Sabtu, 12 September 2026

AMALAN SELAWAT ANTARA TUNTUTAN DAN REKAAN

 

Bulan Rabiulawal adalah merupakan bulan ketiga dalam kalendar tahun Hijrah selepas bulan Safar. Rabiulawal adalah bulan yang sangat di ingati oleh seluruh umat Islam kerana pada bulan tersebut, lahirnya seorang insan yang mulia yang bernama Muhammad bin Abdullah, utusan Allah yang juga merupakan penutup kepada sekalian para Nabi dan Rasul. Selain itu, bulan Rabiulawal juga adalah bulan kesedihan umat Islam mengenangkan kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW. Kemuliaan baginda begitu terserlah dengan pelbagai keistimewaan yang Allah berikan kepada baginda dan umatnya. Antara lain keistimewaan baginda Nabi SAW ialah amalan berselawat yang padanya terpahat nama baginda dan Nabi Ibrahim beserta ahli keluarganya. Selain itu, terdapat juga dikalangan para ulama yang mereka cipta beberapa lafaz selawat yang lain dengan tujuan memuliakan baginda Nabi Muhammad SAW.

Perkataan "Selawat" adalah berasal daripada kosa kata bahasa Arab. Pada sudut bahasa, istilah selawat (صلوات) adalah kata jamak (plural) dari perkataan solat yang membawa makna doa atau seruan kepada Allah SWT. Selawat pada pemahaman bahasa difahami sebagai mendoakan atau memohon berkat kepada Allah Azza Wa Jalla dan melimpahkan rahmat Nya untuk Nabi Muhammad SAW dengan ucapan, kenyataan dan penghargaan semoga Nabi sentiasa sejahtera. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan selawat bermaksud doa kesejahteraan keatas Nabi SAW. Pada sudut syarak, menurut majoriti para ulama, makna selawat adalah rahmat dari Allah SWT, istighfar dari para malaikat dan doa dari manusia. Sebahagian para ulama pula menjelaskan secara terperinci makna selawat itu adalah pujian Allah kepada Nabi di sisi para malaikat sedangkan selawat dari malaikat pula bermaksud doa.




Perintah berselawat keatas baginda Nabi Muhammad SAW dengan jelas dinyatakan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Ahzab ayat 56, firman Allah Jalla Wa 'Ala yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat Nya berselawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

Melalui firman Allah SWT ini, jelas kepada kita menunjukkan bahawa betapa istimewanya amalan berselawat yang disyariatkan ini kerana amalan ini dimulakan oleh Allah bersama para malaikat Nya sebelum memerintahkan para makhluk Nya yang lain untuk melakukannya. Menurut Syeikh al-Maraghi dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Maraghi, beliau menyebut bahawa ayat ini berkata : "Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada baginda dengan lidahmu". Demikian pula menurut al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, beliau menjelaskan bahawa menurut Ibn Abbas RAnhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut : “Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi”.

Demikian antara sebahagian hujah yang memperlihatkan kemuliaan amalan berselawat keatas baginda Nabi Muhammad SAW. Persoalan timbul yang juga seringkali menjadi polimik dikalangan umat Islam, apakah boleh kita mencipta dan mereka-reka selawat dengan lafaz yang tersendiri ? Menjawab persoalan ini, pada asalnya hukum mencipta atau mereka-reka lafaz selawat sendiri adalah harus selagimana tidak mengandungi perkataan atau lafaz yang bertentangan dan bercanggahan dengan syarak. Dalam sebuah kitab bertajuk Sa'adah al-Darayn Final-Salat 'Ala Sayyid al-Kawnayn yang dikarang seorang ulama Syam bernama Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabhani, beliau membahagikan selawat kepada dua bahagian. Dua bahagian selawat tersebut ialah Selawat Ma'thurat dan Selawat Ghayr Ma'thurat. Secara ringkas, selawat Ma'thurat bermaksud selawat yang terdapat di dalam riwayat hadith Rasulullah SAW dengan lafaz yang disebutkan dan diajarkan oleh baginda sendiri seperti selawat Ibrahimiyyah. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim daripada Ka'ab bin Ujrah yang bermaksud :

"Ya Rasulullah, Allah telah memerintahkan kami agar berselawat ke atas kamu, maka bagaimanakah cara kami berselawat ke atasmu?

"Baginda SAW bersabda : Ucapkanlah :

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

"Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia".




Inilah Selawat Ibrahimiyyah yang menjadi selawat paling utama untuk diamalkan. Ini kerana selawat ini adalah yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat untuk kita semua contohinya. Selawat ini sangat istimewa melebihi kedudukan selawat-selawat yang lain kerana ianya datang daripada Nabi Muhammad SAW. Bahagian kedua selawat , selawat Ghayr Ma'thurat ialah bermaksud selawat yang lafaznya tidak didapati dari sabdaan Rasulullah SAW namun ia dikarang oleh orang lain selain baginda Nabi SAW setelah kewafatannya. Sebagai contoh, terdapat selawat Saidina Ali RA yang pernah di nukilkan oleh Imam Ibn Katsir dalam kitab tafsirnya, beliau meriwayatkan sebuah atsar dari Salamah al-Kindi, ia berkata bahwa Ali RA pernah mengajarkan masyarakat doa (selawat). Namun begitu Imam Ibn Katsir menyebut meski selawat ini terkenal tetapi pada sanadnya mempunyai masalah. Kata guru kami, al-Hafidz Abu al-Hajjaj al-Mizzi bahawa Salamah al-Kindi ini tidak dikenal, dan tidak pernah bertemu Ali RA. Selain itu terdapat juga selawat-selawat lain yang dikarang oleh para ulama seperti selawat Syifa' yang dikarang oleh Syeikh Hasan Abul Halawah al-Ghazi, selawat Nariyah yang dikarang oleh Syeikh Ibrahim at-Tazi dan selawat Busyro yang dikarang oleh Habib Hasan Baharun.

Rekaan selawat bukanlah bermakna membuat lafaz selawat yang baharu namun rekaan selawat merujuk kepada perbuatan menambah pujian dan doa keatas Nabi SAW. Kerana selawat itu pada asalnya doa, maka doa mempunyai keluasan ruang untuk meminta dengan menyebut apa sahaja selagi ianya tidak bercanggah dengan syarak. Hal ini sebagaimana yang pernah dibuat oleh Imam al-Syafie ketika menulis kitab al-Risalah, beliau ada menyebut selawat dengan menambah lafaz كُلَّمَا ذَكَرَكَ الذَّاكِرُونَ، وَغَفَلَ عَنْ ذِكْرِهِ الْغَافِلُونَ. Maka tambahan tersebut tidaklah bercanggah dengan syarak. Dikalangan para ulama, mereka meletakkan beberapa syarat yang mesti dipatuhi untuk mereka cipta selawat. Antara lain syaratnya ialah wajib mengiktiraf selawat Ibrahimiyyah sebagai selawat yang terbaik. Ini bermakna tidak ada yang lebih utama untuk beramal selain keutamaan beramal dengan selawat Ibrahimiyyah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Selain itu, para ulama juga meletakan syarat tidak boleh sama sekali untuk kita melekatkan sebarang fadhilat atau kelebihan yang spesifik dengan berkata sesiapa yang beramal dengan selawat ini akan dapat kelebihan tertentu. Hal tersebut dilarang oleh para ulama.




Begitu juga para ulama meletakan syarat tidak boleh mengandungi lafaz-lafaz syirik dan lafaz yang bercanggah dengan syarak. Ini juga bertepatan dengan tegahan oleh baginda Nabi SAW yang melarang para sahabat daripada melebih-lebih memuji baginda sepertimana yang pernah dilakukan oleh kaum Nasrani berlebihan dan melampau dalam memuji Nabi Isa. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Janganlah kamu sekalian berlebih-lebihan memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani berlebihan memuji Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba-Nya, maka panggillah aku dengan hamba Allah dan Rasul-Nya."

Demikianlah amalan berselawat antara tuntuan syariat dengan rekaan oleh umat manusia. Kesimpulannya, menjadi keutamaan bagi orang Islam beramal dengan sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, apa yang paling terbaik sekali ialah berpadalah kita beramal dengan selawat Ibrahimiyyah yang telah diiktiraf akan keutamaannya, kelebihannya juga ketulenannya seperti yang disebutkan langsung oleh Nabi Muhammad SAW. Pada hari kita akan dikumpulkan kelak di padang Mahsyar, apakah yang lebih beruntung melainkan dapat bertemu dengan baginda Nabi dalam kita telah menzahirkan ketaatan kita kepada baginda dengan mengikuti amalan sunnah-sunnahnya. Kita juga harus mengambil tanggungjawab untuk lebih prihatin akan kewujudan pelbagai rekaan selawat dengan memastikan tidak ada rekaan yang berdiri diatas tiang ghuluw (melampau), berlebih-lebihan sebagaimana yang telah ditegah dan dilarang oleh baginda Nabi SAW. Semoga Allah Azza Wa Jalla merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan