Sabtu, 17 Oktober 2026

BANTERAS RASUAH : LANGKAH PERKASA EKONOMI

 

Tahukah kita bahawa keruntuhan moral manusia bukan sahaja boleh menyebabkan pertambahan masalah sosial terhadap sesebuah negara bahkan juga boleh merosakan perekonomian negara. Bersikap kerja sambil lewa bagai melepaskan batuk di tangga, tidak mematuhi peraturan masa bekerja serta melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan antara sebahagian perkara yang menunjukkan betapa runtuhnya moral manusia dalam menggalas amanah. Lebih pedih dan memilukan, apabila budaya memberi dan menerima rasuah dianggap seperti duit kopi, demi mengaburi mata orang ramai. Namun dalam tak sedar, sama ada kita tahu atau tidak, budaya merasuah bukan sekadar mencerminkan moral yang semakin rosak tetapi juga boleh mendatangkan implikasi yang teruk terhadap sektor ekonomi. Rasuah tidak hanya berputar soal halal dan haram, namun ia juga boleh mengheret sebuah negara kearah ekonomi yang mundur.

Perkataan "Rasuah" menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, rasuah ialah pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu perbuatan yang bertujuan menyogok atau menyuap. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perkataan rasuah ditakrifkan sebagai sesuatu penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun. Dalam bahasa Arab, istilah rasuah disebut sebagai al-Risywah (الرشوة) berasal daripada perkataan Rasya (رشا). Ibnu Manzur dalam menjelaskan maksud risywah, sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya Lisan al-'Arab, beliau menyatakan risywah bermaksud anak burung atau ayam yang menjulurkan kepalanya agar disuapkan makanan. Selain itu risywah juga boleh difahami sebagai perantara untuk mencapai tujuan dengan cara pujukan. Pada sudut syarak, rasuah ditakrifkan sebagai sebuah pemberian yang bertujuan menegakkan kebatilan.




Usaha membanteras dan menangani rasuah adalah suatu gerak kerja dan amanah yang harus dipuji dan dipandangan tinggi. Hal ini kerana rasuah bukan sahaja melibatkan soal integriti seseorang bahkan turut boleh mewarnai corak ekonomi sesebuah negara. Dalam satu laporan yang dikemukakan oleh Transparency International Malaysia, mendedahkan bahawa negara kita telah mengalami kerugian lebih kurang RM 40 bilion hingga RM 50 bilion akibat aktiviti rasuah yang tidak bermoral ini. Keadaan ini juga telah memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang memeritkan. Dalam kita tidak sedar, gejala rasuah yang berleluasa ini akan memberi tekanan terhadap sektor ekonomi. Antara kesan tekanan tersebut, berlaku peningkatan kadar inflasi yang sekaligus akan meningkatkan kos sara hidup rakyat. Ini juga akan menyebabkan kualiti hidup rakyat terjejas dengan kadar pendapatan isi rumah yang rendah. Kita sememangnya perlu sedar bahawa gejala rasuah walau jenayah tersebut tidak terkait dengan diri kita sebagai penerima atau pemberi namun ianya bakal mengheret kesejahteraan ekonomi negara.

Sebagai contoh, apabila amalan rasuah berlaku dalam projek pembinaan perumahan. Keadaan ini pastinya akan menyebabkan setiap unit perumahan akan dijual oleh pemaju projek perumahan pada kadar harga yang lebih tinggi. Kenapa berlaku begitu ? Ini kerana bagi menampung ketirisan dana yang berlaku sepanjang rantaian pembekalan bahan semasa proses pembinaan tersebut. Ini antara keadaan realiti yang berlaku pada hari ini yang memperlihatkan kepada kita bagaimana ekonomi rakyat dirompak oleh golongan yang melakukan jenayah rasuah. Selain itu, tanpa kita sedar, amalan tidak bermoral ini juga sebenarnya memberi kesan yang hebat terhadap pelaburan domestik dan juga pelaburan asing. Akibat amalan rasuah yang tidak bertamadun ini, jenayah rasuah akan menghakis dan mengurangkan pelaburan domestik dan kemasukan jumlah Pelaburan Asing (FDI). Keadaan ini berlaku disebabkan oleh para pelabur yang enggan mahu melabur kerana berlaku peningkatan kos pentadbiran dan urus niaga. Tentu sekali keadaan ini telah merugikan peluang negara untuk menarik pelabur masuk.

Keadaan amalan rasuah yang tidak terkawal juga secara langsung akan membuatkan para pelabur berfikir dua kali sebelum melakukan pelaburan. Ini kerana bagi pihak pelabur, mereka tentunya tidak mahu menanggung kos yang tidak wajar dan membebankan mereka. Maka persoalan penting yang harus kita hadapi jika keadaan ini berlaku, bagaimana kita mahu membangunkan ekonomi rakyat dan negara andai tiada pelabur yang mahu melabur di negara kita. Hakikatnya kita perlu sedar dan insaf bahawa pentingnya amalan tatakelola dan tadbir urus yang baik bagi menarik para pelabur sekaligus menyakinkan mereka untuk datang melabur. Kita seharusnya berfikir rasional dengan bertanya dalam diri kita, mana mungkin para pelabur di luar sana yang sanggup menanggung risiko untuk membuat pelaburan di tengah-tengah negara yang bergelut dengan amalan rasuah. Untuk itu, usaha menangani gejala rasuah perlu terus dipergiatkan dengan pelbagai cara termasuk usaha advokasi dan perkasakan penguatkuasaan undang-undang. Oleh yang demikian, jangan pernah kita memandang remeh dengan usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah ini.




Sesungguhnya gejala rasuah yang berleluasa ini telah memperlihatkan pembaziran dana awam yang amat serius sekali. Perkara ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Transparency International Malaysia, menjelaskan bahawa amalan rasuah telah menelan belanja sebanyak empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini bermaksud gejala rasuah telah menyebabkan pembaziran dana awam yang serius sekaligus membuatkan pihak kerajaan sukar untuk mengoptimumkan segala sumber yang wujud secara cekap dan bersih bagi tujuan kesejahteraan rakyat. Natijah daripada keadaan ini, rakyat dan negara akan mengalami kerugian kerana pengagihan peruntukkan menjadi tidak seimbang antara tuntutan keperluan mendesak dan perancangan pihak kerajaan pada masa hadapan untuk kesejahteraan bersama. Gejala rasuah tidak boleh lagi dipandang enteng oleh sesiapa pun. Baik pada yang terlibat atau tidak terlibat, setiap anggota dalam masyarakat perlu bersikap peduli dan berani melaporkan kesalahan rasuah kerana biarpun satu sahaja kes rasuah berlaku, akan merugikan ekonomi negara.

Pada sekitar tahun 1999, menerusi satu jurnal bertajuk Perbandingan Ekonomi yang ditulis oleh Mo Pak Hung dari Universiti Baptist Hong Kong menyatakan bahawa satu peratus peningkatan dalam gejala rasuah berlaku, maka negara akan kehilangan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.72 peratus. Oleh itu, setiap anggota masyarakat yang bertamadun, seharusnya bersedia menyokong penuh usaha kerajaan dalam menangani dan membanteras jenayah rasuah. Realiti hari ini memperlihatkan ketegasan pihak kerajaan dalam terus mempergiatkan usaha mengekang jenayah rasuah. Ketegasan pihak kerajaan dalam membanteras rasuah semakin telah menampakkan hasilnya apabila kita melihat intipati ucapan oleh YAB Perdana Menteri dalam satu majlis perhimpunan penjawat awam, beliau menyebut bahawa negara telah berjaya menyelamatkan RM 15.5 bilion daripada ketirisan, rasuah dan penyeludupan yang sebelum ini mengalir keluar dari negara. Tentu ianya suatu kejayaan besar buat negara dan ini akan menjadikan negara Malaysia akan lebih dihormati, disegani dan diyakini oleh para pelabur dari dalam dan luar negara.

Lantaran usaha menangani rasuah dipergiatkan, timbul persoalan tentang apakah keuntungan dan manfaat lain pada negara ? Kesan daripada membanteras gejala tidak bermoral ini tentunya dapat memulihkan ekonomi serta memulihkan hasil negara. Jika rasuah diperangi dengan bersungguh, kita akan lihat fiskal negara akan mulai pulih. Antara kesan langsung yang diterima apabila fiskal negara kembali pulih ialah negara dapat mengurangkan ketirisan perbelanjaan awam. Ini bermakna segala kos projek kerajaan tidak lagi melambung tinggi akibat bayaran tersembunyi atau kronisme. Keadaan ini menjadikan lebih banyak dana awam dibelanjakan pada kos sebenar yang lebih rendah dan ini sekaligus membolehkan rakyat dapat membeli rumah dengan kos rendah. Selain itu, apabila fiskal negara kian pulih, keberkesanan subsidi akan dirasai oleh rakyat yang berhak. Fiskal yang kukuh akan dapat memastikan pengagihan subsidi lebih bersasar dan dapat menjadikan rakyat perolehi manfaat yang banyak. Fiskal negara yang kukuh juga dapat memaksimumkan hasil pendapatan negara. Apabila rasuah dikekang dengan sebaiknya, usaha kutipan cukai akan bertambah cekap dan telus.




Budaya rasuah yang berlaku dalam agensi penguatkuasaan seperti penyeludupan atau pelarian cukai, telah menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit pendapatan. Maka dengan membanteras rasuah dalam agensi tersebut dapat menjadikan kutipan cukai dikutip secara penuh dan optimum. Selain itu, hasil pendapatan negara juga dapat dipertingkatkan apabila siasatan kes-kes skandal penyelewengan berskala besar dilakukan, segala aset atau dana yang dilarikan di dalam atau di luar negara dapat diselamatkan dan dikembalikan kepada perbendaharaan negara. Pada sudut pelabur pula, usaha menangani gejala rasuah akan dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing dan domestik. Dasar integriti yang ketat dan kuat dapat memberi isyarat jelas kepada pasaran global bahawa negara serius mewujudkan persekitaran ekonomi yang sihat. Hasilnya nilai pelaburan akan meningkat dan ini akan menjadikan negara berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Satu lagi kesan langsung yang tidak kurang penting juga, yang bakal rakyat akan terima apabila gejala rasuah ini dibanteras ialah kesejahteraan hidup dengan kos sara hidup yang lebih stabil.

Rakyat yang juga sebagai pengguna akan menikmati harga barang dengan kos mampu milik kesan daripada membanteras kartel-kartel di pasaran. Ini menjadikan rakyat dapat berbelanja dengan lebih kukuh. Demikianlah antara sebahagian kecil usaha untuk menerangkan kepada kita bahwa betapa serius dan pentingnya usaha membanteras rasuah bagi memulihkan serta membaiki keadaan ekonomi negara. Sewajarnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu menyokong dan mendokong ketegasan dan usaha pihak kerajaan dalam menangani rasuah. Bahana rasuah walau pelakunya hanya melibatkan antara penerima dan pemberi namun kesan dan akibtnya akan dirasai oleh warga sekalian rakyat melalui keruntuhan nilai ekonomi. Oleh itu, marilah bersama kita berazam dengan bersungguh untuk memastikan tiada lagi ruang dan peluang untuk para perasuah petualang negara menjalankan aktiviti tidak bermaruah tersebut. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan