Antara tujuan utama diutuskan baginda Nabi Muhammad SAW ke dunia
ini adalah untuk dijadikan sebagai contoh teladan dan ikutan oleh seluruh umat
manusia. Allah SWT dengan kekuasaan Nya telah menjadikan baginda Nabi Muhammad
SAW seorang insan yang terpilih diangkat menjadi Rasul dengan membawa khabar
gembira kepada mereka yang mahu beriman dan memberi peringatan dan ancaman
kepada mereka yang tidak mahu beriman. Selain itu, pada susuk tubuh baginda
Nabi juga dihiasi dengan nilai akhlak yang mulia yang tentunya untuk kita
contohi. Pada hakikatnya, ketokohan baginda Nabi SAW menjadi sebuah
pengiktirafan oleh Allah untuk juga diiktiraf dan diikuti oleh para hamba Nya.
Untuk menjadikan baginda Nabi SAW sebagai model dalam kehidupan
ini, kita tidak akan dapat mencontohinya melainkan dengan kita mempelajari dan
mengkaji perjalanan sirah baginda Nabi SAW. Dalam kebanyakkan siri kehidupan
baginda Nabi, kita akan melihat banyak episod kesusahan hidup baginda sepanjang
berjuang menyebarkan Islam. Maka tentu kita akan tertanya-tanya apakah
sepanjang hidup baginda Nabi, sentiasa berada dalam keadaan susah dan miskin ?
Atau lebih tepat lagi adakah Nabi SAW seorang yang miskin ? Persoalan ini
tentunya memerlukan kepada suatu pemerhatian yang menyeluruh agar kita benar-benar
tidak sekadar berada dalam permainan persepsi tanpa melihat fakta yang sebenar.
Sesungguhnya baginda Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang yang
miskin. Bahkan, perjalanan sirah Nabi SAW pernah menyatakan bahawa Nabi
Muhammad ialah antara individu yang berjaya di dalam perniagaannya sehingga
berjaya menarik minat dan perhatian Khadijah untuk meminang baginda Nabi.
Tetapi minatnya Khadijah terhadap baginda Nabi bukanlah kerana kejayaan
perniagaan semata-mata malah kerana akhlak yang baik, sifat amanah dan telusnya
Nabi dalam melaksanakan perniagaan. Dalam catatan sirah, baginda Nabi sebelum
diangkat menjadi nabi dan rasul, baginda telah pun mengikuti bapa saudaranya,
Abu Talib berniaga di Syam. Selain itu, baginda Nabi juga pernah bekerja
sebagai pengembala kambing. Fakta ini antara sebahagian bukti yang menunjukkan
Nabi seorang yang berpendapatan tinggi dengan melakukan pelbagai pekerjaan
sebelum diangkat menjadi nabi dan rasul.
Tambahan lagi, baginda Nabi SAW semasa berkahwin dengan Khadijah,
yang juga seorang usahawanita yang sangat kaya-raya, baginda telah menyerahkan
mahar kepada isterinya dengan nilai yang begitu besar. Menurut Ibnu Hisyam
dalam dalam kitab Sirah Nabawiyah, nilai mahar tersebut ialah sebanyak
20 ekor unta. Sejumlah 20 ekor unta ini jika dihitung pada hari ini tentu lebih
100 ribu lebih harganya. Jika dikira seekor lembu pada hari ini bernilai RM
5,000, maka jumlah keseluruhan 20 ekor tersebut mencecah harga RM 100, 000.
Bagaimana pula dengan nilaian seekor unta yang tentunya lebih mahal dari seekor
lembu. Selain itu, gambaran kekayaan baginda Nabi SAW dapat dilihat juga
menerusi penulisan sirah teragung yang ditulis oleh Syeikh Safiyurrahman
al-Mubarakfuri dalam kitabnya, al-Raheeq al-Makhtum, beliau menyatakan
bahawa pada saat kewafatan baginda SAW, Rasulullah menyedekahkan
harta-hartanya, antaranya baginda membebaskan hamba-hamba yang baginda miliki,
bersedekah dengan tujuh dinar dan menghadiahkan senjata-senjata beliau kepada
kaum muslimin.
Ini adalah antara sebahagian bukti yang menjelaskan bahawa baginda
Nabi SAW hidup sebagai manusia yang kaya dan memiliki harta yang banyak. Namun
begitu, hidup baginda juga tidak terlepas daripada ujian kesusahan dalam
kehidupan. Dalam catatan sirah, umum mengetahui bahawa baginda juga pernah
hidup dalam keadaan susah namun tidaklah sehingga mengemis dan merempat di
jalanan. Dalam kebiasaan hidup sebagai seorang manusia, baginda juga pernah
berhadapan dengan krisis ekonomi. Ini juga termasuklah sekatan-sekatan ekonomi
yang telah dilakukan oleh para pembesar Quraisy sebagai tekanan kepada baginda
berhenti untuk berdakwah. Malah, mereka turut merampas harta-benda baginda dan
dipulaukan. Tekanan demi tekanan yang diberikan ini tentu sekali memberikan
impak dalam kehidupan seharian baginda. Ekoran daripada itu, perintah agar Nabi
berhijrah ke Madinah telah membuka suatu lembaran sejarah baharu bagi umat
Islam.
Detik-detik pilu dan sedih bagi menggambarkan kesusahan dan
keperitan hidup baginda Nabi dapat dirasai dengan melihat beberapa hadith baginda
Nabi. Antara lain, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada
Aisyah Ranha, ia berkata yang bermaksud :
“Tidak pernah keluarga Rasulullah kenyang dengan makanan dari
gandum halus selama 3 hari berturut-turut, sejak baginda tiba di Madinah hingga
baginda wafat”.
Selain itu, dalam riwayat Muslim dan Tirmizi, daripada Aisyah
Ranha, yang bermaksud :
“Sesungguhnya kami, keluarga Rasulullah pernah selama sebulan tidak
menyalakan api (tidak memasak apa pun), (kami hanya makan) kurma dan air.”
Ketika kita berbicara tentang kesusahan hidup baginda Nabi SAW,
kita tidak akan terlepas daripada melihat bagaimana kesedihan Umar al-Khattab
ketika melihat keadaan Rasulullah SAW yang berbaring diatas tikar yang tidak
beralas, bantainya pula kelihatan keras kerana diperbuat daripada kulit kambing
yang diisi sabut. Peristiwa kesedihan Umar ini telah diceritakan dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Umar al-Khattab berkata yang bermaksud :
“Aku melihat guratan anyaman tikar di sisi perut baginda, maka aku
pun menangis.”, melihat Umar menangis, Rasulullah pun bertanya, “Apa yang
menyebabkanmu menangis, ya Umar?”. Umar pun menjawab, “ Ya Rasulullah, kaisar
kisra dalam keadaan mereka (selalu berada di dalam kemewahan harta), padahal
engkau adalah utusan Allah.” Namun Rasulullah menjawab, “Apakah engkau tidak
senang bahawa dunia ini bagi mereka dan akhirat untuk kita?”.
Melihat kepada hadith-hadith ini, maka dapat kita simpulkan bahawa
kehidupan baginda Nabi SAW adalah seimbang mengikut fasa kebiasaan hidup
sebagai seorang insan. Lumrah pada kehidupan yang tidak kekal ini, ada waktu
dan ketikanya pasang surut yang mengajar kita erti susah dan senang dalam
kehidupan. Kekayaan baginda Nabi bukanlah bermaksud kita perlu menjadi kaya
yang sombong dan angkuh, dan kemiskinan hidup Nabi pula bukanlah bermaksud kita
perlu hidup melarat, mengemis sana-sini serta kerja meminta-minta sahaja.
Walhal, secara logiknya, baginda Nabi boleh sahaja dengan kedudukannya sebagai
nabi dan rasul malah sebagai ketua negara pula, mengaut keuntungan mencari
kekayaan serta hidu bermewah-mewahan. Namun itu bukanlah tujuan baginda
diutuskan. Agama ini tidak memandang kaya atau miskin. Walau begitu, agama juga
tidak menyuruh kita hidup kaya menyombong atau miskin hidup melarat.
Apa yang boleh kita pelajari daripada kehidupan baginda Nabi antara
ketika kaya dan miskin ini ialah biarpun baginda Nabi hidup dengan kekayaan,
baginda tetap memilih untuk hidup bersederhana, zuhud pada dunia dan bersyukur
dengan apa yang ada. Harta yang ada tidak ada tujuan melainkan untuk
dibelanjakan ke jalan Allah. Ini terbukti apabila kita melihat disaat kewafatan
baginda Nabi, tidak ada sesen pun harta yang baginda tinggalkan melainkan telah
disedekah ke jalan Allah. Tindakan baginda ini tentunya baginda tidak mahu
hartanya menjadi sebab kepada kesusahan baginda di hari akhirat. Selain itu,
diketika waktu hidup miskin, baginda tidak pernah mengeluh apatah lagi mahu
hidup meminta-minta. Keadaan ini sangat memberikan kita inspirasi agar tidak
berputus asa dalam mencari rezeki Allah yang maha luas ini. Hidup untuk menjadi
seorang kaya atau miskin, semuanya diatas pilihan kita. Terpaling penting ialah
belajarlah menjadi hamba Nya yang mahu bersyukur. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan