Jumaat, 11 Oktober 2024

WANITA DAN HAID : LARANGAN MENURUT ISLAM

 

Setiap penciptaan yang diciptakan oleh Allah SWT tidak ada yang sia-sia akan kewujudannya. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besarnya. Semuanya memiliki hikmah yang tersendiri. Berbekalkan akal yang dikurniakan oleh Allah untuk manusia, selain dikurniakan wahyu yang menjadi panduan bagi sekalian makhluk Nya, ianya akan mendorong para manusia untuk berterusan mencari hikmah disetiap kejadian yang berlaku berdasarkan sistem aturannya yang tersendiri. Umpamanya seperti penciptaan wanita yang penuh dengan keunikannya. Selain ciri kewanitaan itu dihiasi dengan sifat lumrah kelembutan, kaum wanita juga memiliki rutin kesihatan yang antaranya disebutkan sebagai kitaran darah haid. Uniknya hal itu hanya berlaku kepada kaum wanita sahaja.

Haid atau disebut sebagai darah haid adalah merupakan suatu aturan perjalanan kitaran darah yang berlaku dalam sistem tubuh badan kaum wanita. Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, ketika menjelaskan berkenaan maksud haid, beliau menyatakan bahawa haid ialah darah semula jadi sebagai kejadian normal yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada waktu-waktu yang diketahui. Dari sudut sains, haid yang juga disebut sebagai menstruasi adalah kitaran normal bagi setiap wanita bermula apabila seorang wanita itu mencapai tahap umur akil baligh iaitu antara 8-16 tahun, di mana kitaran haid ini akan berlaku pada setiap bulan.




Sebelum kedatangan Islam di tanah Arab, wanita yang didatangi haid diperlakukan seperti manusia yang tidak punyai maruah. Orang Arab pada zaman Jahiliyah telah dipengaruhi oleh mereka yang beragama Yahudi dan Nasrani. Mereka telah memulau para isteri yang didatangi haid, tidak mahu tidur bersama, enggan makan bersama selain mengasingkan isteri mereka yang didatangi haid dengan meletakan isteri di luar rumah. Keadaan dan situasi inilah yang menjadi sebab turunnya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222, ketika Allah menjelaskan tentang haid, Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri"

Ayat ini diturunkan oleh Allah SWT sebagai respon kepada para sahabat baginda Nabi yang bertanyakan tentang kedudukan wanita yang didatangi haid. Pada sudut lain, orang-orang Nasrani sering menganggap persoalan mengenai haid sebagai isu yang remeh dan enteng. Mereka tidak mempedulikan langsung isteri mereka yang didatangi haid. Disebabkan itu, para sahabat telah bertanyakan kepada Nabi tentang persoalan tersebut. Berdasarkan firman Allah yang dinyatakan ini, Allah SWT telah melarang para suami daripada melakukan persetubuhan dengan isteri yang didatangi haid. Larangan tersebut adalah larangan untuk bersetubuh. Adapun yang lain, tidaklah menjadi masalah untuk melakukan aktiviti bersama seperti makan dan minum, tidur bersama dan sebagainya. Ini bersalahan dengan orang Arab di zaman Jahiliah dahulu yang telah memulau isteri yang didatangi haid.




Larangan bersetubuh dengan isteri yang didatangi haid membawa kepada kita memahami hikmahnya. Antara lain dari sudut perubatan, diakui dalam teori perubatan berkenaan darah haid membawa unsur-unsur penyakit. Ini sebagaimana yang turut dijelaskan oleh Dr. Muhammad Ali al-Bar dalam bukunya, Daurah al-Arham, di bawah tajuk haid, beliau menyebutkan bahawa keseluruhan dinding penutup rahim terpercik sepanjang tempoh haid. Setelah meneliti darah haid melalui kanta, kita dapat melihat pad titisan darah merah dan putih, terdapat kepingan dinding penutup rahim dan rahim menjadi luka bagaikan kulit yang mengelupas. Semasa haid keluar, daya ketahanan rahim menjadi lemah untuk menghadapi serangan bakteria.

Dalam syariat Islam, selain larangan bersetubuh, terdapat juga disana beberapa larangan dan tegahan lain oleh Allah SWT kepada para wanita yang didatangi haid. Antara lainnya adalah diharamkan wanita yang sedang berhaid daripada melakukan sebarang ibadah solat. Larangan ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Fatimah binti Abi Hubaisy RA, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Apabila datang masa haidmu, tinggalkanlah solat; dan jika telah berlalu, mandilah kemudian solatlah."

Namun begitu, terdapat satu pengecualian iaitu bagi wanita yang masih suci, kemudian sempat memperoleh satu rakaat solat fardu dalam waktunya, sama ada di awal waktu atau akhir waktu, maka wajib ke atasnya untuk melaksanakan solat fardhu tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang mendapat satu rakaat dari solat maka sesungguhnya ia telah mendapat solat.”

Larangan solat bagi para wanita yang didatangi haid tidak perlu bagi dirinya menggantikan semula solat tersebut. Selain larangan solat, para wanita yang didatangi haid juga dilarang untuk melakukan ibadah puasa. Larangan berpuasa tersebut merangkumi puasa sunat mahupun puasa wajib. Larangan ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah Ranha, beliau berkata yang bermaksud :

“Apabila yang demikian itu (haid) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah) menggantikanpuasa namun tidak disuruh untuk menggantikan solat.”

Bagi para wanita yang didatangi haid juga dilarang dari membaca al-Quran. Ini juga pandangan oleh jumhur (majoriti) ulama dari mazhab Hanafi, al-Syafi’i dan Hanbali. Pandangan hukum haram ini terbina berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, daripada Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Tidak dibenarkan seseorang yang berjunub dan haid membaca sesuatu daripada al-Quran"




Namun begitu, Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Majmu' al-Fatawa menyatakan bahawa sejak asal tidak ada larangan daripada al-Sunnah (bagi wanita yang sedang haid) membaca al-Quran. Hadith riwayat Ibnu Majah berkenaan adalah hadith yang dinilai lemah (daif) yang disepakati oleh para ahli hadis. Lebih dari itu, diketahui wanita-wanita di zaman Nabi SAW sedia mengalami haid. Maka jika haram ke atas mereka untuk membaca al-Quran sepertimana haram ke atas mereka mendirikan solat, nescaya ia diterangkan oleh Nabi kepada umatnya dan dipelajari oleh para isteri baginda. Hal ini kemudiannya akan tersebar kepada manusia. Namun tidak seorang jua yang meriwayatkan pengharaman seumpama daripada Nabi. Maka tidak boleh menghukum ia sebagai haram sedangkan baginda Nabi sendiri tidak pernah mengharamkannya.

Pun begitu, secara umumnya, para wanita yang sedang haid boleh melazimi diri dengan ibadah zikir, bertasbih (subhanallah), bertahlil (la ilaha illah), bertahmid (alhamdulillah), berdoa dan mendengar bacaan al-Quran. Selain itu, para wanita yang didatangi haid juga dilarang untuk melakukan ibadah tawaf di Ka'bah, tidak kira sama ada tawaf sunat atau tawaf fardhu. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah Ranha, ketika beliau mengikuti rombongan haji bersama Rasulullah SAW, beliau didatangi haid, lalu bertanya kepada Rasulullah. Rasulullah menjawab yang bermaksud :

“Lakukan apa yang telah dilakukan oleh orang haji kecuali jangan bertawaf di Ka’abah sehingga kamu bersuci.”

Selain itu, berlaku perbezaan pandangan dikalangan para ulama berkenaan hukum wanita haid masuk ke masjid. Dalam hal ini, terdapat dua pandangan berbeza. Pandangan pertama merupakan pandangan jumhur (majoriti) dengan menyatakan hukum haram. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 43 yang mana Allah telah melarang hamba Nya mendekati masjid dalam keadaan berjunub. Pandangan kedua seperti yang disebutkan oleh Imam al-Muzani, salah satu pandangan Imam Ahmad, Daud al-Zahiri dan Ibn Hazm al-Andalusi, mereka berpandangan hukumnya harus wanita haid masuk ke masjid. Pandangan ini berasaskan sebuah hadith riwayat Bukhari yang menyatakan arahan Rasulullah untuk Aisyah Ranha yang didatangi haid ketika melakukan haji. Baginda menyebutkan lakukan apa sahaja kecuali tawaf di Ka'bah.

Terdapat sebahagian lagi perkara yang ditegah dan dilarang ketika wanita didatangi haid. Antara lain diharamkan juga menceraikan isteri di dalam keadaan isteri sedang haid. Namun dikecualikan dalam beberapa keadaan seperti cerai melalui jalan tebus talak (Khuluk) dan menceraikan isteri yang tidak pernah bersetubuh sejak mula berkahwin. Demikianlah sebahagian panduan Islam dalam menguruskan isu haid. Tentu sekali terdapat banyak lagi persoalan yang boleh diperbincangkan terutamanya mengenai tempoh haid dan seumpamanya. Namun asasnya, beberapa larangan dan tegahan ini tentunya memiliki hikmahnya yang tersendiri. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan