Jumaat, 7 Jun 2024

MASJID BUKAN TEMPAT UNTUK BERPOLITIK ?

 

Kesejahteraan hidup umat manusia sedikit sebanyak telah disumbangkan melalui kestabilan politik yang wujud. Kestabilan ini secara tidak langsung telah dapat mewujudkan dasar dan polisi negara yang bagus yang kemudiannya diterjemahkan melalui pelaksanaannya yang telus. Tidak diragui lagi, tanpa kestabilan politik, mana-mana tampuk penguasa pemerintahan pastinya akan teruji dengan mehnah dan tribulasi asam garam politik yang terbuka dan terdedah kepada ancaman pengkhianatan. Sebab itu, antara yang terpenting dalam membina sesebuah negara tentunya soal bagaimana untuk mewujudkan kestabilan politik. Oleh kerana itu juga, kita dapat melihat antara langkah yang diambil untuk menjamin kestabilannya ialah dengan larangan untuk berpolitik di dalam masjid.

Larangan berpolitik di dalam masjid dilihat oleh sebahagian orang sebagai suatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ini kerana apa yang difahami oleh sebahagian masyarakat, mereka mendakwa bahawa masjid sebagai sebuah institusi yang mempunyai pelbagai fungsi dan peranan sewajarnya menjadi pusat sosial masyarakat termasuk sebagai medium berpolitik. Ini juga sebagaimana yang seringkali di dakwa bahawa Nabi SAW juga berpolitik di dalam masjid. Dengan dakwaan yang sebegini, persoalan utama yang harus kita teliti ialah benarkah Nabi SAW berpolitik di dalam masjid. Andai benar sekalipun, bagaimana cara berpolitik tersebut dilaksanakan. Untuk memahami hal ini, kita terlebih dahulu memahami fungsi dan peranan masjid pada zaman baginda Nabi Muhammad SAW.




Sebagaimana lontaran pandangan dikemukakan oleh al-Marhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau menyatakan bahawa masjid pada zaman Nabi SAW merupakan pusat kegiatan kaum muslimin. Masjid tidak hanya dijadikan sebagai tempat untuk ibadah seperti solat semata-mata bahkan juga dijadikan sebagai pusat pengetahuan, peradaban, ekonomi dan tempat bersidang atau disebut sebagai musyawarah. Demikian apa yang telah dinyatakan oleh al-Qaradhawi. Oleh itu, institusi masjid yang menjadi antara syiar bagi agama Islam, begitu memainkan peranan dan fungsinya yang sangat besar sekali lebih-lebih lagi dalam soal memperkasakan umatnya. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa masjid pada zaman baginda Nabi SAW telah menjadi tempat berhimpun, bersosial dan saling berinteraksi antara satu sama lain.

Hakikatnya, masjid pada zaman Nabi SAW sememangnya telah menjadi pusat pemerintahan yang diketuai oleh baginda Nabi SAW. Ini sebagaimana yang turut dinukilkan di dalam lipatan sirah Nabi, negara Madinah yang ditadbir oleh Nabi Muhammad SAW telah menjadikan masjid sebagai pusat pentadbiran negara dimana baginda Nabi menguruskan hal ehwal umat Islam. Institusi masjid yang berperanan sebagai pusat pentadbiran pada zaman Nabi telah menjadikan masjid sebagai tempat untuk bermesyuarat, menghimpunkan masyarakat, menerima tetamu dari dalam dan luar negara, tempat menyelesaikan persengketaan dan seumpamanya. Kesemua ini boleh kita simpulkan ianya sebagai sebuah tempat politik pada zaman tersebut. Tradisi tersebut yang menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik pada zaman Nabi telah diteruskan pengamalannya oleh para khalifah ar-Rasyidin setelah kewafatan Nabi SAW.

Bahkan kegemilangan masjid sebagai sebuah institusi yang dihormati di dalam Islam telah berkembang luas peranannya sehingga telah dijadikan tempat untuk memutuskan sesuatu kes. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Mawardi di dalam kitabnya, al-Ahkam al-Sultaniyah, beliau menyebutkan bahawa :

“Tidak pernah ada satu masa pun kecuali amir kami di Basrah selalu mengangkat qadhi untuk menjadi qadhi di Masjid Jami’. Mereka menyebutnya qadhi masjid. Mereka memutuskan perkara dalam masalah 200 dirham atau 20 dinar atau kurang, di samping ia juga menetapkan pelbagai keputusan. Ia tidak akan menyimpang dari kedudukannya dan dari hal-hal yang telah ditetapkan baginya.”




Oleh itu jika mencermati peranan masjid pada zaman Nabi SAW tentu sekali kita melihat bagaimana peranan berpolitik telah menjadikan masjid sebagai tempat pemusatan umat. Dalam bahasa mudah, boleh kita katakan bahawa ya benar sekali pada zaman Nabi SAW, masjid selain berperanan sebagai tempat beribadah tetapi juga telah menjalankan kerja-kerja dan urusan mentadbir negara yang bersifat politik demi kemashalatan (kebaikan) rakyatnya. Maka persoalan yang seterusnya, mengapa hakikat realiti yang ada pada hari ini telah menghalang masjid untuk berperanan sebagai tempat berpolitk sedangkan perkara tersebut berlaku pada zaman Nabi SAW. Logiknya, kita tentunya akan berasa seolah-olah masjid dihalang untuk dikembalikan fungsi dan peranan sebenar seperti yang dilaksanakan oleh Nabi SAW.

Bagi menjawab persoalan ini, kita semestinya memahami terlebih dahulu maksud politik dalam kerangka pemahaman yang sebenar. Ungkapan politik boleh kita fahaminya sebagai suatu usaha mentadbir, mengurus dan mengelola urusan hal ehwal manusia. Ini merangkumi urusan soal ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain. Oleh itu, apa yang dipraktikkan oleh baginda Nabi SAW dalam usaha meletakkan masjid sebagai pusat politik atau pusat pentadbiran bersesuaian dengan kedudukan baginda Nabi sebagai seorang ketua negara. Politik baginda Nabi adalah bersifat kenegaraan yang tidak mewakili kepentingan mana-mana pihak tertentu. Ini berbeza sama sekali dengan politik yang dipraktikkan pada hari ini. Realitinya, politik yang diamalkan pada hari ini berasaskan kumpulan kepartian. Maka, jika dibenarkan sesiapa sahaja boleh untuk berpolitik di dalam masjid tentu sekali ianya akan mengundang pula kepada soal kebencian kepada parti lain, saling menghasut dan sebagainya.




Selain itu, politik pada zaman Nabi SAW telah menjadikan umat bersatu dibawah kepimpinan yang sama dengan sumpah, taat dan setia diberikan. Sebaliknya, dalam konteks hari ini, politik berbentuk kepartian telah banyak menyumbang kepada perpecahan dan perbalahan dikalangan umat Islam. Malah lebih membimbangkan lagi, sehingga ada yang sanggup membunuh orang lain hanya kerana berbeza ideologi politik kepartian yang diamalkan. Keadaan ini tentunya bakal merugikan nasib umat Islam. Oleh itu, jika di luar masjid pun kita sentiasa bergaduh dek kerana berpolitik, apalah salahnya kita bergencatan senjata dalam maksud berhenti berpolitik seketika di dalam masjid dan menjadikan Allah sebagai matlamat yang besar sehingga tiada yang lebih penting lagi selain reda Allah. Ini akan lebih menenangkan jantung hati kita.

Demikian bagaimana institusi masjid pada zaman Nabi SAW telah menjadi pusat berpolitik sekaligus telah banyak menyatukan jiwa-jiwa umat Islam ketika itu. Ini kerana pembawaan politik oleh baginda Nabi SAW sebagai politik kenegaraan dan bukannya mewakili mana-mana kepartian seperti yang menjadi amalan dunia pada hari ini. Namun begitu, dunia yang semakin tua dan kita yang semakin buta hati ini telah menjadikan politik aebagai senjata menghasut dan membenci pihak yang tidak bersama dengan kita lalu menggunakan jenama agama agar dilihat lebih islamik. Ini akan membuatkan keadaan dan situasi menjadi tegang apatah lagi sekiranya dibuka ruang untuk berpolitik di dalam masjid. Maka dengan demikian, setelah dipertimbangkan akan segala kebaikan dan keburukkan, adalah lebih baik jika dilarang masjid sebagai tempat berpolitik demi menjamin kesejahteraan negara. Larangan ini bukan untuk menafikan hak politik di dalam Islam namun ianya lebih baik demi kebaikan umum. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan