Khamis, 26 Disember 2024

MENGENALI ALIRAN AKIDAH ASYA'IRAH DAN MATURIDIYYAH

 

Manusia dan aktiviti berfikir tidak dapat dipisahkan. Bahkan berfikir antara rutin wajib bagi kehidupan yang bergelar insan. Melalui berfikir, manusia dapat menentukan hala tujunya selain mampu membuat penilaian berdasarkan kemampuan akalnya yang ligat berfikir. Dalam membuat sesuatu penilaian, selain akal yang aktif berfikir, turut mempengaruhi seseorang juga ialah gaya dan cara berfikir yang sekaligus membentuk corak pemikiran yang tersendiri. Gaya berfikir atau disebut sebagai metode/manhaj merupakan suatu jalan untuk mencari sesuatu yang tidak pasti. Manusia sejak berzaman lagi mempunyai cara fikir yang pelbagai dan berbeza bagi merungkai sesuatu yang bersifat kompleks seperti berfikir tentang zat Tuhan itu sendiri. Sehingga apabila falsafah dan ilmu kalam mulai menyerang akan konsep akidah Islam, maka lahirlah yang disebut sebagai aliran akidah al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah untuk mematahkan serangan jahat tersebut.

Aliran al-Asya'irah merupakan salah satu daripada manhaj akidah umat Islam yang diasaskan oleh Imam Abu Hasan al-Asy'ari. Nama penuh beliau Ali bin Ismail bin Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa al-Asy'ari. Beliau dilahirkan di Kota Basrah pada tahun 260 Hijrah dan beliau merupakan keturunan yang kesembilan daripada sahabat Nabi SAW iaitu Abu Musa al-Asy'ari. Pada sekitar tahun 285 masihi, ayahnya telah meninggal dunia dan beliau dijaga dan dipelihara oleh seorang tokoh ulama fiqh mazhab al-Syafie iaitu bernama Zakariyya bin Yahya al-Saji. Imam Abu Hasan al-Asy'ari merupakan tokoh di dalam ilmu kalam. Ketokohan beliau di dalam ilmu kalam banyak dipengaruhi oleh al-Jubba'i, ketua mazhab Muktazilah. Ketika usia beliau mencecah 10 tahun, menurut cerita yang tersebar luas, ibunya telah mengahwini al-Jubba'i dan beliau dibesarkan oleh al-Jubba'i sehingga beliau terus menjadi penganut aliran Muktazilah.




Menurut catatan Abu Zuhrah dalam kitab Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, al-Jubba'i memilih beliau bagi menggantikan Jubba'i dalam bab perbahasan ilmu kalam. Ini memandangkan al-Jubba'i melihat kefasihan Imam Abu Hasan dan umurnya yang masih muda dilihat sesuai menggantikan al-Jubba'i. Imam Abu Hasan menjadi anak murid terbaik al-Jubba'i dan diharap menjadi pewaris kepada aliran Muktazilah ini. Namun pada usia beliau 40 tahun, beliau telah sedar dan kembali kepada akidah mengikut manhaj ahlu sunnah wal jamaah. Catatan oleh al-Subki dalam kitabnya, al-Tabaqat al-Syafi'yyah al-Kubra, disebutkan bahawa beliau iaitu Imam Abu Hasan telah meninggalkan mazhab Muktazilah dan mengikuti Imam Ahmad bin Hanbal dan beliau terus mendokong akidah aliran mazhab al-Salaf sehingga hujung riwayat hidupnya.

Sepanjang hidupnya, beliau berguru dengan ramai para ulama yang di antaranya adalah Zakariyya ibn Yahya al-Saji, Abi Khalifah al-Jumhi, Sahl bin Nuh dan Muhammad ibn Ya'qub al-Ma'bari. Beliau turut menghasilkan pelbagai karya di sepanjang hayatnya antara lain karyanya ialah al-Ibanah 'an Usul al-Diyanah, al-Luma' fi Radd 'ala Ahl al-Zaigh wal Bida', Maqalat al-Islamiyyah wa Ikhtilaf al-Musallin, Risalah fi Istihsan al-Khawd fi Ilm Kalam dan lain-lain lagi karyanya. Pada sudut pemikirannya, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Subki, Imam Abu Hasan al-Asy'ari tidak menciptakan akidahnya yang tersendiri melainkan apa yang dipegangnya berdasarkan mazhab Salaf. Al-Asy'ari memang jelas menolak pendapat Muktazilah secara menyeluruh. Namun begitu, ketika al-Asy'ari sedang dalam proses mengukuhkan akidah dan pemikirannya, beliau seringkali disebut dengan pelbagai labelan seperti pendokong Jabariyyah, al-Murji'ah, al-Hasyawiyyah dan lain-lain.

Mazhab al-Asya'irah adalah mazhab ilmu kalam yang terdiri daripada pengikut Imam Abu Hasan al-Asy'ari. Secara umum, mereka yang mengikuti mazhab ini berpegang kepada fiqh mazhab al-Syafie. Mazhab ini banyak menggunakan akal logik bagi menolak hujah songsang oleh pemikiran falsafah termasuklah aliran Muktazilah. Antara sebahagian tokoh ulama mazhab ini ialah al-Baqillani, Ibnu Furak, al-Isfara'ini, al-Baghdadi, al-Samnani, al-Qusyairi, al-Juwaini, al-Ghazali, al-Razi, al-Jurjani dan al-Sanusi. Namun begitu, sebahagian mereka ini telah berbeza pandangan dengan al-Asy'ari dalam beberapa bab sehingga menjadi berpecah kepada dua golongan iaitu al-mutaqaddimin (yang terdahulu) yang berpegang kepada sumber wahyu dan golongan kedua al-Asy'airah, al-muta'akhirin (terkemudian) yang mulai bercampur aduk dengan pemikiran falsafah.




Sejarah aliran Maturudiyyah pula diasaskan oleh Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi, al-Ansari, al-Hanafi, al-Samarqandi. Beliau dilahirkan sekitar pertengahan abad ke 3 atau 9 di Maturid, sebuah kawasan yang berdekatan dengan Samarqand, salah sebuah kota terkenal di Uzbekistan. Pada tahun 333 hijrah bersamaan 944 masihi, beliau telah meninggal dunia selepas 10 tahun Imam Abu Hasan al-Asy’ari meninggal dunia. Beliau merupakan seorang pengikut Imam Abu Hanifah, pendiri mazhab Hanafi. Diantara guru beliau ialah Muhammad bin Muqatil al-Razi, Abu Bakr Ahmad bin Ishaq al-Juzjani, Abu Nasr Ahmad b. al-'Abbas al-'Iyadi dan Nusayr bin Yahya al-Balkhi. Kesemua gurunya ini adalah murid kepada Abu Hanifah. Sepanjang hayatnya, terdapat sekurang-kurangnya 13 karya telah beliau nukilkan. Antara lain ialah Ta’wilat al-Qur’an @ Ta’wilat Ahl al-Sunnah, Ma’khadh al-Syari‘ah, al-Jadal, Bayan Wahm al-Mu‘tazilah, al-Tawhid, al-Radd ‘ala al-Usul al-Qaramitah dan lain-lain.

Oleh kerana Imam Maturidi merupakan seorang pengikut Imam Abu Hanifah, maka banyak persamaan teologinya dengan Imam Abu Hanifah. Mazhab akidah aliran Maturidiyyah ini dikenali juga sebagai mazhab ilmu kalam al-Maturidi. Sepertimana mazhab al-Asy'ariah, mazhab ini juga banyak memfokuskankan untuk menentang fahaman yang menggugat akidah Islam terutamanya kumpulan Muktazilah. Berdasarkan pemikiran mazhab al-Maturidiyyah, mempercayai akan kewujudan Allah tidak boleh diketahui dengan akal. Bagi maksud sifat Allah, disisi al-Maturidi, mereka menetapkan sifat tetapi tidak membezakannya daripada zat (Allah) itu sendiri. Selain itu, berhubung soal perbuatan manusia sama ada dipaksa oleh Allah atau tidak, beliau berpandangan Allah pencipta segala-galanya termasuk perbuatan manusia. Balasan baik diperolehi dengan ikhtiar manusia, begitu juga yang buruk. Berkaitan ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Quran seperti menggambarkan Allah mempunyai muka dan tangan, al-Maturidi mentakwilkannya berdasarkan ayat-ayat muhkamah. Terdapat banyak lagi beberapa pandangan umum dalam mazhab ini yang menjadi pegangan mereka.

Hakikatnya, kedua-dua mazhab ini mempunyai perbezaan bahkan pernah berlaku peristiwa hitam perbalahan antara kedua mazhab tersebut. Antara perbezaan yang dapat dilihat ialah soal kehendak Allah. Pada sisi al-Asy'airah, Allah SWT tidak terikat dengan apa pun. Manakala pada sisi al-Maturidiyyah, manusia mempunyai kebebasan kehendak. Selain itu, al-Asy'airah berpandangan bahagia atau celakanya pada kematian seseorang sudah ditentukan sejak azali. Namun pada sisi al-Maturidiyyah pula menyatakan bahawa bahagia atau celakanya seseorang adalah ditentukan oleh keadaan sekarang. Dalam soal taubat, al-Asya’irah mengatakan taubat tidak akan diterima pada waktu ghargharah (saat nyawa dicabut) dan pintu taubat akan ditutup apabila matahari terbit pada arah Barat. Tetapi al-Maturidiyah pula menyatakan taubat orang kafir yang tidak diterima secara khusus, tetapi taubat orang yang beriman yang melakukan maksiat masih dapat diterima. Demikian secara ringkas yang dapat dinukilkan bagi memahami sedikit sebanyak latar kepada dua aliran mazhab akidah ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan