitahkan nama Perlis tidak ditambah "Indera Kayangan" atau "Darul" sebaliknya hanya "Perlis" seperti termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri. Baginda juga menitahkan biarlah nama Perlis dikekalkan tanpa sebarang penambahan seperti Indera Kayangan yang mempunyai kaitan dengan dewa-dewa atau apa-apa darul. Oleh yang demikian, seluruh rakyat jelata seharusnya lebih peka dan mengambil serius akan titah saranan ini bagi memastikan keaslian nama Perlis terus dipelihara dan dijaga.

Demikianlah andai ada yang bertanya, apakah gelaran simbolik bagi negeri Perlis. Biarpun namanga hanya "Perlis", namun moga namanya terus harum mekar menjadi bumi para pecinta sunnah, menolak khurafat dan menentang bid'ah, membasmi syirik dan memelihara keaslian dan kesucian Islam. Meski Perlis sering dilihat berbeza pengamalan Islam berbanding majoriti negeri di Malaysia, Perlis sentiasa menjanjikan budaya ilmu yang matang, keadaan damai dan tenang, juga keharmonian hidup seisi warganya. Semoga Allah pelihara kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan