Pepatah melayu ada menyebut buat baik berpada-pada, buat jahat
jangan sekali. Pengajaran daripada pepatah ini mengajak manusia supaya tidak
sesekali mencuba atau mempunyai niat untuk melakukan kejahatan. Kerana setiap
kejahatan itu pastinya akan mendapat pembalasan. Kata orang dahulu, buat baik
dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat. Demikian sifir dalam kehidupan
manusia. Jika mahu mendapat kebaikan, maka kita juga mestilah melakukan hal-hal
yang baik. Sebaliknya jika kita tidak suka atau tidak mahu orang berbuat jahat
kepada kita, kita pula jangan berbuat jahat kepada orang lain. Setiap perbuatan
baik buruk seseorang itu tidak akan terlepas daripada menerima pembalasan.
Islam mengajar umatnya dengan menegaskan setiap amal yang dikerjakan di dunia
pasti akan mendapat balasan di akhirat. Natijahnya, sama ada kita akan beroleh
nikmat di syurga atau sebalikna mendapat azab di neraka.
Perkataan "Neraka" pada sudut linguistiknya
berasal dari bahasa Sanskrit. Istilah neraka adalah kata asalnya dari perkataan
naraka yang membawa maksud tempat seksaan roh disucikan melalui kesengsaraan.
Menurut Kamds Dewan Edisi Keempat, perkataan neraka merujuk kepada maksud alam
akhirat yang menjadi tempat penyeksaan bagi orang-orang yang melakukan dosa
atau menentang perintah Allah SWT. Dalam Islam, neraka disebut di dalam bahasa
Arab sebagai an-Naar (النار).
Perkataan an-Naar bermaksud api yang menyala-nyala. Dalam konteks agama Islam,
neraka dimaksudkan sebagai tempat balasan dan penyeksaan yang disediakan oleh
Allah SWT untuk orang-orang yang ingkar, melakukan dosa besar serta melanggar
perintah-perintah Nya. Secara ringkasnya, neraka dapat kita fahami sebagai
suatu tempat kembalinya orang-orang yang melakukan kejahatan, dibalas dengan
penyeksaan dan kesengsaraan sesuai dengan kehendak dan kekuasaan Allah Azza Wa
Jalla.
Timbul persoalan, adakah di neraka kelak, azab api neraka berubah
menjadi kenikmatan bagi ahli neraka ? Persoalan ini timbul barangkali apabila
ada yang cuba memahami apa yang disebutkan oleh Syeikh Ibn Arabi dalam kitabnya
Futuhat. Kata beliau :
"Ahli neraka pasti akan memperoleh kurniaan Allah dan
rahmat-Nya di dalam neraka itu sendiri setelah berakhir tempoh yang seimbang
dengan masa amalan mereka, lalu mereka akan kehilangan rasa terhadap kesakitan
di dalam neraka itu sendiri".
Dalam ungkapan beliau yang lain sepertimana yang tercatat dalam
kitab al-Ma'rifah, katanya tentang azab neraka, apabila tamat tempoh
kesakitan di Jahannam disebabkan rahmat yang telah mendahului, maka kesakitan
itu diangkat daripada mereka. Demikian ungkapan oleh Ibn Arabi berkenaan azab
neraka. Pandangan oleh Ibn Arabi ini telah membuka suatu penafsiran baharu
tentang neraka dengan ada dikalangan ahli tasawuf menyebut bahawa dengan rahmat
Allah SWT, azab neraka yang menjadi seksaan para ahlinya lama kelamaan akan
berubah dan bertukar menjadi nikmat kerana telah sebati dengan kepedihan dan
kesengsaraan yang dialami oleh mereka selama di neraka. Ada juga yang cuba
untuk membuat analogi seperti kita menggaru kurap, semakin di garu semakin
terasa sedap pula. Menilai semula apa yang disebutkan oleh Ibn Arabi ini, jelas
bercanggah dengan al-Quran dan hadith bahkan kita boleh katakan pandangan ini
adalah pandangan yang batil malah jauh menyimpang dari petunjuk wahyu Allah
Jalla Wa 'Ala.
Dalam al-Quran, sudah terang lagi bersuluh apabila Allah Azza Wa
Jalla menegaskan bahawa azab neraka tersebut tidak akan diringankan bahkan
tidak akan dilakukan penangguhan. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam surah
Ali Imran ayat 87 hingga 88, di mana Allah Azza Wa Jalla berfirman yang
bermaksud :
"Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat
Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman). Mereka kekal di
dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak
diberi tempoh atau perhatian".
Begitu juga dalam surah yang sama pada ayat 77, firman Allah SWT
yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia
yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka
tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan
berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari
Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya"
Berdasarkan ayat-ayat keterangan tersebut, jelas kepada kita bahawa
neraka Allah SWT yang merupakan seburuk-buruk tempat kembalinya manusia tidak
akan ada sedikit pun nikmat bahkan Allah menjanjikan azab neraka yang amat
dahsyat pedih tidak terperi sakitnya. Selain itu, dalam hadith baginda Nabi
Muhammad SAW, baginda pernah menceritakan bagaimana seseorang manusia itu yang
ketika di dunia, dipenuhi dengan kenikmatan yang pelbagai. Lalu dirinya dicelup
dengan satu celupan ke dalam neraka, lalu ditanya apakah dirinya pernah merasai
nikmat, maka dia menjawab tidak pernah walau sekali merasai nikmat. Kisah ini
sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Anas
bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli
neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka. Kemudian dikatakan
kepadanya: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan?
Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau? Orang itu menjawab: Tidak,
demi Allah, wahai tuhanku. Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya
di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga. Lalu ditanya
kepada beliau: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang
kesusahan? Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau ? Dia menjawab:
Tidak, demi Allah, wahai tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku
dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan".
Lihatlah hanya dengan satu celupan di dalam neraka, hilang semua
segala rasa nikmat ketika berada di dunia. Ini bermakna neraka bukanlah tempat
untuk manusia beroleh nikmat. Dikalangan para ulama juga telah berlaku
kesepakatan tentang tiadanya nikmat di dalam neraka. Hal ini sepertimana yang
telah dinyatakan oleh Imam Ibn al-Arabi al-Maliki di dalam kitab al-Mutawassit
fi al-I'tiqad, beliau menyatakan bahawa tidak terdapat perselisihan dalam
kalangan umat Islam bahawa ahli neraka tidak boleh disifatkan sebagai berada
dalam kenikmatan di dalam neraka. Selain itu, Imam al-Sanusi juga menyebutkan
tentang kesepakatan para ulama mengenai perkara ini. Beliau menyebut di dalam
kitab Sharh al-Muqaddimat dengan menyatakan bahawa :
“Para rasul Tuhan Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi seluruhnya
telah bersepakat, semenjak Adam AS sehingga penutup para nabi dan penghulu para
rasul, Nabi dan junjungan kita Muhammad SAW, bahawa Allah membebankan para
hamba-Nya supaya mentauhidkan-Nya dan mengharamkan ke atas mereka syirik dalam
ketuhanan dan peribadatan kepada-Nya. Mereka juga menyampaikan daripada Tuhan
Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi bahawa sesiapa yang ditimpa perkara haram ini
iaitu syirik dalam ketuhanan dan ibadah lalu mati dalam keadaan demikian, maka
dia terhalang daripada seluruh nikmat akhirat dan kekal dalam azab yang besar
tanpa kesudahan.”
Perbahasan mengenai azab neraka dikalangan ulama ahlus sunnah wal
jamaah, sememangnya ada menyebut tentang azab terhadap golongan ahli tauhid
iaitu mereka yang berbuat maksiat tetapi tidak mensyirikkan Allah SWT. Bagi
golongan ini, azab neraka itu dijadikan sebagai penyucian dosa-dosa mereka dan
ini bukan bermaksud mereka beroleh nikmat. Mereka tetap mendapat azab yang
menyeksakan sebelum mereka diangkat semula untuk memasuki syurga Allah Azza Wa
Jalla. Bagi mereka yang kafir, golongan ini berada kekal di dalam neraka
diseksa, dilaknat dengan dijauhkan daripada mendapat rahmat Allah SWT. Maka
kesimpulannya, konsep yang digagaskan oleh Ibn Arabi yang terkenal dengan
dakwaan kebatilannya adalah sangat bercanggah dan menyimpang jauh daripada
landasan agama Islam sebenar. Berimanlah kita dengan menyakini bahawa neraka
bukanlah tempat nikmat sebaliknya merupakan tempat azab pembalasan diberikan.
Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan