Salah satu tanda akan kekuasaan Allah SWT ialah apabila Allah Azza
Wa Jalla menjadikan manusia itu berpasang-pasangan lalu menumpahkan kasih
sayang dalam latar kehidupan berumah tangga. Memiliki perasaan cinta, kasih dan
sayang membuktikan betapa hebatnya Allah SWT yang telah mencampakkan rasa kasih
sesama manusia lantas mensyariatkan perkahwinan sebagai suatu ibadah yang
meraikan kehendak syahwat manusia. Sememangnya manusia tidak dapat lari
daripada memiliki rasa cinta, kasih dan sayang kerana demikianlah fitrah yang
Allah jadikan kepada para makhluk Nya. Sedangkan kita melihat bagaimana
kasihnya kucing terhadap anak-anaknya inikan pula manusia yang telah dijadikan
oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik kejadian. Pun begitu, dalam soal perkahwinan
apabila melibatkan dua alam yang berbeza, adakah manusia boleh berkahwin dengan
makhluk lain di alam yang berbeda seperti jin ?
Bagi menjawab persoalan tersebut, adalah lebih baik jika melihat dahulu
apakah yang dikatakan sebagai makhluk yang bernama jin. Perkataan "Jin"
merupakan kosa kata daripada bahasa Arab. Dalam pada kita menyelusuri maksud
perkataan jin ini, di dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah dinyatakan
bahawa istilah jin berbeza dengan perkataan insan. Lafaz Waajanahu (وأجنه) bermaksud apabila dilindungi sesuatu.
Dan bagi setiap sesuatu yang tertutup daripada kamu maka sesungguhnya dinamakan
al-junna (جن) iaitu dilindungi
yakni tidak boleh dilihat daripada kamu. Ibnu Manzur menjelaskan dinamakan
al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini
seperti al-Janin dilindung daripada pandangan ia daripada perut ibunya. Pada
sudut lafaznya, perkataan jin berakar dari perkataan jann (جنن) yang bermaksud tertutup, tersembunyi
atau terlindung.
Selain itu, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan jin
merujuk kepada makna makhluk Allah yang diciptakan Allah daripada api. Maka
secara ringkasnya, perkataan jin merujuk kepada maksud tertutup, terlindung,
tidak ternampak dan yang seumpama dengannya. Dalam ajaran agama Islam, terdapat
beberapa hakikat tentang makhluk yang bernama jin ini yang menjadi kewajiban
untuk orang Islam percaya dan yakin akannya. Antara lain hakikatnya ialah
manusia tidak dapat melihat jin dan seangkatannya dengan mata kasar. Namun
begitu kewujudan mereka adalah benar. Perkara ini berdasarkan firman Allah
Jalla Wa 'Ala di dalam surah al-'Araf ayat 27, Allah SWT berfirman yang
bermaksud :
“…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang
kamu tidak dapat melihat mereka…”
Selain itu, hakikat jin juga adalah sama seperti umat manusia yang
memiliki tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti solat, puasa serta
termasuklah syariat perkahwinan. Menurut Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitab
tafsirnya Tafsir al-Munir, beliau menegaskan bahawa golongan jin juga
diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti mana golongan
manusia. Begitu juga, di antara kalangan mereka itu terdapat golongan yang
beriman dan mereka menyeru kepada golongan jin yang kafir agar beriman kepada
Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada seluruh makhluk termasuk
manusia, jin dan malaikat. Bangsa jin juga seperti juga manusia yang memiliki
jantina lelaki dan perempuan, mereka juga makan dan minum, bekerja dan
beribadah sepertimana rutin kehidupan umat manusia. Cuma bezanya umat manusia
tidak boleh melihat jin tetapi jin boleh melihat umat manusia. Hakikatnya juga
jin dan manusia berkongsi dunia yang sama tetapi pada dua dimensi alam yang berbeda.
Berbalik kepada pokok perbincangan, adakah jin boleh berkahwin
dengan manusia ? Dalam menjawab persoalan ini, kita akan temui
sekurang-kurangnya tiga pandangan ulama mengenai hal ini. Pandangan pertama,
sebagaimana yang dipegang oleh Imam Ahmad, Imam al-Zuhri, al-Hakam, Qatadah,
Hasan al-Basri dan lain-lain, hukumnya adalah haram. Antara sebab pengharaman
tersebut ialah kerana perbezaan jenis dan sifat antara jin dan manusia. Selain
itu, tidak ada konsep kafa'ah atau sekufu antara jin dan manusia. Menurut
Syeikh Syarafuddin al-Barizi, beliau menyebut bahawa tidak dibolehkan bagi
seseorang lelaki itu untuk berkahwin dengan seorang perempuan dari kalangan jin
kerana berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Nahl
ayat 72, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Dan Allah telah menjadikan buat kamu isteri-isteri daripada
diri kamu sendiri".
Begitu juga di dalam ayat lain, dimana Allah SWT menyebut menerusi
surah al-Rum ayat 21, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan antara tanda-tanda kebesaran-Nya adalah Dia menciptakan
buat kamu isteri-isteri dari diri kamu sendiri supaya kamu berasa tenang
kepadanya".
Maka berdasarkan dalil berikut, dikalangan para ulama tafsir dalam
menghuraikan ayat tersebut menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan buat manusia
berpasangan dari jenis kamu sendiri yang mengikut proses kejadian kamu sendiri.
Kejadian manusia tidak sama dengan kejadian jin. Dalam mazhab Syafie, terdapat
juga pandangan mengharamkan perkahwinan antara jin dan manusia sebagaimana yang
dijelaskan oleh al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni Muhtaj, beliau
menyebut :
“Pengharaman dalam perkahwinan itu ada dua; bersifat selama-lamanya
atau selamanya. Antara bentuk perkahwinan yang diharamkan selama-lamanya adalah
perkahwinan antara jenis yang berlainan. Contohnya, tidak dibenarnya
perkahwinan antara lelaki dari kalangan manusia dan perempuan dari kalangan jin
(atau sebaliknya)."
Bagi pandangan yang kedua pula, sebagaimana menurut pendapat Imam
Malik, al-Hakam, al-Hasan, Uqbah al-'Asam dan Ishak bin Rahawaih, mereka
berpandangan hukumnya adalah makruh. Antara sebab makruh tersebut ialah
perkahwinan tersebut boleh menimbulkan fitnah dan kerosakan agama. Ini boleh
terjadi apabila seorang wanita mendakwa dirinya hamil dan menjawab bahawa suaminya
adalah jin, maka ia akan mengundang kepada keraguan, ejekan serta kerosakan
maruah selain pandangan serong masyarakat terhadap perkara tersebut. Selain
itu, tujuan asal perkahwinan adalah untuk mengembangkan zuriat manusia yang
jelas. Maka jika berlaku hubungan atau anak, akan timbul persoalan sukar
mengenai siapa bapanya dan bagaimana pula tentang kedudukan nasab tersebut.
Begitu juga antara sebab makruh ialah tentang risiko kemudaratan.
Berhubungan atau menjalin hubungan dengan alam jin sering kali membawa kepada
pelbagai gangguan, tipu daya selain mengundang kemudaratan kepada keselamatan
akidah umat manusia. Demikian menurut pandangan kedua. Bagi pandangan ketiga,
menurut sebahagian pendapat ulama mazhab Syafie seperti Syeikh Abu Hamid al-'Imad
bin Yunus, juga menurut pendapat sebahagian para salaf seperti al-Tha'labi,
al-A'masy, Uthman ibn Sa'id al-Dari, mereka berpandangan hukumnya adalah harus.
Pandangan ini adalah pandangan minoriti. Antara sebab keharusan tersebut ialah
kerana tiada dalil atau nas al-Quran dan hadith sahih yang melarang dan
menegahnya secara jelas dan terang-terangan. Juga tidak ada dalil yang
melarangnya secara khusus. Demikianlah tiga pandangan para ulama dalam
membahaskan mengenai hukum jin berkahwin dengan manusia. Secara ringkasnya,
pandangan jumhur (majoriti) para ulama mengharamkan perkahwinan antara jin dan
manusia.
Menukilkan pandangan al-Alusi tentang perkahwinan jin dan manusia,
beliau menyatakan bahawa :
"Kemudian, aku bertanya-tanya, jika jin perempuan hamil
daripada manusia, adakah anak itu akan kekal dalam bentuk halusnya sehingga
tidak dapat dilihat, sedangkan kandungannya bersifat padat lalu dapat dilihat?
Atau adakah kandungannya juga bersifat halus seperti diri ibunya (sebagai jin)
sehingga kedua-duanya tidak dapat dilihat? Kemudian apabila tiba masanya, ia
menjadi padat dan muncul seperti manusia biasa? Atau adakah jin Perempuan yang
hamil itu akan berubah rupa menjadi seperti wanita manusia sepanjang tempoh
kehamilan? sementara kandungan dalam perutnya itu berkembang dan tumbuh dengan
makanan yang diterima daripada ibunya? Setiap kemungkinan ini tidak lepas
daripada sesuatu yang sukar diterima, sebagaimana yang jelas."
Menarik untuk kita perhatikan, apa yang cuba hendak disampaikan
oleh al-Alusi ini ialah kehamilan dan perkahwinan antara jin dan manusia tidak
mungkin berlaku. Namun begitu, boleh sahaja terjadi hubungan persetubuhan atau
hubungan seksual antara jin dan manusia. Hakikatnya makhluk yang bergelar jin
tidak memiliki jasad yang padat dan mereka boleh memasuki tubuh manusia. Maka
jika jin boleh memasuki tubuh badan manusia, mungkin akan berlaku kenikmatan
persetubuhan tetapi tidak boleh diiktiraf bahawa perkara tersebut ialah
pernikahan yang sah menurut syarak. Demikianlah sedikit penjelasan mengenai
hukum jin berkahwin dengan manusia. Kesimpulannya, hukumnya adalah haram untuk
jin berkahwin dengan manusia. Malah umat manusia dilarang dan ditegah untuk
berkahwin dengan makhluk yang bernama jin. Terdapat banyak sebab logik, hujah
dan dalil menurut wahyu yang membuktikan bahawa sesungguhnya manusia tidak
diciptakan berpasangan dengan jin dan begitulah sebaliknya jin tidak dicipta
berpasangan dengan manusia. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan