Sememangnya
undang-undang dibuat dan dilaksanakan bertujuan untuk memberikan didikan dan
pengajaran kepada mereka yang telah melanggar garis panduan peraturan.
Undang-undang juga digubal bertujuan untuk mendisplinkan diri manusia yang lain
agar menjadi manusia yang berguna pada orang lain. Melalui undang-undang yang
dikuatkuasakan, sekurang-kurangnya telah menimbulkan ketakutan kepada semua
pihak.
Dari
satu aspek yang lain, membuat undang-undang adalah salah satu usaha baik untuk
mengekang sesuatu masalah daripada berlaku. Namun disebalik penguatkuasaan
undang-undang yang terkandung dalam pelbagai akta dan enakmen, satu perkara
yang mesti kita lihat semula adalah tentang soal moral terutamanya membabitkan
perasaan malu dan takut pada diri seseorang.
Dalam
sebuah hadith sahih riwayat Imam Bukhari, daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin 'Amr
al Ansari al Badri RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Perkara
yang dikenal pasti oleh manusia daripada kalam kenabian yang pertama adalah
apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu mahu".
Berdasarkan
hadith ini, dapat kita fahami dalam dua makna utama. Pertamanya, baginda Nabi
SAW memerintahkan kita agar malu kerana sifat malu tersebut akan menghalang
kita daripada melakukan perkara yang boleh mencemarkan maruah kita. Juga dengan
perasaan malu tersebut, ianya dapat mencegah kita daripada melakukan hal
kemungkaran kerana malu pada Allah.
Kedua,
melalui makna hadith ini, juga dapat fahami bahawa baginda Nabi SAW menyuruh
kita untuk tidak malu melakukan sesuatu perkara sekiranya perkara tersebut
tidak menyanggahi syarak. Bahkan sebaliknya jika perkara tersebut lebih
menepati kehendak sunnah, maka tanpa rasa malu, maka buatlah kerana ingin
menegakkan syiar agama Allah.
Oleh
itu, makna yang pertama berdasarkan hadith tersebut boleh kita simpulkan bahawa
manusia yang hari ini hanya Islam pada nama tetapi tidak pada praktikal
kehidupan, sudah mulai tercabut perasaan malu untuk melakukan kemaksiatan. Maka
tida hairanlah jika ada yang hari ini tida berasa malu menayangkan kecantikan
dan aurat isteri dikhalayak awam. Berdalilkan "normal", kita sudah
mulai hilang perasaan malu dan terhakis perasaan sensitif kita pada suruhan dan
larangan agama.
Kemungkaran
pada sudut syarak kini sudah dilihat normal pada kacamata masyarakat. Oleh
kerana yang demikian, gambar mesra suami isteri ditayang di media sosial tanpa
rasa bersalah dan berdosa. Menambah penyedap rasa, kami sudah halal. Apa
salahnya. Inilah barah kejahilan yang sedang memakan diri. Sekalipun
"halal" untuk dipeluk cium dan bermesra, ianya bukan tiket untuk kita
menayangkan semuanya. Mudah cerita, hal kemesraan suami isteri biarlah
tersimpan erat dalam sanubari. Itu yang lebih hakiki.
Begitu
juga dengan perbuatan rasuah, kerana hilangnya sifat malu dan takut kepada sang
Maha Melihat, habis semuanya dilanggar halal haram asalkan dapat mengenyangkan
nafsu serakah yang tidak sudah. Takutnya kita kepada undang-undang sudah tiada
lagi. Apatah lagi takut kita pada ancaman sang Pencipta kita, Allah SWT. Dalam
surah Ali Imran ayat 175, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya
mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan
teman-teman setianya, kerana itu janganlah kamu takuti kepada mereka, tetapi
takutlah kepada kepada Ku, jika kamu orang-orang beriman".
Berdasarkan
firman Allah, manusia apabila tidak takut kepada Allah maka apalagi yang akan
berdampinginya melainkan syaitan yang mengajak kepada kemungkaran dan
kemaksiatan. Oleh kerana itu, apabila perasaan takut mulai tercabut, yang haram
menjadi halal, asalkan ianya menguntungkan. Perasuah dan penerima rasuah,
kedua-duanya sudah mulai hilang perasaan malu dan takut kepada Allah, apatah
lagi hilang sudah perasaan malu dan takut kepada manusia dan undang-undang.
Walhal,
jika kita lihat terdapat pelbagai usaha dan kempen yang dijalankan untuk
memerangi rasuah. Tidak cukup dengan itu, dijemput pula para asatizah bercakap
perkara yang sama berkenaan ancaman dan laknat kepada mereka yang terlibat
dengan rasuah tanpa jemu meski berulang-ulang kalinya. Tetapi kita masih gagal
mendidik diri kita akan perasaan malu dan takut kepada Allah. Benarlah, semakin
besar kedudukan maka semakin besarlah seleranya yang perlu dipenuhi sehingga
yang haram pun disebatnya.
Apabila
ayat-ayat al Quran dan hadith sekadar di bibir, di majlis-majlis rasmi
kerajaan, di program agama sana sini, di kaca televisyen, di radiokerajaan dan
swasta, tetapi tidak disemat di dalam dada, maka yang tinggal hanya hukum hakam
dan undang-undang. Yang ada hanyalah waktu dan peluang untuk melakukan
kemungkaran. Akibat hilang malu dan takut, mata menjadi kelabu, tenggelam dalam
permata berlian tipu daya dunia belaka.
Semakin
moden dunia hari ini, secara tidak sedar semakin hancur masyarakat apabila
barah kejahilan memuncak-muncak memuntahkan perbuatan yang normal di sisi umum
tetapi berdosa di sisi syarak. Rasuah sudah menjadi parah. Dari sekecil-kecil
bilis hinggalah sebesar-besar jerung, semuanya harus di bawa kemuka keadilan.
Sekalipun kita sudah mulai hilang rasa malu dan takut pada manusia,
sekurang-kurangnya malu lah dan takut lah kita kepada Allah, hakim mutlak di
hari pengadilan kelak. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan