Sabtu, 3 Oktober 2026

SYARIAT SULH : JALAN MENCARI PERDAMAIAN

 

Krisis rumah tangga bukan sahaja mampu meranapkan mahligai cinta yang dibina tetapi boleh meragut kegembiraan anak-anak yang telah merasa sempurna memiliki kedua ibubapa. Namun begitu, menjadi lumrah dalam kehidupan, ada pasang surutnya. Ada ketika kita bahagia bersama dan ada detiknya kita saling benci dan bermusuhan. Kes-kes seperti memohon perceraian, perebutan harta pusaka, menuntut hak jagaan anak selain bermacam lagi perkara yang mewujudkan pertikaiaan dan perbalahan yang tidak sudah, kadang kala boleh diselesaikan dengan jalan rundingan dan konsultasi yang berkesan. Bak kata pepatah melayu, ambil yang jernih dan buang yang keruh. Proses sulh adalah antara proses dan usaha yang dilakukan bagi mencari titik perdamaian sekaligus dapat menyelamatkan ramai pihak yang terbabit.

Perkataan "Sulh" adalah berasal dari kosa kata bahasa Arab iaitu al-Sulhu (صلح) yang membawa maksud perdamaian, penyelesaian, mendamaikan dan membaiki hubungan yang retak. Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab, beliau menyatakan bahawa al-Sulhu merupakan kata nama yang berasal dari kata kerja secara menyeluruh bererti Tasaluh wa al-Musalahah iaitu merupakan perdamaian setelah terjadi perselisihan. Dalam pada itu, terdapat beberapa pandangan lain dikalangan para ulama empat mazhab yang utama. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Badr al-Din al-'Aini dalam kitabnya al-Binayah Syarh al-Hidayah, menurut ulama mazhab Hanafi, sulh ialah suatu akad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian. Definisi ini juga di pegang oleh para ulama mazhab Syafie. Dikalangan ulama mazhab Maliki pula seperti Ibn 'Arafah menyebut bahawa sulh ialah proses pemindahan suatu hak atau pendakwaan dengan gantian (persetujuan) untuk menyelesaikan pertikaian.




Ringkasnya, perkataan sulh dapat kita fahaminya sebagai suatu proses konsultasi dan perundingan atau dalam istilah lain disebut sebagai mediasi yang melibatkan beberapa pihak bagi meleraikan perebutan, pertikaian dan perbalahan yang berlaku dengan cara sepakat, damai dan tenang. Perintah untuk melakukan proses sulh menurut al-Quran dan al-Sunnah sudah terang lagi jelas dinyatakan. Di dalam al-Quran, Allah Azza Wa Jalla berfirman menerusi surah al-Hujurat ayat 9 yang bermaksud :

"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".

Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa Allah Azza Wa Jalla memerintahkan kepada hamba Nya supaya melakukan usaha perdamaian antara orang-orang yang beriman apabila wujudnya perbalahan. Selain itu, dalam hadith Nabi Muhammad SAW riwayat Tirmizi bertaraf hasan sahih, daripada 'Amru bin 'Auf al-Muzani RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Perdamaian di antara umat Islam diharuskan kecuali perdamaian yang mengharamkan sesuatu yang halal atau menghalalkan sesuatu yang haram. Dan umat Islam boleh memenuhi syarat-syarat mereka kecuali syarat yang mengharamkan sesuatu yang halal atau menghalalkan sesuatu yang haram”

Hadith ini secara jelas menekankan tentang keharusan mewujudkan kedamaian sesama umat Islam apabila wujudnya sesuatu perbalahan atau pertikaian. Maka jelaslah bahawa sulh adalah merupakan instrumen perundangan terpenting di dalam Islam sebagai suatu usaha dan jalan mencari titik perdamaian sekaligus dapat meleraikan permusuhan antara dua pihak sesama Islam. Menyentuh soal sulh, dikalangan para ulama, mereka meletakan beberapa syarat yang melibatkan antara dua pihak yang berbalah. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, terdapat beberapa syarat terpenting dalam usaha melaksanakan proses sulh antara lain ialah yang pertama, pihak-pihak yang berdamai. Pihak-pihak yang berdamai haruslah mereka yang layak dan sah mendermakan hartanya. Tidak diterima dikalangan mereka yang gila, berstatus kanak-kanak atau penjaga harta. Ini terutama pada pertikaian urusan harta.




Syarat kedua pula ialah sesuatu perkara yang dijadikan sulh. Sesuatu yang hendak dijadikan sulh mestilah merupakan harta yang boleh dinilai dan dapat dibuat penyerahan atau sesuatu yang berharga. Ini bermakna tidak sah perdamaian dengan imbalan darah, bangkai atau barang lain yang tidak bernilai. Sesuatu yang hendak di damaikan itu hendaklah wujud tanpa ada pertikaian terhadap kewujudannya. Selain itu, syarat ketiga ialah berkaitan hak yang dipertikaikan. Menjadi syarat sesuatu yang dipertikaikan itu hendaklah mempunyai hak yang boleh dinilai atau hak sesuatu yang bermanfaat seperti harta sepencarian melibatkan hartanah, melanggar janji untuk berkahwin/bertunang, tuntutan-tuntutan berbangkit dari suatu perceraian seperti mutaah, nafkah dalam tempoh iddah, hutang mas kahwin dan hak jagaan anak. Perkara-perkara yang sedemikian adalah menjadi hak seseorang yang harus ditukar ganti sekalipun bukan berbentuk harta seperti hukum Qisas.

Sesungguhnya proses sulh adalah merupakan suatu usaha yang boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk bergantung kepada tuntutan atau permohonan yang dikemukakan oleh pihak yang bertikai. Hal ini termasuklah dengan usaha runding cara, kaunseling rumah tangga, atau melalui Hakam dan Jawatankuasa Pendamai, melalui Majlis Sulh dan mediasi. Kesemua usaha ini biarpun berbeda bentuknya tetapi memiliki objektif yang sama iaitulah bagi mencari titik perdamaian sekaligus meleraikan pertelingkahan yang timbul. Dalam perundangan Mahkamah Syariah, Majlis Sulh mempunyai peranan dan fungsi yang penting dan bermakna dalam mencari jalan penyelesaian. Antara peranan terpenting Majlis Sulh ialah mengangkat nilai kasih sayang antara pihak yang terlibat. Peranan ini menjadikan pihak yang saling bertikai kembali ke meja rundingan, mencari solusi selain melatih pihak terbabit untuk meredakan emosi dan saling memaafkan antara satu sama lain.




Selain itu, peranan terpenting Majlis Sulh juga adalah memupuk budaya berbincang dan bukannya berbalah. Perbincangan yang dilakukan secara tertutup lebih mendorong pihak terlibat untuk bercakap dari hati ke hati, saling jujur dan tulus dalam berbicara. Ini sekaligus dapat mengelakkan perbalahan terbuka secara berpanjangan tanpa ada jalan penyelesaian. Majlis Sulh juga hakikatnya sangat memainkan peranan penting di dalam usaha melindungi aib dan maruah pihak-pihak yang terbabit. Melalui usaha sulh ini, kerahsiaan keluarga akan lebih terpelihara dan terjaga tanpa diperkatakan di khalayak awam. Peranan Majlis Sulh juga sangat besar dalam usaha menjamin kebajikan anak-anak termasuklah menjaga keselamatan mental dan fizikal anak-anak selain menjaga perasaan anak-anak terutama apabila ibu dan bapa telah berpisah. Marilah kita meneladani sikap Rasulullah SAW sebagai pihak pendamai.

Diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Sahl bin Sa'ad as-Sa'idi RA, ia menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah SAW datang ke rumah anaknya Fatimah az-Zahra. Namun, baginda Nabi mendapati berlaku perselisihan faham antara Fatimah dan Ali bin Abi Talib. Hal tersebut menyebabkan Ali keluar dari rumah dan menuju ke masjid. Sebaik baginda mengetahui akan hal tersebut, baginda tidak terburu-buru memarahi antara mereka berdua sebaliknya baginda keluar mencari Ali RA. Lalu baginda menemui Ali sedang berbaring di masjid dalam keadaan tubuh dan pakaian Ali di penuhi debu. Baginda Nabi mengusap debu tersebut dan kemudiannya memanggil Ali dengan menyebut "Bangunlah ! Wahai Abu Turab (Bapa Debu)”. Lihatlah bagaimana kelembutan baginda Nabi dalam mendepani krisis rumah tangga antara Ali dan anaknya Fatimah. Sewajarnya sikap pendamai ini dicontohi oleh para mentua, ipar duai dan seluruh kaum keluarga. Berusaha lah menjadi pendamai dan elakkan menjadi batu api. Demikianlah sedikit perihal tentang sulh. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan