Keinginan seksual kepada jantina yang berlawanan merupakan fitrah
semula jadi manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Memiliki perasaan tertarik
kepada lainan jantina adalah sesuatu yang tidak salah bahkan demikianlah yang
dijadikan oleh Allah sebagai tanda kekuasaan Nya. Maka dengan itu, Islam datang
dengan memberikan solusi meraikan fitrah manusia ini dengan pensyariatan
perkahwinan. Antara tujuan syariat perkahwinan selain meraikan fitrah manusia,
ianya juga bertujuan memeliharan nasab keturunan daripada keadaan yang
menghuru-harakan. Perkahwinan bukanlah jalan penamat kepada sebuah percintaan.
Malah perkahwinan datang dengan tanggungjawab dan peranan yang mesti
ditunaikan. Oleh itu, manusia yang berkahwin harus menjadi manusia yang
bertanggungjawab dan bukan sekadar berseronok bersama pasangan.
Perkahwinan bawah umur antara isu yang sentiasa mendapat perhatian
umum. Isu ini bukan sahaja perlu dilihat pada sudut hukum bahkan juga mesti
diambil kira berdasarkan lunas undang-undang negara. Pada sudut bahasa,
kanak-kanak di dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Sighaar (الصغار). Menurut Ibn Manzur sepertimana yang
dinukilkan di dalam kitab Lisan al-Arab, makna al-Sighaar ialah kurang
saiznya atau kurang umurnya. Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan definisi
kanak-kanak sebagai budak lelaki atau perempuan yang masih kecil. Pada sudut
istilah pula, al-Bazdawi menyebut di dalam kitab Kasyf al-Asrar,
kanak-kanak sebagai suatu ciri yang dikaitkan dengan seorang manusia semenjak
kelahirannya sehinggalah dia bermimpi basah. Dari sudut perundangan pula, Akta
611 (Akta Kanak-Kanak 2001), menjelaskan bahawa kanak-kanak bermaksud seseorang
yang dibawah umur lapan belas tahun.
Persoalan yang sering dibangkitkan adalah mengenai hukum
perkahwinan melibatkan mereka yang berada di bawah umur lapan belas tahun.
Pokoknya, isu ini perlulah dilihat dan dinilai berdasarkan dua kerangka sudut
pandang utama iaitu pertama, dalam kerangka sudut pandang Islam dan yang kedua,
kerangka sudut perundangan syariah yang berada di bawah bidang kuasa negeri
masing-masing. Dalam coretan ini, kita akan melihat pada kerangkan sudut
pandangan Islam berkaitan perkahwinan bawah umur. Dalam permasalahan ini,
terdapat sekurang-kurangnya dua pendapat utama. Bagi golongan pertama,
perkahwinan bawah umur adalah dibolehkan atau diharuskan. Manakala pendapat
kedua pula menyebut adalah tidak dibolehkan perkahwinan melibatkan pasangan
bawah umur. Pada penilaian yang dibuat, pandangan pertama yang membolehkan
perkhawinan bawah umur dilihat sebagai pendapat paling kuat dan muktamad.
Berdasarkan hujah dan dalil yang ada, golongan pertama yang
berpandangan dibolehkan berkahwin dengan pasangan bawah umur adalah berdasarkan
al-Quran, sunnah dan athar para sahabat Nabi SAW. Antara hujah yang dikemukakan
adalah seperti firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq ayat 4 yang bermaksud :
"Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang telah putus
dari kedatangan haid (menopaus), jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah
mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan, dan (demikian) juga iddah
perempuan-perempuan yang tidak berhaid".
Imam al-Qurtubi menyebut di dalam kitabnya, al-Jami' li Ahkam
al-Quran, ketika beliau menafsirkan ayat ini, beliau berkata Abu Uthman bin
Salim berkata :
“Ketika ‘iddah untuk kaum perempuan yang diturunkan dalam Surah
al-Baqarah adalah ‘iddah untuk wanita yang dicerai suaminya dan wanita
ditinggal mati suaminya, maka Ubay bin Ka’ab berkata, “Wahai Rasulullah,
sesungguhnya orang ramai mengatakan bahawa masih ada kaum perempuan yang
tentang mereka tidak disebutkan apa pun. Mereka adalah wanita yang masih kecil
dan wanita yang tengah hamil. Maka turunlah: (وَاللَّائِي
يَئِسْنَ...) “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus dari
kedatangan haid…”
Selain itu, Imam al-Syaukani pula menyebut di dalam kitabnya, Tafsir
Fath al-Qadir, bahawa maksud daripada ayat "perempuan-perempuan
yang tidak berhaid" ialah mereka yang masih keci dan belum sampai usia
haid. Berdasarkan kefahaman ayat ini, bermakna terdapat iddah bagi perempuan
yang dicerai apabila dirinya masih kecil dan belum haid. Begitu juga menurut
pandangan Imam al-Baghawi di dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Baghawi,
beliau menjelaskan bahawa perempuan-perempuan tidak berhaid bermaksud mereka
yang kecil belum haid lagi. Selain itu juga, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di
dalam kitab Zad al-Ma'ad, beliau menyatakan bahawa iddah perempuan yang
tidak berhaid ada dua jenis iaitu jenis pertama, perempuan kecil yang
tiada haid dan jenis kedua, perempuan besar yang sudah putus haid.
Dalam al-Sunnah, diceritakan oleh Aisyah Ranha, beliau berkahwin
dengan Rasulullah SAW pada ketika usia Aisyah masih kanak-kanak. Ini
sebagaimana yang terdapat di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada
Aisyah Ranha yang bermaksud :
"Bahawa Nabi SAW mengahwininya sedangkan beliau berusia enam
tahun dan bersama dengannya ketika berusia sembilan tahun. Kemudian hidup
bersama Rasulullah SAW selama sembilan tahun".
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahwa baginda Nabi SAW
mengahwini isterinya Aisyah Ranha ketika Aisyah berusia enam tahun. Ini
membuktikan jika benar Islam melarang perkahwinan bawah umur pastinya
perkahwinan antara Nabi dan Aisyah juga ditegah oleh syarak. Selain itu, turut
menjadi hujah keharusan perkahwinan bawah umur ialah berdasarkan athar para
sahabat Nabi Muhammad SAW. Antara lain sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab
Tarikh Damsyiq oleh Imam Ibn Asakir, beliau menyebut mengenai kisah
pinangan Umar al-Khattab terhadap anak perempuan Ali bin Abu Talib. beliau
menyebut :
"Bilamana Saidina Umar bin al-Khattab ingin meminang Ummu
Kalthum daripada ayahnya iaitu Saidina Ali RA. Maka Saidina Ali RA berkata:
“Sesungguhnya dia masih kecil.” Maka Saidina Umar berkata kepada Saidina Ali:
“Wahai Abu al-Hassan, kahwinkanlah aku dengannya, sesungguhnya pada dirinya
terdapat kelebihan yang tidak terdapat pada orang lain.” Saidina Ali menambah:
“Baiklah, aku akan utuskan Ummu Kulthum kepadamu dan sekiranya kamu berkenan
maka aku akan menikahkannya denganmu.”
Demikian sebahagian hujah dan dalil yang dinukilkan oleh golongan
pertama yang berpendapat bahawa dibolehkan perkahwinan bawah umur. Bagi
golongan kedua pula, mereka berpandangan bahawa tidak boleh atau tidak wajar
perkahwinan melibatkan usia kanak-kanak bawah umur. Antara hujah dan dalil yang
memjadi sandaran mereka ialah berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah
al-Nisa ayat 6 yang bermaksud :
"Dan ujilah anak-anak yatim sampai mereka mencapai usia nikah.
Apabila kalian menemukan kecerdasannya maka serahkanlah harta-harta itu kepada
mereka"
Berdasarkan kefahaman ayat ini, golongan ini menyebut tanda
tamatnya usia kanak-kanak adalah sampainya umur pernikahan. Seandainya
pernikahan kanak-kanak itu dikira sah maka matlamat ayat ini tidak membawa
sebarang makna. Selain itu, mereka juga berpandangan perkahwinan melibatkan
umur kanak-kanak tidak akan dapat memberi faedah. Hal ini kerana dalam
perkahwinan, antara tujuan berkahwin ialah untuk bergaul sebagai suami isteri,
menghasilkan keturunan dan memberikan ketenangan jantung hati. Pada mereka,
kesemua ini tidak akan dapat dicapai melalui perkahwinan bawah umur. Demikiam
hujah dan dalil yang dijelaskan. Walau apapun, rumusan mudah ialah Islam tidak
menghalang, melarang apatah lagi menegah perkahwinan bawah umur. Namun begitu
tentu sekali perlu mematuhi dan mengikuti proses undang-undang termasuk
bersedia dari sudut mental dan fizikal. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan