Pengukuhan ekonomi adalah merupakan instrumen terpenting dalam
menentukan tahap kestabilan dan kesejahteraan hidup. Sifir mudahnya ialah
semakin kukuh ekonomi sebuah isi rumah itu maka akan semakin stabil dan
bertambahlah kesejahteraan hidup. Sebaliknya kegawatan ekonomi yang melanda
pada sebuah isi rumah tersebut maka akan semakin goyah kestabilan berbelanja
sekaligus mencacatkan nilai kesejahteraan hidup. Dalam Islam, dinyatakan dengan
jelas bahawa salah satu daripada instrumen terpenting dalam mengukuhkan nilai
ekonomi ialah melalui pensyariatan ibadah zakat. Pada era zaman yang serba
mencabar ini, zakat bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada pihak penerima
zakat bahkan turut menambahkan nilai kesejahteraan hidup kepada pemberi zakat
dengan memperoleh sifat syukur dalam diri, mengikis perangai kedekut selain
menyemai perasaan yakin dengan rezeki Allah Jalla Wa 'Ala. Oleh itu, zakat
bukan sahaja instrumen yang dapat mengukuhkan ekonomi tetapi menambah nilai
baik dalam hubungan sosial.
Perkataan "Zakat" adalah kosa kata daripada
bahasa Arab. Pada sudut pemahaman bahasa, ungkapan al-zakat merujuk
kepada maksud suci, rahmat, berkat, berkembang, subur, bertambah dan sedekah.
Dalam catatan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan zakat membawa maksud rukun
Islam yang keempat yang mewajibkan seseorang Islam mengeluarkan sebahagian
daripada hartanya kepada orang yang berhak menerimanya. Pada sudut istilah
pula, ungkapan zakat bermaksud mengeluarkan kadar tertentu dari harta yang
tertentu bagi faedah golongan yang berhak menerimanya, sebagaimana yang
ditentukan oleh Allah. Dalam penggunaan lain, ia juga bererti harta yang
dikeluarkan itu sendiri. Selain itu, apabila kita merujuk kepada al-Quran dan
hadith, kita akan mendapati bahawa istilah lain yang diguna pakai yang juga
merujuk kepada makna zakat iaitulah istilah sedekah. Perkara ini dapat dilihat
sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi
surah at-Taubah ayat 103, dimana Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Ambillah dari harta mereka sedekah (zakat) yang dengan itu kamu
membersihkan dan menyucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu
itu menjadi ketenteraman (ketenangan) bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui.”
Selain itu, terdapat dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari
dan Muslim yang menyentuh tentang persoalan nisab zakat, perkataan
"sedekah" digunakan sebagai merujuk kepada maksud zakat. Ini
sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Di bawah pada lima “ausuq“ tidak dikenakan sedekah (zakat)“
Pensyariatan zakat sebagai suatu ibadah kepada Allah telah
dijelaskan dalam kebanyakan ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi Muhammad SAW.
Antara lain sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada para hamba Nya
menerusi surah al-Baqarah ayat 43, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud
:
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan
rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.
Begitu juga di dalam hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim,
sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“lslam itu terbina atas lima perkara: bersaksi bahawa sesungguhnya
tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah,
mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan dan menunaikan puasa pada
bulan Ramadan”.
Demikian antara dalil, hujah dan bukti yang menerangkan tentang
pensyariatan ibadah zakat. Dalam syariat zakat, terdapat lima syarat yang
mewajibkan seseorang itu untuk mengeluarkan zakat. Pertama, zakat
diwajibkan kepada orang Islam. Ini juga bermakna orang bukan Islam
tidak wajib selain tidak diterima dan diambil kira zakatnya. Kedua, seseorang
itu hendaklah merdeka. Perkataan merdeka merujuk kepada individu yang
bebas merdeka dalam menguasai sesuatu pemilikan harta. Dalam kata lain, dia
hendaklah memiliki hartanya sendiri dengan pemilikan yang bersifat sepenuhnya.
Ketiga, hendaklah harta yang dimiliki itu sempurna hak milik. Ini
bermakna harta hasil perkongsian dengan orang bukan Islam, maka diwajibkan
zakat pada bahagian yang dimiliki harta oleh orang Islam sahaja. Keempat, cukup
nisab. Perkataan nisab merujuk kepada makna paras minima yang menentukan
sama ada sesuatu harta itu diwajibkan zakat. Syarat wajib zakat terakhir adalah
cukup haul. Perkataan haul pula merujuk kepada maksud genap
tempoh setahun bagi pemilikan harta tersebut. 354 hari bagi kalendar tahun
Hijrah dan 365 hari bagi kalendar tahun Masihi.
Ibadah zakat secara dasarnya mempunyai dua jenis. Pertama, disebut
sebagai 'Zakat Fitrah'. Jenis kedua pula disebut sebagai 'Zakat
Harta'. Perkataan "Zakat Fitrah" adalah susunan kata yang
berasal dari bahasa Arab. Perkataan zakat itu sendiri seperti yang telah
dijelaskan sebelum ini. Fitrah pula merujuk kepada maksud naluri semula jadi
manusia yang suci, cenderung kepada kebenaran, kebaikan dan mengakui kewujudan
Tuhan sejak lahir. Dalam catatan Qamus al-Muhith, Firuzabadi menyebut
perkataan fitrah seolah-olah kembali kepada kejadian asalnya. Pada sudut
istilah pula, zakat fitrah sebagaimana yang dijelaskan oleh Abdul Qadir
al-Syaibani di dalam kitabnya Nail al-Maarib, ialah sedekah yang wajib
dikeluarkan selepas berbuka puasa untuk beraya dan selesainya Ramadan. Maka
dalam erti kata lain, zakat fitrah boleh difahami juga sebagai zakat yang
diwajibkan keatas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan
Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Secara umumnya, zakat fitrah
merupakan suatu syariat ibadah kepada Allah yang telah difardhukan pada tahun
kedua hijrah iaitu pada tahun yang sama difardhukan kewajiban ibadah puasa di
bulan Ramadan.
Jenis kedua iaitu 'Zakat Harta' dapat difahami sebagai harta yang
subur, boleh berkembang dan bertambah. Ini bermakna sesuatu harta yang bersifat
pasif, tidak berkembang dan tidak bertambah tidaklah diwajibkan zakat keatas
harta tersebut. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dijelaskan bahawa :
"Harta yang diwajibkan zakat berdasarkan harta yang subur.
Setiap harta yang boleh berkembang dan bertambah mempunyai kaitan dengan zakat.
Oleh itu, zakat tidak berkaitan dengan harta yang beku. Hikmah zakat berasaskan
kesuburan harta adalah jelas. Harta yang beku jika wajib zakat akan habis dalam
jangka masa 40 tahun. Ini sudah tentu akan menyusahkan pemiliknya. Sementara
itu, harta yang subur dan boleh bertambah mempunyai kaitan dengan zakat
mengikut kesuburan harta tersebut dan ia tidak akan habis oleh zakat".
Oleh kerana itu berasaskan penjelasan tersebut, terdapat beberapa
harta yang diwajibkan zakat seperti zakat emas dan perak. Maksud zakat emas dan
perak ini ialah emas dan perak yang telah ditempa atau dalam bentuk jongkong
sama ada dimiliki secara langsung atau pun tidak, iaitu berkaitan dengan emas
dan perak atau wang kertas sebagai ganti kedua-duanya. Termasuk juga sijil
saham yang mempunyai jaminan tetap yang dibayar mengikut nilai sebenar sama ada
emas atau perak. Selain itu, harta yang diwajibkan zakat juga ialah harta
berupa binatang ternakan. Perkataan "Binatang Ternakan" merujuk kepada
binatang ternakan seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing. Ini juga sejajar
dengan hadith Nabi SAW riwayat Bukhari (1386) yang menjelaskan tentang
kewajiban zakat ternakan. Zakat harta seterusnya ialah tanam-tanaman dan
buah-buahan. Ini bermaksud tanaman dan buah-buahan yang wajib dikenakan zakat
adalah yang menjadi makanan asasi manusia dalam keadaan biasa, boleh disimpan
lama dan tidak rosak.
Antara contoh buah-buahan yang wajib dikenakan zakat ialah kurma
dan anggur, manakala tanaman pula adalah seperti gandum, barli, padi dan
sebagainya. Seterusnya harta lain yang diwajibkan zakat ialah barang
perniagaan. Perniagaan merujuk kepada bertukar ganti barangan untuk mendapatkan
keuntungan. Tidak terhad dan tidak terbatas kepada harta benda tertentu sahaja.
Barangan pula merujuk kepada barang-barang yang ditukar ganti untuk tujuan
keuntungan. Akhir sekali, harta yang diwajibkan zakat ialah harta galian dan
harta purba. Perkataan harta galian dan purba merujuk kepada makna emas dan
perak yang dikeluarkan dari bumi. Demikian penjelasan secara umum mengenai
syariat zakat dan jenis-jenisnya. Pensyariatan ibadah zakat merupakan
manifestasi kepada nilai syukur selain mendidik jantung hati agar tidak
bersifat tamak dengan harta dunia yang menguji ini. Syariat zakat juga turut
mendidik para penerimanya agar tidak bersangka buruk terhadap orang kaya selain
mengajar diri untuk sentiasa berasa cukup dengan apa yang dikurniakan oleh
Allah SWT. Secara rumusannya, setiap umat Islam bertanggungjawab saling
membantu sesama saudara seagama dan dalam hal ini, zakat menjadi instrumen
terpenting dalam usaha menterjemahkan semangat tolong menolong memperkasakan
sosio ekonomi umat manusia. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan