Kesejahteraan hidup selain keharmonian masyarakat yang terjalin
antara resepi kejayaan sesebuah negara. Untuk mengiktiraf sesebuah kemajuan
negara, bukan sahaja perlu melihat dalam kerangka pembangunan fizikal negara
tetapi juga sangat penting diambil nilai kesejahteraan. Ini kerana sesebuah
kemajuan yang dibina tidak akan dapat memberikan nilai tambah dalam kehidupan
bernegara jika nilai-nilai asasi manusia yang melibatkan aspek kesejahteraan
hidup tidak diberikan penekanan yang jitu. Dalam bahasa mudah, kemodenan
sesebuah negara tidak ada makna andai rakyatnya hidup menderita dan sengsara.
Oleh itu, sesebuah negara harus dipacu dengan acuan yang kukuh bagi menjamin
kestabilan masa depan generasinya. Bagi merungkaikan hal ini, ada yang
mencadangkan agar negara dibina dengan melihat konsep dan model negara Islam.
Persoalannya, apakah wujud istilah konsep negara Islam ini serta
modelnya ? Bagaimana pula ciri-ciri yang terdapat dalam panduan Islam dan
sejauh mana keberkesanannya. Secara asasnya, istilah negara Islam tidak pernah
wujud di dalam al-Quran mahupun hadith. Malah pada zaman khalifah Islam yang
empat, istilah yang diguna pakai adalah khilafah dan bukannya daulah Islam
(negara Islam). Pada era pemerintahan baginda Nabi SAW, nama kerajaan Yasrib
tidak ditukar ke nama negara Islam sebaliknya disebut sebagai Madinah
al-Munawwarah. Setelah itu tampuk pemerintahan Islam bersilih ganti oleh
khalifah yang empat, tetap tidak diguna pakai istilah negara Islam. Konsep
negara Islam wujud dan mulai muncul apabila wujudnya blok negara kafir yang
dikenali dengan nama negara komunis, negara kapitalis dan negara sosialis.
Reaksi dan tindak balas daripada itu, maka bermulalah episod wacana mengenai
istilah negara Islam.
Selain itu, sebahagian ada yang beranggapan dan mendakwa konsep
negara Islam merujuk atau ditiru daripada model kerajaan Madinah al-Munawwarah
yang ditubuhkan oleh baginda Nabi SAW. Walhal, tanggapan seperti itu tidak
benar sama sekali. Ini kerana konteks semasa dan zaman pada ketika itu berbeza
berbanding konteks semasa dan zaman kini. Misalnya, kerajaan Madinah yang
diketuai oleh Nabi SAW tidak mewakili seluruh rakyat. Apa yang jelas, kerajaan
Madinah pada ketika itu masih mengakui kewujudan kabilah Arab yang mana
kabilah-kabilah tersebut tidak terikat dengan keputusan kerajaan Madinah. Ini
berbeza dengan sistem hari ini. Pun begitu, para ilmuan Islam berterusan
membincangkan terma yang disebut sebagai konsep negara Islam. Antara yang
terkehadapan dalam menyebutkan hal ini ialah Syeikh Muhammad Abduh, seorang
reformis di Mesir. Dalam kitabnya yang bertajuk al-'Amal al-Kamilah,
beliau menyebutkan bahawa konsep negara Islam jauh lebih baik dari bentuk
pemerintahan teokrasi Barat. Beliau turut tegas menolak konsep orang kuat
beragama diangkat sebagai asas pemerintahan.
Berkaitan negara Islam juga, seorang tokoh pemikir Mesir pula,
Mohammad Salim al-Awa berpandangan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, Imam
Hasan al-Banna telah banyak dipengaruhi oleh pemikiran Jamaludin al-Afhani dan
Muhammad Abduh sehingga beliau memperkenalkan pendekatan "Islah
Timur". Gagasan Imam Hasan al-Banna untuk membina konsep sebuah negara
Islam terus diterjemahkan olehnya dalam curahan ilhamnya dalam kitab Usul 20.
Pada usul pertama lagi, beliau menegaskan bahawa Islam adalah sistem yang
sempurna, merangkumi segenap kehidupan. Baginya segenap kehidupan itu terangkum
di dalamnya daulah (negara) dan tanah air (watan) atau kerajaan
dan umat. Perjuangan mengangkat slogan negara Islam ini tidak terhenti setakat
itu malah terus diwacanakan dan dibawa oleh tokoh gerakan Islam lain seperti
Abu 'Ala Maududi. Beliau pula mengetengahkan konsep hakimiyyah yang dilihat
mirip seperti yang dibawa oleh kumpulan Khawarij, suatu kelompok pemikiran
ekstrim. Jadi, setelah kita melihat sebahagian pandangan umum ini, apakah
reaksi Islam melalui wahyu berinteraksi akan hal ini.
Sesungguhnya konsep negara Islam yang banyak dicanangkan itu adalah
secara tidak langsung kesan dari kerangka fikir dan pemahaman yang diasaskan
oleh beberapa tokoh utama gerakan Islam pada ketika itu. Hasil daripada itu,
lahirlah suatu sistem pemerintahan yang dinamakan sebagai sistem teokrasi.
Teokrasi merupakan suatu sistem pemerintahan yang menjadikan hukum-hakam agama
sebagai dasar pentadbiran. Ungkapan teologi adalah hasil cantuman dua perkataan
bermakna iaitu "teo" (teologi) yang merujuk kepada maksud ilmu
ketuhanan (akidah) manakala perkataan "krasi" pula bermaksud
kuasa. Gabungan dua perkataan tersebut menjadikan teokrasi yang bermaksud
pemerintahan yang mendaulatkan ketuhanan dan agama. Jika dilihat kepada
kerangka pemahaman yang sebenar, konsep negara Islam bertitik tolakkan kepada
syura (mesyuarat) yang berlandaskan kehendak agama. Tetapi apa yang
dipraktikkan adalah negara yang diperintah atau dikuasai oleh orang agama.
Pada asasnya, konsep teokrasi yang dirujuk sebagai pemerintahan
oleh orang agama ditolak dan ditentang oleh Islam. Ini dapat dilihat
sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran menerusi surah al-Taubah ayat 31,
firman Allah SWT yang bermaksud :
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka
sebagai Tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera
Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan
(yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka
persekutukan.”
Berdasarkan kefahaman ayat ini, Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya,
menyebutkan bahawa 'Adi bin Hatim yang ketika itu beragama Nasrani telah datang
berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Lalu dia membaca ayat 31 surah al-Taubah.
Setelah itu, dia menjelaskan kepada Nabi bahwa orang-orang Nasrani tidak
menyembah orang-orang agama mereka. Lalu Nabi SAW bertanya bukankah orang-orang
agama mereka mengharamkan perkara yang Allah halalkan dan begitulah sebaliknya.
Lantas dia mengiyakan apa yang disebutkan oleh Nabi SAW. Kisah ini pada hakikatnya
mengajar kita bahawa Islam tidak menyeru dan menuntut penganutnya menjadikan
orang-orang agama sebagai rujukan utama. Secara tidak langsung, dapat kita
fahami bahwa tugas orang agama adalah menyampaikan apa yang terkandung di dalam
wahyu dan bukan sebaliknya menjadikan pandangan orang agama setahap wahyu.
Selain itu, berdasarkan kisah 'Adi bin Hatim ini juga, mengajar
kita tentang fitrah manusia yang tidak ada yang sempurna dan sunyi dari
melakukan kesilapan. Ini bermakna orang-orang agama meskipun ungkapan mereka
dianggap sebagai keramat dan azimat tetapi mereka juga ialah manusia yang
fitrahnya tidak terlepas dari melakukn dosa. Oleh itu, Allah menjelaskan di
dalam al-Quran bahawa sesungguhnya manusia itu dijadikan dengan sifat lemah
yang dianggap sebagai fitrah bagi sekalian manusia. Ini dapat dilihat dalam
surah al-Nisa' ayat 28, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada
kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah".
Demikianlah bagaimana boleh kita fahami melalui terma negara Islam.
Hakikatnya, teokrasi yang dianggap sebagai sebuah sistem negara beragama
tidaklah dianjurkan oleh agama Islam. Apa yang penting ialah ciri-ciri seperti
keadilan, kesaksaman, keharmonian dan lain-lain lebih mustahak dan dituntut
oleh Islam berbanding hanya sibuk meletakkan label dan dipelopori oleh orang
agama yang lemah dan bodoh dalam pentadbiran. Oleh yang demikian, konsep negara
Islam masih sentiasa terbuka untuk diperbincangkan serta wajar diperhalusi
dengan lebih baik agar jenama yang dibina kelak tidak akan mengundang fitnah,
malapetaka salah faham serta ketakukan fobia orang bukan Islam terhadap agama
Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan