Menginsafi dan menyedari hakikat bahawa sesungguhnya kejadian
manusia itu diciptakan dalam keadaan yang penuh kelemahan dan kekurangan.
Kelemahan manusia merupakan suatu dalil dan bukti bahawa hidup memerlukan kepada
suatu pergantungan harap.Oleh kerana itu, manusia tidak dapat lari daripada
bergantung harap memohon pertolongan Tuhan yang Maha Kuasa. Kaum manusia yang
penuh dengan kekurangan ini bukan sahaja memohon pada perkara yang dihajatkan
semata bahkan memohon perlindungan daripada perkara buruk dan keji yang manusia
itu sendiri tidak inginkannya. Sesungguhnya sikap dan perbuatan berdoa itu
sendiri melambangkan hubungan kita dengan samg pencipta alam iaitu Allah SWT.
Dalam kita menadah tangan memohon doa, terdapat pelbagai bentuk doa
yang disyariatkan oleh Allah SWT. Ini termasuklah yang dikatakan sebagai
Istighathah (إستغاثة). Ungkapan
istighathah berasal dari bahasa Arab. Menurut Imam al-Syaukani dalam kitabnya, al-Durr
al-Nadhid, beliau menyatakan bahawa istighathah merujuk kepada maksud
meminta pertolongan. Ia juga bermaksud menghilangkan kesempitan. Ia sama
seperti kalimah الإستنصار yang juga bermaksud
meminta pertolongan dan kalimah الإستعانة bermaksud meminta bantuan. Selain itu, Syeikh
Muhammad bin Abdul Wahab dalam kitabnya, Syarah Ushul Tsalatsah,
istighathah bermaksud memohon keselamatan iaitu keselamatan dari penderitaan
dan kebinasaan. Secara rumusannya, istighathah dapat difahami sebagai suatu
bentuk doa memohon bantuan pertolongan.
Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan ini, perbuatan
istighathah boleh dianggap sebagai salah satu bentuk dan jenis permintaan doa.
Walau pada dasarnya, doa lebih bersifat umum berbanding dengan makna
istighathah. Ini kerana doa secara umumnya dimohon dalam apa jua keadaan tanpa
terikat. Ini juga bermaksud doa boleh dipohon dalam keadaan senang mahupun
susah. Berbeza dengan istighathah, ianya doa yang dipohon kepada Allah atau
kepada individu yang dipohon bantuan pada waktu getir dan susah sahaja. Keadaan
getir dan susah ini dapat kita fahami sebagaimana golongan Nabi Musa AS memohon
pertolongan dalam bentuk istighathah kepada Nabi Musa AS. Hal Ini dapat dilihat
berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 15 yang bermaksud :
“Maka orang yang dari golongannya (Nabi Musa) meminta pertolongan
kepadanya (Nabi Musa), untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya.”
Hukum berdoa dengan bentuk istighathah terbahagi kepada dua jenis.
Pertama, istighathah yang dibenarkan oleh syarak dan kedua, istighathah yang
dilarang oleh syarak. Bagi jenis pertama, istighathah yang dibenarkan oleh
syarak terbahagi kepada dua. Pertama, istighathah dengan Allah. Ini bermakna
kita beristighathah memohon pertolongan dan bantuan kepada Allah. Perbuatan
memohon pertolongan kepada Allah ini merupakan ibadah yang diperintahkan kepada
umat manusia. Hanya kepada Nya lah tempat kita memohon pertolongan dan
beribadah. Selain itu, Allah SWT yang Maha Berkuasa merakamkan cerita
permintaan pertolongan daripada orang-orang yang beriman pada malam peperangan
Badar. Firman Nya dalam surah al-Anfal ayat 9 yang bermaksud :
"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu,
lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku
akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang
berturut-turut".
Bagi jenis yang kedua, istighathah yang dibenarkan oleh syarak
ialah istighathah atau meminta tolong dengan Nabi dan manusia lainnya dalam
ruang keupayaan, kemampuan dan bersesuaian dengan kedudukan mereka masing-masing.
Dan individu yang diminta pertolongan tersebut mestilah masih hidup dan ada
bersama dengan orang yang meminta pertolongan tersebut. Jenis yang kedua ini
sebagaimana yang dijelaskan, tidak salah meminta pertolongan Nabi dan manusia
lain dengan syarat orang yang diminta pertolongan tersebut masih hidup dan ada
bersama. Ini sebagaimana yang telah berlaku kepada kaum Nabi Musa AS yang Allah
rakamkan kisah di dalam al-Quran. Dalam hal ini, istighathah atau meminta
pertolongan dengan manusia ini tidaklah sedikit pun mengurangkan kesempurnaan
Allah SWT malah Allah membenarkan hal itu. Demikian istighathah yang dibenarkan
oleh syarak.
Jenis kedua iaitu istighathah yang dilarang atau tidak dibenarkan
oleh syarak dapat dibahagikan pula kepada tiga bentuk. Bentuk pertama ialah
istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi atau dengan orang-orang soleh
yang masih hidup dalam perkara yang diluar kemampuan mereka yang dipohon.
Misalnya, memohon kepada orang soleh yang masih hidup agar diampunkan dosa atau
meminta diberi hidayah. Soal keampunan dan pemberian hidayah bukanlah dibawah
kemampuan manusia. Ianya adalah tertakluk kepada Allah sahaja. Maka meminta
kepada orang soleh agar dosa diampunkan adalah dilarang sama sekali. Malah
istighathah seperti ini boleh jatuh ke lembah kesyirikan yang besar. Kedua,
istighathah yang dilarang ialah istighathah dengan orang yang telah meninggal
dunia baik dikalangan Nabi mahupun orang lain yang dianggap soleh. Ternyata
manusia yang telah mati sama sekali tidak dapat memberi manfaat mahupun
mudarat.
Istighathah ketiga yang dilarang oleh syarak ialah meminta
pertolongan dengan Nabi SAW atau orang soleh yang masih hidup tetapi tidak
bersama mereka yang meminta pertolongan tersebut. Ini kerana Nabi dan
orang-orang soleh tidak mempunyai kemampuan untuk mendengar pertolongan
tersebut selain tidak mengetahui akan perkara ghaib. Demikian secara ringkas
berkenaan bentuk dan jenis istighathah yang dibenarkan dan yang tidak
dibenarkan oleh syarak. Selain doa yang berbentuk Istighathah, terdapat juga
bentuk doa yang lain seperti Tawassul, Tasyaffu' dan Tawajjuh. Dalam soal
istighathah juga, para ulama berbeza pendapat berkenaan persaman dan perbezaan
antara Istighathah dan Tawassul. Sebahagian ada yang menyatakan bahawa
kedua-duanya adalah sama. Sebahagian lagi menyatakan tidak sama.
Hakikatnya, istighathah dan tawassul tidaklah sama sepertimana yang
didakwa. Ini berdasarkan bentuk lafaz yang berbeza. Istighathah mempunyai lafaz
secara terus tanpa ada perantaraan manakala tawassul pula mempunyai lafaz
dengan menyatakan perantaraan seperti kemuliaan seseorang, perantaraan melalui
amal soleh dan sebagainya. Demikian secara ringkas yang boleh difahami. Meski
isu istighathah ini menjadi isu khilaf (perbezaan pendapat) dikalangan para
ulama, maka sewajarnya kita menimbang tara antara mafsadah (kerosakan) dan
maslahah (kebaikan). Memohon pertolongan kepada Allah adalah lebih mulia dan
baik serta diterima oleh Nya berbanding memohon selain kepada Nya. Dibimbangi
terjunam ke dalam.lembah kesyirikan. Oleh itu, berwaspadalah dengan setiap
ucapan kita. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan