Hikmah
adalah kebijaksanaan yang tertinggi merujuk kepada kejernihan akal dan
kebersihan hati seseorang Mukmin yang selalu meletakkan Allah SWT sebagai
keutamaan dalam hidup. Bahkan hikmah itu sendiri akan diperoleh bukan sahaja
melalui ilmu tetapi pengalaman serta pengajaran dalam kehidupan. Seseorang
Mukmin mempunyai hikmah yang tinggi dalam diri akan menggunakan kecerdikan akal
untuk menyusun atur kehidupan. Andai berdepan kegagalan dalam sesuatu usaha
yang dilakukan, ia dapat menerima kegagalan itu sebagai pengajaran untuk
mencari hikmah tersembunyi di sebalik kejadian yang berlaku.
Sesungguhnya
nilai hikmah bagi seorang Mukmin akan dimatangkan oleh pengalaman hidup. Sebab
itu orang yang lebih berusia atau lebih dahulu 'makan garam' dalam hidup akan
lebih jelas hikmah pertimbangan terhadap sesuatu keadaan dalam hidup mereka. Berbanding
orang muda yang kurang matang atau pengalaman, mereka kurang berhikmah dalam
mendepani pelbagai situasi kehidupan. Justeru, dalam perjalanan hidup menuju
kehidupan lebih bermakna, seorang Mukmin hendaklah mengisi dirinya dengan
kematangan.
Memiliki
akal fikiran yang berhikmah, keluasan hati serta kekuatan jiwa yang kental
supaya setiap suka duka atau pahit manis menyulami kehidupan ini sentiasa dipandu
oleh perbuatan membawa kepada kebaikan. Manusia yang melihat kesulitan atau
kekurangan dalam kehidupan dari sudut pandang penuh hikmah akan selalu terdidik
di hatinya rasa ikhlas dan sabar. Begitu juga seorang Mukmin yang sabar dan
reda menempuh ujian serta takdir yang menyakitkan, akan dapat melihat betapa
hebatnya perancangan Allah SWT. Pada setiap perkara yang menyakitkan itu akan
disulami kemanisan di hujungnya.
Seorang
yang berhikmah mempunyai kejernihan hati suci murni. Ia diperoleh melalui
hubungan pertalian dengan pemilik alam iaitu Allah SWT. Manusia yang hati dan
bibirnya sentiasa dibasahi ungkapan zikrullah kepada Allah SWT mempunyai
ketenangan luar biasa, bahkan jiwanya melihat seluruh kehidupan dari sudut pandangan
yang baik. Kejernihan hati pastinya tidak akan diperoleh tanpa latihan
berterusan membina pertalian hubungan dengan Allah SWT melalui amal ibadah
kepada-Nya. Begitu juga hati yang jernih dan bersih hasil solat taubat nasuha
kepada-Nya serta tidak sekali-kali mendekati perkara yang dilarang Allah SWT.
Nabi
Muhamad SAW beristighfar sekurang-kurangnya sebanyak 70 kali sehari kepada
Allah SWT kerana takut azab Allah SWT dan mahu meletakkan diri Baginda dalam
keadaan sentiasa mengingati Allah SWT. Sebagai Mukmin yang tidak lari daripada
melakukan kesilapan, mengingati Allah SWT dengan zikrullah dan selawat kepada
Baginda Rasulullah SAW dapat membersihkan hati serta menyelamatkan diri supaya
tidak terpedaya dengan bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia.
Hikmah
juga terdapat pada akal fikiran yang sihat dan cerdas. Seorang yang akalnya
bijaksana, waras dan matang akan memberikan pandangan yang bermanfaat kepada
orang di sekeliling. Akal yang tidak cerdik atau tidak matang tidak mampu
mendorong seseorang bertindak secara hikmah. Selain itu, setiap Mukmin
disarankan untuk mempertingkatkan kualiti diri melalui sudut pandangan yang
positif. Kekuatan dalaman akan diterjemahkan melalui perbuatan dan kata-kata
yang baik. Bersangka baik dengan Allah SWT dan sesama manusia akan membina
kekuatan diri luaran serta dalaman.
Allah
SWT mengingatkan supaya tidak bersangka buruk kerana perbuatan itu tidak
memberi kebaikan kepada manusia. Firman-Nya yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, jauhilah daripada banyak berprasangka
buruk. Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah
kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging
saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah
larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima
taubat, lagi Maha Mengasihani."
(Surah
al- Hujurat, ayat 12)
Sesungguhnya
Allah SWT Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat
kepada hamba yang melakukan kesilapan dan kesalahan. Berdoalah kepada Allah SWT
tanpa rasa putus asa kerana Allah SWT sentiasa membuka pintu rahmat untuk
setiap hamba-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan