Isnin, 7 Oktober 2024

PERAYAAN HALLOWEEN : ANTARA BUDAYA DAN KEPERCAYAAN AGAMA

 

Hiburan merupakan antara salah satu cara manusia melepaskan tekanan dalam kehidupan. Adalah sesuatu yang normal bagi umat manusia mencari sesuatu yang boleh menghiburkan diri setelah menanggung tekanan. Pada asas inilah Islam sebagai suatu agama yang membimbing dan memberi panduan hidup yang seimbang antara memenuhi perintah Pencipta disamping meraikan kehendak manusia. Berhibur dalam Islam asalnya adalah harus. Namun begitu, keharusan untuk berhibur adalah terikat kepada garis panduan syariat Islam. Oleh yang demikian, apa jua sambutan perayaan, festival dan seumpamanya adalah mustahak untuk dipastikan agar tidak bercanggah atau melanggar batasan syariat Islam. Ini termasuklah menyambut perayaan atau disebut juga sebagai festival Halloween.

Berdasarkan fakta sejarah, perayaan Halloween adalah sebuah perayaan yang disambut oleh masyarakat Kristian pada zaman ini dan ditetapkan tarikh sambutannya pada 31 Oktober setiap tahun. Perayaan ini pada asalnya merupakan sebuah perayaan tradisi dan kepercayaan yang di sambut oleh bangsa pagan Celtic silam yang terletak di Eropah Timur (Ireland, United Kingdom dan utara Perancis). Sejak abad ke-5 sebelum Masihi atau lebih kurang 2000 tahun dahulu, bangsa Celtic silam ini menyambut tahun baharu mereka pada 1 November setiap tahun. Maka menurut kepercayaan mereka, pada malam 31 Oktober yang merupakan hari terakhir di akhir tahun mereka, benteng yang menghalang antara dunia kematian dan dunia kehidupan akan dibuka. Oleh itu, segala para roh dari dunia kematian akan mengambil peluang ini untuk kembali ke dunia kehidupan.




Kepercayaan bangsa Celtic ini sangat mirip dan sama sepertimana yang dipercayai jugak oleh masyarakat Cina dalam perayaan Hantu Lapar, juga dalam perayaan Bon Odori di Jepun dan perayaan Hindu Bali. Bagi bangsa Celtic silam ini, para roh yang akan kembali ke dunia ini akan mengundang kekacauan antara manusia dan akan menimbulkan pelbagai kerosakan di dunia. Untuk itu, mereka telah melakukan sebuah upacara yang disebut sebagai perayaan Samhain. Dalam upacara perayaan tersebut, mereka akan berkumpul beramai-ramai dengan memakai kostum yang dihiasi dari kepala dan kulit binatang. Mereka berkumpul bertujuan untuk membakar sebahagian tanaman dan haiwan sebagai korban untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa Celtic. Selain itu, para dukun dikalangan mereka akan membina api unggun suci yang besar. Upacara perayaan tersebut juga diisi dengan memberitahu hajat mereka disamping berdoa dan menyatakan harapan masing-masing.

Sekitar tahun 43 Masihi, empayar Rom telah melakukan penaklukan terhadap sebahagian besar wilayah Celtic dan telah berjaya memerintah selama 400 tahun. Sepanjang tempoh pemerintahan tersebut, empayar Rom telah menggabungkan dua perayaan asal mereka iaitu perayaan Feralia (perayaan menghormati orang yang telah meninggal dunia) dan perayaan menghormati dewi Rom iaitu Dewi Pomona dengan perayaan tradisi bangsa Celtic iaitu perayaan Samhain. Dewi Pomona disombolikkan sebagai buah epal. Oleh kerana itu, kita akan dapati bahawa tradisi "Apple-Bobbing" antara yang dilakukan dalam perayaan Halloween adalah hasil asimilasi gabungan perayaan-perayaan tersebut. Catatan sejarah kemudiannya mencatat pada tanggal 13 Mei tahun 609 Masihi, setelah mendapat keizinan rasmi daripada kaisar empayar Rom untuk mengubah kuil Pantheon ke gereja, maka Pope Boniface IV menetapkan hari perayaan tersebut pada 13 Mei bagi tujuan menghormati semua orang Kristian yang mati berperang kerana agama di Rom.

Setelah itu, Pope Gregory III pula telah membuat ketetapan baharu dengan menetapkan tarikh perayaan tersebut adalah pada 1 November dan hari tersebut digelar sebagai "All Saints Day". Menjelang pada adab ke-9 Masihi, agama Kristian telah mengukuhkan pengaruhnya ke tanah Celtic. Kesannya, perayaan asal mereka secara beransur-ansur bercampur aduk dan akhirnya telah menggantikan perayaan tradisi dan upcara bangsa Celtic. Pada tahun 1000 Masihi, pihak gereja telah mulai merayakan hari All Souls' Day pada tarikh 2 November bertujuan menghormati dan mengingati orang mati. Perayaan ini disambut dengan cara yang sama seperti yang dilakukan oleh bangsa Celtic dalam perayaan Samhain. Mereka akan membuat unggun api, berarak dan berpakaian kostum sebagai orang suci, malaikat dan syaitan. Perayaan inilah yang disebarkan dengan nama All-Hallowa Eve dan akhirnya disebut sebagai Halloween. Berdasarkan catatan sejarah ini, dapat kita fahami bahawa perayaan Halloween ini terjadi hasil sinkretisme dan kesan asimilasi diantara fahaman pagan Celtic dan ajaran Kristian yang dibawa oleh gereja.




Pada zaman ini, perayaan Halloween telah dianggap sebagai satu perayaan dan festival bersifat sekular. Ini bermakna, perayaan Halloween disambut bukan lagi kerana terdapat kepercayaan terhadap agama tetapi sebagai suatu perayaan yang menghiburkan. Seolah-olah Halloween tiada kaitan dengan kepercayaan agama. Inilah juga yang cuba dipromosikan oleh sebahagian mereka dengan menterjemahkan perayaan Halloween tersebut sebagai suatu bentuk hiburan, fiksyen dan fesyen semata-mata. Sedangkan seperti yang telah dinyatakan, perayaan ini bermula dengan sejarah panjang yang bermula dengan kepercayaan agama pagan bangsa Celtic. Oleh itu, amat membimbangkan kita apabila melihat perayaan Halloween dijadikan sebagai budaya trending ikutan masyarakat terutamanya dikalangan anak muda yang mudah terpengaruh dengannya. Dalam hal ini, Islam telah melarang mita daripada meniru atau mengikuti gaya dan jejak langkah mereka yang bernadikan soal kepercayaan agama. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW bermaksud :

"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.

Menurut Imam al-San’ani dalam kitabnya, Subul al-Salam, beliau menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Selain itu, Imam al-Munawi dalam kitab Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, menyatakan bahawa terdapat pandangan lain yang menyebut tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i'tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. Demikianlah ulasan para sarjana Islam berhubung isu ini. Tentu sekali perayaan Halloween ini menyerupai perbuatan dan tingkah laku orang kafir dengan diyakini oleh kepercayaan tradisi dahulu. Walau ada yang cuba menafikan perkaitan perayaan Halloween dengan kepercayaan agama pagan, namun tiada siapa yang dapat memadamkan catatan sejarah panjang berkaitannya.

Dikalangan para sarjana Islam dengan tegas menyatakan hukum haram bagi umat Islam mengambil bahagian menyertai perayaan tersebut. Antara lain seperti Syeikh Muhammad Salih al-Munajjid menyatakan hukumnya haram kerana perbuatan tersebut menyerupai perbuatan orang kafir. Selain itu, Syeikh Dr. Ahmad Sa'id Hawwa, mengatakan bahawa haram bagi umat Islam untuk menyambut hari Halloween. Halloween menurut beliau adalah hari yang suci yang di sambut oleh penganut masihi dan umat Islam dilarang untuk mengikuti dalam perayaan mereka. Di peringkat kebangsaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberikan peringatan kepada umat Islam akan hukum haram terlibat dengan menyertai perayaan Halloween tersebut. Oleh itu, marilah sama-sama kita sentiasa mengingatkan masyarakat khususnya yang beragama Islam untuk menjauhi sebarang sambutan perayaan Halloween tersebut. Bukan sahaja Islam melarang kita daripada menyambutnya malah perayaan tersebut juga langsung tidak memberikan kita faedah dan manfaat dalam kehidupan. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan