Dunia Arab dahulunya dikenali sebagai bangsa yang penuh dengan
kebejatan sosialnya. Kaum wanita pada ketika itu tidak mempunyai nilai dan
maruah. Ini kerana wanita dianggap tidak lebih sekadar pemuas nafsu kaum
lelaki. Selain itu sebilangan kecil dikalangan orang Arab ada yang berpegang
kepada kepercayaan tentang malangnya hidup jika memiliki anak perempuan. Pada
mereka, anak perempuan akan membawa sial dalam hidup. Struktur masyarakat yang
berpuak-puak berorientasikan sistem kabilah telah mewujudkan sikap assabiyah
yang melampau yang turut mengundang perbalahan dan pergaduhan antara kabilah
yang tidak berkesudahan. Semua ini telah tercatat sebagai sejarah sebelum
kedatangan manusia terhormat yang bernama Muhammad bin Abdullah. Kelahiran
baginda Nabi Muhammad SAW telah banyak mengubah struktur kehidupan bangsa Arab
merangkumi semua aspek kehidupan.
Junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW merupakan manusia
teragung yang dipilih oleh Allah SWT sebagai ikutan, rujukan dan pembawa
risalah kebenaran kepada seluruh umat manusia. Sejarah riwayat hidup baginda
Nabi SAW telah tercatat di dalam pelbagai penulisan dan ribuan kitab yang
menulis tentangnya. Perjalanan hidup baginda baik sebagai pemimpin, pendakwah,
ketua keluarga mahupun sebagai suami telah dikagumi oleh ramai para sarjana
yang menukilkannya. Tidak salah untuk kita katakan seluruh hidup baginda
sentiasa dihayati dan difahami oleh umat manusia sejak dahulu hingga di alaf
baru ini. Ketokohan baginda Nabi SAW terus diperkatakan, ditulis dan dihargai
sehingga dinobatkan sebagai manusia paling berpengaruh nombor satu di dunia
dalam kajian sejarah oleh ahli astrofizik Amerika, Michael H. Hart. Maka tidak
hairanlah apabila tibanya bulan Rabiul awwal yang merupakan bulan kelahiran dan
kewafatan baginda Nabi SAW, seluruh pelusuk dunia orang Islam menyambutnya
dengan mengingati sirah perjalanan baginda.
Persoalan yang timbul, apakah bukti kecintaan dan kasih kepada
manusia teragung ini ? Ini kerana sudah menjadi trend dan tradisi sejak dahulu,
ada yang menyambut bulan kelahiran baginda Nabi SAW dengan berarak sambil
berselawat di jalanan. Ada pula sebahagiannya mengalunkan qasidah puji-pujian
kepada Nabi Muhammad SAW. Tidak kurang pula ada yang membuat kuliah, ceramah,
seminar dan yang seumpamamya, mengisinya dengan membaca sirah dan hadith-hadith
Nabi SAW. Kalau ditinjau di beberapa negara majoriti orang Islam seperti di
Indoesia, sambutannya persis sambutan ulang tahun kemerdekaan dengan kereta
berhiasnya, patung-patung yang mengambarkan zaman Arab selain ada yang
berselawat dengan mengikut genre muzik kontemporari. Sungguh menakjubkan
apabila melihat bermacam ragam dan gaya sambutan yang dibuat sebagai
membuktikan tanda cinta dan kasih kepada baginda Nabi Muhammad SAW.
Bagi menjawab persoalan tentang tanda cinta dan kasih kepada
baginda Nabi Muhammad SAW, tidak ada jawapan yang lebih tepat melainkan kembali
merujuk kepada wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Berdasarkan petunjuk wahyu, antara
tanda cinta dan kasih kepada baginda Nabi Muhammad SAW ialah dengan beriman
kepada baginda Nabi SAW. Jika kita amati dengan penuh teliti, pada dua kalimah
syahadah terdapat dua rangkap yang menjadikan kita saksi pada dua perkara
pokok. Pertama, kita menjadi saksi tiada ilah yakni tiada kuasa lain, tiada
tuhan lain, tiada yang layak disembah selain Allah. Pada rangkap kedua pula
kita menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah yakni pembawa
risalah Allah Jalla Wa 'Ala. Kasih kepada baginda Nabi tidak ada makna tanpa
kita beriman kepadanya. Kasih kepada Nabi tanpa mengikut baginda adalah seperti
Abu Talib. Sebaliknya jika mengikuti Nabi tetapi tidak kasih kepadanya adalah
seperti golongan munafik. Oleh itu penting kita perlu beriman dengan baginda
dengan cara ikut dan kasih kepada Nabi SAW. Beriman kepada Nabi bermakna kita
perlu menerima semua perkara benar yang dibawa oleh baginda termasuk mengikuti
jalan para sahabat baginda SAW.
Selain itu, antara tanda lain kita cinta dan kasih kepada Nabi
Muhammad SAW ialah dengan mengikuti dan mencontohi baginda Nabi SAW. Ini adalah
perkara yang menjadi asas kepada kecintaan dan kasih sayang kepada Nabi.
Perintah mengikuti Nabi SAW bukanlah arahan atau seruan baharu. Ianya termaktub
di dalam al-Quran menerusi surah Ali Imran ayat 31, dimana Allah Azza Wa Jalla
berfirman yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah
maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa
kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Berdasarkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir menyebut dalam kitab
tafsirnya Tafsir al-Quran al-'Azim, beliau menyatakan bahawa ayat pemutus
bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT tetapi tidak menempuhi jalan
Muhammad SAW, bahawa dia ialah pembohong dalam pengakuan cintanya itu
sehinggalah dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW
dalam semua ucapan dan perbuatannya. Demikian ulasan oleh Imam Ibnu Kathir yang
turut menegaskan bahawa ayat ini menjadi bukti dan pengukuh kepada cinta dan
kasih kepada Allah dan Rasul Nya, Nabi Muhammad SAW. Oleh itu jelas kepada kita
dengan mengikuti sunnah baginda Nabi SAW, ianya adalah petanda besar yang
membuktikan kita cinta dan kasih kepada Nabi. Mengikut Nabi bermakna kita perlu
sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Nabi SAW. Penting untuk kita beramal
dengannya dan menolak semua perkara bid'ah yang tidak ditunjuk, diperintah atau
disuruh oleh baginda. Dalam kata lain, ikutlah sunnah dan jauhilah bid'ah.
Selain mengikuti sunnah baginda Nabi SAW, kita juga harus mengambil
semangat daripada para sahabat Nabi yang mana mereka bukan sahaja beramal
dengan sunnah Nabi bahkan mereka juga berani mempertahankan ajaran dan dakwah
baginda Nabi SAW. Ketika perang, para sahabat mempertahankan jasad baginda,
begitu juga di lapangan lain, mereka akan marah dan bangkit mempertahankan
baginda jika ada yang menghina dan memperlekehkan dakwah Nabi. Namun demikian
dalam konteks realiti hari ini, meski baginda telah pun wafat, kita juga boleh
terus mempertahankan baginda Nabi SAW dengan dua cara. Pertama, kita wajib menyebarkan
sunnah Nabi SAW tanpa rasa takut dilabel, diancam, diperlekeh dan sebagainya.
Jika kita sebagai umat yang benar-benar cinta dan kasih kepada Nabi, tidak
perlulah takut untuk terus sebarkan sunnah dan dekatkan masyarakat dengan
ajaran sunnah. Kedua, kita juga boleh mempertahankan baginda Nabi Muhammad SAW
dengan cara kita bongkarkan hadith-hadith palsu yang berdusta diatas nama Nabi
SAW.
Kita wajib menentang para pembawa hadith-hadith palsu yang cuba
berbohong diatas nama baginda. Lihatlah bagaimana diceritakan Jabir bin
Abdillah, beliau mengembara daripada Madinah pergi ke Syam semata-mata nak
berjumpa dengan Abdullah bin Unais untuk mengesahkan satu hadith. Begitu juga
Abu Ayyub al Ansari, daripada Madinah pergi ke Mesir untuk bertemu dengan Uqbah
bin Amir juga semata-mata untuk mengesahkan satu hadith. Betapa kita perlu
meneruskan perjuangan ini memelihara hadith Nabi daripada sebarang kepalsuan
sebagai tanda kita kasih dan cinta kepada Nabi. Dalam era pada hari ini, kita
perlu mengambil sikap berhati-hati dalam usaha nak menyebarkan hadith. Kita
harus memastikan kesahihan dan kebenaran hadith tersebut dan kemudiannya
barulah kita sebarkannya. Janganlah pula kita bermudah-mudah berkongsi
menyebarkan sesuatu hadith tanpa kita selidik terlebih dahulu akan
kesahihannya. Begitu juga harus kita ingatkan kepada masyarakat supaya semak
sebelum sebar agar kita tidak tergolong dikalangan para pembawa hadith palsu
yang berbohong dan berdusta diatas nama baginda Nabi Muhammad SAW.
Antara lain tanda kita cinta dan kasih kepada baginda Nabi Muhammad
SAW juga adalah dengan kita memperbanyakkan berselawat keatas Nabi SAW. Ini
sebagaimana kata baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi dengan
sanadnya hasan, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
"Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak
adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku.”
Berselawat kepada Nabi SAW akan menjadikan kita manusia yang paling
utama dan paling dekat dengan baginda Nabi Muhammad SAW. Tanda lain lagi yang
membuktikan kita cinta dan kasih kepada baginda Nabi ialah kita mencintai ahlul
bait (keturunan Nabi) serta juga mencintai para sahabat Nabi SAW. Cinta kepada
keluarga Nabi bermakna kita memuliakan kedudukan para ahli keluarga Nabi dengan
kemuliaan yang disyariatkan. Selain kita juga harus mencintai para sahabat Nabi
SAW dengan cara mengikuti sunnah para sahabah. Kita dilarang dan harus melarang
orang lain daripada menghina, memaki hamun dan memperlekehkan para sahabat Nabi
SAW. Demikianlah antara sebahagian tanda-tanda yang membuktikan kita
benar-benar mencintai dan mengasihi baginda Nabi SAW. Secara umumnya, menyambut
kelahiran Nabi dengan berarak beramai-ramai tidak lebih sekadar adat tradisi
sahaja. Yang lebih penting daripada itu adalah istiqamah dan konsistennya kita
dalam usaha beramal dan menyebarkan sunnah serta bersedia untuk berani
mempertahankan hadith baginda daripada di eksploitasikan oleh mereka yang
pendusta. Semoga Allah merahmati kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan