Sabtu, 5 Oktober 2024

KEISTIMEWAAN WANITA PADA NERACA ISLAM

 

Kedengaran oleh kita acapkali suara-suara protes dari dunia Barat yang mengkritik dan menghentam sebahagian syariat agama Islam yang membabitkan kaum wanita yang dianggap sebagai suatu penindasan gender, kejumudan moden dan kemunduran umat. Naratif dunia Barat yang sentiasa mengangkat wacana yang dikembangkan oleh para Orientalis mereka, tentunya tidak akan pernah nampak hal yang sebenar melainkan tenggelam dalam permainan persepsi buruk terhadap agama Islam. Lebih parah, apabila sebahagian kecil umat Islam turut terpengaruh dengan dakyah bermotifkan jahat ini bagi menonjolkan sisi salah terhadap Islam. Persoalannya, apakah benar wanita ditindas, dizalimi dan tidak diberi layanan sewajarnya sebagai seorang wanita ?

Sesungguhnya demi Allah dan Rasul Nya, Islam adalah satu-satunya agama yang mengangkat nilai dan martabat kaum wanita sebelum daripada kebangkitan suara-suara sumbang yang kononnya mahu memperjuangkan hak wanita. Allah SWT telah mengiktiraf kaum wanita sebagai yang makhluk yang terhormat dan bernilai mahal harganya. Sehinggakan Nabi SAW telah merakamkan sebuah perumpamaan khas kepada kaum wanita dengan menyatakan bahawa kaum wanita sebagai perhiasan dunia. Malah baginda menegaskan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Hal ini disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”




Bagi memahami maksud hadith ini, Imam al-Qurtubi dalam kitabnya, al-Mufhim, menyatakan bahawa makna wanita yang solehah ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. Demikianlah para wanita yang menjadi perhiasan dunia ini. Hakikat yang harus diakui, kaum wanita pada sudut Islam telah mempunyai suatu kedudukan istimewa sebagai manusia yang berperanan sebagai isteri dan ibu. Malah, Islam juga melalui syariat Nya telah memperuntukkan perintah untuk kaum lelaki yang bertanggungjawab menjaga kaum wanita supaya dijaga akan kebajikannya. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 34 yang bermaksud :

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka..."

Berdasarkan ayat ini, adalah menjadi tanggungjawab kaum lelaki untuk menjadi pemimpin, pengawal dan penjaga kepada kaum wanita. Arahan ini khusus kepada lelaki yang bergelar suami dan wali. Secara tidak langsung, perintah ini telah memberikan suatu pengiktirafan kedudukan yang istimewa oleh Allah SWT. Selain itu, baginda Nabi SAW turut mengingatkan umat Islam khasnya kepada kaum lelaki untuk memberikan layanan yang baik untuk para isteri. Lebih bermakna lagi, peringatan ini disebutkan dalam khutbah terakhir baginda sebagai pesanan bermakna buat umat Islam. Peringatan ini telah dirakamkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Abu Daud dan selainnya, daripada Jabir bin Abdullah RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang lain yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”




Pesanan terakhir oleh baginda Nabi SAW yang turut merakamkan suatu kesedihan yang sangat dirasai oleh umat Islam, menekankan kepada umatnya agar melayani para isteri dengan bersikap lemah-lembut, tidak menyakitinya dan menjaga kebajikannya. Betapa pentingnya sekali para wanita sehingga diberikan peringatan oleh Nabi kepada kaum lelaki dalam suatu khutbah yang sangat bermakna. Selain itu, para wanita yang juga bergelar seorang ibu, mempunyai suatu kedudukan yang terhormat melebihi para lelaki. Kedudukan ibu begitu mulia dan dihormati oleh Islam. Perkara ini terbukti dengan kita melihat sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata yang bermaksud :

“Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali? Nabi SAW menjawab, Ibumu! Dan orang tersebut kembali lagi, Kemudian siapa lagi? Nabi SAW menjawab Ibumu! Orang tersebut bertanya kembali, Kemudian siapa lagi, Beliau menjawab, Ibumu. Orang tersebut bertanya kembali, Kemudian siapa lagi, Nabi SAW menjawab, Kemudian ayahmu,”

Dalam ajaran Islam, Allah SWT mewajibkan kepada anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua ibubapa. Ini termasuklah bagi mereka yang baru memeluk Islam, kewajiban berbuat baik terhadap ibubapa tetap kekal walau berbeza agama. Pun begitu, baginda Nabi SAW menegaskan keutamaan bagi anak-anak berbakti kepada ibu lebih utama berbanding berbakti kepada bapa. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kedudukan seorang ibu lebih utama dan lebih mulia berbanding kedudukan seorang bapa. Hal ini tentunya memberikan suatu penghormatan bermakna buat kaum wanita. Bahkan Islam juga turut menghargai kaum wanita yang berjuang melahirkan anak. Bagi para ibu yang mati kerana melahirkan anak, kematian mereka disifatkan sebagai mati syahid. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Syuhada’ (orang-orang mati syahid) yang selain terbunuh di jalan Allah itu ada tujuh: mati kerana wabak taun adalah syahid, mati lemas adalah syahid, penderita penyakit bengkak yang panas pada selaput dada adalah syahid, mati kerana sakit perut adalah syahid, mati kerana kebakaran adalah syahid, yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid, dan seorang wanita yang meninggal kerana melahirkan adalah syahid.”




Beruntunglah kaum ibu yang mati kerana melahirkan anak. Ini kerana kematian mereka dikira sebagai mati syahid, sebuah kematian yang sangat mulia di sisi agama Islam. Selain itu, Islam turut memuliakan anak-anak perempuan dengan memberikan ganjaran serta balasan baik kepada ibubapa yang menjaga dan mendidik mereka dengan penuh amanah. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

Hadith ini tentu sekali menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada para ibubapa yang memiliki anak perempuan untuk bertekad dan beriltizam dengan lebih bersungguh dalam membesarkan anak mereka. Ini kerana ganjaran besar buat mereka yang beramanah menjaga anak perempuan. Sekali lagi, kedudukam istimewa yang diiktiraf oleh syariat untuk kaum wanita. Demikianlah sebahagian besar keistimewaan kaum wanita yang diberikan oleh Allah SWT. Bermula dari anak sehingga bergelar ibu, pelbagai keistimewaan yang diberikan sebagai suatu penghormatan terbesar buat mereka. Ini sekaligus menafikan sejumlah dakwaan dan tanggapan bahawa Islam meminggirkan kaum wanita apatah lagi untuk menzalimi mereka. Melalui Islam lah, wanita dilihat begitu berharga. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan