Selasa, 22 September 2026

LELAKI DAPAT BIDADARI, WANITA DAPAT APA ?

 

Keadilan seringkali dikaitkan dengan persoalan kesaksamaan. Dalam bahasa mudahnya, adalah dikira tidak adil jika kesaksamaan itu tidak dibuat bagi memenuhi maksud sesebuah keadilan. Nampaknya seperti adil itu pada kuantiti dan tidak dilihat melalui kualiti. Berdasarkan pemahaman adil yang sebegini, maka jika seorang ayah memberikan wang saku kepada anak pertamanya yang bersekolah di sekolah menengah sebanyak RM 10, maka untuk berlaku adil, anak keduanya pula yang bersekolah di sekolah rendah perlu diberikan peruntukkan yang sama seperti anak pertama tadi iaitu sebanyak RM 10. Tetapi apakah benar maksud adil tersebut ? Jawapannya tidak. Keadilan dilihat pada haknya bukan dilihat pada nilainya. Oleh itu, timbul persoalan, jika kaum lelaki kelak akan mendapat balasan bidadari di syurga, adakah wanita pula akan mendapat bidadara ? Apa yang wanita akan dapat jika tidak dapat sama seperti kaum lelaki ?

Pada hakikatnya, bidadari merupakan seorang wanita yang memiliki kecantikan dan keindahan yang jelita, yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai balasan terhadap para lelaki di syurga kelak. Dalam al-Quran, bidadari disebut di dalam bahasa Arab sebagai حُور. Istilah Huuru (حُور) ini merujuk kepada maksud teramat putih kulitnya dan matanya kehitaman. Selain itu di dalam hadith Nabi SAW, baginda menyebut bidadari dengan perkataan الحُورِ العِينِ. Seperti yang dijelaskan, perkataan الحُورِ bermaksud teramat putih kulitnya dan matanya kehitaman manakala perkataan العِينِ bermaksud mata yang luas (besar). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, istilah bidadari membawa maksud dewi di syurga atau di kayangan dan perempuan yang cantik rupawan. Secara ringkas, bidadari adalah merupakan wanita syurga yang padanya memiliki ciri-ciri keindahan, kecantikan dan kejelitaan yang tidak pernah terlihat di dunia ini. Bidadari merupakan balasan dan ganjaran oleh Allah Azza Wa Jalla kepada kaum lelaki yang bertaqwa kepada Allah SWT.




Berbalik kepada persoalan, jika lelaki akan mendapat bidadari kelak, bagaimana pula nasib kaum wanita di sana kelak ? Apakah ada bidadara di sana ? Pertama sekali, tidak ada satu pum cerita mengenai makhluk yang bernama "Bidadara". Namun begitu, satu perkara yang mesti kita tahu, di ketika manusia berada di syurga, baik lelaki mahupun perempuan, apa sahaja yang kita inginkan, apa sahaja yang kita mahukan dan berkehendak akan sesuatu pastinya kita akan perolehi. Ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Fussilat ayat 31 hingga 32, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!"

Selain itu, di dalam ayat lain menerusi surah az-Zukhruf ayat 71, dimana Allah Jalla Wa 'Ala menjelaskan dengan berfirman yang bermaksud :

"Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu adalah tetap kekal di dalamnya".

Berdasarkan dalil dan hujah diatas, maka tidak mustahil akan ada makhluk yang bernama bidadara meski tidak disebut pun oleh Allah dan Rasul. Hal ini kerana, ketika manusia berada di dalam syurga, segala keinginan, kemahuan, hasrat dan hajat kita pastinya akan ditunaikan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang ahli syurga mahu, pasti akan diperolehinya. Tiada yang mustahil. Pun begitu, barangkali kita juga turut terfikir kenapa Allah SWT hanya menyebutkan tentang bidadari untuk kaum lelaki tetapi tidak langsung menyebut bidadara untuk kaum wanita ? Apakah Allah SWT melakukan diskriminasi jantina ? Menjawab persoalan ini, kita katakan bahawa hakikatnya Allah Azza Wa Jalla lebih Maha Mengetahui akan para makhluknya yang memiliki kecenderungan yang berbeza-beza. Lainan jantina sebenarnya membawa kepada kecenderungan yang berbeda. Tidak ada diskriminasi antara jantina lelaki dan wanita. Bagi kaum lelaki, Allah SWT menjadikan bidadari adalah sebagai tarikan kepadanya sesuai dan selari dengan fitrah naluri kaum lelaki di dunia yang lebih cenderung kepada sukakan wanita.




Sememangnya wanita adalah ujian terhebat bagi kaum lelaki. Perkara ini tidaklah pelik kerana demikianlah sifat fitrah semulajadi yang dijadikan oleh Allah SWT kepada kaum lelaki. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak aku tinggalkan selepasku ujian yang jauh lebih bahaya kepada lelaki selain wanita.”

Begitu juga di dalam al-Quran, dimana Allah Azza Wa Jalla menyatakan bahawa dijadikan perempuan itu sebagai perhiasan duniawi untuk kaum lelaki. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT menerusi surah Ali Imran ayat 14, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".

Berdasarkan ayat ini, lihatlah perkara pertama yang disebutkan sebagai perhiasan untuk kaum lelaki ialah perempuan. Ini menjelaskan lagi bahawa sememangnya kecenderungan kaum lelaki adalah kepada wanita. Maka dengan sebab itu Allah SWT menyebutkan tentang bidadari sebagai balasan di syurga untuk kaum lelaki sesuai dengan fitrag dan naluri semulajadi kaum lelaki. Ini berbeda pula dengan kaum wanita. Umumnya, kaum wanita memiliki kecenderungan yang tidak sama seperti kaum lelaki. Jika kaum lelaki memiliki kecenderungan terhadap wanita, kaum wanita pula lebih cenderung kepada perhiasan. Perhiasan emas yang terdiri daripada cincin, gelang, rantai dan lain-lain adalah sesuatu yang disukai oleh kaum wanita selari dan sesuai dengan kejadian fitrahnya. Buktinya, kita boleh lihat di dalam al-Quran menerusi surah al-Zukhruf ayat 18, dimana Allah Azza Wa Jalla menjelaskan dengan berfirman yang bermaksud :

"Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang ia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?"




Berdasarkan kefahaman ayat ini, Allah SWT menemplak segelintir orang Arab jahiliah yang menyifatkan para malaikat itu sebagai anak perempuan Allah. Melalui ayat ini juga, para ulama telah menjadikan ayat ini sebagai hujah dan dalil mengenai keharusan orang perempuan memakai perhiasan seperti emas kerana ianya sesuai dengan fitrah kaum wanita yang lembut. Jelaslah bahawa naluri dan fitrah kaum wanita memiliki kecenderungan kepada perhiasan berbanding kaum lelaki. Maka dengan sebab itu, Allah Azza Wa Jalla tidak menyebut tentang bidadara sepertimana Allah menyebut tentang bidadari. Selain itu, dikalangan para ulama seperti Syeikh al-'Utsaimin menyebut di dalam kitabnya Majmu' Fatawaa Syeikh al-'Utsaimin, beliau menyatakan beberapa hujah mengenai sebab kenapa Allah SWT tidak menyebut tentang bidadara. Antara lain hujahnya ialah kaum perempuan asalnya merekalah yang dicari dan dikejar dan bukan sebaliknya yang mencari dan yang mengejar.

Begitu juga menurut Dr. Said Ramadan al-Buti di dalam kitabnya La Ya'tihil Bathil, beliau menyebut Allah SWT mengajar kita akan kepentingan memahami cara berinteraksi dengan orang lain. Allah SWT mencipta kaum wanita dengan sifat feminimnya dan Allah menciptakan lelaki demgan sifat maskulinnya. Maka lainan jantina akan membawa kecenderungan yang berbeza. Demikianlah sedikit penjelasan menjawab persoalan tentang bidadari dan bidadara. Apa pun yang pasti, kenikmatan di dalam syurga Allah Azza Wa Jalla itu amatlah luas dan tidak ada batasnya. Apa sahaja yang kita inginkan tentu Allah SWT akan memberikannya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dengan pelbagai kurniaan Allah boleh tunaikan. Tinggal lagi adalah kepada kita yang sehasrusnya perlu konsisten berjuang mencari reda Nya, istiqamah melakukan kebaikan, memburu pahala dan ganjaran Nya. Tidak ada hal yang lebih nikmat melainkan kita semua dapat memasuki syurga Nya dengan penuh keredaan. Semoga kita semua diampunkan oleh Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan