Sukar untuk kita nafikan bahawa gejala rasuah semakin hari semakin
membimbangkan kita. Gejala ini telah menjadi barah dalam masyarakat merebak dan
terus menghakis jati diri manusia itu sendiri. Budaya duit kopi yang dahulunya
menjadi kebiasaan kini telah membuahkan hasilnya yang memperlihatkan budaya
normalisasi menerima dan memberi rasuah. Dengan pelbagai tujuan yang hendak
digapai, rasuah antara yang menjadi pilihan untuk manusia yang rakus dan tamak
haloba. Jika dahulu, rasuah seringkali dikaitkan dengan faktor pendapatan gaji
yang rendah. Namun pada realiti hari ini, berjawatan tinggi juga tidak terlepas
daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral ini. Katakan sahaja
apa-apa faktornya tetapi tetap kita tidak boleh menafikan tentang peranan jati
diri manusia menjadi benteng terpenting bagi menghapuskan budaya rasuah ini.
Berdasarkan laporan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), menyaksikan bahawa sebanyak 6.38% iaitu 909 kes pada tahun 2022
berbanding 851 kes pada tahun 2021. Selain itu, Indeks Persepsi Rasuah (CPI)
2022 yang diterbitkan oleh Transparency International mendapati bahawa Malaysia
berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara. Berbanding pada
tahun 2021, negara berada pada kedudukan 62. Ini bermakna, negara kita sedang
meningkat naik kes rasuah. Pendedahan laporan ini membuktikan bahawa negara
kita yang tercinta ini benar-benar sedang menghadapi krisis hakisan jati diri
yang membimbangkan. Tentunya kita semua tidak gembira dengan situasi realiti
ini. Hakikat yang sedang hadapi ini ialah barah rasuah tidak lagi mengenal
pangkat dan kedudukan. Asalkan terbuka peluang, maka apa sahaja jalan
diusahakan meski tahu akan risikonya.
Jika dahulu, kita beranggapan bahawa gejala rasuah yang berlaku
adalah kerana tekanan pendapatan gaji yang rendah. Namun anggapan tersebut pada
realiti hari ini menunjukkan sama sekali tidak tepat. Tanpa kita menafikan
antara lain ialah faktor gaji yang rendah, tetapi faktor yang lebih penting
adalah tentang soal jati diri yang lemah dikaburi oleh keistimewaan dan tawaran
menarik yang diberikan. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa krisis jati
diri ini bukan sahaja menjadi permasalahan bagi mereka yang menerima rasuah
bahkan juga jati diri mereka yang memberi rasuah. Ibarat peluang tidak akan
wujud jika tidak ada yang membukanya, begitu juga gejaa rasuah yang melibatkan
si penerima dan si pemberi. Apabila peluang dibuka, disambut pula dengan jiwa
yang tamak haloba. Tanpa mengira siapa dan apa jawatannya, rasuah mampu sahaja
menggoyahkan jati diri mereka yang terlibat.
Maka disebabkan krisis jati diri ini, tidaklah pelik dan
menghairankan apabila kita melihat di dada-dada akhbar berkenaan kes rasuah
melibatkan pihak berjawatan eksekutif, pegawai kanan, pegawai tertinggi,
pengarah dan lain-lain jawatan yang dihormati dan disanjung tinggi oleh
masyarakat. Tentu sekali mereka yang berjawatan dan berkedudukan tinggi ini
memiliki pelbagai keistimewaan seperti elaun, kenaikan gaji selain menerima
gaji bulanan yang tinggi. Pun begitu, dengan pelbagai kemudahan yang diterima
oleh mereka ini, masih lagi ada yang bernafsu serakah mahu menikmati ganjaran
yang bersumberkan haram menerima rasuah dan melakukan penyelewengan demi
memenuhkan kocek sendiri. Ternyata mereka yang berjawatan hebat, yang terlibat
dalam kancah rasuah ini tidak lagi beralasan gaji rendah sebaliknya kerana jati
diri yang lemah.
Dalam mendepani barah rasuah ini, kita harus akui bahawa kita bukan
sahaja berdepan dengan alasan tekanan gaji yang rendah tetapi kita juga sedang
berdepan dengan mereka yang mempunyai krisis jati diri yang lemah. Ketua
Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam sebuah seminar, beliau
menyatakan bahawa jati diri yang kukuh dan tidak mudah dibeli merupakan kuasa
pemutus yang paling besar serta ampuh untuk menamatkan budaya rasuah. Beliau
turut menegaskan bahawa apabila mempunyai jati diri yang kuat, kita akan
berupaya menjalankan tugas dengan amanah kerana takut dengan Tuhan. Jelas
dengan kenyataan ini, menunjukkan kepada kita bahawa kuas terbesar untuk
memutuskan rantaian budaya rasuah ini adalah dengan memperkuatkan jati diri
manusia. Ini kerana dengan jati diri yang kuat, ketaatan kepada Allah lebih
kukuh dengan cara meninggalkan apa yang dilarang dan ditegah oleh agama.
Keteguhan jati diri sebagai seorang pemimpin dapat dilihat melalui
sikap yang ditunjukkan oleh Umar al-Khattab, khalifah Islam kedua. Ketegasan
dan ketelusan Umar al-Khattab di dalam mentadbir urus negara telah
memperlihatkan nilai dan prinsip utama yang harus disemai ke dalam diri setiap
mereka yang bergelar muslim. Pernah suatu ketika, anaknya Abdullah membeli
beberapa ekor unta yang kurus pada harga yang rendah. Kemudian unta-unta ini
dihantar ke padang ragut milik negara untuk digemukkan. Apabila sampai
tempohnya, Abdullah berjaya menjual unta-unta ini pada harga yang tinggi. Hal
ini sampai ke pengetahuan Umar. Setelah itu, Umar al-Khattab telah mengarahkan
keuntungan tadi dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara kerana dengan alasan
unta-unta tadi makan di padang ragut milik negara. Lihatlah betapa telusnya
Umar al-Khattab dengan jati diri peribadi yang kukuh.
Selain itu, dalam kitab Tarikh al-Khulafa', diriwayatkan
bahawa Umar Abdul Aziz pada satu hari ingin memakan sebiji epal. Salah seorang
ahli keluarganya memberikannya, apabila dia melihatnya, dia kagum dengan warna
dan baunya. Apabila melihatnya, dia meminta hamba lelaki yang memberikannya
untuk mengembalikannya kepada pemberi dengan mesej bahawa hadiah itu dihargai
dan epal itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah, tetapi beliau tidak
dapat menerimanya. Hamba lelaki itu memberitahunya bahawa pemberinya adalah
anak bapa saudaranya dan dari keluarganya (bermaksud dari saudara-mara warga
Umayyah), dan dia juga memberitahunya bahawa Nabi SAW pernah menerima hadiah.
Umar Abdul Aziz menjawab, “Kenapa dengan kamu ini? Bagi Rasulullah SAW itu
adalah pemberian, tetapi bagi kami hari ini ia adalah rasuah!”.
Demikianlah bagaimana contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh
dua figura hebat dalam kepimpinan Islam. Kedua-dua tokoh ini akhirnya
meninggalkan dunia ini bukan dengan mewariskan harta kekayaan hasil berjawatan
tetapi perginya mereka dengan meninggalkan jejak langkah contoh yang terbaik
untuk diikuti oleh mereka yang benar-benar beriman kepada Allah. Tuntasnya,
dalam usaha kita berpanjang jela berwacana dan berdiskusi mengenai rasuah,
akhirnya berbalik kepada isu pokoknya iaitulah membina jati diri yang kuat dan
tidak mudah dibeli dengan kekaburan wang ringgit. Meskipun dari pihak kerajaan,
pelbagai kempen dan usaha pendidikan dilaksanakan, walau undang-undang terus
diperhebat dan dikuatkuasakan, namun jika kita masih belum mampu memastikan
soal jati diri ini terus diperkasakan, kita tentunya belum selesai berperang
dengan barah rasuah ini. Oleh itu, penting untuk kesedaran kita, memperbaiki
jati diri agar tidak goyah dengan apa jua yang menggoda. Semoga Allah
mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan