Isnin, 8 April 2024

ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA

 

Sepertimana yang kita tahu, perayaan hari raya Aidilfitri dan Aidiladha merupakan suatu syiar agama yang dikurniakan oleh Allah SWT bertujuan untuk menzahirkan kegembiraan selain menunjukkan tanda kesyukuran. Selari dengan fitrah manusia, agama Islam disyariatkan ini bukan sahaja untuk memenuhi maksud ketaatan kepada Allah sebaliknya disebalik pensyariatan tersebut ada ruang juga untuk memenuhi fitrah insani yang suka akan kegembiraan dan keseronokkan. Oleh kerana itu, dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Ahmad, baginda SAW telah menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT telah menggantikan dua hari yang terbaik iaitu Aidilfitri dan Aidiladha, hari untuk umat Islam bergembira dan berseronok.

Hari raya merupakan hari untuk kita menziahirkan kegembiraan dan kesyukuran. Dalam erti kata yang lain, pada hari tersebut, semua orang Islam dituntut untuk bergembira dengan disunatkan memakai baju yang elok dan cantik, memakai wangi-wangian, keluar beramai-ramai menuju ke tempat solat sambil melaungkan takbir dan tahmid , sunat untuk menjamah makanan terlebih dulu sebelum solat dan seumpamanya. Bahkan, dalam suatu hadith Nabi riwayat Bukhari dan Muslim, Ummu Atiyyah memberitahu bahawa baginda Nabi SAW menyuruh semua gadis-gadis remaja dan wanita yang sedang haid untuk keluar bersama ke tempat solat. Ini memberikan isyarat jelas bahawa betapa kita sangat dituntut untuk bergembira pada hari kemenangan tersebut.




Maka pada hari tersebut juga, menjadi kelaziman masyarakat Islam khususnya di Malaysia, selepas solat raya, sebahagiannya akan menziarahi tanah perkuburan. Amalan menziarahi kubur pada asalnya ada sunat. Ianya adalah suatu amalan yang terpuji walaupun dahulu baginda Nabi pernah melarang untuk menziarahinya. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kerana padanya ibrah (pengajaran).”

Berdasarkan pemahaman hadith tersebut, jelas bahawa tujuan utama menziarahi kubur adalah untuk mengambil pengajaran dengan mengingati hakikat kematian itu sendiri. Oleh itu, hukum asalnya menziarahi kubur adalah sunat. Pun begitu, amalan menziarahi kubur yang khusus dilakukan pada hari raya telah menjadi suatu isu polimik dikalangan para ulama ketika membahas berkenaan hukumnya. Perbezaan pandangan ini bukanlah menyentuh hukum asal menziarahi kubur sebaliknya lebih menyentuh kepada pengkhususan hari serta memelihara tujuan bergembira pada hark raya. Dikalangan para ulama terbahagi kepada dua pandangan.

Pandangan pertama, hukumnya adalah harus. Ini kerana tidak ada sebarang perintah mahupun larangan khusus untuk menziarahi kubur pada hari raya selain mengambil pendapat umum berkenaan perintah ziarah kubur.

Menurut Imam Ibn Abi Syaibah dalam kitabnya, al-Musannaf, beliau menukilkan bahawa :

“Daripada Atha’ bin al-Sa’ib, katanya: “Saya melakukan solat Subuh di masjid ini pada hari raya puasa, dan bertemu Abu ‘Abd al-Rahman dan Abdullah bin Ma’qil. Setelah selesai menunaikan solat, keduanya keluar, dan saya juga keluar bersama kedua-duanya menuju ke perkuburan jabanah.”

Selain itu, turut menyatakan pandangan harus ialah mantan Mufti Jordan, Syeikh Dr. Nuh Ali Salman al-Qudhah. Ketika beliau ditanya tentang hukum menziarahi kubur pada hari raya, beliau menyatakan bahawa ziarah kubur hukumnya harus pada hari raya dan selainnya. Begitu juga dalam Fatwa Dar al-Iffta' al-Misriyyah, dijelaskan bahawa tiada waktu yang ditentukan bagi ziarah kubur. Ia adalah luas. Cuma hari raya dijadikan hari gembira, maka tidak disunatkan melakukan perkara yang mengembalikan dukacita pada hari-hari sebegini. Namun, sekiranya dengan hal demikian itu tidak mengembalikan dukacita dan kesedihan, maka tidak mengapa untuk menziarahi orang mati pada hari raya. Demikian pandangan serta hujahan bagi mereka yang berpegang pada hukum harus.




Bagi pandangan kedua, sebahagian lain menyatakan hukum makruh dan tidak dibenarkan, tidak digalakkan untuk menziarahinya. Malah perbuatan tersebut dianggap sebagai bid'ah. Ini kerana tidak ada sebarang perintah mengkhususkan supaya diziarahi kubur pada hari raya. Perbuatan mengkhususkan menziarahi kubur pada hari raya tidak bersumberkan dari ajaran Nabi SAW. Malah, pada hari raya tersebut kita dituntut untuk bergembira dan bertemu dengan orang ramai. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Jabir RA berkata yang bermaksud :

“Rasulullah pada hari raya mengambil jalan yang berbeza”

Melihat kepada pemahaman hadith ini, jelas menunjukkan kepada kita bahwa baginda Nabi SAW jalan pergi ke tempat solat dan pulang melalui laluan yang berbeza. Kemungkinan hikmahnya untuk berjumpa ramai orang sambil saling memberi ucapan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain. Hadith ini juga menjelaskan kepada kita bahawa pada hari raya, kita digalakkan untuk bertemu orang ramai dan bukannya pergi menziarahi kubur menemui mereka yang telah meninggal dunia dan bersedih. Perbuatan ini secara tidak langsung dapat menenggelamkan suruhan bergembira pada hari kemenangan umat Islam. Oleh itu, pada hari yang disuruh untuk kita bergembira dan meraikannya, maka nikmatilah pada hari tersebut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Pandangan ini juga dilihat lebih dekat dan menepati tuntutan syiar bergembira pada hari raya.




Untuk lebih memahami isu ini dengan lebih baik, lihatlah bagaimana pandangan oleh Syeikh Athiyyah Saqr yang dinukilkan dalam kitab Ahsan al-Kalam Fil-Fatawa Wal-Ahkam, beliau menyatakan bahawa :

"Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat. Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa. Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah. Ini kerana takziah selepas daripada mayat dikebumikan lebih daripada tiga hari adalah dilarang, sama ada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Juga kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidak ditimbulkan perasaan sedih padanya".

Sesungguhnya pada hari raya yang kita raikan ini, ianya menjadi syiar untuk kita bergembira sepertimana yang dituntut oleh ketetapan syarak. Hari raya bukanlah hari untuk kita mencurahkan airmata hiba dan bersedih. Malah, pada zaman baginda Nabi, sebahagian para wanita menyanyi bergembira, dan perkara tersebut tidak dilarang oleh Nabi walau pada ketika itu Abu Bakar RA seperti marah mendengarnya. Namun Nabi SAW membiarkannya untuk mereka berseronok dan bergembira. Apabila demikian yang dituntut, maka janganlah pula kita mengisi hari raya dengan bersedih, hiba menziarahi kubur. Usahlah kita cemarkan hari raya ini dengan perbuatan yang menyalahi tujuan disyariatkan hari raya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan