Tema Hari Guru 2017 mengulangi
tema Hari Guru 2016 dan 2009. Ini membuktikan bahawa tema, ‘Guru Pembina Negara
Bangsa’ sangat signifikan dengan peranan utama guru dalam melunaskan
akauntabiliti mereka. Guru seperti lilin membakar diri adalah analogi klise yang
relevan sepanjang masa. Dalam semua agenda pembangunan negara, guru adalah nadi
penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa. Peranan guru dalam
membina negara bangsa merujuk kepada melahirkan insan yang mempunyai jati diri
beridentiti Malaysia. Identiti Malaysia boleh dirujuk kepada Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang boleh dimengertikan bahawa guru bertanggungjawab
melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara.
Bagi menyempurnakan peranan
dalam membina negara bangsa menerusi kelahiran warga yang berpengetahuan guru
mesti menguasai disiplin ilmu yang diajar. Menyampaikan ilmu secara kreatif dan
inovatif selari dengan perkembangan teknologi terkini. Menggunakan pendekatan,
strategi dan teknik pengajaran yang pelbagai termasuk berani mencuba
pembelajaran abad ke-21. Di samping itu, guru perlu meningkatkan
profesionalisme sama ada tahap kelayakan ataupun mengikuti kursus-kursus dalam
perkhidmatan. Dalam konteks membangunkan warga berketrampilan dalam pembinaan
negara bangsa, guru sendiri perlu kompeten. Mereka bukan sahaja mesti memiliki
pengetahuan tetapi kemahiran dan berkemampuan mengurus hubungan manusia dengan
efektif dan efisien. Dalam hal ini guru menjadi suri teladan kepada pelajar
masing-masing. Sentiasa mematuhi etika pakaian profesion pendidikan dan
memastikan pelajar tidak melanggar peraturan pakaian yang telah ditetapkan juga
satu daripada amanah yang mesti disempurnakan oleh guru.
Melahirkan warga berakhlak
mulia adalah tanggungjawab terpenting dalam pembinaan negara bangsa. Ini kerana
sebijak dan secekap mana pun warga yang dilahirkan menerusi sistem pendidikan
di Malaysia, tidak akan memenuhi takrifan negara bangsa sekiranya tidak akur
kepada hukum agama dan adat resam tidak terpelihara. Di samping itu, menjadi
satu kemestian kepada guru untuk memastikan pelajarnya mempunyai rasa cinta mendalam
kepada lambang-lambang kedaulatan negara seperti bendera dan jata negara. Strategi
yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam
proses pengajaran dan pembelajaran untuk membentuk individu berakhlak mulia.
Nilai bersyukur sekiranya kerap diterapkan akan membentuk keperibadian unggul
dalam kalangan pelajar. Nilai mengutamakan kebersihan pula bakal melahirkan
warga yang melestarikan kebersihan alam sekitar. Begitu juga dengan penerapan
nilai menghormati orang lain akan melahirkan masyarakat yang saling menyayangi
dan menyanjung tinggi antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat di
Malaysia.
Dalam membina negara bangsa,
warganya mestilah berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Dalam hal ini guru
perlu istiqamah untuk membangun pelajar yang holistik dalam konteks jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial serta seimbang dalam menguasai ilmu dunia dan
akhirat. Tanggungjawab setiap insan semestinya berusaha untuk memperoleh
kehidupan yang bahagia, aman dan damai. Gurulah yang menjadi tunjang utama
dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya. Selain
kesejahteraan diri, warga Malaysia dalam konteks negara bangsa perlu menyumbang
kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu,
menjadi amanah kepada guru untuk melahirkan warga yang tidak mementingkan diri
sendiri. Menjadi harapan kepada guru untuk mereka melahirkan insan yang boleh
membantu orang lain untuk turut menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan diri.
Bagi memastikan guru berjaya
melahirkan warga yang boleh menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian
negara. Pelajar yang mempunyai semangat nasionalisme, patriotisme, mengamalkan
semangat perpaduan dan integrasi serta sehati sejiwa dalam mempertahankan nama
baik dan kedaulatan Malaysia mesti diusahakan oleh semua guru. Hasrat tersebut
tidak akan dicapai sekiranya hanya guru bidang sains sosial sahaja yang
dipertanggungjawabkan. Guru-guru yang mengajar sains, teknologi, kejuruteraan
dan matematik juga perlu memainkan peranan secara kolektif. Negara bangsa
memerlukan ejen perubahan demi pembangunan negara. Pada masa yang sama negara
bangsa perlu mempertahankan tradisi dan identiti Malaysia. Oleh itu guru dalam
membina negara bangsa, perlu dinamik melahirkan pelajar yang boleh mencipta
kemajuan dan lestari mempertahankan tradisi agar mereka mempunyai jati diri.
Guru mempunyai amanah untuk membangunkan insan yang berfikiran dan bertindak
berpaksikan budaya tempatan dan berfikiran antarabangsa dalam meniti alam
pekerjaan dan kehidupan demi sebuah negara bangsa bernama Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan