Khamis, 9 Januari 2025

PERBUATAN MENCIUM TANGAN MENURUT SYARIAT ISLAM

 

Sikap menghormati antara bentuk akhlak yang sangat dituntut oleh agama Islam. Dalam apa jua keadaan dan situasi, menghormati merupakan kerukunan terpenting dalam hidup bertamadun. Bagi manusia yang punyai jiwa, memberi penghormatan bukanlah sesuatu yang janggal malah ianya lambang kepada kerendahan hati diri sebagai insan. Dalam konteks masyarakat melayu khususnya sangat menekankan soal budaya menghormati orang lain. Keadaan ini dapat dilihat bagaimana sewaktu kita kecil dahulu, kita sering diingatkan agar menunduk sedikit sekiranya sedang berjalan melintasi orang lain. Juga kita sering diajar untuk bersalaman walau dengan orang yang kita tidak kenali. Hakikatnya budaya menghormati ini sudah disemai sejak dari rumah lagi. Sekaligus menunjukkan betapa budaya menghormati itu sangat ditekankan dikalangan masyarakat.

Perbuatan menghormati boleh berlaku dalam banyak keadaan selain boleh dizahirkan dengan pelbagai bentuk. Antara bentuk penghormatan yang selalu menjadi amalan masyarakat ialah bersalaman dengan mencium tangan. Perbuatan mencium tangan salah satu cara memberi penghormatan. Hal ini dapat dilihat bagaimana seorang anak mencium tangan kedua ibubapa, anak murid mencium tangan guru dan pelbagai lagi keadaan yang menggambarkan perbuatan mencium tangan sebagai salah satu bentuk penghormatan terhadap seseorang yang dihormati. Dalam Islam, perbuatan mencium tangan bukanlah perkara yang baharu. Malah di zaman baginda Nabi SAW, para sahabat melakukan perbuatan mencium tangan baginda. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Zari' bin Amir, beliau berkata :

“Tatkala kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian kami mencium tangan Nabi SAW dan kaki baginda.”




Begitu juga dapat dilihat dalam hadith lain riwayat Ibnu Majah, daripada Abdullah bin Umar, beliau berkata :

“Kami mencium tangan Nabi SAW"

Malah perbuatan mencium tangan ini berterusan diamalkan sesama para sahabat setelah kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW. Perkara tersebut dapat dilihat sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah riwayat al-Baihaqi di dalam kitabnya, Sunan al-Kubra, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah RA mecium tangan Umar RA ketika menyambut kedatangan Umar di Syam. Selain itu, terdapat satu riwayat oleh Bukhari, yang dinukilkan dalam kitab Adabul Mufrad, Thabit RA pernah mencium tangan Anas bin Malik RA. Begitu juga dalam hadith lain riwayat al-Muqri di dalam kitab al-Rukhsah fi Taqbil al-Yad, disebutkan bahawa Ali RA pernah mencium tangan atau kaki al-‘Abbas RA. Inilah sebahagian perbuatan mencium tangan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW. Dalam bab ini juga, para sarjana Islam turut membincangkan tentang hukum perbuatan mencium tangan. Ini kerana sebahagian melihat perbuatan tersebut sebagai melampau dalam beragama selain dibimbangi manusia terlalu taksub menyanjung tinggi manusia pada kadar yang ditetapkan oleh syarak.

Berkenaan hukum mencium tangan, Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, menyatakan bahawa hukum disunatkan untuk mencium tangan orang soleh, alim dan sebagainya yang disebutkan sebagai ahli akhirat. Selain itu, adalah makruh hukumnya sekiranya mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya. Dalam pada itu, al-Buhuti a-Hanbali pula dalam kitab Kassyaf al-Qina' menyebutkan bahawa hukum harus untuk mencium tangan dan kepala sebagai tanda merendah diri, memuliakan dan menghormati seseorang dengan syarat perbuatan tersebut jauh daripada syahwat. Sebaliknya tidak harus pula jika dilakukan perbuatan mencium tangan tersebut dengan tujuan keduniaan. Dalam kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah, dinukilkan bahawa hukumnya adalah harus untuk mencium tangan orang alim, pemerintah yang adil, kedua ibubapa, para guru dan semua golongan yang berhak untuk dihormati dan dimuliakan.

Dalam pada itu, adalah harus hukumnya mencium kepala dan dahi dengan syarat tujuan dilakukan tersebut adalah untuk tanda menghormati dan memuliakan mereka yang berhak dimuliakan. Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pula dalam kitabnya, Liqa' al-Bab al-Maftuh, beliau menyebutkan bahawa tidak mengapa perbuatan mencium tangan sebagai tanda penghormatan kepada sesiapa yang berhak untuk dihormati seperti ibubapa, orang alim, para guru dan seumpamanya. Pun begitu, tidaklah dibenarkan melakukan perbuatan mencium tangan tersebut apabila dikhuatiri boleh menimbulkan takjub oleh mereka yang diicium tangannya. Dalam keadaan tersebut, tidak boleh dilakukannya. Selain itu, Ibnu Battal menukilkan pandangan seperti yang dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Imam Malik mengingkari perbuatan mencium tangan tersebut. Pun begitu, al-Ahbari menjelaskan bahwa Imam Malik mengingkari perbuatan tersebut jika ianya bertujuan membesar-besar serta mengagung-agungkan orang yang tangannya dicium tersebut.




Terdapat beberapa pandangan lain lagi yang turut menjelaskan berkenaan hukum mencium tangan tersebut. Antara lain ialah pandangan oleh Imam Thahwi di dalam kitab Hasyiah Maraqil Falah, beliau menyatakan bahawa semua keharusan cium tangan dan lain-lain itu atas rupa kebajikan dan memuliakan. Adapun apabila dilakukan diatas rupa syahwat maka tidak harus sama sekali melainkan antara suami isteri. Imam al-Ghazali pula di dalam kitab Adabus Suhbah menyebutkan bahawa tidak salah mencium tangan orang yang dimuliakan disisi agama kerana mengambil berkat dan memuliakan baginya. Menurut seorang tokoh ulama Mesir, Dr. Ahmad al-Syarbashi, beliau menyatakan di dalam kitabnya, Yas alunaka fi al-Din wal Hayah, perbuatan mencium tangan itu ialah amalan yang kembali hukumnya kepada pelakunya sendiri. Maka jika bertujuan seorang itu ketika mencium tangan itu pura-pura atau kerana riyak maka ia adalah adat yang dicela lagi keji. Jika dikehendaki mencium sebab menunjukkan rasa hormat, memuliakan, tanda kasih sayang dan berterima kasih maka ia adalah amalan yang elok tidak salah dengannya.

Begitu juga menurut Syeikh Zakariya al-Ansari di dalam kitabnya, Asnal Matalib, beliau menyebutkan bahawa sunnah mencium tangan seseorang kerana kebaikan agamanya, kezuhudan, kealiman dan kemuliannya seperti yang dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad SAW sesuai dengan hadith riwayat Abu Daud dan lainnya dengan sanad sahih. Demikianlah sebahagian pandangan oleh para sarjana Islam di dalam membincangkan bab hukum perbuatan mencium tangan. Berdasarkan apa yang telah diperjelaskan ini, dapatlah kita rumuskan bahawa pada asalnya hukum adalah harus mencium tangan diatas tujuan yang dibenarkan oleh syarak seperti diatas sebab memuliakannya, menghormatinya serta menghargai keilmuannya. Namun begitu, adalah makruh dan ada yang menyatakan tidak boleh atau tidak harus mencium tangan kerana diatas tujuan keduniaan, kedudukan dan seumpamanya. Dalam maksud yang lebih mudah untuk difahami, mencium tangan seseorang mestilah dengan tujuan baik dan ikhlas dan bukannya untuk membesarkan mana-mana manusia. Semoga kita semua dirahmati oleh Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan