Rabu, 9 September 2026

JODOH ITU TAKDIR ALLAH ATAU PILIHAN MANUSIA ?

 

Apabila kita berbicara tentang persoalan yang melibatkan kehidupan umat manusia, pasti kita tidak akan dapat lari dari menyentuh sesuatu perkara yang dinamakan takdir. Takdir secara literalnya boleh kita fahaminya sebagai segala ketentuan dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah, Tuhan sang pencipta manusia. Di celah-celah kesesakan lorong-lorong kehidupan, tidak kurang ramai juga yang suka menyalahkan takdir apabila perolehi sesuatu yang dirinya tidak suka terjadi. Sebalik itu, ada pula manusia yang bangga dengan diri sendiri diatas segala kejayaan yang pada dirinya sangka semua itu terjadi hasil usahanya. Lantas manusia menjadi keliru, hidup ini pada hakikatnya tergantung pada takdir kah atau sebaliknya pada usaha diri sendiri ? Kekeliruan ini turut membelenggu para manusia apabila berbicara tentang soal jodoh. Ada yang menyangka jodoh itu takdir Allah dan ada pula yang merasa jodoh itu pilihan manusia.

Ungkapan jodoh bukanlah perkataan asing bagi diri manusia. Menurut Kamus Dewan Perdana, perkataan jodoh boleh difahami dengan tiga makna penting. Pertama, jodoh bermaksud seseorang yang menjadi imbangan, teman atau pasangan suami dan isteri. Kedua, jodoh juga boleh difahami sebagai pertemuan antara lelaki dan perempuan yang berkesudahan dengan ikatan perkahwinan. Ketiga, ungkapan jodoh juga dapat difahami dengan makna sesuatu yang secocok, sepadan, serasi yang bukan sahaja untuk manusia tetapi juga benda lain seperti makanan dan pakaian. Dalam ungkapan biasa, jodoh adalah interpretasi kepada sesuatu hubungan. Sebagai contoh, ada yang belum kahwin dan bujang, kemudiannya dia bertemu jodoh dengan seseorang, itu dinamakan jodoh. Ada pula yang sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya lalu bercerai, hal itu juga dinamakan jodoh namun bezanya adalah tempoh panjang pendek sesuatu hubungan dibina.



Bercakap tentang jodoh, barangkali ada yang kerana menunggu terlalu lama jodohnya lalu terlintas di benak fikirannya, apakah jodoh itu adalah urusan takdir Allah atau ianya adalah merupakan pilihan manusia ? Bagi menjawab persoalan ini, pertama kita kena faham dan tahu dua perkara penting. Pertama, ada perkara yang sememangnya berada di luar daripada kemampuan kita. Misalnya kita tidak boleh memilih untuk dilahirkan dalam rahim ibu yang berbangsa apa. Kita juga tidak boleh memilih warna kulit yang kita inginkan sebelum kita dilahirkan. Begitu juga kita tidak akan boleh sama sekali untuk memutar masa lalu kerana setiap detik yang berjalan adalah sejarah yang dilakar. Oleh itu, kita seharusnya sedar tentang adanya perkara yang diluar kawalan dan kemampuan kita. Perkara kedua, ada perkara yang sememangnya berada di dalam kawalan dan radar kemampuan manusia. Misalnya kita boleh memilih untuk mengubah hidup daripada malas kepada rajin, daripada gemuk menjadi kurus dan sebagainya.

Oleh itu dapat kita fahami bahawa dalam kehidupan yang bersifat sementara ini, ada hal yang tidak boleh kita kawal dan pilih dan pada masa sama ada juga hal yang boleh kita kawal dan boleh kita pilih. Maka tidaklah salah untuk kita katakan bahawa ilmu pengetahuan dan kemampuan manusia itu adalah bersifat terbatas manakala pengetahuan dan kemampuan Allah Azza Wa Jalla adalah mutlak. Sebab itu juga, di dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan bahawa tidak semestinya perkara yang disukai oleh manusia itu ialah perkara terbaik begitu juga sebaliknya tidak semestinya perkara yang dibenci itu ialah hal yang tidak baik bagi manusia. Lihatlah firman Allah Azza Wa Jalla menerusi surah al-Baqarah ayat 216, dimana Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya".




Ayat ini mengajar kita bahwa kadang dalam mehnah tribulasi hidup yang kita tempuh ini, ianya telah membawa kepada perkara yang lebih bermakna bagi diri kita. Sebaliknya dalam perkara yang kita sukai, tanpa sedar kita telah semakin hanyut dan jauh dengan Allah Jalla Wa 'Ala dek kerana terlalu leka dan asyik dengan dunia. Begitulah manusia yang serba kekurangan. Berbalik kepada persoalan utama, sesungguhnya dalam persoalan jodoh ianya termaktub sebagai perkara ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Mas'ud yang bermaksud :

"Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat: tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita...”

Namun begitu, dalam pada jodoh itu adalah ketentuan Allah, ada bab dalam soal jodoh ini sememangnya kita diberi pilihan dan kita boleh memilih. Kerana itu baginda Nabi Muhammad SAW menyebut tentang nikahilah perempuan kerana empat perkara. Ini sebagaimana yang telah direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Engkau akan bahagia.”




Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa meskipun soal jodoh itu adalah merupakan ketentuan takdir Allah, namun ada bab yang manusia sememangnya diberi kemampuan untuk kita memilih menurut secara fitrah manusiawi. Dalam pada itu, tercatat sebuah kisah seorang sahabat baginda Nabi SAW yang bernama Jabir bin Abdullah, baginda sendiri telah bertanya kepada Jabir RA tentang perkahwinan dengan isterinya sama ada berstatus anak dara atau janda. Perkara ini sepertimana yang tercatat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, telah menceritakan kepada kami Syu'bah daripada Muharib daripada Jabir bin 'Abdullah, katanya :

"Aku telah berkahwin dengan seorang wanita, lalu Rasulullah SAW bertanya kepadaku : "Adakah engkau telah berkahwin?" Aku menjawab : "Ya." Baginda bertanya : "Anak dara atau janda?" Aku menjawab : "Janda." Baginda bersabda : "Mengapa engkau tidak memilih anak-anak dara dan permainan mereka?" Syu'bah berkata : Maka aku menceritakannya kepada 'Amr bin Dinar, lalu dia berkata : Aku telah mendengarnya daripada Jabir, dan sesungguhnya baginda bersabda: "Mengapa tidak gadis muda yang boleh engkau bermain dengannya dan dia bermain denganmu?"

Berdasarkan hadith ini, jelas bahawa sahabat Nabi SAW yang bernama Jabir bin Abdullah telah memilih untuk mengahwini dengan seorang perempuan yang berstatus janda. Jabir RA sendiri yang memilih janda dan bukan anak dara. Ini bermakna meskipun bab jodoh itu adalah dibawah urusan takdir Allah SWT namun Allah SWT jua memberikan peluang kepada hamba Nya berusaha untuk memilih. Namun begitu manusia akan memilih berdasarkan kemampuan menilai yang manusia miliki. Hakikatnya Allah SWT jua lah yang lebih Maha Mengetahui kesudahan pilihan tersebut. Apakah jodoh yang kita pilih itu membawa bahagia atau sebaliknya mengundang derita ? Di masa yang akan datang, hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui. Manusia hanya berusaha memilih jodoh pada penilaian dan keyakinan yang ada pada had masa yang terbatas, selanjutnya di masa akan datang, Allah lah yang menentukan segala-galanya.

Analogi mudah untuk kita fahami, seorang manusia telah memilih untuk mematuhi peraturan jalan raya. Maka sewaktu memandu kereta, dirinya memilih untuk memakai tali pinggang keledar, mematuhi lampu isyarat, membawa kereta dengan had kelajuan yang dibenarkan namun ditakdirkan di satu persimpangan, keretanya dilanggar oleh kenderaan lain yang dipandu oleh seorang yang sedang mabuk. Maka apakah salah dirinya kerana mematuhi jalan raya, tentunya tidak. Setelah dirinya memilih yang terbaik diatas jalan raya dengan berusaha mematuhi jalan raya, kenapa masih berlakunya kemalangan ? Jawapannya ialah itulah namanya takdir. Meski kita boleh membuat pilihan terbaik pada nilaian kita namun akhirnya berbalik kepada ketentuan oleh Allah Azza Wa Jalla. Manusia mampu merancang tetapi perancangan Allah itu adalah lebih baik dan bersifat mutlak. Demikianlah sedikit penjelasan bagi menjawab persoalan mengenai jodoh pertemuan. Apa yang pasti, jodoh itu adalah takdir Allah SWT yang menuntut umat manusia untuk berusaha mencarinya dan memilih apa yang terbaik. Selebihnya berserahlah kepada Allah Azza Wa Jalla. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan