Saban hari kehidupan yang sedang kita nikmati ini akan
berubah-rubah mengikut hukum alam. Sama ada perubahan tersebut secara langsung
mahupun tidak langsung, kita akan hadapinya pada waktu dan ketikanya. Sekuat
apa-pun manusia itu, tidak ada daya dan kekuatan yang dapat menahan daripada
berlakunya sesuatu perubahan tersebut. Apa yang kita boleh lihat lima tahun
dahulu, tentu sekali tidak sama dengan lima tahun yang akan datang. Usia yang
muda dan tenaga yang banyak, pastinya akan berubah menjadi semakin tua dan
lemah. Rambut yang hitam berikal mayang, pasti akan berubah warna dan
bentuknya. Bumi berputar tanpa henti, mendesak perubahan waktu siang dan malam.
Ini sebahagian hukum alam yang bukan ditentukan oleh mana-mana manusia kecuali
ada yang berkuasa mengawalnya iaitulah Allah.
Ateis merupakan suatu fahaman yang menolak kepercayaan kewujudan
Tuhan. Malah dalam pelbagai hujah penafian tersebut, andaian, kebarangkalian
selain ilmu sains dijadikan kayu ukur dalam mencari sesuatu kebenaran. Amat
dangkal sekali, apabila cubaan menafikan akan kewujudan Tuhan menggunakan teori
sains walhal segala ilmu di langit dan di bumi adalah kepunyaan Tuhan yang
berkuasa keatas segala sesuatu. Secara prinsipnya, kebatilan tidak akan dapat
menenggelamkan kebenaran. Kebenaran tidak akan terhapus dengan adanya perkara kebatilan.
Maka segala kekeliruan, persoalan dan kemusykilan yang dibangkitkan oleh para
ateis telah banyak dijawab oleh para ilmuan Islam membungkam suara kebatilan
yang telah sesat di celah-celah lorong kehidupan.
Persoalan utama yang seringkali dibangkitkan oleh golongan ateis
ialah dimanakah Tuhan ? Jika benar Tuhan itu wujud bagaimana pula dengan
keadaannya ? Bagi menjawab persoalan ini, pertama harus kita nyatakan bahawa
kewujudan Tuhan dapat dibuktikan sekiranya manusia betul-betul menggunakan akal
yang waras. Apabila akal berada di tahap kewarasan yang baik, barulah kita
dapat mengamati alam ini dengan baik. Bukti kewujudan Tuhan boleh dijelaskan
melalui pengamatan alam ini. Bagaimana langit tidak bertiang, bulan dan
matahari bersilih ganti dan sebagainya. Begitu juga dapat kita lihat pada
penciptaan manusia yang walau berjuta bahkan tak terbilang banyaknya manusia,
namun jap cari setiap dikalangan manusia tidak ada yang sama. Keajaiban ini
tentu bukan dari teori sains. Jika Tuhan tidak ada mana mungkin alam ini akan
terjadi.
Pun begitu, mereka pula akan menjawab segala yang berlaku kepada
diri manusia dan alam semesta ini terjadi dengan sendirinya. Alam yang
berubah-rubah antara siang dan malam, silih ganti matahari dan bulan adalah
kesan daripada sains. Jika begitu andaian yang diberikan, adakah logik alam ini
tercipta tanpa ada penciptanya ? Daripada sekecil-kecil benda sehingga
sebesar-besar perkara tentunya ada yang menciptakannya. Dalam perkiraan
matematik, jika kita katakan 0+0 tentu jawapannya juga adalah 0. Kiraan 0+0
tidak akan menghasilkan apa-apa angka lain kerana ianya 0. Jadi, jika alam ini
tiada yang menciptanya, bagaimana boleh alam ini terjadi dengan sendirinya.
Sekiranya perkara yang diciptakan itu datang daripada sesuatu yang tidak wujud,
maka apakah kondisi sebab-akibat yang membawa kepada penciptaannya. Jika tidak
ada sebab-akibat, tentu ianya bercanggah dengan rasional akal manusia.
Selain itu, hujah yang selalu kita dengar dari golongan Ateis ialah alam ini terjadi dengan sendirinya. Ini bermakna alam menciptakan dirinya sendiri. Persoalannya, adakah benar alam ini tercipta dengan sendirinya ? Jika kita boleh memahami perkataan "cipta" itu sendiri menunjukkan bahawa ianya tidak ada sebelum diadakan. Maka secara mudahnya, bila kita mengatakan alam ini wujud, sudah pasti alam ini pernah tidak wujud sebelum wujud dirinya. Jadi bagaimana yang tidak pernah wujud menciptakan sesuatu yang wujud ? Tentu perkara ini memeningkan kita. Begitu juga jika kita katakan seekor harimau melahirkan dirinya sendiri. Untuk mengiyakan hal tersebut, tentu sekali kita perlu menyakini bahawa harimau itu wujud sebelum dirinya dilahirkan. Mana mungkin sesuatu yang asalnya tidak wujud menciptakan kewujudan dirinya sendiri. Maka pasti ada kuasa yang menciptakan alam ini dan kuasa tersebut ialah kekuasaan Allah SWT.
Malah dalam hal penciptaan alam ini, ternyata ramai para pengkaji Barat apabila mengkaji akan sifat alam ini mengakui alam ini tidak terjadi dengan sendirinya. Ini sepertimana yang pernah dinukilkan oleh seorang saintis Barat, Andrei Linde dalam satu artikelnya bertajuk The Self-Reproducing Inflationary Universe (Scientific American ,vol 271, 1994), beliau menyebut teori Big Bang menetapkan kesemua bahagian alam semesta mengembang secara serentak (selepas ledakan). Namun, bagaimana bahagian-bahagian alam yang berbeza ini mengembang secara seimbang (synchronize) pada peringkat awal ini ? Siapakah yang memberikan arahan itu ? Demikian lontaran persoalan yang akan membuat kita akhirnya akur bahawa alam ini ada yang menciptakannya. Selain itu, Stephen Hawking juga menulis dalam bukunya berjudul A Brief History of Time, beliau menjelaskan bahawa sekiranya laju pengembangan satu detik selepas ‘dentuman besar’ itu lebih kecil, bahkan daripada satu bahagian per seratus ribu juta, alam semesta ini akan hancur sebelum ia mencapai ukuran sekarang. Ini bermakna jika alam ini terjadi dengan sendirinya sepertimana yang disebut, maka tentu alam ini hancur berkecai sebelum menjadi bentuk alam yang sebenar.
Maka setelah kita meneliti kesemua kebarangkalian tersebut,
dapatlah kita rumuskan bahawa sesuatu yang wujud itu diciptakan oleh sesuatu
yang tidak diciptakan. Ini bermakna sesuatu itu bersifat sentiasa wujud dan
padanya juga tidak ada permulaan daripada tiada kepada ada. Sesuatu yang
sentiasa wujud itu juga pastinya tiada pengakhiran kerana sifatnya yang
sentiasa ada tersebut. Sesuatu yang wujud tersebut adalah Allah SWT. Kewujudan
Allah adalah diluar kemampuan akal manusia untuk menanggapi hakikat akan
zat-Nya yang Maha Tinggi lagi Halus. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam
surah al-An'am ayat 102-103, yang bermaksud :
"Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah
Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah
yang mentadbirkan segala galanya. Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh
penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala
penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan
belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya".
Dalam catatan sejarah, para ilmuan Islam seperti Imam Abu Hanifah
pernah berhadapan dengan persoalan bukti kewujudan Tuhan. Beliau pernah ditanya
oleh sekumpulan manusia tentang hal tersebut. Lalu Imam Abu Hanifah menjawab
dirinya sedang berfikir mengenai sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan
dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan
anak-anak kapal. Ia berlayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan
sendirinya. Setelah mendengar ungkapan Imam Abu Hanifah tersebut, mereka
menyatakan adakah hal itu sesuatu yang tidak masuk akal. Maka Imam Abu hanifah
pun menyebut kamu menganggap orang yang mengatakan kapal dapat berlayar dengan
sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang
mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan
sendirinya tanpa pencipta dan pengurus?.
Begitu juga Imam Syafii apabila ditanya mengenai bukti kewujudan
Tuhan, beliau menyebutkan bahawa lihatlah daun Tut ini (mulberry leaves).
Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah,
ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan
najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini
boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?. Demikianlah
jawapan yang boleh menjawab sebahagia dogma kekeliaruan golongan ateis.
Sesungguhnya segala persoalan yang terkait dengan bukti kewujudan Tuhan akan
dapat dihadam andai manusia benar-benar menggunakan akal di tahap yang waras.
Hakikat yang tidak dapat kita nafikan. segala perjalanan hidup ini bermula dari
kejadian alam, penciptaan manusia dan pelbagai lagi keajaiban yang berlaku
tidak ada terjadi dengan sendirinya melainkan ada sesuatu yang menciptanya.
Ketahuilah bahawa sesuatu tersebut ialah Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan