Khamis, 5 November 2026

AMALAN KARUT BEDAH BATIN

 

Keterbatasan akal dan pengetahuan umat manusia dalam mengetahui sesuatu perkara ghaib menjadikan kita tidak boleh tahu dan tidak dapat memahami banyak perkara yang sifatnya tidak boleh nampak dengan pancaindera. Ketidakupayaan manusia untuk mengetahui perkara-perkara ghaib bukanlah bermaksud kita perlu menafikan tiap-tiap yang bersifat ghaib tersebut namun Islam sebagai agama yang bersifat wahyu mengajar umatnya beriman atau dengan kata lain yakin dan percaya dengan perkara ghaib tersebut melalui petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Maka yang demikian, umat Islam apabila berbicara tentang persoalan perkara ghaib, tidak dapat tidak wajib merujuk kepada wahyu dengan mengambil panduan dan kerangka fikir yang dituntut oleh syariat. Wahyu Allah sebagai panduan umat manusia membimbing akal untuk memahami perkara ghaib sepertimana yang dikhabarkan melalui al-Quran dan al-Sunnah dan tidak berlebihan dengan menokok tambah tentang perkara ghaib.

Amalan “Bedah Batin” dianggap sebagai perkara yang bersifat ghaib yang tidak boleh dilihat, disentuh dan dirasai dengan pancaindera. Pada sudut pemahaman umum, bedah batin merujuk kepada makna satu kaedah rawatan atau perubatan tradisional/kerohanian yang mendakwa boleh merawat pesakit dengan mengeluarkan benda asing dari dalam tubuh badan pesakit tanpa menggunakan peralatan perubatan fizikal atau tanpa melaksanakan pembedahan sebenar di hospital. Rawatan seperti ini lazimnya dikaitkan dengan elemen ghaib, tenaga batin atau bantuan makhluk halus seperti jin. Hakikatnya, rawatan atau amalan bedah batin ini tidak termasuk dalam kategori perubatan ruqyah syari'iyyah. Ruqyah atau dalam bahasa melayu bermaksud jampi, sememangnya pernah dilakukan sendiri oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan hal tersebut diharuskan dalam Islam. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim yang bermaksud :

"Daripada Uthman bin Abi alAsh yang pernah mengadu kepada Rasulullah SAW perihal sakit yang ada pada jasadnya semenjak dia memeluk Islam. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: "letakkan tanganmu di tempat sakit kemudian baca: “Dengan nama Allah”. (3x). Dan baca: “Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan/keburukan yang aku dapati dan aku takuti”. (7x)".




Dalam kitab al-Lu'lu al-Makin karangan Syeikh Jibrin, beliau menyebut dalam fatwanya yang bermaksud :

“Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa yang baik bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah yang betul dan melakukan amal perbuatan yang baik serta mempunyai peribadi yang baik. Tidak disyaratkan kepada penjampi (perawat) untuk mengetahui semua permasalahan furu‘ (cabang) di dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam. Hal ini berdasarkan kisah Abu Said yang menjampi orang yang telah sesat disengat binatang berbisa. Beliau berkata: “Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat untuk menjampi atau seperti yang termaktub di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.” Orang yang menjampi mestilah mempunyai niat yang baik dan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita untuk memperolehi harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan.”

Berdasarkan daripada penjelasan ini, rawatan ruqyah atau jampi yang padanya dibaca ayat-ayat al-Quran dan menepati syarat-syarat menjampi adalah diharuskan dalam Islam. Menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya al-Fath al-Bari menyatakan bahawa para ulama telah sepakat tentang keharusan membuat rawatan jika memenuhi tiga syarat berikut. Pertama, ruqyah atau jampi hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah SWT atau dengan nama-nama dan sifat-sifatnya. Kedua, ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa Arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya. Ketiga, hendaklah meyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah SWT. Demikian syarat rawatan ruqyah/jampi yang diharuskan oleh Islam. Adapun soal amalan bedah batin, hakikatnya tiada bukti mahupun hujah dalil daripada nas al-Quran dan al-Sunnah yang menjelaskan dan menunjukkan kepada kewujudan amalan bedah batin mengikut syariat Islam.




Dalam penelitian yang dibuat, amalan bedan batin atau juga dikenali sebagai perubatan bedah batin ini sangat diragui amalannya dan dikenalpasti terdapat unsur penipuan dan kekarutan. Sehingga sampai satu tahap, amalan karut bedah batin ini boleh menjadi hukumnya haram jika pengamal amalan ini menggunakan ilmu hitam, perantaraan jin atau syaitan ataupun menggunakan ilmu sihir semasa merawat. Menurut dasar kepada perubatan yang berpandukan syariat Islam, amalan bedah batin ini sebenarnya ditolak kerana tiada dalil melalui al-Quran dan hadith serta amalan karut ini tidak pernah diiktiraf oleh para imam muktabar termasuk para imam empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Di peringkat kebangsaan, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui sebuah panduan iaitu Garis Panduan Amalan Perubatan Islam, menyatakan bahawa ciri-ciri perubatan Islam antara lain ialah tidak menjalankan pembedahan batin secara ghaib atau menggunakan bantuan makhluk halus.

Di peringkat negeri, beberapa buah negeri dengan tegas menolak amalan atau rawatan bedah batin ini antaranya Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bertarikh 23 Februari 2025 telah menyatakan bahawa kaedah bedah batin adalah meragukan dan bertentangan dengan syariat kerana atas beberapa sebab antaranya kerana kaedah ini tidak pernah diamal atau dibahas oleh ulama muktabar dan tiada sumber rujukan daripada kitab-kitab tibb nabawi yang boleh dijadikan sandaran untuk mengharuskannya. Selain itu, perawat atau pengamal perubatan yang melaksanakan pembedahan batin tidak dapat disahkan dari segi kelayakan, kelulusan dan kepakaran yang dimiliki oleh mereka. Maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan kaedah bedah batin ditolak dan bercanggah dengan syariat. Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 10 Oktober 2013, telah memutuskan bahawa amalan, pegangan, kepercayaan atau fahaman pembedahan batin atau apa-apa amalan yang mempunyai persamaan dengan pembedahan batin adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Orang Islam yang telah mengamal, mempercayai, mengajar, mempelajari dan mengikuti amalan-amalan pembedahan batin atau yang mempunyai persamaan dengan amalan, ajaran, pegangan, kepercayaan atau fahaman pembedahan batin hendaklah segera meninggalkan ajaran tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT.




Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah bersidang pada 14 hingga 15 Jun 2024 telah memutuskan bahawa ajaran yang mempunyai kepercayaan berikut adalah batiniah sesat dan diharamkan dan antaranya ialah mempercayai syariat boleh dipisahkan antara yang zahir dan batin (isi dan kulit) yang mana sebahagian manusia tidak terikat dengan syariat yang zahir kerana hanya berpegang kepada yang batin. Ini termasuklah kepercayaan mengenai amalan bedah batin. Begitu juga menurut keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang telah bersidang pada 26 Oktober 2016, telah memutuskan bahawa tidak bersetuju dengan rawatan pembedahan batin. Antara hujahnya ialah ketiadaan bukti yang jelas dari segi pengiktirafan kepakaran untuk merawat pesakit, adanya unsur penggunaan jin bagi tujuan rawatan serta kaedah rawatan yang tidak menepati syara’ yang boleh menimbulkan fitnah iaitu percampuran tempat rawatan lelaki dan perempuan tanpa penghadang, sentuhan perawat lelaki ke atas pesakit perempuan dan pendedahan aurat.

Demikianlah antara sebahagian kecil penjelasan mengenai kekarutan amalan dan rawatan bedah batin. Jelas sekali, Islam sebagai agama wahyu menolak dan menentang sebarang perubatan dan perawatan yang berunsur mistik ini. Perkara seperti ini bukan sahaja boleh menimbulkan fitnah dan keraguan terhadap masyarakat bahkan mengundang kepada perbuatan syirik dan khurafat. Islam adalah agama yang bersendikan ilmu dan wahyu, tidak menyuruh atau menuntut penganutnya untuk melakukan perkara yang memperbodohkan akal serta fikiran. Islam dengan jelas juga menyebut bahawa sesungguhnya iblis dan syaitan itu adalah musuh yang terang lagi nyata. Tidak boleh dibuat teman, kawan apatah lagi sahabat. Oleh kerana itu, kita sama sekali dilarang dan ditegah daripada melakukan apa-apa usaha untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada kedua-dua makhluk terkutuk tersebut. Dengan itu, masyarakat perlu memainkan peranan memberikan kesedaran kepada yang lain agar tidak terpengaruh dengan kaedah perubatan bedah batin ini yang jelas menyeleweng dan terpesong jauh daripada ajaran Islam sebenar. Semoga Allah mengampuni kita semua.