Rabu, 1 Julai 2026

SIFAT QANA'AH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

 

Lazimnya makhluk yang bernama manusia akan benar-benar menghargai sesuatu perkara apabila perkara tersebut tidak dapat dinikmati dan dirasai lagi. Begitu juga manusia akan mulai belajar menghargai seseorang apabila orang tersebut telah tiada lagi di dunia ini. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik namun itulah hakikat yang ada pada diri manusia. Setiap sesuatu yang dikatakan nikmat, adalah ujian bagi tiap-tiap manusia untuk dinilai oleh Allah SWT bagi melihat siapakah dikalangan hamba Nya yang bersyukur. Menyentuh soal syukur, Buya Hamka ada menyebut tentang kedudukan orang bersyukur itu lebih tinggi dan mulia berbanding kedudukan orang yang bersabar. Ini kerana sabar memerlukan sebab tetapi syukur perlu sentiasa ada tanpa bersebab. Ini juga bermakna sifat syukur tidak memerlukan kepada keadaan tertentu kerana kita sentiasa dituntut untuk bersyukur tanpa mengira waktu senang dan susah. Bercakap tentang syukur juga, kita tidak akan terlepas daripada menyentuh soal Qana'ah.

Perkataan Qana'ah (القناعة) berasal dari kosa kata bahasa Arab. Pada sudut bahasa, sebagaimana yang dicatat oleh Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab, ungkapan Qana'ah adalah kata terbitan bagi kata kerja (قَنِعَ – يَقْنَعُ – قُنُوعًا – قِنَاعَةً) yang merujuk kepada maksud reda. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan qana'ah membawa maksud sikap berpada-pada iaitu berpuas hati dengan apa yang ada. Dalam pada itu, perkataan qana'ah pada sudut istilahnya pula memiliki beberapa maksud yang tidak jauh bezanya antara satu sama lain. Sebagai contoh, al-Qadhi 'Iyadh menjelaskan maksud qana'ah ialah reda dengan pemberian Allah SWT. Ibn Miskawaih pula menjelaskan sifat qana'ah itu ialah mudah, tidak merumitkan. Selain Imam al-Suyuti pula berpandangan qana'ah ialah satu rasa kecukupan ketika ketiadaan perkara-perkara biasa. Ada juga yang menyatakan bahawa qana'ah ialah soal ketenangan hati dalam kehidupan. Secara rumusnya, qana'ah merupakan suatu sikap berpada-pada, berpuas hati dan reda dengan apa yang dikurniakan Allah SWT.




Memahami sifat ini, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita tentang memiliki sifat tersebut. Hal ini sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Jadilah orang yang wara’, maka engkau akan menjadi orang yang paling ahli beribadah. Jadilah orang yang qana’ah, maka engkau akan menjadi orang yang paling ahli bersyukur. Cintailah orang lain sebagaimana engkau mencintai diri sendiri, maka engkau akan menjadi orang mukmin yang baik. Berbuat baiklah kepada jiran tetanggamu, maka engkau akan menjadi orang Islam yang baik. Sedikitkan ketawa, kerana banyak ketawa akan mematikan hati.”

Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa sifat qana'ah akan mendidik umat manusia menjadi hamba yang tahu untuk bersyukur. Ianya adalah merupakan sifat yang dipuji oleh Allah dan Rasul Nya. Sehubungan itu, kita sewajarnya berusaha menanam sifat qana'ah ini di dalam diri agar kita menjadi hamba Nya yang bijak untuk bersyukur. Bercakap tentang sifat yang terpuji ini, Imam Abu al-Hasan al-Mawardi dalam kitabnya Adab al-Din wa al-Dunya, beliau telah membahagikan kedudukan sifat qana'ah itu kepada tiga tingkatan. Tingkatan pertama, apabila seseorang itu berasa puas dengan keperluan asas duniawinya dan menjauhkan dirinya daripada mencari selain dari keperluan asas ini. Kata sebahagian sasterawan : “Kadang-kadang, kesempitan lebih baik daripada kelapangan, dan kesukaran lebih baik daripada kesenangan". Tingkatan kedua pula ialah apabila berasa puas yang membawa kepada kecukupan sehingga hilang rasa berkehendak kepada lebihan dan tambahan. Manakala tingkatan ketiga pula ialah berasa kepuasan sehingga seseorang itu menerima sahaja apa yang ada, tanpa membenci apa yang diperoleh walaupun banyak, dan tidak meminta yang sukar dicapai walaupun sedikit. Ini merupakan tingkatan terendah bagi qana‘ah kerana ia berada di antara keinginan dan keengganan. Keinginan itu, kerana dia tidak menolak jika ada penambahan yang melebihi keperluannya. Manakala keengganan pula, kerana dia tidak meminta perkara yang sukar diperoleh.

Sesungguhnya mereka yang memiliki sifat qana'ah adalah dikalangan umat manusia yang berjaya. Ini kerana sifat yang mulia ini dapat mengekang diri daripada terjerat dengan perasaan tamak haloba. Dalam hal ini, Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abdullah bin 'Amru RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya berjayalah mereka yang memeluk Islam, direzekikan kecukupan, dan Allah membuatnya berasa puas dengan apa yang telah diberikan kepadanya.”




Berdasarkan kefahaman hadith tersebut, mereka yang memiliki sifat qana'ah ini disebut sebagai golongan yang berjaya. Ini kerana Allah Azza Wa Jalla telah menjadikan dirinya berasa puas hati dengan merasa sentiasa cukup dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Ini juga membuatkan dirinya tidak meminta-minta pada perkara yang berlebihan. Selain pada itu, barangkali ada yang terfikir jika bersifat qana'ah itu bermaksud merasa sentiasa cukup, maka mengapakah baginda Nabi mengajar kita berdoa dengan memohon kekayaan ? Perkara seperti ini dilihat seperti bertembung dengan anjuran untuk kita bersikap qana'ah. Doa tersebut sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Tirmizi dan lain-lain, Rasulullah SAW mengajar doanya yang bermaksud :

“Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Menjawab persoalan tersebut, perkataan "kekayaan" dalam doa yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW itu bukanlah bermaksud kekayaan bersifat material iaitu wang dan harta, tetapi merujuk kepada makna kekayaan jiwa. Sesungguhnya melalui doa tersebut, baginda Nabi Muhammad SAW mengajar kita berdoa memohon kekayaan kepada Allah iaitu kekayaan jiwa dan bukannya kekayaan harta. Ini kerana apabila jiwa seseorang itu telah kaya maka dirinya tidak akan lagi berkehendak atau berkeinginan kepada kekayaan harta yang dimiliki oleh orang lain. Demikianlah hakikat sebenar. Maka tidaklah keterlaluan untuk kita katakan bahawa sifat qana'ah secara langsung menjadikan jiwa kita sentiasa tenang dan damai selain tidak punyai sikap iri hati dan dengki walau sedikit terhadap mereka yang dikurniakan rezeki yang lebih. Memetik satu ungkapan kata hikmah yang dinisbahkan kepada Ibnu 'Abbas, dinukilkan dalam kitab al-'Iqd al-Farid, beliau menyebut sifat qana'ah itu merupakan harta yang tidak akan habis. Ungkapan ini jelas memberi isyarat bahawa sifat qana'ah itu memiliki harga dan nilai yang tinggi, yang padanya tiada tolak gantinya dengan kekayaan wang ringgit dan segala isi kemewahan.




Sifat qana'ah mengingatkan kita tentang ungkapan mulia oleh Imam al-Syafi'i sebagaimana yang tercatat dalam Diwan al-Imam al-Syafi'i, beliau menyebut yang bermaksud :

"Hamba itu merdeka selama mana dirinya bersifat qana'ah. Sebaliknya orang merdeka menjadi hamba selama mana tamak. Maka berqana'ahlah dan jangan tamak".

Selain itu, Muhammad al-Kattani menyebut dalam kitab al-Risalah al-Qusyairiyah dengan beliau menyatakan sesiapa yang menjual loba dengan qana'ah, maka dia akan memperoleh kemuliaan dan harga diri. Juga telah berkata Abu Bakar al-Maraghi, beliau menjelaskan orang yang berakal sihat adalah orang yang mengatur urusan dunia dengan sikap qana’ah dan memperlambat diri (kerana sentiasa mengambil pertimbangan akhirat), dan dia mengatur urusan akhirat dengan sikap loba dan mempercepat, serta mengatur urusan agama dengan ilmu dan ijtihad. Demikianlah beberapa ungkapan mutiara yang benar-benar memberi hikmah kepada kita. Islam bukanlah agama yang menentang usaha mencari kekayaan. Dalam sejarah terpanjang umat Islam, ternyata wujud beberapa tokoh hartawan Islam yang berjaya dan beriman kepada Allah, antaranya Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan juga Abu Bakar al-Siddiq. Ini adalah antara sebahagian individu yang kaya namun tetap bersikap qana'ah, tidak tamak dan suka bersedekah berkongsi nikmat dengan yang lain. Ini bermakna Islam tidak benci dan anti kepada kekayaan, sebaliknya Islam mengajar kita untuk tidak bersikap tamak dan sentiasa merasa tidak cukup kerana itulah senjata halus yang dimiliki oleh syaitan dan iblis untuk merosakan umat manusia. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan