Isnin, 31 Januari 2022

SYARIAT ISLAM : YANG ZAHIR DAN BATIN

 

Umumnya kita ketahui bahawa hidup beragama ini bukanlah berpandukan kepada citarasa dan pandangan kita. Ianya adalah berdasarkan apa yang diturunkan oleh Allah Azza Wa Jalla kepada para hamba Nya. Pada masa sama, kita juga perlu mentaatinya dalam segenap hal sama ada hal itu berkaitan suruhan dan perintah Nya atau sebaliknya larangan dan tegahan Nya. Kedua-duanya kita wajib dengar dan taat akannya.

Disebalik pensyariatan, para ulama bersepakat menyatakan bahawa setiap titah perintah Allah SWT sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan, ianya terbahagi kepada dua. Pertamanya, suruhan yang berkait dengan perkataan dan perbuatan yang zahir. Misalnya seperti syariat puasa pada bulan Ramadan, zahirnya kita perlu menahan diri daripada makan dan minum di siang hari, juga kita dituntut untuk menahan diri daripada melakukan hal yang boleh membatalkan puasa. Ianya syariat yang memerlukan pembuktian melalui apa yang terzahir dari perbuatan dan perkataan.




Adapun yang keduanya, terdapat suruhan berbentuk syariat yang berkait dengan perkara batin yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Misalnya seperti suruhan untuk ikhlas, tawadhuk, zuhud, cinta dan benci kerana Allah dan sebagainya. Perkara ini tidak dapat diukur dan dihukum secara jelas melainkan apa yang terzahirnya sahaja. Kita tidak mungkin boleh menentukan paras atau tahap keikhlasan seseorang, juga mustahil bagi kita untuk memastikan sama ada cinta dan bencinya seseorang kepada sesuatu perkara kerana Allah atau sebaliknya, melainkan apa yang boleh dilihat sahaja. 

Demikian juga larangan yang diperintahkan oleh Allah SWT, ianya terbahagi juga kepada dua. Ianya ada larangannya yang bersifat zahir. Misalnya, seperti larangan berzina, mencuri, mengumpat dan sebagainya. Larangan seperti ini memerlukan kepada perbuatan dan perkataan yang zahir. Adapun larangan kedua, larangan yang bersifat batin, iaitu seperti larangan bersikap riyak, ujub, sombong dan sebagainya. Ianya susah untuk diukur kerana hal itu melibatkan soal hati dan jiwanya. Hanya empunya diri sahaja yang mengetahui hakikat sebenar dirinya sendiri. Oleh kerana itu, kita selalu diperingatkan agar tidak menjadi "Tuhan" untuk menentukan syurga dan neraka seseorang.

Oleh yang demikian, Islam merupakan sebuah agama yang sempurna yang bukan sahaja mendidik diri secara fizikal semata-mata, malah Islam juga mendidik umatnya untuk menjaga juga apa yang tersembunyi dalam diri. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al An'am ayat 120 yang bermaksud :

"Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas berdasarkan perkara yang mereka telah lakukan"

Demikian juga firman Allah yang lain, menerusi surah al An'am ayat 151, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Katakanlah : "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) berbuat baik kepada ibubapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberikan rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu menghampiri kejahatan-kejahatan, yang terang daripadanya dan yang tersembunyi"




Berdasarkan firman Allah ini, cukup bagi kita memahami bahawasanya agama bukan sahaja tentang soal berapa rakaat kita solat, tidak sekadar berapa hari kita berpuasa, bahkan agama juga terkait rapat dengan apa yang terkandung dalam bicara hati dan jiwa manusia itu sendiri. Allah SWT tidaklah berkehendakkan kepada ibadah kita semata-mata. Jauh lebih besar dari itu adalah Allah melihat dan menilai sejauh mana keikhlasan kita dalam menuruti titah suruhan dan larangan Nya.

Dalam keadaan kita ghairah melakukan ibadah yang memerlukan kita menzahirkan perbuatan dan perkataan kita, Allah Azza Wa Jalla mengingatkan agar tidak tergelincir dalam ibadah. Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi ayat 110, yang bermaksud :

"Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mensyirikkan (mempersekutukan) sesiapa pun dalam ibadat kepada Tuhannya"

Hal ini bermakna di sisi Allah SWT, sesuatu amal soleh yang dilakukan oleh kita, tidak membawa apa-apa makna melainkan kita melaksanakannya dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT. Oleh itu, kita bukan sahaja disyariatkan untuk membersihkan diri dengan apa yang terzahirnya sahaja malah sebaliknya Allah juga mensyariatakan kita untuk membersihkan hati dan jiwa kita dari sebarang dosa yang tersembunyi seperti riyak, ujub dan selainnya. Seperti firman Nya dalam surah al Syams ayat 9-10 yang bermaksud :

"Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkannya. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menutupinya (dengan kekotoran maksiat)"

Juga baginda Nabi SAW telah menyatakan hal yang sama dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Ibnu Majah yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa-rupa kalian, dan tidak melihat kepada jasad-jasad kalian. Tetapi Dia melihat kepada hati kalian"

Oleh yang demikian, sebagai peringatan untuk kita bersama, marilah kita melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dengan segala semangat zahir dan batinnya. Memahami setiap tuntutan syariat, akan menjadikan kita semakin bertaqwa dan beriman kepada Allah. Kerana sesungguhnya setiap syariat yang diturunkan kepada manusia memerlukan mujahadah atau usaha perjuangan secara zahir dan batinnya. Apabila ini dapat kita maknai bersama, segala kelazatan ibadah akan terhimpun pada diri kita. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan