Selasa, 30 April 2024

TUNTUTAN BEKERJA PADA NERACA ISLAM

 

Menjelang tanggal 1 Mei, seluruh dunia akan menyambut Hari Pekerja atau Hari Buruh. Dalam konteks negara kita, tarikh 1 Mei pada setiap tahun diumumkan sebagai hari kelepasan am bergaji. Ini sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955, terdapat 5 hari cuti yang wajib majikan ambil antaranya ialah pada tarikh 1 Mei yang diumumkan sebagai hari pekerja. Walau bagaimana pun, sekiranya pekerja diminta untuk bekerja pada hari tersebut, pihak majikan terikat kepada tuntutan undang-undang yang mesti dipenuhi sebagai syarat membolehkan pekerja untuk bekerja pada hari tersebut. Ini sekaligus memastikan agar hak pekerja yang tidak diberikan cuti dapat menikmati keistimewaan bekerja pada hari tersebut.

Dalam kita menyambut hari cuti 1 Mei ini, penggunaan istilah yang lebih tepat disebut sebagai Hari Buruh dan bukannya disebut Pekerja. Ini kerana sejarah Hari Buruh ini diwujudkan bagi tujuan memperingati perjuangan para buruh yang menuntut hak-hak mereka sebagai pekerja ketika revolusi industri berkembang pesat di Barat. Perkembangan di Barat ketika itu bergantung harap kepada pemodal kapitalis (pemilik kilang). Keadaan ini menjadikan kerajaan lemah kerana membiarkan pasaran mengatur dirinya sendiri menerusi amalan "Laissez Faire" yang menghalang campur tangan aktif kerajaan dalam aktiviti ekonomi dan pasaran. Secara tidak langsung, keadaan tetsebut, telah menekan para buruh yang dipaksa mengerah tenaga dengan bayaran gaji yang tidak setimpal. Maka bermula lah sejarah kebangkitan buruh menuntut hak mereka yang sepatutnya.




Dalam Islam, bekerja adalah suatu ibadah yang sangat mulia disisi Allah SWT. Ini kerana melalui pekerjaan yang dilakukan tersebut, dirinya dapat menjauhi dari bersikap meminta-minta, mengemis dan sebagainya. Malah, Islam memandang mulia bagi mereka yang memenuhi keperluan hidup dengan usaha keringat mereka sendiri. Kemuliaan ini sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri"

Demikianlah bagaimana sesuatu pekerjaan itu jika dilakukan dengan baik pada menurut syarak, tentu sekali Allah akan memelihara dirinya dengan hidup bermaruah, tidak mengemis dan meminta-minta. Oleh itu, pekerjaan yang halal, dilakukan pula dengan penuh berintegriti, memenuhi keperluan tugas dan tidak bersambil lewa melaksanakan pekerjaannya, hal itu lebih disukai dan dicintai oleh Allah Azza Wa Jalla. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat al-Tabarani, daripada 'Aisyah Ranha, bahwa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Hakikatnya, Islam sangat memberikan galakan kepada umarnya untuk hidup dengan bekerja dan berusaha sendiri. Ini bermakna, bekerja adalah suatu hal yang mulia tanpa mengira apa pekerjaan tersebut. Kadang pada ukur nilai manusia, pekerjaan yang hebat , bergaji besar, duduk di pejabat berhawa dingin dinilai sebagai pekerjaan yang bagus, berkat dan sebagainya. Walhal, keberkatan dan kehebatan bekerja bukanlah terletak semata-mata kepada jenis pekerjaan yang dilakukan tetapi lebih mustahak dan penting dari itu ialah soal sumber pendapatan itu sendiri. Pekerjaan hebat belum menjamin keberkatan rezeki namun keberkatan bekerja dengan penuh amanah, telus dan halal disisi syarak, tentu sekali menjamin kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat.

Dalam soal bekerja, Islam menyuruh umatnya untuk bekerja dengan mencari sumber rezeki yang halal. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat al-Baihaqi, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”




Maka melalui pemahaman maksud hadith ini, jelas kepada kita bahawa sesuatu pekerjaan itu dianggap mulia apabila dilakukan dengan cara yang halal lagi baik. Sebaliknya, jika pekerjaa tersebut dilakukan dengan mendapat sumber yang haram, malah sombong dan bongkak pula, maka di akhirat nanti akan dibangkitkan dalam keadaan penuh kehinaan dan kemurkaan Allah. Oleh itu, bekerjalah dengan cara yang halal lagi baik seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Janganlah kerana mahu kedudukan yang lebih baik di dunia, diberi pula habuan yang mengaburi mata, kita sanggup menggadaikan prinsip keimanan kita kepada Allah Azza Wa Jalla dengan melakukan pekerjaan yang haram disisi agama Islam. Barangkali pekerjaan kita tidaklah sebaik orang lain asalkan pekerjaan tersebut memberikan kita sumber rezeki yang baik lagi diredhai oleh Allah.

Pada dasarnya, Islam sangat memelihara hak-hak pekerja. Antara hak yang dituntut oleh Islam kepada para majikan adalah dengan memberikan upah atau gaji kepada pekerja diatas hasil usaha dan keringat tenaganya. Perkara ini ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Ibn Majah, daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

”Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”

Dalam hal ini, telah berkata Imam al-Munawi di dalam kitabnya, Faidh al-Qadir, beliau menyatakan bahawa haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering. Demikian apa yang dinyatakan olehnya. Pun begitu, sekiranya terdapat persefahaman antara majikan dan pekerja tentang soal upah gaji ini maka tidaklah menjadi masalah. Begitu juga dalam beberapa keadaan tertentu yang meruncingkan, para majikan perlu berterus-terang kepada pekerjanya andai menghadapi kelewatan membayar agar para pekerja tidak terasa ditindas dan dizalimi.

Bagi memelihara hak pekerjaan, peringatan tegas oleh Allah SWT melalui lisan baginda Nabi SAW kepada para majikan agar tidak cuai dan berlaku pengabaian terhadap pekerjanya. Ini boleh dilihat sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith qudsi riwayat Bukhari, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan".




Lihatlah betapa tegasnya Allah dan rasul Nya bagi menjamin hak mereka yang bekerja. Keadaan ini bertepatan naluri dan fitrah kemanusiaan yang mahukan nilai keadilan sosial ditegakkan. Selain itu, melalui lidah dan suara para sarjana Islam juga, telah memberikan penekanan agar hak para pekerja mesti dipelihara dan tidak berlaku penindasan terhadap mereka. Antara mereka yang tegas dalam soal ini ialah Imam al-Subki. Beliau telah menukilkan dalam kitabnya, Fatawa al-Subki dengan menyatakan bahawa :

“Seseorang yang mengupah orang lain bekerja, kemudian orang tersebut telah menunaikan tugasnya dengan baik, namun dia tidak memberikan upahnya, adalah sama seperti orang yang menghambakan manusia merdeka. Dia menghalang orang lain untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunnah. Maka ini sama sahaja dengan orang yang menjual manusia merdeka kemudian memakan hasilnya. Ini adalah dosa yang sangat besar.”

Demikianlah sebahagian daripada tuntutan bekerja pada neraca tuntutan syarak. Selain apa yang kita lihat ini, banyak lagi hadith-hadith Nabi yang memberikan penekanan dan ketegasan kepada para majikan dan pekerja agar tidak berlaku penindasan dan kezaliman antara dua pihak. Namun apa yang pastinya, pekerjaan yang halal disisi syarak, yang kita lakukan setiap hari bagi memenuhi tuntutan keperluan hidup di dunia ini boleh menjadi saham pahala di akhirat sana dengan kita mengikhlaskan diri mencari nafkah hidup, melakukan tugas dengan penuh amanah, tidak culas dan berdisplin, semua ini pastinya tidak akan terlepas dari penilaian oleh Allah SWT. Kita juga dapat melihat intipati ajaran Islam yang bersifat sempurna ini sentiasa releven dalam semua bab kehidupan walaupun golongan Barat dilihat sebagai hero dalam menuntut keadilan sosial, namun ternyata Islam telah sekian lama mengangkat nilai-nilai ini melalui wahyu Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan