Isnin, 26 Oktober 2026

ISU ROHINGYA ANTARA KEMANUSIAAN DAN KESELAMATAN NEGARA

Konflik penafian kewarganegaraan antara yang dilihat sebagai punca utama yang mendorong tindakan rejim Myanmar terhadap golongan etnik Rohingya. Akibat daripada isu tersebut, terjadilah episod pelarian warga Rohingya meminta bantuan dan pertolongan ke serata negara tidak terkecuali Malaysia juga. Menurut pelbagai sumber laporan antarabangsa, tindakan keganasan dan pengusiran besar-besaran terhadap etnik Rohingya yang digerakan oleh rejim Myanmar dianggap sebagai suatu usaha pembersihan etnik yang tidak bertamadun. Rentetan daripada episod pengusiran tersebut, tidak kurang ramai juga warga dunia yang menzahirkan rasa simpati dan memprotes tindakan tidak bertamadun oleh rejim Myanmar. Keadaan yang semakin menekan juga telah membuatkan Malaysia membuka pintu sempadan menghulurkan bantuan dan memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya. 

Sejarah Rohingya bermula dari awal kurun ke 7 di negeri Arakian, sebuah wilayah yang terletak di sebelah barat negara Myanmar. Negeri Arakian atau kini dikenali dengan nama Rakhine menjadi penempatan bagi pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam. Orang Rohingya memiliki fizikal, bahasa dan budaya seperti orang Asia Selatan terutamanya orang Benggali. Malah menurut kumpulan data dinyatakan sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah berasal dari keturunan Arab, Parsi dan Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa pemerintahan Empayar Mughal. Dalam satu laporan antarabangsa yang diterbitkan oleh Amnesty International, dinyatakan bahawa etnik Rohingya terus menerus menderita kesan daripada pencabulan hak kemanusiaan yang dilakukan oleh junta Myanmar sejak pada tahun 1978. Ekoran daripada tekanan tersebut, sebahagian besar etnik Rohingya telah mengambil keputusan untuk melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh.




Kemasukan warga etnik Rohinhya ke Malaysia telah berlaku sejak akhir tahun 1980 selepas kerajaan junta Myanmar membatalkan hak kerakyatan mereka melalui Undang-Undang Kerakyatan 1982. Kedudukan geografi Malaysia yang tidak berkongsi sempadan darat dengan negara Myanmar menyebabkan warga etnik Rohingya memasuki Malaysia secara haram dengan menggunakan jalan laut dan udara. Keadaan yang semakin mendesak dan meruncing telah mendorong mereka untuk sanggup membayar kepada sindiket penyeludupan manusia untuk menaiki bot usang meredah Teluk Benggala dan Laut Andaman sebelum mendarat di persisiran pantai utara tanah air. Selain itu melalui jalan darat, mereka dibawa masuk secara haram oleh sindiket penyeludup melintasi sempadan darat Thailand melalui lorong-lorong tikus untuk memasuki sempadan Malaysia. Kemuncaknya, pada tahun 2015, ribuan pelarian etnik Rohingya terkandas di lautan Andaman selepas ditinggalkan oleh tekong bot. Keadaan ini menyebabkan kerajaan Malaysia atas dasar kemanusiaan membenarkan mereka mendarat bagi tujuan pelindungan sementara.

Menurut perundangan negara Malaysia, mereka yang terdiri daripada warga etnik Rohingya diklasifikasikan sebagai Pendatang Asing Tana Izin (PATI) kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951. Oleh itu warga etnik Rohingya yang menetap di Malaysia dibenarkan berada di Malaysia atas faktor kemanusiaan antarabangsa. Kebanyakan mereka adalah pemegang kad pelindungan sementara daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Sejak tahun 80-an hingga sekarang, kemasukan mereka ke negara Malaysia dilihat semakin bertambah dan mulai mendominasi beberapa sektor ekonomi yang jelas menggugat kedudukan perniagaan tempatan. Bukan itu sahaja, suara keresahan dan kebimbangan oleh penduduk setempat juga mulai kedengaran ekoran beberapa kes jenayah yang melibatkan warga etnik ini dicatatkan. Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Jun 2026, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata sejumlah 300 etnik Rohingya ditahan selepas didapati terlibat dalam 192 kes pelbagai jenayah bagi tempoh 2025 hingga Mei 2026.

Berita di Kemaman, Terengganu pula telah menggemparkan negara apabila polis telah menahan tiga lelaki berketurunan Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di kawasan Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai. Kes berkenaan menjadi tular apabila tersebar gambar dan video melibatkan perhimpunan orang ramai di hadapan flat tersebut. Melihat kepada perkembangan yang berlaku, jelas terpancar suara kerisauan oleh kebanyakan rakyat tentang kebanjiran warga asing khususnya etnik Rohingya di Malaysia. Apa yang merungsingkan lagi, kebanjiran peniaga-peniaga jalanan yang terdiri daripada etnik Rohingya, kedai-kedai runcit mulai dikuasai dan begitu juga pasar-pasar borong yang mulai dibanjiri oleh etnik ini. Persaingan yang tidak sihat ini mulai dipertikai kerana ada yang berniaga tanpa lesen dan kebenaran pihak berkuasa tempatan. Di tengah-tengah celahan isu ini, ada yang benar-benar hilang kesabaran hingga mengambil tindakan sendiri.




Amukan sebilangan kecil rakyat yang bertindak melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan sehingga mengambil tindakan sendiri ini jelas mencerminkan kekecewaan dan kehampaan mereka terhadap pihak berkuasa. Pada masa sama, sikap kekerasan yang dilakukan oleh segelintir pihak tertentu terhadap mereka yang terdiri daripada etnik Rohingya ini sebagai tanda protes dan marah adalah tidak wajar sama sekali kerana negara kita mempunyai perundangan. Sepatutnya sebarang ketidakpuasan hati kita harus disalurkan mengikut lunas yang betul. Untuk lebih adil pula, pihak yang berautoriti perlu mengambil tanggungjawab ini menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh kebanyakan orang. Kita percaya bahawa kemarahan orang berkaitan isu Rohingya ini bukanlah bermakna rakyat kita sudah hilang nilai kemanusiaan namun realitinya apabila toleransi yang selama ini diberikan diatas nama kemanusiaan dibalas dengan keburukan, maka tentunya kemarahan diundang tanpa perlu kata apa-apa lagi. Kita harus akui bahawa isu ini meletakan kita di persimpangan antara kemanusiaan dan keselamatan serta kedaulatan negara.

Jika kita amati isu ini dengan lebih dekat, kita akan melihat bahawa rakyat bukan menentang mereka kerana mereka ini pelarian semata-mata tetapi kerana terkait isu kesejahteraan ekonomi dan jaminan keselamatan sosial yang terganggu. Anak-anak gadis diganggu, rumah dipecah masuk, kecurian dan sebagainya akan membuatkan masyarakat setempat meluahkan rasa takut dan bimbang dengan apa yang berlaku. Keprihatinan umat Islam khususnya di Malaysia sememangnya terbukti dengan kehadiran ratusan bahkan ribuan orang hadir di Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada 4 Disember 2016. Ini jelas menunjukkan sikap kebersamaan rakyat Malaysia umumnya bersama membela dan mempertahankan warga etnik Rohingya. Namun malang dan amat dukacita sekali apabila kebaikan yang dihulurkan dibalas dengan sikap tidak menghormati tuan rumah. Oleh itu tidak hairanlah ada yang mula bersuara menuntut supaya mereka ini dihantar pulang semula ke Myanmar. Di persimpangan ini, kita telah terapit diantara kemanusiaan dan keselamatan negara.




Dalam mencari solusi dan jalan keluar terhadap isu Rohingya ini, beberapa cadangan mengenai cara dan langkah yang dilihat sesuai untuk dilakukan oalah antara lain pihak kerajaan Malaysia perlulah bersikap lebih tegas dengan pihak junta Myanmar melalui cara memberikan tekanan diplomatik yang berterusan. Tekanan diplomatik ini dibuat bertujuan untuk menggesa supaya pihak Myanmar memberikan pengiktirafan kewarganegaraan terhadap golongan Rohingya. Selain itu, amat penting juga penglibatan negara-negara asia yang lain dibawah payung besar ASEAN, memberikan bantuan kemanusiaan secara aktif dan membantu warga Rohingya ini mendapatkan taraf kewarganegaraan. Seruan kepada negara-negara Islam yang lain juga sangat penting bagi menjamin keselamatan warga Rohingya daripada terus ditindas dan dizalimi. Hal ini sangat bertepatan dengan tuntutan Islam untuk membantu saudara lain yang berada di dalam kesusahan dan kesukaran. Selain pihak-pihak yang berkaitan juga seperti UNCHR perlu menambah baikkan lagi sistem sedia ada agar dapat menyediakan penempatan, hak pendidikan serta hak-hak yang lain sesuai dengan taraf sebagai pemegang kad UNCHR.

Demikian antara perkara-perkara penting yang harus kita sama-sama semak dan imbang sekaligus mencari solusi kepada isu Rohingya ini. Kemarahan rakyat berkait isu ini sememangnya perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan melalui tindakan yang pantas dan sewajarnya. Tidak lagi sekadar berkata-kata tetapi malangnya tiada tindakan susulan yang dilaksana. Kegusaran rakyat ada asasnya yang perlu diteliti oleh semua pihak terbabit. Soal keselamatan negara tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak pun. Maka kemarahan rakyat sepatutnya menjadi isyarat jelas untuk kerajaan bertindak lebih tegas dan pantas. Pada masa yang sama, sebagai rakyat Malaysia yang dikenali sebagai warga prihatin, janganlah sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri menghukum pihak yang bersalah. Negara ini adalah negara berdaulat yang punyai maruah, maka kita sebagai warganegara yang taat dan patuh pada negara perlulah bertindak bersesuaian dengan lunas undang-undang negara. Janganlah kerana beban emosi yang tidak tertanggung, habis punah dan hancur negara ini dek kerana tindakan kita yang bertuhankan nafsu semata. Akhirnya, kedua-duanya iaitu kemanusiaan dan keselamatan adalah sangat penting. Namun kedua-dua perkara ini tidak akan dapat di capai andai hanya sebelah pihak sahaja yang bergerak. Baik sesiapapun, semua pihak harus bertanggungjawab melihat isu ini dengan lebih serius agar keselamatan negara kelak tidak tergadai. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan