Umum mengetahui bahawa agama Islam merupakan suatu cara hidup yang
lengkap, meraikan naluri insan selari dengan kehendak Tuhan. Itu sebab kita
akan dapati melalui syariat-syariat agama Islam ini akan terzahir pelbagai
hikmahnya dan terungkap banyaknya pengajaran bagi sesiapa yang benar-benar mahu
bersahabat dengan kebenaran. Ini kerana pada kebenaran tersebut akan
terlihatlah intipati ajaran Islam yang suci lagi murni. Agama ini sememangnya
telah lengkap untuk dihayati, telah sempurna untuk diselami dari zaman berzaman
hingga ke hari penamat dunia ini.
Dalam sebuah penulisan buku oleh Al-Marhum Dr. Said Ramadan
al-Buti, beliau mengatakan bahawa ujian yang menimpa umat Islam hanyalah satu.
Dari ujian yang satu ini, telah menjadikan keretakkan yang lebih luas dan
malapetaka yang lebih hebat sehingga akhirnya perkara benar dan batil menjadi
susah untuk dipertimbangkan. Ujian yang satu itu adalah masalah keterhakisan
jati diri. Hilangnya jati diri umat ini bukanlah kerana kuatnya musuh-musuh
Islam, tetapi kerana umat ini sudah semakin jauh dari landasan agama yang
benar. Sebahagian kecil umat ini beranggapan agama yang dianuti ini hanya
sekadar perhiasan majlis memohon keberkatan. Tidak membawa sebarang pembangunan
dan kemajuan. Islam pada kacamata sebahagian kecil umat ini, hanya bertujuan
untuk akad nikah, solat, berpuasa dan seumpamanya lagi yang tidak memberikan
apa-apa untung rugi dengan keduniaan.
Maka oleh kerana itu, Islam hanya dipraktikkan dalam ibadah khusus
tetapi tidak diterjemahkan Islam ketika di luar ibadah tersebut. Jika ketika
kita berada di masjid dan surau, kita boleh mendirikan solat dengan beratur
tersusun di dalam saf, namun gagal menyusun kasut dan selipar di luar masjid.
Kenderaan kereta motosikal kadang kala diletakkan mengikut suka hati tanpa
peduli. Jika di dalam kehidupan ini, setiap kali selesai solat, kita sering
berdoa agar dijauhi api neraka, namun kita sendiri pun masih berkawan dengan
api dunia dengan merokok sana-sini tanpa rasa bersalah. Lebih malang, jika yang
merokok itu adalah mereka yang digelar ustaz atau tok imam, yang juga antara
barisan hadapan masyarakat untuk dijadikan contoh dan teladan.
Itu belum lagi kita bicarakan tentang trend gaya hidup kini yang
membimbangkan. Apabila hidup sekadar mengikut trend semasa, syariat pula akan
tersisih menjadi perkara kedua atau ketiga. Kumpulan artis luar negara yang
kontroversi baru-baru ini, benar-benar menjadi suatu pukulan hebat buat
kita semua dan sesungguhnya kita perlu mulai risau tentang perkembangan ini.
Bagaimana mungkin kumpulan biadap ini terang-terang diatas pentas dikhalayak
ramai, melakukan aksi tidak senonoh dan tidak bertamadun, namun disambut pula
dengan sorakan dan jeritan para penonton. Kita benar-benar di dalam krisis jati
diri. Umat ini perlu diberikan rawatan segera bagi memberikan kesedaran iman.
Selain itu, pemakaian tudung telah menjadi suatu trend flip flop, hari ini
pakai esoknya tidak, seolah-olah kita sedang bermain dengan firman Tuhan.
Dalam keghairahan masyarakat moden kini yang mahu belajar tentang
agama, muncul pula ajaran-ajaran sesat yang kita sendiri tahu berakarkan kepada
fahaman batiniyyah yang sesat lagi menyesatkan. Inilah barahnya jika masih ada
yang mahu menghalalkan ajaran yang bertopengkan atas nama tarikat, tetapi
berasaskan kepada fahaman batiniyyah yang melampau. Buruk padahnya jika masih
ada yang memilih untuk berlembut dan bersangka baik dengan para pendukung
ajaran batiniyyah ini. Tidak cukup dengan fatwa pelik mereka, habis kuburan
pulaa menjadi tanah suci ketiga golongan pelampau ini. Para wali disisi faham
mereka, diangkat dan dipuja, disembah bahkan ada yang rela untuk diraba.
Asalkan tok guru, tok syeikh atau apa jua gelaran guru mereka itu, redha dengan
mereka. Satu lagi episod kebodohan umat ini yang wajib kita perbetulkan.
Semua permasalahan yang berbangkit ini, berpunca daripada jati diri
yang semakin terhakis. Perasaan gah dan hebat dengan Islam itu sudah mulai
tercabut dan terangkat sedikit demi sedikit. Ini juga merupakan tamparan hebat buat
mereka yang dianggap para agamawan. Seharusnya mereka yang digelar agamawan,
mendidik umat ini untuk hidup beragama dan bukannya beragama untuk hidup.
Apabila diajar beragama untuk hidup, maka medan kuliah-kuliah ilmu telah
bertukar wajah menjadi medan pak lawak, tempat mengata orang, dan sebagainya.
Bukan ilmu yang dicari tetapi hiburan yang dinanti. Masyarakat Islam semakin
tenat dan penat jika taraf kuliah-kuliah ilmu ini masih ditakuk lama, masih
kekal menjadi tempat "membuang masa" sementara menunggu masuk waktu
solat. Sebahagian mereka yang menggangap kerja mereka berdakwah, lebih banyak menyeru
manusia kepada diri mereka sendiri berbanding mengajak manusia kembali kepada
Allah. Di celah-celah itu pula, tempat berkuliah dijadikan habuan untuk mencari
pengaruh.
Krisis ini bukanlah tentang kau, dia atau mereka, tetapi tentang
"kita semua". Kegagalan kita sebagai umat Islam untuk mencerminkan
ajaran Islam sebenar akan sedikit-sebanyak menyumbang kepada salah faham mereka
yang bukan beragama Islam. Oleh yang demikian, tidak ada jalan lain yang lebih
pintas selain menyeru umat ini untuk kembali berpegang kepada al-Quran dan
al-Sunnah. Keterhakisan jati diri manusia pada hari ini kerana gagalnya kita
untuk menghayati setiap intipati hidup beragama. Untuk menjadi umat yang kuat
jati diri Islamnya, bukanlah perlu menjadi ustaz dan ustazah. Tidaklah pula
kena memakai serban dan jubah 24 jam. Tetapi jadilah diri ini sebagai orang
yang beragama. Hidup beragama, pastinya akan menuruti displinnya yang
terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Biar apapun status dan kedudukan kita,
agama sebagai prinsip, dunia sebagai singgahan dan akhirat tempat untuk
kembali. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan