Anugerah terindah buat pasangan rumah tangga ialah apabila
dikurniakan cahaya mata. Menjadi fitrah setiap umat manusia yang mendirikan
rumah tangga bercita-cita untuk memiliki anak-anak. Sesungguhnya anak adalah
kurniaan Allah SWT yang menjadi tanggungjawab para ibubapa untuk mencorakan
anak ini dengan cara dan jalan yang diredai oleh Allah Azza Wa Jalla. Dengan
penuh insaf dan sedar, anak merupakan amanah yang akan dipersoalkan kelak oleh
Allah SWT. Oleh itu, setiap mereka yang diberikan zuriat oleh Nya, bermaksud
mereka juga menanggung amanah berat untuk menjadikan anak-anak ini insan yang
diredai oleh Nya. Syukurlah bagi mereka yang dikurniakan anak. Dalam Islam,
terdapat satu syariat yang disebut sebagai akikah, yang juga menjadi lambang kesyukuran
apabila dikurniakan anak.
Perkataan "Aqiqah" (العقيقة) berasal daripada bahasa Arab. Kata asal bagi perkataan
aqiqah ialah al-'Aqqu (العق)
yang bermaksud derhaka, putus atau potong. Pada asalnya ungkapan aqiqah
ialah nama bagi rambut bayi ketika lahir. Dinamakan sedemikian kerana rambut
bayi yang baru lahir tersebut dicukur atau dipotong. Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, perkataan aqiqah merujuk kepada maksud penyembelihan ternakan lembu,
kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi sebagai tanda kesyukuran kepada
Allah. Pada sudut istilah pula, syarak mendefinisikan aqiqah sebagai binatang
yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. Sembelihan bintang tersebut
dinamakan aqiqah kerana dagingnya dipotong dan dilapah. Dalam kitab al-Mausu'ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, aqiqah bermaksud penyembelihan binatang korban
sebagai tanda syukur diatas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat
tertentu.
Asas pensyariatan ibadah aqiqah ini adalah berdasarkan kepada
sebuah hadith baginda Nabi Muhammad SAW riwayat Tirmizi, daripada Samurah RA
yang bermaksud :
"Bayi yang dilahirkan itu terikat dengan aqiqahnya, disembelih
binatang untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur kepala dan diberi nama".
Begitu juga dalam hadith lain riwayat Bukhari, daripada Salman bin
Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah
darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”
Berdasarkan hadith-hadith tersebut, ianya menjadi asas kepada
pensyariatan bagi melaksanakan ibadah aqiqah. Berkait dengan hukum aqiqah, para
ulama menyatakan hukum melaksanakan ibadah aqiqah ialah sunat muakkad iaitu
perkara sunat yang sangat dituntut untuk melakukannya. Para ulama tidak
memutuskan hukum aqiqah sebagai wajib. Hal ini kerana ia melibatkan soal
pertumpahan darah binatang yang terkait pula dengan persoalan kemampuan
kewangan. Ibadah aqiqah adalah dianjurkan dengan sukarela dan tidak sehingga
sampai tahap wajib dilakukan. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada
Amru bin Syu'aib, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang dikurniakan seorang anak dan dia suka untuk
melakukan aqiqah, hendaklah melakukan aqiqah untuk anak lelaki dengan
menyembelih dua ekor kambing yang baik dan untuk anak perempuan seekor kambing
sahaja".
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa pelaksanaan ibadah aqiqah
adalah suatu yang dituntut namun tidak sehingga sampai ke tahap menjadi wajib.
Selain hukum, para ulama juga memperincikan tentang jumlah binatang yang perlu
disembelih dalam ibadah aqiqah. Pada sudut neraca sunnah, baginda Nabi Muhammad
SAW telah melaksanakan ibadah aqiqah untuk cucunya al-Hasan dengan seekor
kambing. Hal ini sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat
Tirmizi, daripada Ali bin Abi Talib RA yang bermaksud :
"Rasulullah SAW mengadakan aqiqah untuk cucunya al-Hasan
dengan seekor kambing"
Maka para ulama menyatakan sunnah apabila disembelih seekor kambing
untuk bayi lelaki dan seekor kambing untuk bayi perempuan. Namun yang afdalnya
(lebih utama) ialah dua ekor kambing untuk bayi lelaki dan seekor kambing untuk
bayi perempuan. Keutamaan ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi
Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Tirmizi, daripada Aisyah
RAnha yang bermaksud :
"Rasulullah SAW memerintahkan kami menyembelih dua ekor
kambing untuk bayi lelaki dan seekor kambing untuk bayi perempuan".
Dalam pada itu, terdapat beberapa perkara sunat yang harus
dilakukan ketika ibadah melaksanakan ibadah aqiqah. Antara lain ialah
menyembelih binatang aqiqah dengan membaca basmalah. Juga disunatkan mencukur
kepala bayi sebelum menyembelih. Selain itu, disunatkan juga memasak daging
aqiqah itu dengan sedikit manis. Ini adalah merupakan pendapat yang lebih kuat
dipegang oleh para ulama. Selain itu, afdal atau lebih utama bagi ibadah aqiqah
ialah menghantar daging aqiqah yang telah dimasak tersebut kepada orang fakir
dan miskin sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Syafie. Pun begitu, tidaklah
menjadi kesalahan sekiranya menjemput dan mengundang orang ramai datang ke
rumah bagi tujuan menikmati hidangan daging aqiqah tersebut. Begitu juga sunat
mentahnikkan mulut bayi dengan sesuatu yang manis, memberi nama kepada bayi
dengan nama yang baik dan sunat melakukan khitan.
Dalam sudut perspektif masyarakat majmuk yang terdiri daripada
pelbagai bangsa dan agama, seringkali timbul persoalan tentang apakah boleh
orang bukan Islam menjamah atau merasai daging aqiqah ? Secara prinsip,
hukum-hakam aqiqah adalah sama sahaja seperti hukum-hakam sembelihan korban.
Hal ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dalam
kitab Mughni al-Muhtaj, beliau menyatakan bahawa hukum-hakam aqiqah dari
segi jenis haiwan, umur, selamatnya daripada sebarang kecacatan dan kekurangan,
dan lain-lain adalah sama seperti hukum ibadah korban yang sunat. Ini kerana
aqiqah juga merupakan sembelihan yang disunatkan, maka ia menyerupai dan mirip
hukum-hakam korban. Oleh yang demikian, jelas kepada kita berdasarkan ungkapan
oleh al-Syirbini tersebut, secara prinsip hukum aqiqah adalah sama dan tidak
lari jauh daripada hukum-hakam berkaitan ibadah korban.
Maka bagi menjawab persoalan tentang hukum orang bukan Islam
menjamah atau merasai daging aqiqah, kita boleh lihat di dalam kitab al-Majmu',
Imam al-Nawawi menyebut bahawa Ibn Munzir telah mengatakan bahawa telah berlaku
kesepakatan iaitu dibolehkan untuk memberikan makan kepada fakir miskin dalam
kalangan umat Islam daripada hasil korban manakala yang menjadi khilafnya
(perbezaan pendapat) adalah memberikan hasil korban kepada fakir miskin dalam
kalangan ahli zimmah. Daripada ungkapan oleh Ibn Munzir ini, kita dapat melihat
berlakunya perbezaan pendapat dikalangan para ulama berkaitan hukum tersebut.
Perbezaan pandangan tersebut dapat kita lihat sebagaimana yang disebutkan oleh
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu' Syarh al-Muhazzab dan disebutkan
juga oleh Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni, terdapat empat
pandangan yang dikemukakan. Pertama, Imam Abu Hanifah memberikan rukhsah
(keringanan) bagi kafir zimmi yang fakir untuk diberikan kepada mereka daging
korban. Ini juga adalah pendapat al-Hasan al-Basri dan juga Abu Thaur.
Pandangan kedua, menurut mazhab Maliki, mereka berpendapat hukumnya
adalah makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani. Bagi mazhab
Hanbali pula, mereka berpendapat hukumnya adalah harus dihadiahkan kepada orang
kafir daripada daging korban yang sunat. Adapun yang wajib tidak dibolehkan.
Selain itu bagi pendapat terkenal dalam mazhab Syafie, hukumnya tidak
dibolehkan kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah
SWT. Berdasarkan kepada perbezaan tersebut, dapat kita rumuskan bahawa tidaklah
menjadi salah sekiranya kita menjemput rakan taulan, sahabat handai mahupun
jiran tetangga dikalangan mereka yang bukan beragama Islam kerana agama Islam
juga tidak pernah melarang umatnya daripada melakukan kebaikan sesama manusia. Demikianlah
antara sebahagian kecil penjelasan berkaitan syariat ibadah aqiqah. Hakikatnya,
ibadah aqiqah merupakan syariat yang menjadi lambang kesyukuran kita kepada
Allah yang telah memberikan kita rezeki berupa anak. Maka bagi yang
berkemampuan, usahalah untuk melakukannya agar kita benar-benar menjadi hamba
Nya yang bersyukur. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan