Keterbatasan akal dan pengetahuan umat manusia dalam mengetahui
sesuatu perkara ghaib menjadikan kita tidak boleh tahu dan tidak dapat memahami
banyak perkara yang sifatnya tidak boleh nampak dengan pancaindera.
Ketidakupayaan manusia untuk mengetahui perkara-perkara ghaib bukanlah
bermaksud kita perlu menafikan tiap-tiap yang bersifat ghaib tersebut namun
Islam sebagai agama yang bersifat wahyu mengajar umatnya beriman atau dengan
kata lain yakin dan percaya dengan perkara ghaib tersebut melalui petunjuk
al-Quran dan al-Sunnah. Maka yang demikian, umat Islam apabila berbicara
tentang persoalan perkara ghaib, tidak dapat tidak wajib merujuk kepada wahyu
dengan mengambil panduan dan kerangka fikir yang dituntut oleh syariat. Wahyu
Allah sebagai panduan umat manusia membimbing akal untuk memahami perkara ghaib
sepertimana yang dikhabarkan melalui al-Quran dan al-Sunnah dan tidak
berlebihan dengan menokok tambah tentang perkara ghaib.
Amalan “Bedah Batin” dianggap sebagai perkara yang
bersifat ghaib yang tidak boleh dilihat, disentuh dan dirasai dengan
pancaindera. Pada sudut pemahaman umum, bedah batin merujuk kepada makna satu
kaedah rawatan atau perubatan tradisional/kerohanian yang mendakwa boleh
merawat pesakit dengan mengeluarkan benda asing dari dalam tubuh badan pesakit
tanpa menggunakan peralatan perubatan fizikal atau tanpa melaksanakan
pembedahan sebenar di hospital. Rawatan seperti ini lazimnya dikaitkan dengan
elemen ghaib, tenaga batin atau bantuan makhluk halus seperti jin. Hakikatnya,
rawatan atau amalan bedah batin ini tidak termasuk dalam kategori perubatan
ruqyah syari'iyyah. Ruqyah atau dalam bahasa melayu bermaksud jampi,
sememangnya pernah dilakukan sendiri oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan hal tersebut
diharuskan dalam Islam. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith
riwayat Muslim yang bermaksud :
"Daripada Uthman bin Abi alAsh yang pernah mengadu kepada
Rasulullah SAW perihal sakit yang ada pada jasadnya semenjak dia memeluk Islam.
Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: "letakkan tanganmu di tempat sakit
kemudian baca: “Dengan nama Allah”. (3x). Dan baca: “Aku berlindung dengan
Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan/keburukan yang aku dapati dan aku
takuti”. (7x)".
Dalam kitab al-Lu'lu al-Makin karangan Syeikh Jibrin, beliau
menyebut dalam fatwanya yang bermaksud :
“Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa yang baik
bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah yang betul dan melakukan amal
perbuatan yang baik serta mempunyai peribadi yang baik. Tidak disyaratkan
kepada penjampi (perawat) untuk mengetahui semua permasalahan furu‘ (cabang) di
dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam. Hal ini berdasarkan
kisah Abu Said yang menjampi orang yang telah sesat disengat binatang berbisa.
Beliau berkata: “Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat
untuk menjampi atau seperti yang termaktub di dalam hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim.” Orang yang menjampi mestilah mempunyai niat yang baik dan bertujuan
untuk memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita untuk
memperolehi harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan.”
Berdasarkan daripada penjelasan ini, rawatan ruqyah atau jampi yang
padanya dibaca ayat-ayat al-Quran dan menepati syarat-syarat menjampi adalah
diharuskan dalam Islam. Menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam
kitabnya al-Fath al-Bari menyatakan bahawa para ulama telah sepakat
tentang keharusan membuat rawatan jika memenuhi tiga syarat berikut. Pertama,
ruqyah atau jampi hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah SWT atau
dengan nama-nama dan sifat-sifatnya. Kedua, ruqyah hendaklah dilakukan dengan
menggunakan bahasa Arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami
maknanya. Ketiga, hendaklah meyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan
pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah SWT. Demikian
syarat rawatan ruqyah/jampi yang diharuskan oleh Islam. Adapun soal amalan
bedah batin, hakikatnya tiada bukti mahupun hujah dalil daripada nas al-Quran
dan al-Sunnah yang menjelaskan dan menunjukkan kepada kewujudan amalan bedah
batin mengikut syariat Islam.
Dalam penelitian yang dibuat, amalan bedan batin atau juga dikenali
sebagai perubatan bedah batin ini sangat diragui amalannya dan dikenalpasti
terdapat unsur penipuan dan kekarutan. Sehingga sampai satu tahap, amalan karut
bedah batin ini boleh menjadi hukumnya haram jika pengamal amalan ini
menggunakan ilmu hitam, perantaraan jin atau syaitan ataupun menggunakan ilmu
sihir semasa merawat. Menurut dasar kepada perubatan yang berpandukan syariat
Islam, amalan bedah batin ini sebenarnya ditolak kerana tiada dalil melalui
al-Quran dan hadith serta amalan karut ini tidak pernah diiktiraf oleh para
imam muktabar termasuk para imam empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan
Hanbali. Di peringkat kebangsaan, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM), melalui sebuah panduan iaitu Garis Panduan Amalan Perubatan Islam,
menyatakan bahawa ciri-ciri perubatan Islam antara lain ialah tidak menjalankan
pembedahan batin secara ghaib atau menggunakan bantuan makhluk halus.
Di peringkat negeri, beberapa buah negeri dengan tegas menolak
amalan atau rawatan bedah batin ini antaranya Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah
bertarikh 23 Februari 2025 telah menyatakan bahawa kaedah bedah batin adalah
meragukan dan bertentangan dengan syariat kerana atas beberapa sebab antaranya
kerana kaedah ini tidak pernah diamal atau dibahas oleh ulama muktabar dan
tiada sumber rujukan daripada kitab-kitab tibb nabawi yang boleh dijadikan
sandaran untuk mengharuskannya. Selain itu, perawat atau pengamal perubatan
yang melaksanakan pembedahan batin tidak dapat disahkan dari segi kelayakan,
kelulusan dan kepakaran yang dimiliki oleh mereka. Maka Jawatankuasa Fatwa
Negeri Kedah memutuskan kaedah bedah batin ditolak dan bercanggah dengan
syariat. Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada
10 Oktober 2013, telah memutuskan bahawa amalan, pegangan, kepercayaan atau
fahaman pembedahan batin atau apa-apa amalan yang mempunyai persamaan dengan
pembedahan batin adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Orang
Islam yang telah mengamal, mempercayai, mengajar, mempelajari dan mengikuti
amalan-amalan pembedahan batin atau yang mempunyai persamaan dengan amalan,
ajaran, pegangan, kepercayaan atau fahaman pembedahan batin hendaklah segera
meninggalkan ajaran tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT.
Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang telah bersidang
pada 14 hingga 15 Jun 2024 telah memutuskan bahawa ajaran yang mempunyai
kepercayaan berikut adalah batiniah sesat dan diharamkan dan antaranya ialah
mempercayai syariat boleh dipisahkan antara yang zahir dan batin (isi dan
kulit) yang mana sebahagian manusia tidak terikat dengan syariat yang zahir
kerana hanya berpegang kepada yang batin. Ini termasuklah kepercayaan mengenai
amalan bedah batin. Begitu juga menurut keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri
Johor yang telah bersidang pada 26 Oktober 2016, telah memutuskan bahawa tidak
bersetuju dengan rawatan pembedahan batin. Antara hujahnya ialah ketiadaan
bukti yang jelas dari segi pengiktirafan kepakaran untuk merawat pesakit,
adanya unsur penggunaan jin bagi tujuan rawatan serta kaedah rawatan yang tidak
menepati syara’ yang boleh menimbulkan fitnah iaitu percampuran tempat rawatan
lelaki dan perempuan tanpa penghadang, sentuhan perawat lelaki ke atas pesakit
perempuan dan pendedahan aurat.
Demikianlah antara sebahagian kecil penjelasan mengenai kekarutan
amalan dan rawatan bedah batin. Jelas sekali, Islam sebagai agama wahyu menolak
dan menentang sebarang perubatan dan perawatan yang berunsur mistik ini.
Perkara seperti ini bukan sahaja boleh menimbulkan fitnah dan keraguan terhadap
masyarakat bahkan mengundang kepada perbuatan syirik dan khurafat. Islam adalah
agama yang bersendikan ilmu dan wahyu, tidak menyuruh atau menuntut penganutnya
untuk melakukan perkara yang memperbodohkan akal serta fikiran. Islam dengan
jelas juga menyebut bahawa sesungguhnya iblis dan syaitan itu adalah musuh yang
terang lagi nyata. Tidak boleh dibuat teman, kawan apatah lagi sahabat. Oleh
kerana itu, kita sama sekali dilarang dan ditegah daripada melakukan apa-apa
usaha untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada kedua-dua makhluk terkutuk
tersebut. Dengan itu, masyarakat perlu memainkan peranan memberikan kesedaran
kepada yang lain agar tidak terpengaruh dengan kaedah perubatan bedah batin ini
yang jelas menyeleweng dan terpesong jauh daripada ajaran Islam sebenar. Semoga
Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan