Ahad, 14 Disember 2025

EKONOMI DALAM KERANGKA LIBERAL

 

Untuk sebuah kelangsungan hidup yang sejahtera, pengukuhan kewangan adalah elemen yang terpenting dalam usaha memastikan nilai kestabilan hidup diseimbangkan selari dengan perubahan zaman. Jika dahulu, dengan nilai matawang RM 50 akan memberikan kita kuantiti barang yang banyak. Namun, dengan peredaran masa yang berubah, RM 50 kini sudah menjadi semakin kecil nilainya. Dari sekecil-kecil pendapatan, hinggalah sebesar-besar pendapatan, ekonomi adalah sesuatu yang memberikan kesan secara langsung sekaligus boleh mengubah cara dan gaya hidup yang tersendiri. Pepatah melayu ada menyebut ukur baju di badan sendiri, mengingatkan kita tentang mendahului keperluan sebelum memenuhi kemahuan. Secara jelas, sama ada kita setuju atau tidak, isu ekonomi sentiasa menjadi perbualan hangat dikalangan masyarakat.

Perkataan "Ekonomi Liberal" adalah hasil gabungan dua perkataan iaitu "Ekonomi" dan "Liberal". Gabungan perkataan ini iaitu ekonomi liberal merujuk kepada salah satu diantara sistem perekonomian yang wujud di muka bumi ini. Berorientasikan kepada nilai ideologi liberal, ekonomi dicorak dan dibentuk selari dengan kehendak pemikiran liberal. Secara umum, ekonomi boleh difahami sebagai suatu kajian sains sosial tentang cara manusia mengagihkan atau menggunakan sumber-sumber ekonomi (faktor pengeluaran) yang terhad bagi memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad. Dikalangan para ahli ekonomi klasik seperti Adam Smith, beliau menyebut ekonomi sebuah kajian tentang sebab-sebab wujudnya kekayaan. John Stuart Mill pula yang dikenali sebagai ahli falsafah menyifatkan ekonomi sebagai suatu cabang ilmu yang mengkaji tentang selok-belok pengagihan dan pengeluaran. Dikalangan ahli ekonomi neo klasik pula seperti Alfred Marshall, menyebut ekonomi sebagai satu kajian tentang kelakuan manusia berhubung dengan cara mereka mendapatkan dan menggunakan keperluan kebendaan mereka.




Ungkapan "Liberal" pula sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh Ludwing Von Mises dalam karyanya berjudul Liberalisme, beliau menyebut liberalisme adalah sebuah doktrin yang terarah sepenuhnya kepada tingkah laku manusia di dunia ini. Beliau turut menegaskan bahawa liberalisme sebenarnya tidak mempunyai matlamat utama selain daripada mempertingkatkan kesejahteraan lahiriah dan kebendaan manusia. Selain itu, menurut John Locke yang juga dianggap sebagai Bapa Liberalisme menyatakan liberalisme adalah suatu kebebasan yang menuntut umat manusia mengisinya untuk mencapai keadilan yang manusiawi. Beliau berpandangan keadilan tidak akan dapat dicapai tanpa melalui kebebasan individu. Gabungan dua perkataan iaitu "Ekonomi" dan "Liberal" mewujudkan suatu sistem perekonomian yang berteraskan nilai sejagat seperti nilai kebebasan individu, kepemilikan peribadi selain pasaran bebas dengan campur tangan kerajaan yang sangat minima. Kita juga boleh fahami ekonomi liberal sebagai suatu bentuk dari sistem ekonomi yang ada yang memberikan kebebasan sebesar-besarnya kepada setiap orang untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi.

Pada hakikat yang perlu kita faham, sistem ekonomi liberal dicetuskan oleh ahli ekonomi klasik. Teori sistem ekonomi liberal ini bersifat membebaskan individu untuk bertindak sesuka hati sesuai dengan kepentingan dirinya sendiri dan membiarkan semua individu untuk bertindak sesuka hati. Melihat pada sudut sederhana, ekonomi liberal merupakan sebuah sistem dimana setiap keputusan terkait dengan perekonomian yang menghubungkan dengan ekonomi pasar dan menjunjung tinggi semua hak milik individu. Jika kita perhatikan secara dasar, ekonomi liberal sering dikaitkan dengan sistem ekonomi kapitalis dimana kedua-duanya memperjuangkan nilai kebebasan dengan menolak unsur monopoli antara pihak swasta. Namun begitu, ekonomi liberal dilihat sedikit berbeza dengan kapitalis apabila mereka mengiktiraf dasar campur tangan pihak kerajaan tetapi dengan kadar yang minima. Ini bermakna, ekonomi liberal masih meletakkan kepercayaan untuk pihak kerajaan mengambil peranan bercampur tangan walau dalam keadaan yang minima. Keadaan ini berbeza dengan sistem kapitalis apabila dasarnya menolak sepenuhnya dasar campur tangan oleh pihak kerajaan.

Bagi lebih mudah memahami dan meneliti rangka dasar sistem ekonomi liberal, kita perlu memahami ciri-ciri atau yang disebutkan juga sebagai karakteristik yang ada di dalamnya. Beberapa ciri dan karakteristik yang dapat dilihat adalah seperti setiap orang memiliki hak yang sama untuk memiliki alat-alat produksi dan bebas untuk melaksanakan kegiatan ekonomi. Selain itu, setiap orang memiliki hak yang sama untuk mencuba bersaing dengan pemain ekonomi yang lain. Ciri ekonomi liberal juga menegaskan semua harga komoditi di pasar hendaklah ditentukan oleh faktor penawaran dan permintaan bebas serta semua kegiatan pengeluaran produk dilakukan dengan bertujuan untuk mencari hasilnya sekaligus meraih keuntungan yang maksima. Demikian antara beberapa ciri dan karakteristik yang ada pada sistem ekonomi liberal. Berdasarkan ciri-ciri yang dijelaskan ini, dapatlah kita fahami dasar yang melatari sistem ekonomi liberal ini. Secara dasarnya, terdapat beberapa perkara yang ditekankan oleh para ahli ekonomi liberal di dalam membentuk kerangka liberal yang sebenar.




Umum mengetahui, antara dasar utama yang diperjuangkan oleh para pendukung ekonomi liberal ialah berkaitan pemilikan peribadi dan kontrak individu. Melalui dasar ini, ditekankan tentang tidak boleh dilakukan pemaksaan, pencurian dan penipuan dalam ekonomi selain mengangkat nilai kebebasan dalam berbicara mengenainya. Selain itu, dasar ekonomi liberal juga menentang dasar intervensi atau campur tangan yang melampau oleh pihak kerajaan. Penentangan terhadap unsur intervensi ini berdasarkan alasan bahawa negara sering menjadi platform untuk kepentingan perniagaan, memesongkan pasaran untuk menguntungkan pihak tertentu. Justeru, hasil yang diperoleh rakyat tidak optimum. Ordoliberalisme dan pelbagai sistem liberalisme sosial berasaskan liberalisme klasik, yang merangkumi peranan yang lebih besar untuk negara, tetapi tidak berusaha untuk menggantikan perusahaan swasta dan pasaran bebas dengan perusahaan kerajaan dan perancangan ekonomi.

Dalam pada itu, sistem ekonomi liberal juga dilihat dapat menyokong kewujudan perusahaan awam untuk menyediakan barangan awam. Sebagai contoh, Adam Smith berhujah bahawa negara mempunyai peranan dalam membaiki jalan, sungai, sekolah, dan jambatan, yang akan menjadi tidak cekap jika dijalankan oleh sektor swasta. Walau bagaimanapun, Smith lebih suka bahawa infrastruktur kerajaan dikenakan secara berkadar seperti contoh tol, tarif elektrik dan tuisyen sekolah. Pada masa sama beliau juga menyokong tarif untuk menyokong perdagangan bebas dan melindungi hak cipta dan paten untuk menggalakkan inovasi. Begitulah antara dasar utama sistem ekonomi liberal yang diperjuangkan di persada mata dunia. Dalam praktik sistem ini, data yang diperolehi menunjukkan tidak kurang lebih 30 buah negara mengamalkan sistem dan dasar ini seperti negara Albania, Armenia, Bulgaria, Cyprus, Denmark, Jerman, Perancis, Romania dan lain-lain.




Berdasarkan teori dan praktik terhadap sistem ekonomi liberal ini, terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan yang boleh kita katakan. Antara kelebihan sistem ekonomi ialah dapat membangunkan inisiatif dan kreativiti dalam masyarakat untuk mengawal selia aktiviti ekonomi. Selain itu, ianya dapat mencipta dan meningkatkan persaingan untuk lebih maju. Dalam masa yang sama, sistem ini juga memberikan kelebihan bersifat peribadi apabila setiap orang memiliki hak yang sama untuk memiliki sumber produksi seperti barang atau jasa. Secara tidak langsung, sistem ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan untuk mendapatkan keuntungan sekaligus dapat mencipta produk berkualiti tinggi untuk dijual di pasaran. Selain kelebihan yang dinyatakan, sistem ini juga tidak lari dari kelemahan dan kekurangan yang wujud. Antara kekurangan atau kelemahan yang ada ialah akan mewujudkan unsur monopoli di mana-mana dalam masyarakat. Kesannya, masyarakat yang kaya akan semakin kaya dan yang miskin akan semakin miskin. Selain itu, penggunaan sumber daya alam akan menjadi sangat berlebihan kerana penglibatan yang begitu ramai dan bersifat terbuka.

Rumusannya, sistem ekonomi liberal antara sistem perekonomian yang wujud dengan menawarkan dasar yang lebih terbuka selain turut mengiktiraf intervensi pihak kerajaan dengan kadar minima. Seperti sistem ekonomi yang lain, ekonomi liberal juga tidak terlepas daripada kritikan-kritikan oleh mereka berkeahlian dalam bidang ekonomi. Sistem yang wujud melalui gerak daya fikiran manusia ini tidak akan ada yang sempurnanya. Maka kita perlu akui bahawa disana terdapat kelebihan dan kekurangan atau manfaat dan mudarat terhadap sistem ekonomi liberal ini. Pun begitu, sewajarnya dunia ekonomi hari ini perlu lebih terbuka dalam memberi dan menerima kritikan tanpa meminggirkan soal integriti dan keadilan sosial. Islam sebagai agama yang sempurna, sentiasa berpegang pada prinsip syariah dengan menitikberatkan soal keadilan, integriti selain nilai kecekapan tadbir dan menolak sebarang unsur kezaliman dan penindasan dalam menjalankan kegiatan perekonomian. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan