Pernahkah
kita bertanya tujuan hidup di dunia ini atau hanya sekadar menjalani hidup
tanpa pernah memikirkan makna daripada penciptaan diri kita? Mengetahui makna
kehidupan membantu kita menjalani hidup lebih baik, mengenal pasti tujuan hidup
supaya lebih terarah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Wahai
orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya
apabila ia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup
sempurna."
(Surah
al-Anfal , ayat 24)
Jika
diteliti makna di sebalik penurunan ayat ini, ia memberikan suatu konsep
mengenai erti hayat atau hidup yang sebenar dalam Islam. Rasulullah SAW selaku
utusan Allah SWT menyeru orang beriman supaya menyambut seruan Allah SWT dan
Rasul-Nya. Seruan yang mengajak mereka menjalani erti hidup yang sebenar. Hidup
manusia sangat bererti memandangkan kemuncak hidup yang sejati ialah dengan
makrifat Allah (mengenal Allah SWT). Mengenal bahawa sifat ubudiyyah seorang
Muslim mestilah dipersembahkan hanya kepada Allah SWT.
Agama
adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia. Tanpa pegangan agama,
maka akan goyahlah kehidupan manusia. Malah, agama juga dapat membentuk
pandangan semesta seseorang, sesebuah masyarakat serta perilaku dan tindakan
mereka dari segi pertuturan, perilaku atau gaya hidup. Tidak dinafikan, agama
Islam mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk urusan jodoh seperti mana
ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda:
"Dikahwinkan
seorang perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kecantikannya,
kedudukan atau keturunannya dan agamanya. Maka hendaklah memilih perempuan yang
beragama, nescaya menguntungkan kamu."
Agama
dan keimanan yang kuat hendaklah diutamakan sebagai dasar pemilihan pasangan
hidup. Sebenarnya agama bukan bersandarkan kepada kelulusan semata-mata. Ia
sebenarnya menjurus sejauh mana penghayatan dan amalan seseorang terhadap Allah
SWT. Dalam institusi rumah tangga, faktor agama adalah elemen yang penting.
Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagiaan rumah
tangga seperti mengamalkan solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan suami
isteri dengan restu Allah SWT.
Suami
perlu membimbing isteri ke jalan yang diredai Allah SWT. Jika isteri lebih
bijak, tidak salah berkongsi sesuatu yang baik dengan suami supaya rumah tangga
sentiasa mendapat keberkatan. Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal
akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara asas itu menjadi tunjang dalam
pembentukan rumah tangga yang harmoni. Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah
lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu supaya tidak tersesat. Suami isteri
ibarat pakaian bagi pasangannya, yang saling menutupi, melindungi dan
memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, hiasilah pasangan dengan amalan
yang baik.
Demi
menggapai reda Allah SWT, elak berada dalam situasi keluh kesah kerana bimbang
keluh kesah adalah tanda kelemahan iman. Luaskan pelaksanaan dan penghayatan
agama kepada seluruh amalan dalam kehidupan. Moga dengan kebaikan yang kita
lakukan walaupun kecil tetapi berterusan, mudah-mudahan dapat memberikan
kebaikan dan membantu kita untuk terus memahami serta mendalami agama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan