Rabu, 21 Mei 2025

KENDURI ARWAH DAN TAHLIL SATU PERBINCANGAN

 

Sesungguhnya setiap yang bernyawa itu pasti akan menghadapi saat kematian yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Tidak ada makna kekal di dunia ini melainkan yang akan bersama kita selamanya ialah amalan kita semata-mata. Tiap-tiap diri yang mukallaf pasti akan menanggung segala perbuatan sama baik ataupun buruk. Kita semua tiada yang terkecuali akan menghadap Allah Azza Wa Jalla dengan membawa segala amalan kita untuk diperhitungkan di hadapan Allah SWT. Kematian sepertimna umum ketahui, kedatangannya adalah rahsia Allah, apabila sampai kepada detik dan ketikanya, tidaklah diperlambatkan mahupun dipercepatkan walau sesaat. Satu hal yang sering menjadi perbincangan hangat dikalangan umat Islam khususnya di nusantara ini ialah berkenaan hukum mengadakan kenduri arwah atau juga dikenali sebagai kenduri tahlil.

Penggunaan istilah kenduri arwah atau tahlil sering difahaminya sebagai majlis bacaan surah yasin dan tahlil selain diadakan jamuan makan bagi para hadirin yang datang. Melihat kepada kedua-dua istilah ini iaitu "Arwah" dan "Tahlil", kedua-duanya berasal dari perkataan bahasa Arab. Ungkapan "Arwah" adalah merupakan kata jamak (plural) daripada perkataan roh. Ini bermakna, perkataan Arwah membawa makna roh-roh. Kalau ditinjau dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kenduri arwah merujuk kepada makna kenduri untuk saudara-mara. Selain itu, kenduri arwah juga boleh difahami sebagai himpunan ramai dengan hidangan jamuan di rumah si mati dan dilaksanakan bacaan tertentu dengan kaifiat tertentu termasuk tahlil dan doa. Perkataan "Tahlil" pula merujuk kepada ungkapan zikir لاإله إلا الله yang bermaksud "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah". Maka dapat kita rumuskan bahawa kenduri tahlil adalah sama seperti kenduri arwah.




Berbicara soal kenduri arwah dan tahlil, ianya adalah termasuk di dalam perkara khilafiah (perbezaan pandangan) yang muktabar. Ini kerana pada sisi pandangan para ulama dalam hal ini boleh dilihat dalam dua bentuk pandangan utama. Pandangan pertama, hukumnya adalah bid'ah atau dianggap rekaan dalam agama yang tidak punyai asas dalil dan hujah dari al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan kedua, sebahagian para ulama lain menyatakan hukumnya ialah harus selagi tidak dianggap hal tersebut sebagai wajib. Kedua-dua pandangan ini berdiri diatas asas masing-masing. Menurut pandangan pertama, perbuatan kenduri arwah dan tahlil dihukum sebagai bid'ah adalah berdasarkan beberapa hujah dan alasan. Antara lain, hujah mereka berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah, daripada Abdullah bin Ja'far beliau berkata yang bermaksud :

"Apabila tiba berita kematian Ja'far bin Abi Talib, Nabi SAW bersabda : Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’afar (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyulitkan) mereka."

Hadith ini menjelaskan bahawa arahan Nabi SAW mengharapkan jiran tetangga yang menetap berhampiran dengan keluarga si mati untuk membuat dan menyediakan makanan kepada keluarga si mati yang ditimpa musibah dan kedukaan menerima berita kematian. Selain itu, telah berkata Imam al-Syafie di dalam kitabnya al-Umm, beliau menyatakan bahawa dirinya suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli keluarga mayat, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu adalah sunnah dan ingatan yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Menurut para imam empat mazhab juga, kesemuanya berpandangan sunat memberi makan kepada keluarga di mati dan bukannya keluarga si mati menyediakan makanan kepada orang ramai.

Selain itu, antara hujah lain lagi ialah mengenai terdapat larangan oleh baginda Nabi SAW untuk meratapi kematian dengan berhimpun beramai-ramai. Perkara ini sebagaimana di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Empat perkara yang dilakukan oleh umatku yang berasal daripada tradisi jahiliyyah yang belum mereka tinggalkan: Berbangga-bangga dengan keturunan, mencela keturunan, mempercayai hujan turun berdasarkan ramalan bintang dan al-Niyahah (meratapi kematian)."




Menurut Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Sahih Muslim, beliau menyebut pada hadith ini terdapat keharaman niyahah (meratapi kematian) dan pelakunya diterima taubat selagi mana nyawa tidak sampai di kerongkong. Demikian ulasan al-Nawawi. Perbuatan niyahah (meratapi kematian) ditafsirkan sebagai jamuan yang diadakan oleh keluarga si mati untuk dimakan oleh orang ramai. Tafsiran ini sebagai yang telah diungkapkan oleh Jarir bin Abdillah al-Bajaliy RA, katanya kami menganggap berkumpul di rumah si mati dan makanan yang dibuat oleh keluarga si mati setelah pengebumiannya merupakan sebahagian daripada meratapi kematian. Selain itu, turut berpandangan sama ialah Imam al-Syaukani. Ini sebagaimana beliau menukilkan di dalam kitabnya, Nail al-Aurthar, bahawa perbuatan berkumpul orang ramai di rumah si mati setelah pengebumian dan menjamah makanan yang disediakan oleh tuan rumah adalah termasuk dalam meratapi kematian.

Ringkasnya, terdapat ramai lagi para ulama yang berpandangan kenduri arwah dan tahlil adalah rekaan dalam agama yang ditegah dan dilarang oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Selain itu hampir kesemua para imam mazhab berpandangan adalah makruh hukumnya keluarga si mati menyediakan makanan untuk orang ramai yang hadir. Bagi pandangan kedua pula, ada yang berpandangan harus atau dibolehkan dan dibenarkan diadakan kenduri arwah dan tahlil. Ini sebagaimana yang terdapat dalam pandangan mazhab al-Syafie, disebut oleh Imam al-Subki di dalam kitabnya Fatawa as-Subki, beliau menyatakan bahawa mengadakan majlis bacaan al-Quran dan doa untuk si mati itu baik, selagi tidak disertai dengan amalan bid’ah yang haram atau pembaziran. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj, beliau menyebut tidak ada halangan untuk membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada orang yang sudah meninggal, dan ini memberi manfaat kepadanya. Ini seperti doa yang dibacakan untuknya, sebagaimana yang disebut dalam hadith sahih.




Melihat kepada ungkapan ini, jelas bahawa al-Haitami membenarkan membaca al-Quran dan doa untuk si mati namun beliau tidak menyebut mesti dibuat secara kenduri dan berhimpun. Dalam mazhab Hanafi, telah berkata Imam Ibnu Abidin di dalam kitab Radd al-Muhtar, beliau menyebut bahawa majlis bacaan tahlil dan doa untuk si mati adalah harus selagi tidak ada unsur pembaziran dan paksaan. Selain itu Imam Ahmad ad-Dardir dalam mazhab Maliki pula menyatakan di dalam kitab Aqrab al-Masalik, bahawa mengadakan jamuan selepas kematian adalah harus jika bertujuan untuk bersedekah bagi pihak si mati. Turut menyatakan mengenai keharusan menghadiahkan pahala amalan untuk si mati ialah Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang bermazhab Hanbali. Beliau menyatakan di dalam kitabnya, ar-Ruh, amalan menghadiahkan pahala kepada si mati adalah diterima dan sampai kepadanya. Pun begitu, ungkapan oleh Ibn Qayyim adalah berkaitan pahala amalan membaca al-Quran tanpa beliau menyebut mesti diadakan dalam majlis khas atau kenduri arwah.

Demikianlah persoalan hukum mengenai kenduri arwah dan tahlil yang sering menjadi perbualan hangat dikalangan umat Islam. Apa yang boleh kita rumuskan, majoriti para ulama menyatakan bahawa kenduri arwah dan tahlil adalah bid'ah rekaan dalam beragama. Ini kerana jelas lagi bersuluh perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan oleh baginda Nabi SAW. Jika hal tersebut digalakkan, tentunya Nabi SAW akan melakukannya. Selain itu, amalan kenduri arwah juga termasuk sebagai meratapi kematian dan hal ini sangat dilarang dan ditegah oleh Nabi Muhammad SAW. Begitu juga baginda Nabi menyatakan amalan tersebut sebagai amalan umat jahiliah. Kenduri arwah dan tahlil juga dilihat mirip atau sama seperti amalan agama Hindu yang disebut sebagai Sraddha, Varsi, Tarpan, Pitru, Paksha dan Phul. Semua nama-nama tersebut merujuk kepada amalan orang Hindu yang membuat ritual bertujuan untuk mengirim doa dengan melakukan pemujaan khusus demi ibubaa mereka yang telah meninggal dunia. Oleh itu, adalah lebih selamat memilih jalan sebagaimana yang ditunjuki oleh Nabi SAW dan meninggalkan segala amalan bid'ah. Semoga Allah meredai kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan