Rabu, 19 Jun 2024

NARSISISTIK : SIFAT SOMBONG YANG TERCELA

 

Antara nilai terpenting yang harus dicerna ke dalam peribadi manusia ialah nilai akhlak yang baik dan mulia menurut sisi agama Islam. Akhlak yang baik dan mulia sewajarnya diikat pada neraca agama agar nilai tersebut benar-benar dituntut oleh Islam. Hal ini juga sangat penting bagi kita melihat dan mengukur sesuatu perkara baik buruk itu berdasarkan pertimbangan syariat dan bukannya pada pertimbangan perasaan emosi kita. Ini juga sebagaimana yang ditekankan oleh Islam, dengan menyatakan bahawa apa yang kita sukai itu belum tentu baik bagi kita dan apa yang kita tidak suka itu boleh jadi suatu kebaikan pula untuk kita. Itu sebab sangat penting untuk menilai baik buruk itu mengikut pertimbangan agama Islam.

Dalam kita berbicara soal akhlak yang baik dan mulia ini, harus kita ingatkan diri kita dan masyarakat agar sentiasa berwaspada selalu dengan sikap-sikap yang tercela yang tentunya menjadi kebencian oleh orang ramai. Apatah lagi sikap yang tercela itu diwarisi oleh bangsa iblis dan syaitan. Antara sikap tercela tersebut ialah apa yang disebutkan sebagai "Narsisistik". Dalam istilah perubatan moden, disebutkan sebagai Narcissistic Personality Disorder atau singkatannya (NPD). Penyakit ini diklasifikasikan sebagai gangguan mental dibawah tajuk kecelaruan diri. Apa yang pasti, NPD atau narsisistik ini merupakan antara masalah gangguan mental yang susah untuk dirawat. Ini kerana sebahagian mereka yang mengalami masalah ini menyifatkan hal itu sebagai suatu personaliti manusia biasa dan tidak menjadi masalah bagi mereka.




Berdasarkan fakta yang ada, mereka yang mengalami masalah narsisistik ini sering menonjolkan beberapa perilaku seperti mudah terasa dan tidak boleh menerima sebarang teguran, kritikan dan pandangan daripada orang lain. Selain itu, mereka yang ada sikap narsisistik ini kurang perasaan empati dan mereka sangat percaya bahawa diri mereka sendiri lebih baik daripada orang lain serta memiliki perasaan yang berlebihan tentang kepentingan diri. Dalam erti kata yang mudah, mereka yang mempunyai sifat narsisistik ini sangat obses, kagum dan terlampau berbangga dengan diri sendiri. Oleh kerana itu, mereka yang bersikap sedemikian beranggapan bahawa ianya suatu personaliti diri semata-mata dan bukannya suatu penyakit yang perlu dirawat.

Dalam sebuah penulisan buku berjudul Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorder, diterbitkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika, NPD atau narsisistik ini ialah suatu gangguan fungsi tingkah laku sama ada tingkah laku diri mahupun hubungan interpersonal. Gejala NPD merupakan gangguan mental yang mempunyai kategori khusus di bawah masalah gangguan kecelaruan personaliti. Dalam hal ini, jika dilihat dari konteks Islam, sikap narsisistik ini disebutkan sebagai sifat mazmumah iaitu sifat yang tercela, buruk dan dibenci oleh Allah SWT. Walau ungkapan narsisistik ini tidak terakam di dalam al-Quran dan al-Sunnah, namun istilah yang lebih tepat atau hampir untuk menggambarkan tentang sikap narsisistik ini ialah istilah takbur, sombong, ujub dan beberapa istilah lain lagi yang memberikan makna yang sama kepada hasad, riak dan lain-lain.

Sikap takbur, sombong dan seumpamanya ini menatijahkan suatu perasaan berasa lebih baik, lebih bagus, lebih alim, lebih amal dan segalanya lebih berbanding orang lain. Secara tidak langsung, sikap narsisistik ini telah menjadikan mereka menganggap bahawa merekalah yang paling betul dan baik amalnya. Sikap seperti ini tentu bertunjangkan kepada akar kesombongan diri yang meninggi. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman di dalam al-Quran, menerusi surah Luqman ayat 18, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri".

Sesungguhnya sifat sombong, takbur dan selainnya ini adalah tidak layak untuk manusia memilikinya. Ini kerana Allah SWT telah menegaskan bahawa sifat-sifat tersebut merupakan hak milik mutlak Allah Azza Wa Jalla. Sesuai dengan kekuasaan dan keagungan Nya, Dia yang menguasai segalanya wajar memiliki sifat sedemikian. Dalam sebuah hadith Qudsi riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Allah Azza Wa Jalla berfirman: 'Kesombongan adalah selendang-Ku, kebesaran adalah sarung-Ku, barangsiapa mengambil salah satu dari keduanya dari-Ku, maka ia akan Aku lemparkan ke dalam neraka."




Ketegasan Allah SWT melarang makhluk Nya untuk bersikap sedemikian menunjukkan kepada kita betapa sikap sombong ini amatlah merugikan diri sendiri. Sifat narsisistik yang berakarkan sifat sombong ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran beberapa kisah mereka yang sombong dan takbur. Antaranya ialah kisah Firaun yang sangat bangga akan dirinya, obses dengan diri sendiri sehingga menganggap dirinya paling berkuasa. Walau ketika itu, belum lagi muncul istilah narsisistik, namun tidak salah dan tidak keterlaluan untuk kita katakan bahwa Firaun seperti kisahnya yang dirakamkan oleh Allah SWT memiliki sifat narsisistik ini berdasarkan kesombongan yang ada pada dirinya. Selain kesombongan yang meninggi, Firaun juga dilihat tidak memiliki sifat empati terhadap orang lain bahkan sanggup menindas, menzalimi dan menyeksa sesiapa sahaja yang menentangnya.

Dalam realiti yang ada pada hari ini, tidak dapat kita nafikan bahawa sifat narsisistik ini bukan lagi sesuatu yang tersembunyi. Bahkan ada manusia sendiri yang tidak sedar bahawa pada dirinya memiliki ciri-ciri narsisistik. Ini kerana kadang sebahagian manusia tidak dapat menerima teguran, kritikan dan pandangan orang lain. Malah baginya, jika ada yang memberi teguran, kritikan dan seumpamanya dianggap pula orang tersebut mempunyai sifat hasad selain ingin menjatuhkan maruah dan kredibilitinya. Bagi mereka yang bersikap seperti ini, apa sahaja alasan akan diberikan untuk menanam perasaan tidak berasa bersalah dalam dirinya. Lebih pilu, kadang sehingga sanggup bersikap seperti dianayai atau disebut sebagai "play victim" bagi menutup keegoannya menerima teguran. Ungkapan mohon maaf adalah terlalu mahal bagi dirinya. Semuanya disebabkan kesombongan yang meninggi ini.




Selain sifat sombong, takbur dan sebagainya, mereka yang mempunyai penyakit narsisistik ini juga memiliki beberapa ciri lain yang antaranya mementingkan diri sendiri, suka memperlekehkan atau merendah orang lain, gemar kepada pujian dan merasa obses terhadap diri sendiri. Ciri-ciri ini sudah memadai untuk kita sentiasa berwaspada agar kita kelak tidak dipengaruhi oleh sifat narsisistik ini. Percayalah bahawa narsisistik merupakan gangguan mental yang halus meresap ke dalam diri dan boleh menyebabkan kita kehilangan rakan dan kenalan. Islam juga sangat tegas menegah dan melarang umatnya daripada memiliki ciri-ciri sifat tercela ini. Kita perlu sedar bahwa sikap narsisistik ini merupakan sikap warisan iblis dan syaitan yang telah menyombong diri enggan mengikuti suruhan Allah untuk bersujud kepada Nabi Adam AS. Akibatnya, iblis dan syaitan serta keturunannya akan dilaknat oleh Allah Azza Wa Jalla. Marilah kita sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan dari sifat tercela ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan