Sabtu, 27 April 2024

BULAN SABIT DAN BINTANG SIMBOL AGAMA ISLAM ?

 

Agama merupakan elemen terpenting dalam kehidupan bagi seorang manusia yang waras. Kedudukan beragama telah banyak mempengerahui cara kehidupan seharian. Malah acapkali kita mendengar orang-orang bercakap jika bagus agamanya maka baguslah peribadi dan kehidupannya. Ini secara tidak langsung menggambarkan kepada kita bahawa ajaran agama antara faktor yang mampu dan boleh mencorakkan kehidupan seseorang menjadi lebih baik. Bagi mereka yang beragama Islam dan bagi sesiapa sahaja yang sedang dan telah mendalami ajaran Islam, tentu sekali akan melihat betapa banyak nilai-nilai kebaikan disisi agama ini yang telah menjadi penyelamat kehidupan bagi umat manusia. Ini kerana Islam itu sendiri adalah agama fitrah yang sesuai dengan naluri seorang insan.

Apabila kita bercakap tentang soal agama Islam, tentu sekali ramai yang beranggapan bahawa simbol bagi agama Islam ialah bulan sabit dan bintang. Anggapan ini menjadi lebih kuat dan kukuh apabila kita seringkali melihat terdapat sebahagian masjid dengan seni binanya meletakkan simbol bulan sabit dan bintang pada kubahnya. Juga dalam banyak cetakan bahan-bahan bacaan seperti komik, buku cerita, kamus bergambar dan sebagainya, kita akan dapati gambaran bulan sabit dan bintang itu dirujuk sebagai simbol bagi agama Islam. Persoalannya, apakah benar gambaran tersebut ? Jika sekalipun benar, apakah rasionalnya bulan sabit dan bintang dijadikan sebagai simbol bagi agama Islam ? Jika dilihat pada kerangka agama selain Islam, kita akan dapati seperti agama Kristian, dikenali simbolnya dengan tanda salib, agama hindu dikenali simbolnya dengan simbol Om dan lain-lain agama lagi.




Bagi menjawab persoalan ini, terlebih dahulu perlu dilihat dan dirujuk pada wahyu Allah SWT yang juga merupakan petunjuk bagi sekalian manusia, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Dalam al-Quran, perkataan bulan sabit dan bintang memang disebutkan oleh Allah SWT tetapi dengan tujuan menunjukkan kekuasaan Nya. Bahkan, dalam al-Quran juga terdapat satu surah khusus berkenaan bintang iaitu surah al-Najm selain terdapat beberapa ayat lain yang menyatakan tentang bulan sabit. Pun begitu, bulan sabit dan bintang yang disebutkan di dalam al-Quran tidak ada langsung yang dinyatakan sebagai simbol rasmi bagi agama Islam. Begitu juga di dalam ajaran al-Sunnah, tidak ada sama sekali hadith Nabi yang menjelaskan tentang bulan dan bintang sebagai simbol bagi agama Islam. Ini sekaligus menjelaskan lagi bahawa sesungguhnya agama Islam ini sama sekali tidak mempunyai sebarang simbol pun termasuklah simbol bulan sabit dan bintang.

Allah dan rasul Nya tidak pernah mengiktiraf apa-apa pun simbol bentuk untuk merujuk pada agama Islam. Walaupun begitu, terdapat beberapa catatan sejarah yang menunjukkan tentang asal usul simbol bulan dan bintang ini yang dijadikan sebagai simbol bagi agama Islam. Ini sebagaimana catatan yang boleh kita lihat dalam kitab Nizam al-Hukumah al-Nabawiah yang dinukilkan oleh Sheikh Abdul al-Hayy al-Kattani, beliau menjelaskan bahawa :

"Pada asalnya Philip II of Macedon (beliau adalah raja Macedon atau Macedonia yang kini dikenali sebagai Greece yang hidup pada tahun 359 sebelum masihi dan telah dibunuh pada tahun 336 sebelum masihi) beliau adalah ayah kepada Alexander the Great atau Alexander III of Macedon atau Iskandar Zulkarnain. Ketika dia menyerang bersama tenteranya ke atas Empayar Byzantium iaitu Kota konstantinopel (salah satu kota jajahan bagi empayar Byzantium). Selepas beberapa malam tenteranya bertahan, mereka berjaya mengalahkan dan mengusir tentera empayar Byzantium dari kota tersebut. Kejadian tersebut berlaku pada waktu sahur, mereka mengambil gambar bulan sabit sebagai lambang rasmi dan pemberi semangat juga peringatan terhadap peristiwa tersebut. Maka daripada lambang ini ia diguna pakai pada istana-istana, kemudian kerajaan Utsmaniyah berjaya mengalahkan mereka dan simbol ini telah masuk ke negara Qazan (kini dikenali sebagai Rusia)."




Bahkan menurut Sheikh al-Kattani lagi, perbuatan meletakkan gambar bulan sabit pada puncak menara-menara masjid adalah perbuatan yang baru di dalam agama (bidaah). Demikian apa yang telah dinukilkan olehnya. Melalui kenyataan ini jelaslah kepada kita bahawa Islam sama sekali tidak diwakili oleh mana-mana simbol termasuklah apa yang menjadi anggapan kita selama ini. Jika kita melihat kepada sorotan kajian sejarah, ada yang menyatakan simbol bulan sabit dan bintang ini telah mula digunakan sejak pada zaman Tamadun Sumeria sekitar 6000 SM lagi. Pada zaman tamadun tersebut, bulan sabit mewakili “Sin” yang dianggap sebagai Tuhan Bulan. Bintang pula mewakili Venus dalam mitologi Rom Purba. Selain itu, melalui rekod-rekod catatan sejarah juga menyaksikan bahawa simbol tersebut telah digunakan secara bersama untuk kali pertama oleh kerajaan monarki Israel pada abad ke-13 dan ke-14 SM.

Selain itu, simbol bulan sabit dan bintang terus berkembang penggunaannya dan kebanyakannya digunakan sebagai cap mohor dalam pelbagai urusan kerajaan. Sorotan sejarah juga jika ditelusuri lebih jauh lagi sekitar abad ke-2 dan ke-1 SM, kita akan dapati bahawa terdapat artifak berbentuk kepingan syiling di mana kedua simbol itu dikeluarkan sejak ketamadunan Mesopotamia. Dalam konteks geografi di Anatolia yang kedudukannya terletak antara Eropah dan Asia, Raja Pontus Mithridates VI adalah amat sinonim dalam penggunaan bulan sabit dan bintang. Bulan sabit dan bintang digunakan secara bersama pada panji-panji raja. Demikianlah sebahagian sorotan kajian dan sejarah yang menunjukkan kepada kita asal usul penggunaan simbol bulan sabit dan bintang. Sorotan ini penting untuk kita fahami bagi menjelaskan lagi bahwa agama Islam tidak sama sekali diwakili oleh sebarang simbo atau bentuk logo yang tertentu.

Namun begitu, penggunaan simbol bulan sabit dan bintang bagi menggambarkan ianya sebagai agama Islam tidaklah salah selagimana penggunaan tersebut tidak menyalahi syarak. Dalam erti kata lain, simbol tersebut boleh diguna pakai dengan tujuan menjelaskan Islam selagi mana simbol tersebut tidak dianggap sebagai syiar bagi agama Islam. Ini kerana untuk menjadikan ianya sebagai syiar, tentunya hal tersebut memerlukan kepada pengiktirafan yang bersifat autentik oleh Allah dan rasul Nya. Agama Islam adalah agama fitrah untuk semua umat manusia. Ianya tidak diwakili oleh sebarang bentuk logo atau simbol. Simbol-simbol tersebut meski seringkali dianggap sebagai simbol Islam, namun hakikatnya dalam ajaran Islam, simbol atau sebarang logo tertentu padanya tidak ada sedikit pun kelebihan dan keistimewaan. Ini termasuklah simbol logo capal yang seringkali menjadi kecanduan bagi sesetengah puak pelampau. Dengan itu, ketahuilah kita bahawa Islam tidak diwakili oleh sebarang simbol. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan