Hakikat yang tidak dapat kita nafikan ialah tentang soal
perkongsian hidup manusia di alam ini dengan para makhluk yang lainnya. Baik
makhluk secara zahir yakni yang boleh dilihat dengan jelas seperti pokok,
tumbuhan dan haiwan mahupun makhluk yang tidak dapat dilihat secara fizikal
oleh manusia seperti jin, iblis dan syaitan. Kita semua yang digelar sebagai
makhluk berkongsi alam dunia yang sama tetapi memiliki dimensi yang
berbeza-beza dengan makhluk lain yang bergelar jin. Maka tidak peliklah untuk kita
katakan bahawa di alam ini adanya makhluk lain yang hidup seperti kita, makan
dan minum, berkahwin dan beranak-pinak sama seperti kita namun keberadaanya di
alam ini tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Pun begitu, oleh kerana
kewujudan makhluk ini pada sisi ghaib, maka al-Quran dan hadith menjadi panduan
rujukan umat manusia bagi mengenali dan memahami makhluk ini.
Perkataan "Jin" merupakan kosa kata
daripada bahasa Arab. Dalam pada kita menyelusuri maksud perkataan jin ini, di
dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa istilah jin
berbeza dengan perkataan insan. Lafaz Waajanahu (وأجنه) bermaksud apabila dilindungi sesuatu. Dan bagi setiap
sesuatu yang tertutup daripada kamu maka sesungguhnya dinamakan al-junna
(جن) iaitu dilindungi yakni tidak boleh
dilihat daripada kamu. Ibnu Manzur menjelaskan dinamakan al-Jin kerana
terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin
dilindung daripada pandangan ia daripada perut ibunya. Pada sudut lafaznya,
perkataan jin berakar dari perkataan jann (جنن)
yang bermaksud tertutup, tersembunyi atau terlindung. Selain itu, menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat, perkataan jin merujuk kepada makna makhluk Allah yang
diciptakan Allah daripada api. Maka secara ringkasnya, perkataan jin merujuk
kepada maksud tertutup, terlindung, tidak ternampak dan yang seumpama
dengannya.
Sebelum kita menjawab persoalan utama ini, harus kita fahami dahulu
beberapa perihal yang berkaitan makhluk yang bernama jin ini. Sepertimana
dikalangan manusia, ada yang beriman dan ada yang kafir. Dalam kalangan manusia
yang beriman pula, ada yang soleh (baik) dan sebaliknya ada yang tidak soleh.
Begitu juga pada mereka yang bergelar jin. Dikalangan jin, ada yang beriman
kepada Allah Azza Wa Jalla dan ada juga yang tidak beriman. Ada yang baik dan
ada juga yang jahat. Hal ini sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT
berkaitan pengakuan yang dibuat oleh mereka sendiri tentang hakikat diri
mereka. Di dalam surah al-Jin ayat 11, yang bermaksud :
"Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh
dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh
jalan yang berbeza-beza".
Oleh kerana itu, ada dikalangan mereka yang dikenali sebagai Jin
Islam dan ada pula yang digelar sebagai Jin Kafir. Selain itu, hakikatnya
golongan iblis dan syaitan adalah merupakan golongan yang berasal dari kalangan
jin. Namun bukanlah semua jin itu adalah iblis dan syaitan. Bagi golongan jin,
pada hari akhirat kelak mereka akan diadili sama seperti umat manusia yang
lainnya. Akan diperhitungkan segala amal baik dan buruk lalu akan dihukumkan
oleh Allah SWT. Ini berbeza dengan golongan iblis dan syaitan dimana Allah SWT
telah menjanjikan tempat pulang mereka ini adalah di neraka dan kekal di
dalamnya sampai bila-bila. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menjelaskan
beberapa ciri fizikal yang ada pada jin. Antaranya jin memiliki hati, mata dan
telinga. Ini berdasarkan firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-A'raf
ayat 179 yang bermaksud :
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam
kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak
dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata
(tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan
mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar
(ayat-ayat Allah)."
Demikian antara sebahagian perihal yang menceritakan tentang
hakikat makhluk yang bernama jin. Menjawab persoalan utama yang sering berlegar
di fikiran kita iaitu adakah boleh jin menyembunyikan atau menculik manusia ?
Jawapannya ialah boleh berdasarkan beberapa petunjuk melalui hadith baginda
Nabi Muhammad SAW. Pertamanya, tercatat suatu kisah dimana para sahabat Nabi
SAW tercari-cari baginda pada suatu malam. Tetapi mereka tidak menemui baginda.
Maka ada dikalangan sahabat baginda Nabi menyangka kemungkinan baginda diculik
oleh jin. Kisah ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat
Muslim, daripada Alqamah ibnu Mas'ud RA beliau berkata yang bermaksud :
"Aku bertanya kepada Abdullah ibnu Mas’ud RA, “Apakah
Rasulullah SAW membawa seseorang dari kalian di malam jin?” Ibnu Mas’ud r.a.
menjawab, “Tiada seorang pun dari kami yang menemaninya, tetapi kami merasa
kehilangan beliau di suatu malam di Mekah, maka kami mengatakan, ‘Beliau
diculik.’ Aku merasa curiga, dan kami tidak dapat memikirkan apa yang harus
kami perbuat.” Ibnu Mas’ud melanjutkan kisahnya, bahawa malam itu kami jalani
dengan perasaan tidak menentu. Dan ketika malam menjelang Subuh atau di waktu
sahur, tiba-tiba kami melihat baginda SAW dalam kegelapan datang dari arah
Hira. Lalu kami berseru, “Wahai Rasulullah!” Kemudian kami menceritakan
kepadanya perihal kecemasan kami terhadap baginda selama baginda tidak bersama
kami. Maka baginda SAW menjawab : "Sesungguhnya telah datang kepadaku
utusan dari jin, maka aku temui mereka dan kubacakan (Al-Qur’an) kepada mereka.
Kemudian Nabi SAW pergi dan memperlihatkan kepada kami bekas perapian mereka
dan jejak-jejak mereka."
Berdasarkan hadith ini, menjelaskan kepada kita bahawa baginda Nabi
Muhammad SAW pernah hilang seketika daripada pandangan manusia yang lain kerana
pergi berdakwah kepada bangsa jin. Dan kehilangan baginda Nabi tersebut telah
menimbulkan keraguan dan syak wasangka sehingga ada yang beranggapan bahawa jin
telah menculik Nabi. Ini menunjukkan bahawa jin mampu dan boleh menghilangkan
seseorang manusia daripada penglihatan dan pandangan manusia lain. Selain itu,
juga terdapat satu kisah lain mengenai seorang lelaki yang telah lama hilang di
zaman Umar bin al-Khattab. Kisah ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah
hadith riwayat al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani, daripada Abdul Rahman
bin Abi Laila katanya yang bermaksud :
“Seorang lelaki daripada golongan Ansar, keluar untuk menunaikan
solat Isyak bersama kaumnya, lalu dia diculik oleh jin dan hilang tanpa jejak.
Isterinya kemudian datang kepada Umar bin al-Khattab RA dan menceritakan kisah
tersebut. Lalu Umar bertanya kepada kaumnya tentang lelaki itu, dan mereka
berkata: "Ya, dia keluar untuk solat Isyak, kemudian dia hilang."
Maka Umar memerintahkan agar isterinya menunggu selama empat tahun. Apabila
tempoh empat tahun berlalu, wanita itu kembali kepada Umar dan memberitahunya
bahawa suaminya masih tidak muncul. Umar sekali lagi bertanya kepada kaumnya,
dan mereka mengesahkan perkara yang sama. Maka, Umar membenarkan wanita itu
untuk berkahwin dengan lelaki lain, lalu wanita itu pun berkahwin. Tidak lama
selepas itu, suami pertamanya kembali dan membawa kes ini kepada Umar bin al-Khattab
RA membuat aduan. Maka Umar berkata: "Seseorang daripada kalian hilang
dalam tempoh yang begitu lama, sehingga keluarganya sendiri tidak tahu sama ada
dia masih hidup atau sudah mati?" Lelaki itu menjawab: "Saya
mempunyai alasan, wahai Amirul Mukminin!" Umar bertanya: "Apakah
alasanmu?" Lelaki itu berkata: "Saya keluar untuk solat Isyak, lalu
jin menculik saya. Saya tinggal bersama mereka untuk satu tempoh yang sangat
lama. Kemudian, sekumpulan jin mukmin (atau Muslim, perawi (Sa‘id) ragu-ragu)
berperang melawan mereka. Jin mukmin itu menang dan menawan sebahagian jin yang
kalah, termasuk saya. Ketika mereka melihat saya, mereka berkata: 'Kami melihat
bahawa kamu seorang Muslim, dan tidak halal bagi kami untuk menawanmu.' Maka
mereka memberi saya pilihan, sama ada saya mahu tinggal bersama mereka atau
kembali kepada keluarga saya. Saya memilih untuk pulang. Mereka pun bergabung
dengan saya membawa saya pulang. Pada waktu malam, mereka tidak berbicara
dengan saya, tetapi pada waktu siang, saya hanya mengikuti tongkat untuk
memandu saya pulang." Maka Umar bertanya kepadanya: "Apa makananmu
selama bersama mereka?" Lelaki itu menjawab: "Kacang kuda, dan
makanan yang tidak disebut nama Allah padanya." Umar bertanya lagi:
"Apa minumanmu?" Lelaki itu menjawab: "Al-Jadaf." Qatadah
menjelaskan bahawa al-Jadaf ialah minuman yang tidak ditutup. Lalu Umar
memberikan pilihan kepada lelaki itu, sama ada mengambil kembali mas kahwin
(mahar) yang diberikan kepada isterinya atau menerima isterinya kembali sebagai
isterinya."
Demikianlah sebahagian kisah berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW
berkaitan jin boleh menculik atau menyembunyikan manusia. Pada zaman realiti
hari ini, tidaklah pelik kejadian misteri kehilangan orang di hutan, di laut
atau dimana sahaja dikaitkan dengan makhluk yang bernama jin. Namun begitu,
janganlah pula kita bersikap terlalu simplistik tanpa berusaha mencari orang
hilang hanya kerana menyangka telah disembunyikan oleh jin. Dalam pada kita
berusaha mencari orang hilang, janganlah kita melakukan perkara-perkara syirik
dan khurafat walau tujuannya baik untuk membantu. Kerana di dalam Islam, tujuan
yang baik tidak akan menghalalkan cara yang tidak baik. Kesimpulannya, makhluk
yang bernama jin sememangnya boleh dan mampu menculik atau menyembunyikan
manusia. Dalam pemahaman masyarakat alam nusantara, jin yang menculik manusia
tersebut dikenali sebagai bunian. Walhal, bunian hanyalah nama semata-mata yang
bersifat setempat namun hakikatnya kerja tersebut dilakukan oleh makhluk yang
bernama jin. Kemampuan serta kebolehan mereka ini tentunya berlaku dengan izin
Allah Azza Wa Jalla. Maka berusaha serta berserah lah kepada Allah dan jangan
sesekali terpesong ke jalan kesyirikan. Semoga Allah merahmati kita semua.


















