Sabtu, 4 Januari 2025

RUMAH HANTU & AKTIVITI PARANORMAL PADA NERACA ISLAM

 

Hiburan antara elemen terpenting dalam kehidupan biasa seorang yang bernama manusia. Tidak lengkap rasanya dunia ini andai tidak ada hiburan yang mencuit jantung hati para manusia. Pada asasnya, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berhibur bersenang hati dan sebagainya. Bahkan pada catatan riwayat hidup baginda Nabi Muhammad SAW, baginda ada ketikanya berhibur bergurau senda bersama isteri dan para sahabat. Baginda juga sering terhibur dengan telatah Nu'aiman bin Amr bin Rafa'ah, seorang sahabat baginda yang selalu membuat lawak. Namun begitu, Islam sentiasa memberikan panduan agar manusia tidak hidup bertuhankan hiburan semata sehingga boleh jatuh ke lembah hedonisme.

Sebahagian manusia menjadikan rumah hantu dan aktiviti paranormal sebagai dunia hiburan. Bagi sesetengah masyarakat, rumah hantu adalah antara yang menjadi pilihan untuk dimasuki dan ianya dianggap sebagai medium hiburan. Begitu juga sebahagian lain ada yang menjadikan aktiviti paranormal sebagai wadah menghiburkan orang ramai. Persoalan pokoknya ialah bagaimanakah agama Islam melihat akan hal ini memandangkan kedua-dua perkara tersebut iaitu rumah hantu dan aktiviti paranormal berkait rapat dengan kepercayaan alam ghaib. Bagi menjelaskan persoalan ini, beberapa perkara asas dalam Islam harus kita ketahui terlebih dahulu. Pertamanya, Islam tidak menolak akan kewujudan alam ghaib bahkan menjadi kewajiban umat Islam untuk menyakini perkara yang disebutkan sebagai "Sam'iyyat" (perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera).




Perkara kedua, setiap perkara yang ghaib adalah diluar kemampuan manusia untuk mengetahuinya melainkan sekadar apa yang telah dijelaskan oleh Allah dan Rasul Nya. Ada pun selain itu, akal manusia sangat terbatas untuk mengetahui akan segala sesuatu yang bersifat ghaib. Maka dengan itu, setiap dakwaan berhubung perkara ghaib perlulah merujuk kepada al-Quran dan al-Hadith. Kedua-dua perkara ini adalah asas dalam kepercayaan Islam. Berhubung isu rumah hantu dan aktiviti paranormal, antara perkara terpenting yang harus difahami ialah sesungguhnya Islam telah melarang kita melakukan perkara yang boleh mengundang kepada kemudaratan. Ini termasuklah melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan kecederaan diri, merosakkan mental dan menggangu emosi jiwa seseorang. Dalam bahasa mudah, Islam menegah kita daripada melakukan perkara yang boleh mudarat diri sendiri.

Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad dan Ibn Majah, daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tiada kemudhartan (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh menyebabkan kemudharatan (tanpa hak).”

Maka jelaslah bahawa aktiviti rumah hantu dan paranormal antara perkara yang boleh mengundang kemudaratan baik secara zahir mahupun secara batin. Selain itu juga, harus difahami agama Islam turut melarang umatnya untuk membuat perkara yang menakut-nakutkan orang ramai. Sama ada pihak penganjur mahupun pengunjung rumah hantu dan kepada mereka yang gemar melakukan aktiviti paranormal, larangan menakut-nakutkan orang ramai ini sangat terkait dengan apa yang dilakukan oleh mereka. Larangan ini dapat dilihat sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad, daripada Abdul Rahman bin Abi Layla, bahawa beberapa sahabat Rasulullah SAW meriwayatkan yang bermaksud :

“Para sahabat Nabi Muhammad s.a.w bermusafir bersama Baginda. Salah seorang dari mereka tertidur, lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut. Lalu Rasulullah SAW bersabda : “Tidak halal bagi seorang muslim membuatkan muslim yang lain terkejut.”

Menurut Abu ath-Thayyib Muhammad Syamsul Haq al-'Adzim Abadi di dalam kitabnya, Aunul Ma'bud, ketika beliau mensyarahkan hadith tersebut, beliau menukilkan kata al-Manawi yang bermaksud larangan menakut-nakutkan orang termasuklah dengan tujuan gurauan sekalipun, tetap dilarang dan ditegah oleh Islam kerana ianya salah satu bentuk penganyiaan. Begitu juga menurut Imam Ibnu Ruslan dalam kitab Syarah Sunan Abi Daud, beliau menyatakan bahawa larangan ini ditegah untuk menakut-nakutkan orang sama ada dalam keadaan gelap atau keadaan yang melalaikan. Maka berdasarkan hadith tersebut, jelaslah bahawa sesuatu perbuatan yang bertujuan mendatangkan ketakutan dan kejutan, walau dengan tujuan gurauan sekalipun, ianya tetap dilarang dan ditegah oleh agama Islam. Melihat akan hal ini, dapat kita fahami bahawa memasuki rumah hantu atau melakukan aktiviti paranormal termasuk dalam perkara yang mengundang ketakutan dan kejutan.




Selain itu, aktiviti paranormal atau disebut sebagai cari hantu bukanlah sesuatu yang dianjurkan dalam Islam. Meskipun Islam tidak menolak hakikat akan kewujudan alam lain seperti jin dan syaitan, namun Islam tidak pernah menyuruh untuk mencari hal tersebut. Dalam banyak ayat-ayat al-Quran, Allah SWT menegaskan dengan sesungguhnya syaitan dan jin itu adalah musuh yang terang lagi nyata bagi umat manusia. Misalnya seperti yang terakam dalam surah Yasin ayat 60, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!”

Bagi umat manusia, syaitan dan jin merupakan musuh yang nyata yang senantiasa mencari ruang dan peluang untuk nenyesatkan manusia. Oleh itu, antara ruang yang ada ialah dengan menipu manusia dengan kemunculan perkara mistik. Selain itu, Allah SWT turut menegaskan bahawa hakikat manusia tidak dapat melihat syaitan dan jin namun pada masa sama, syaitan dan jin dapat melihat kehidupan manusia. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam surah al-'Araf ayat 27, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.”

Setelah melihat beberapa dalil berikut, persoalan besarnya adalah apa faedah dan matlamat untuk mencari makhluk terkutuk lagi terlaknat ini. Tidak ada apa yang menguntungkan diri baik secara zahir mahupun batin melainkan telah membuang begitu banyak masa yang terluang. Membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah sangat dicela oleh Islam. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith hasan riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA katanya, telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya".

Demikianlah sebahagian penjelasan berdasarkan wahyu Allah berhubung isu rumah hantu dan aktiviti paranormal. Setelah melihat penjelasan berikut, memadailah dengan kita menyebutkan bahawa memasuki rumah hantu dan aktiviti paranormal merupakan sesuatu yang bersifat sia-sia, tidak berfaedah malah bercanggah dengan tuntutan dan kehendak syariat Islam. Apa yang lebih mustahak adalah dengan mengisi masa dengan melakukan perkara yang boleh menambahkan keimanan kepada Allah dan bukannya melaksanakan perbuatan yang mengundang kemurkaan Nya. Sekalipun dengan tujuan hiburan, tetapi caranya bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu, kita perlu menyeru masyarakat agar meninggalkan budaya tidak berfaedah ini seperti mengunjungi rumah hantu dan melakukan aktiviti paranormal. Kelak diri manusia yang akan binasa. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan