Tahun 2019 merupakan tahun yang membuka lembaran dengan penuh
dukacita buat kami sekeluarga. Saya yang ketika itu bersama isteri dan anak,
sedang menghabiskan cuti di Songkhla, Thailand telah menerima panggilan
daripada adik yang memberitahu bahawa mak tidak boleh bangun dari tidur,
membuatkan kami mengambil keputusan pada ketika itu untuk membatalkan niat
berada di bumi Gajah Putih dengan lebih lama dan segera pulang ke Perlis bagi
melihat keadaan sebenar mak. Tentu sekali peristiwa ini takkan terpadam oleh
memori selagi Tuhan memberi kesempatan untuk terus diingati.
Episod tersebut telah membuka suatu perjalanan akhir seorang wanita
yang telah melahirkan dan membesarkan kami 4 beradik. Bagai mimpi yang
menjelma, mak yang suatu ketika dahulu sangat gemar dan rajin memasak, malah
tidak pernah lokek untuk memenuhi permintaan memasak masakan kegemaran
anak-anaknya kini tidak lagi mampu bergerak. Mak yang suatu ketika dahulu
sangat gemar membuat beraneka kuih-muih, kek coklat dan pelbagai lagi kini
tidak lagi boleh melakukannya. Mak juga yang dahulu dikenali dengan
kelincahannya mengasuh beberapa anak-anak guru dan pensyarah, kini tidak lagi
seperti itu. Akibat komplikasi penyakit yang datang menyapa, mak tidak lagi
seperti dahulu yang kami kenali.
Rentetan itu, mak yang diuji oleh Allah dengan komplikasi penyakit
tersebut telah merubah banyak perkara di dalam rumah tempat kami dibesarkan.
Sebagai manusia yang berjalan diatas takdirNya, pelbagai usaha dilakukan bagi
memastikan mak yang kami kenali dahulu dapat aktif dan pulih seperti biasa.
Tatkala itu juga, pelbagai ujian mehnah dan tribulasi kesakitan yang mak alami.
Memadai dengan ungkapan "Hanya Allah Yang Tahu", mak yang kami kenali
dengan sifatnya yang baik semakin hari semakin mengusarkan hati. Sedikit demi
sedikit mak yang meniti usia 50-an ini semakin hilang keupayaan normal seorang
manusia.
Tutur bicaranya yang petah dan peramah itu semakin tersangkut dan
hilang abjad hurufnya. Penglihatannya yang berkaca mata kini kian kabur
menghilang warna. Langkah kakinya yang dahulu kemas tersusun kini kian terjerat
dek kegagalan sarafnya. Hari-hari yang pergi meninggalkan sejarah telah
memperlihatkan keadaan mak yang semakin lemah dan tidak berdaya tenaganya.
Semuanya memerlukan bantuan orang sekeliling untuk mandi dan sebagainya. Lebih
membimbangkan lagi, melangkah tahun 2020, yang dijangka sebagai tahun yang
penuh wawasan bertukar wajah menjadi suram dengan wabak Covid 19. Mak yang
mengalami masalah saraf dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi. Namun
Allah jua sebaik-baik tempat bergantung, tiada apa-apa gejala yang dialaminya
sepanjang tempoh PKP.
Dalam kegelutan itu juga, beberapa episod keluar masuk hospital
dengan pelbagai sebab telah menjadi sebahagian rencah perjalanan akhir mak kami
yang tercinta ini. Berkat semangat abah yang setia menjaga isterinya yang juga
mak tercinta kami, serta komitmen isteri saya, adik beradik dan sanak saudara
yang sedia membantu, segala detik peristiwa cemas ini diharungi dengan
kesabaran dan ketabahan sambil menyerahkannya kepada Sang Pencipta.
Alhamdulillah episod duka berada di hospital berubah menjadi suka apabila
dibenarkan pulang ke rumah setelah stabil semuanya. Pun begitu, jasadnya masih
memerlukan sokongan dan bantuan untuk duduk, mandi dan lain-lain pergerakkan.
Meskipun pergerakannya yang terbatas, mak sentiasa mahu makan dan minum dan ini
yang membuatkan hati kami senang.
Setelah tahun melangkau tahun, tidak banyak perubahan yang berlaku.
Dengan pergerakan yang terbatas, mak hanya mampu duduk diatas kerusi roda dan
baring diatas katil yang khas untuk pesakit. Tidak banyak yang berubah.
Kadang-kala penyakit kulit, simptom kaki bengkak dan pelbagai lagi komplikasi
bersilih ganti menguji kesihatan mak. Sehingga lah pada tarikh 28 Mei 2024, mak
dibawa rujuk ke Hospital Tuanku Fauziah ekoran terdapat luka yang mendalam.
Sebelum daripada itu, mak sudah tidak boleh bangun duduk seperti biasa. Asyik
terbaring dalam keadaan lemah dan tidak terdaya. Lebih merisaukan, mak sudah
beberapa hari tidak mahu makan kerana tidak ada selera. Setelah dimasukkan ke
wad, maka bermulalah episod akhir yang meniti penghujung usianya. Ya, keadaan
mak sudah tidak seperti dahulu. Atas nasihat doktor, mak perlu makan dan minum
melalui tiub. Bermulalah episod bersiri yang memisahkan kami dengan syurga
kami.
Bacaan gula dan darah bersilih ganti antara stabil dengan tidak
stabil. Ada masanya, bacaannya ok dan ada pula keadaannya menunjukkan bacaannya
tidak ok. Tambah pilu, mak terpaksa bernafas dengan menggunakan alat bantuan
pernafasan. Rentetan daripada itu, kehangatan cuaca petang di Ipoh, Perak pada
tarikh 11 Jun 2024 tidak dapat menafikan kedinginan tubuh ini sebaik sahaja
menerima mesej dari abah yang menyatakan mak sudah kritikal. Mesej abah
selanjutnya yang menyebut "anak-anak yang jauh mohon doakan" tidak
dapat meredakan perasaan kami yang jauh di mata ini. Pada petang itu
dijadualkan sepatutnya bertugas untuk mengajar agama terus terhenti langkah
dengan perkhabaran cemas ini. Tanpa berfikir panjang, saya dan isteri bersama
anak-anak bergegas pulang ke Perlis dengan segera.
Berderai airmata umpama kejadian kepala air yang menggila. Emosi
berat sambil berfikir segala kemungkinan yang akan berlaku. Sebaik tiba di
hospital pada malam 11 Jun 2024, abah adalah insan pertama yang datang memujuk
diri ini lalu membisik pada saya untuk belajarlah redha dan sedia dengan segala
kemungkinan. Bak kata abah, segala usaha telah dilakukan namun kerja Tuhan
mengatasi segalanya. Ya kata-kata itu sedikit sebanyak telah menenangkan saya
sambil pada masa sama, diri ini cuba untuk berdamai dengan apa jua yang telah
Tuhan tentukan untuk hidup ini. Tarikh keramat 5 Zulhijjah 1445 hijrah
bersamaan 12 Jun 2024, pada jam 6.20 petang, perjalanan hayat seorang wanita
hebat ini terhenti buat selamanya disamping suami dan kesemua anak-anaknya.
Berjurai airmata mengiringi pemergian syurga buat kami anak-anaknya. Betapa
berat sebenarnya untuk merelakan keberangkatan pulang hamba Nya, namun takdir
telah tertulis akan segalanya dan kami dengan penuh kedaifan, akur akan tinta
perjalanan qada dan qadar ini.
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya, saya berpeluang untuk melihat
wajah insan yang banyak berkorban masa, tenaga dan keringatnya untuk
membesarkan kami empat beradik. Melihat akan ketenangan wajahnya disaat
menyahut seruan pulang ke pangkuan ilahi, membuatkan saya tenang dan redha akan
pemergiannya yang telah memakan masa perjalanan deritanya selama lebih kurang 5
tahun lama. Untuk memujuk hati juga agar redha, saya bersyukur dapat mengajar
mak mengingatkannya kembali akan kalimah tauhid agung di tepi telinganya sambil
memohon ampun dan redhanya. Perjalanan 5 tahun ini tentu sekali telah meragut kenikmatan
kami memiliki seorang mak yang sungguh baik, rajin dan penyayang. 5 tahun
lamanya juga, saya tidak lagi dapat merasai masakan gulai ayam padu hasil
tangan mak sendiri. Pada tempoh itu juga, episod duka lebih banyak mengisi slot
hati ini yang runtun jiwa melihat akan kondisinya.
Mengimbau perjalanan akhir insan yang mulia ini, tentu sekali
disebalik itu terdapat watak-watak yang setia menjaga dan menguruskannya.
Watak-watak ini telah memainkan peranan dan jasanya yang begitu besar, sentiasa
berjuang berhempas pulas siang dan malam, biar bersilih bulan dan tahun, mereka
telah banyak menampung kekurangan kami sebagai anak lelaki untuk menjaga insan
yang mulia ini. Tanpa berbelah bagi, ucapan terima kasih dengan penuh sanjungan
budi yang tulus khas kepada abah saya, Azis Bin Othman yang tidak lari walau
seinci daripada menjaga mak kami. Walau kadang diri ini cuba untuk pulang
menjenguk setiap minggu, ada juga kadang minggu yang tak sempat balik kerana
tuntutan kerja dan amanah yang diberi. Tambahan pula, bermula pada bulan April
2024, demi tuntutan kerja, terpaksa berhijrah jauh ke bumi Dato Maharajalela,
tentu kesempatan pulang menjadi semakin terhad dan terbatas.
Dalam pada itu, tanpa menafikan komitmen yang lain, adik beradik
saya yang tetap teguh dan sabar menjaga mak, selain bapa dan ibu saudara,
sepupu-sepapat dan rakan kenalan yang lain, terima kasih tidak terhingga atas
curahan tenaga, keringat idea dan masa demi memastikan mak kami ini terjaga
dengan sebaiknya. Berbanding mereka yang menjadi watak utama dan saya sebagai
seorang anak lelaki, tentunya tidak banyak yang boleh saya buat untuk mak dan
sekalipun jika ada yang saya buat, tentunya tidak terbalas dengan jasa dan
pengorbanan mak kepada saya selama ini. Begitu juga, tidak setara mana jika dibandingkan
dengan peranan dan tanggungjawab yang cukup besar yang telah dilakukan dengan
penuh kesabaran oleh abah, adik-adik dan sanak saudara saya yang lain. Semoga
Allah memberikan ganjaran syurga buat semua watak terpenting ini.
Sememangnya kenangan adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli.
Soalnya bukan tentang gambar dan video kenangan, namun detik masa yang dirasai
dan dinikmati itu kadang menjentik hati membuahkan airmata asli. Antara rakaman
memori peribadi yang tak pernah dilupakan, sewaktu menduduki peperiksaan SPM
tahun 2011, mak datang ke sekolah Al Maad pada sebelah petang untuk bertemu
dengan saya memberi kata semangat selain memberikan bekal nasi putih + gulai
ayam + ulam petai. Cukup mengharukan. Biarpun kadang ada yang merasa segan untuk
makan petai kerana takut diejek orang miskin, namun bagi saya jika mak yang
sediakan, itu suatu kemuliaan dan kebanggaan buat diri ini. Semua yang
disediakan itu adalah makanan kegemaran saya. Mengakhiri catatan tribute ini,
saya memohon kepada para pembaca agar mendoakan kesejahteraan almarhumah syurga
saya ini dengan mengharapkan balasan syurga yang tertinggi untuknya. Untuk mak,
selamat berehat disana dengan penuh kenikmatan kepada hamba Nya yang soleh.
Sehingga kita berjumpa lagi di tempat pulang yang kekal abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan