Kecantikan adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Ini bermakna
setiap individu pasti mempunyai citarasa dan sudut pandang yang berbeza. Kecantikan
adalah sifat yang terbuka untuk dinilai mengikut pandangan masing-masing.
Kepelbagaian citarasa yang wujud menjelaskan bahawa tiap-tiap individu itu
memiliki makna dan interpretasi tersendiri tentang definisi kecantikan. Apa
yang dinilai cantik oleh seseorang belum tentu orang lain turut memperkatakan
hal yang sama. Sekaligus bermaksud apa yang kita anggap ianya cantik di mata
kita maka belum tentu orang lain juga mempunyai pandangan yang sama dengan mata
kita. Oleh demikian, kita akan melihat pelbagai ragam dan karenah umat manusia
di dalam usaha mencapai makna kecantikan tersebut. Salah satu hal yang sering
dibuat oleh manusia lain untuk kelihatan cantik ialah dengan mewarnai rambut.
Sesungguhnya perbuatan mewarnai rambut bukanlah suatu perkara yang baharu.
Pada sudut syarak, perbuatan mewarnai rambut adalah suatu yang diharuskan
dengan bertujuan untuk menyelisihi ahli kitab. Ini sebagaimana yang dijelaskan
oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim,
daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan
rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka".
Berkata Abu Thayyib Muhammad Syamsul Haq al-Adzim Abadi dalam
kitabnya 'Aun al-Ma'bud, beliau menjelakan bahawa berdasarkan
hadith-hadith berkaitan mewarnai rambut, maka 'illah (sebab) oleh syarak
dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah bertujuan untuk menyelisihi ahli
kitab. Oleh kerana yang demikian, terdapat padanya suatu penegasan bahawa ia suatu
perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi baginda Nabi Muhammad SAW
sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk
melakukannya. Tambah beliau lagi, selain itu, perbuatan sunnah mewarnakan
rambut dan janggut sangat diambil berat oleh para ulama Salaf. Maka berdasarkan
penjelasan berikut, dapatlah kita fahami bahawa hukum asal mewarnakan rambut
adalah sunnah dengan tujuan untuk menyelisihi ahli kitab iaitu orang Yahudi dan
Nasrani.
Secara umum, mewarnakan rambut dan janggut adalah diharuskan dengan
menggunakan hinna' (inai) bersama katam (sejenis tumbuhan dari
Yaman) , wars dan za'faran. Selain itu, terdapat galakkan
mewarnakan rambut dan janggut dengan menggunakan bahan inai dan katam. Hal ini
berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibn Hibban dan al-Tirmizi, sabda baginda Nabi
Muhammad SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mengubah warna
uban ialah pohon hinna’ (inai) dan katam.”
Berdasarkan kefahaman hadith tersebut, jelas bahawa menjadi sunnah
apabila kita mewarnakan rambut dan janggut dengan menggunakan inai dan katam
serta bahan-bahan lain yang dibenarkan oleh syarak. Oleh itu, sekiranya timbul
persoalan mengenai hukum isteri mewarnakan rambutnya dengan tujuan mencantikkan
diri untuk suaminya, jika suami mengizinkannya, maka hal tersebut adalah
dibenarkan dengan syarat menggunakan bahan yang dibenarkan oleh hukum syarak.
Begitu juga sebaliknya, sekiranya si suami mahu mewarnakan rambutnya untuk
kelihatan segak dihadapan isterinya, maka diharuskan selagi mana bahan yang
digunakan tersebut tidak menyalahi syarak seperti tidak menghalang air dari
terkena rambut dan bahan-bahan pewarna yang halal lagi baik.
Dalam pada itu, meskipun hukum asal mewarnakan rambut adalah sunnah,
namun dikalangan para ulama, mereka berbeza pandangan mengenai hukum mewarnai
rambut dengan menggunakan warna hitam. Dalam catatan kitab al-Mausu'ah
al-Fiqhiyyah, disebut bahawa terdapat beberapa pandangan utama dalam hal
ini. Pandangan pertama, para ulama dikalangan mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi
kecuali Abu Yusuf, berpendapat bahawa hukum mewarnakan rambut dengan warna
hitam adalah makruh kecuali ketika dalam keadaan perang. Manakala semasa dalam
keadaan perang, ia adalah diharuskan secara ijma' (sepakat), bahkan
perbuatan itu sangat digalakkan. Pandangan ini adalah berdasarkan sebuah hadith
Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya sebaik-baik warna untuk kamu warnakan (rambut atau
janggut kamu) dengannya adalah warna hitam, kerana ia lebih disukai oleh
isteri-isteri kamu, dan menakutkan hati-hati musuh kamu.”
Selain itu, terdapat juga pandangan lain dalam mazhab Hanafi
antaranya yang dipegang oleh Abu Yusuf dan lain-lain. Mereka berpendapat hukum
mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah harus. Dalam mazhab Syafie pula,
mereka berpandangan adalah hukumnya haram mewarnakan rambut dengan warna hitam
kecuali kepada para mujahidin (ahli perang). Pandangan hukum haram ini pula
berdasarkan dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i, sabda
baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Di akhir zaman nanti, akan ada sekelompok orang yang akan
mewarnakan (rambut dan janggut) dengan warna hitam seperti warna bulu di dada
burung merpati, mereka tidak akan mencium bau syurga.”
Dalam memahami hal ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj
Syarh Sahih Muslim, beliau menyebut :
"Menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) digalakkan
(disunatkan) untuk mewarnakan uban bagi lelaki dan perempuan dengan warna
kekuning-kuningan atau kemerahan, dan haram untuk mewarnakannya dengan warna
hitam mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Namun, terdapat pendapat
menyatakan bahawa mewarnakan uban dengan warna hitam adalah makruh tanzih. Akan
tetapi pendapat yang terpilih, ia adalah diharamkan".
Pengharaman mewarnakan rambut dengan warna hitam juga berdasarkan
sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, daripada Jabir bin Abdillah ia berkata
yang bermaksud :
"Abu Quhafah yang rambutnya putih bak bunga kemboja, dibawa
menemui Rasulullah SAW pada hari pembukaan kota Makkah, lalu Baginda bersabda :
"Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna
hitam.”
Maka berdasarkan kefahaman hadith ini, para ulama di dalam mazhab
Syafie menjelaskan larangan yang disebut oleh baginda Nabi dengan menggunakan
ayat "elakkanlah dari warna hitam" bermaksud ianya diharamkan.
Oleh itu, pengharaman tersebut juga merangkumi kaum lelaki dan perempuan.
Selain itu, dalam kitah al-Fiqh al-Manhaji, dijelaskan bahawa antara
hikmah pengharamannya ialah perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur
pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam,
seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada
pandangan orang ramai. Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada
keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap
pengubahan, penipuan dan pemalsuan.
Maka berdasarkan penjelasan yang telah dinyatakan ini, dapat kita
rumuskan bahawa para ulama berselisih pendapat mengenai hukum mewarnakan rambut
dengan warna hitam. Dikalangan mereka, ada yang menyatakan hukumnya adalah
makruh kecuali dalam keadaan perang. Ini sebagaimana yang dipegang oleh mazhab
Hanafi, Maliki dan Hanbali. Bagi mazhab Syafie pula, hukumnya adalah haram baik
lelaki mahupun perempuan. Demikianlah garis panduan serta hukum-hakam yang
membabitkan soal mewarnakan rambut. Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan
kecantikan. Adalah menjadi fitrah semula jadi manusia apabila suka akan perkara
yang cantik. Oleh itu, Islam sebagai agama yang meraikan fitrah tersebut
membentuk nilai tabiat yang suka akan kecantikan ini dengan memberikan garis
panduan supaya tujuan asal menjadi cantik bukanlah untuk menjadi sombong tetapi
menjadi jalan meraih pahala kelak. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita
semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan