Selasa, 23 Disember 2025

HAKIKAT FITNAH AKHIR ZAMAN

 

Dunia yang semakin tua usianya terus berputar menyinsing siang dan malam yang silih berganti gilirannya. Dikala dunia kini dimamah usia yang kian tua, terzahir bukit-bukau rebah menyembah tanah. Air dilaut yang dahulunya tempat girang kini membalun manusia dengan deruan ombak yang tak tenang. Kes pembunuhan semakin banyak memenuhi laporan di dada akhbar. Penyelewengan, rasuah dan pecah amanah sudah menjadi tradisi bagi yang memiliki kuasa. Para artis, tukang cerita agama dan pembawa amalan khurafat dipuja manakala para ilmuan yang ikhlas berdakwah pula dicela. Golongan yang bertopengkan agama juga tumbuh bagai cendawan, bercakap sekadar memenuhi citarasa awam, meraih populariti dan memburu "gift". Kesemua fenomena ini tidak kurang ada yang mendakwa itulah petanda akhir zaman. Lebih menakutkan, ada pula yang menyebut itulah fitnah akhir zaman.

Perkataan "Fitnah Akhir Zaman" bukanlah tajuk baru yang menjadi kupasan oleh umat manusia. Malah tajuk-tajuk yang berkaitan juga sering laris di dengari, sentiasa mendapat perhatian oleh masyarakat terutamanya mereka yang beragama Islam. Perkataan "fitnah" adalah berasal daripada bahasa arab. Sebahagian besar daripada kita memahami makna dan maksud perkataan fitnah dengan makna tuduhan palsu atau tuduhan tidak benar. Pemahaman ini adalah kurang tepat dan tidak bertepatan dengan apa yang dimaksudkan di dalam al Quran dan hadis Nabi SAW. Kerana perkataan fitnah telah banyak disebutkan di dalam al Quran dan hadis dengan makna dan maksud yang berbeza berdasarkan konteks sesuatu ayat tersebut. Pada pandangan Ibnu Manzur, Al Azhari dan lain-lainya, inti makna fitnah di dalam bahasa arab terkumpul pada makna الإبتلاء (cubaan), الإمتحان (ujian) dan الإختبار (ujian). Ibnu Faris dalam kitab Maqayis al Lughah pula menyatakan bahawa huruf ف ت ن  adalah huruf dasar yang sahih menunjukkan kepada cubaan dan ujian.




Selain itu, fitnah pada pemaknaan menurut al-Quran dan hadith, membawa pelbagai makna seperti perselisihan faham, kesyirikkan, ujian dan cubaan. Frasa perkataan “Akhir Zaman" merujuk kepada maksud suatu garisan masa fasa terakhir kehidupan dunia yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW melalui hadith-hadith sebagai peringatan untuk umatnya berwaspada. Selain itu, pemahaman bagi orang Kristian pula, frasa akhir zaman merujuk kepada suatu penandaan kesimpulan era duniawi dan transisi menuju Kerajaan Mesias, di mana Kristus akan datang semula untuk menyatakan diri-Nya dan menghakimi. Oleh itu, dapat kita rumuskan bahawa fitnah akhir zaman membawa suatu pernyataan yang menjelaskan tentang ujian, cubaan, kesyirikkan dan segala hal lain lagi yang akan berlaku di akhir zaman yang menjurus kepada situasi hari pengakhiran dunia atau disebut sebagai hari kiamat. Dalam pada kita membicarakan tentang makna fitnah akhir zaman, tidak dinafikan sememangnya menjadi tabiat segelintir umat manusia yang suka akan mendengar cerita-cerita tentang akhir zaman. Ini adalah sesuatu yang lumrah yang ada pada diri manusia. Hattakan dikalangan para sahabat Nabi SAW pun, terdapat seorang sahabat yang bernama Huzaifah ibnu Yaman, beliau yang juga digelar sebagai penjaga dan penyimpan rahsia Nabi sangat suka mencatat dan mendengar peristiwa-peristiwa akhir zaman yang diceritakan oleh baginda Nabi SAW. Maka banyaklah hadith-hadtih tentang akhir zaman diriwayatkan oleh beliau.

Dalam kita berinteraksi dengan peristiwa akhir zaman, baginda Nabi SAW telah mengambil dua pendekatan yang berbeza dalam berbicara soal fitnah akhir zaman ini. Pendekatan yang pertama, baginda Nabi SAW menjelaskan tentang peristiwa akhir zaman dengan menekankan soal persediaan untuk menghadapinya. Ini bermakna, baginda Nabi tidak terus menyampaikan cerita fitnah akhir zaman tetapi menekankan tentang soal persiapan atau persediaan untuk menghadapi hal tersebut. Perkara ini dapat dilihat melalui sebuah hadith Nabi Muhammad SAW riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, beliau mengatakan bahawa :

"Seseorang bertanya pada Nabi SAW : “Bilakah terjadi hari Kiamat, wahai Rasulullah?” Baginda SAW berkata : “Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?” Orang tersebut menjawab : “Aku tidaklah mempersiapkan untuk menghadapi hari tersebut dengan banyak solat, banyak puasa dan banyak sedekah. Tetapi yang aku persiapkan adalah cinta Allah dan Rasul-Nya.”Baginda SAW berkata : “(Kalau begitu) engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.”




Melalui pendekatan ini, antara mesej terpenting yang hendak ditekankan oleh baginda Nabi SAW ialah kita jangan terlalu sibuk, runsing, atau tertunggu serta ternanti-nanti bilakah kiamat akan datang sedangkan kita telah membazirkan masa yang begitu banyak dengan tidak melakukan apa-apa amalan baik sebagai bekalan untuk berhadapan dengan hari yang dijanjikan Allah tersebut. Oleh itu, kita seharusnya disibukkan dengan mencari ruang dan peluang untuk beramal dan bukannya membuang masa mengkaji, meramal atau seangkatan dengan hal itu untuk menghitung kedatangan kiamat. Selain itu, pendekatan kedua yang diambil oleh baginda Nabi SAW adalah dengan bercerita tentang tanda-tanda hari kiamat. Namun begitu, sebelum daripada itu, persoalan besarnya ialah adakah baginda Nabi SAW tahu akan segala perkara yang akan berlaku di masa hadapan ? Dalam bahasa mudahnya adakah baginda Nabi seorang peramal atau sememangnya tahu tentang masa hadapan ?

Sesungguhnya baginda Nabi SAW adalah hamba Allah yang tidak tahu akan perkara ghaib atau perkara yang membabitkan perihal masa hadapan. Pun begitu, dalam soal peristiwa akhir zaman, baginda Nabi SAW bercerita mengenai tanda-tanda kiamat adalah berdasarkan khabar berita yang diwahyukan oleh Allah SWT semata-mata. Nabi Muhammad SAW tidak akan tahu perkara yang bersifat ghaib apatah lagi melibatkan akhir zaman melainkan mendapat wahyu dari Allah SWT. Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan tentang pengetahuan Nabi berdasarkan apa yang diwahyukan oleh Allah. Dalam surah an-Najm ayat 3 - 4, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan tidaklah dia (Muhammad) berkata menurut keinginannya sendiri,". "Melainkan (ucapan itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).”

Secara umum, melalui pendekatan kedua ini, terdapat banyaklah hadith-hadith Nabi SAW yang menceritakan tentang keadaan di akhir zaman merangkumi tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar kiamat. Antaranya dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari, katanya :

"Nabi SAW muncul di hadapan kami tatkala kami sedang berbincang-bincang. Lalu Baginda SAW bertanya : Apakah yang kamu semua perbincangkan?” Kami menjawab : “Kami berbincang berkaitan Kiamat.” Lantas Baginda SAW bersabda : "Hari Kiamat tidak akan terjadi sehinggalah kamu melihat sepuluh tanda: Kemudian disebut al-dukhan (asap), dajjal, al-dabbah, keluar matahari daripada barat, turunnya Isa ibn Maryam, munculnya Yakjuj dan Makjuj, terdapat tiga kabus tebal; satunya di timur, keduanya di barat dan satunya di semenanjung tanah Arab dan akhir sekali keluarnya api dari negeri Yaman sehingga menghimpunkan manusia ke tempat Mahsyar mereka."




Berdasarkan hadith ini, baginda Nabi menjelaskan beberapa tanda kiamat seperti keluarnya asap al-dukhan, munculnya dajjal, turunnya Nabi Isa AS ke dunia dan lain-lainnya. Begitu juga dalam hadith lain seperti riwayat Abu Daud, daripada Tsauban RA, beliau berkata :

"Rasulullah SAW bersabda : “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab : “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya : “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab : “Cinta dunia dan takut mati”

Demikianlah hakikat fitnah akhir zaman. Apa yang harus kita fahami ialah sesungguhnya fitnah akhir zaman itu adalah benar belaka. Ianya bukan dogengan atau fantasi khayalan. Namun begitu, Islam juga tidak menyuruh kita untuk menyibukkan diri dengan memikirkan tentang tarikh bila akan berlakunya kiamat. Islam melalui hadith-hadith baginda Nabi SAW telah banyak menyebutkan tentang kepincangan, kerosakan dan kemusnahan yang akan berlaku di akhir zaman. Walaupun begitu, kita juga perlu berwaspada dengan sebaran hadith-hadith palsu tentang fitnah akhir zaman. Ketahuilah perbuatan menyebarkan hadith palsu adalah salah satu perbuatan dosa besar yang dimurkai Allah SWT. Oleh itu, peliharalah agama Islam dengan berpandukan sumber yang sahih. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan