Mahabbah
bermaksud pengorbanan, perjuangan, takwa, keadilan, kejujuran, amanah dan
bertanggungjawab. Mahabbah ada dalam jiwa setiap manusia, tidak kira orang itu
Muslim, bukan Muslim, baik atau jahat sekali pun. Mahabbah meliputi manusia
sesama manusia, manusia dengan makhluk lain dan manusia terhadap Allah SWT
Pencipta seluruh alam.
Mahabbah
boleh berlaku melalui beberapa cara iaitu ucapan, percakapan, hati, niat dan
perbuatan. Mahabbah berpandukan niat yang baik, ucapan zikir kepada Allah SWT
diikuti dengan perbuatan baik akan mendapat reda daripada Allah SWT. Kasih
sayang sesama manusia akan membuahkan mahabbah yang boleh memandu dan
membimbing mereka ke arah kebahagiaan dunia serta akhirat. Namun, mahabbah yang
lahir daripada kasih sayang terhadap seseorang disanjung sebagai idola tidaklah
memberi apa-apa erti untuk perjalanan ke akhirat kelak.
Sebagai
seorang Muslim, apa sahaja perbuatan, aktiviti atau amalan dalam kehidupan
seharian haruslah mendapat keredaan di dunia dan akhirat. Adalah mustahil
wujudnya akhirat tanpa kehidupan dunia terlebih dahulu dan tidak bererti
kehidupan dunia sekiranya tidak mengambil kira kehidupan di akhirat nanti. Untuk
mendapat reda dan kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa berusaha
melaksana serta mematuhi perintah-Nya, di samping menyanjungi Rasulullah SAW.
Umpamanya
seperti bagaimana seorang anak mendapat kasih sayang daripada kedua-dua ibu
bapa, iaitu dengan cara menuruti perintah, mendengar nasihat, tidak melakukan
perkara yang boleh membuatkan ibu bapa marah dan bersedih. Begitulah juga
halnya dengan Allah SWT, lebih lagi kita perlu melakukan perkara yang
diperintahkan dan menjauhi perkara dilarang. Untuk mendapat reda dan kasih
sayang Allah SWT, dianjurkan supaya kita melakukan amalan sunat.
Dalam
hadis qudsi, "Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Seseorang hamba sentiasa
bertaqqarub dirinya kepada-Ku, dengan amalan sunat sehingga Aku
mencintainya." (Riwayat Bukhari)
Melakukan
amalan sunat tetapi tidak melakukan perintah yang diwajibkan dan meninggalkan
larangan Allah SWT terlebih dahulu, tidak mungkin akan mendapat mahabbah
daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Tidak ada satu amalan atau perbuatan
yang afdhal melainkan melaksanakan perkara diwajibkan dulu.
Firman
Allah SWT dalam hadis qudsi:
"Tidaklah
seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku
cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya." (Riwayat Bukhari)
Setelah
amalan wajib dilakukan, barulah boleh diikuti dengan amalan sunat secara istiqamah.
Seseorang yang sentiasa melakukan ibadah sunat akan dikasihi oleh Allah SWT.
Dengan kasih sayang Allah, apa sahaja perkara yang didengar, dilihat atau
dilakukan adalah kerana Allah SWT.
Apabila
kita mendapat mahabbah daripada Allah SWT, maka Allah SWT akan memberitahu
kepada malaikat Jibril untuk mengasihi kita seperti mana dijelaskan dalam
hadis,
"Apabila
Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah SWT menyeru Jibril dengan
firman-Nya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka hendaklah engkau
mengasihinya. Jibril pun mengasihinya, kemudian Jibril mengisytiharkan kepada
sekalian penduduk langit, katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si fulan maka
hendaklah kamu sekalian mengasihinya. Dengan itu penduduk langit pun
mengasihinya, setelah itu orang yang itu dikasihi dan diberi sambutan di
bumi."
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Namun,
untuk mendapat mahabbah daripada Allah SWT, perlu dipastikan terlebih dahulu
siapakah golongan yang mengasihi kita. Sekiranya mereka adalah terdiri daripada
orang fasik dan melalaikan, sudah pasti tidak akan membawa kita kepada mahabbah
Allah SWT. Sekiranya
kita dikasihi oleh golongan yang bertakwa, ulama, mereka yang sentiasa membuat
kebaikan, dan mendekatkan diri dengan Allah SWT, maka kita juga akan mendapat
mahabbah daripada Allah SWT. Mahabbah
sebagai permata yang sangat berharga, dan sudah pasti kita tidak sekali-kali
akan meletakkan permata dimiliki pada tempat tidak sepatutnya atau
mengorbankannya pada perkara yang sia-sia. Contohnya, meletakkan mahabbah
kepada benda yang disayangi seperti kereta, perhiasan, rumah dan sebagainya
yang dibimbangi boleh menghalang kita daripada melakukan kewajipan, malah
membawa pula kita kepada kemungkaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan