Selasa, 29 September 2026

GOLONGAN MANUSIA YANG DOANYA DIMAKBULKAN

 

Acap kali kita mendengar kepentingan umat manusia menjaga dan memelihara hubungan sesama manusia agar hidup menjadi lebih aman dan harmoni. Kita selalu diajar untuk saling bertoleransi, berkasih sayang, tidak bersikap rasis dan seumpamanya. Saranan moral ini sewajarnya di ingati oleh warga penghuni dunia ini supaya hidup mencapai maksud keamanan dan kedamaian. Namun begitu, kehidupan sebagai manusia juga tidak dapat dipisahkan daripada turut menjaga dan memelihara hubungan dengan Tuhan sang Pencipta kita. Maka jalan keagamaan atau disebut sebagai jalan kerohanian adalah menjadi jambatan penghubung antara Tuhan yang bersifat pencipta dengan umat manusia yang bersifat dicipta. Dalam ajaran agama Islam, doa adalah suatu ibadah yang dapat menghubungan perasaan manusia terhadap Tuhannya yang Maha Esa.

Pekataan "Doa" dari segi bahasa bermaksud panggilan atau meminta pertolongan. Menurut Ibnu Faris dalam kitabnya, Maqayis al-Lughah, beliau menyatakan bahawa doa bermaksud memalingkan sesuatu kepada diri dengan suara dan kata. Ibnu Manzur pula dalam kitabnya, Lisan al-Arab, menyatakan bahawa dia dari segi bahasa ialah menyeru. Manakala dari segi istilah pula, maksud doa lebih difahami sebagai permohonan daripada seorang hamba kepada Allah SWT untuk menunaikan hajatnya. Imam al-Khattabi dalam kitab Sya'n al-Dua', beliau mengatakan bahwa doa ialah permohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Tuhannya dan hakikat doa iaitu menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah SWT. Dalam catatan Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah doa merujuk kepada maksud suatu permohonan kepada Tuhan. Maka ringkasnya dapat kita simpulkan bahawa doa merujuk kepada suatu perbuatan memohon dan meminta sesuatu kepada yang Maha Berkuasa.




Islam telah menekankan kepentingan berdoa sebagai suatu ibadah dan bukannya ritual bermusim. Ini bermaksud doa itu termasuk dalam perkara ibadah yang memiliki garis panduannya yang tersendiri. Menurut Imam Murtadha al-Zabidi, beliau menyebut di dalam kitabnya Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, beliau menyatakan bahwa doa adalah satu ibadah untuk melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada Allah SWT sambil menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki. Islam mengajarkan umat manusia untuk memohon dan meminta hanya kepada Allah Azza Wa Jalla. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Ghafir ayat 60, di mana Allah Jalla Wa 'Ala berfirman yang bermaksud :

“Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”

Dalam pada itu, disebalik kegigihan umat manusia yang menadah dan menangkat tangan memohon doa kepada Allah, terdapat beberapa golongan manusia yang doanya dimakbulkan atau diterima oleh Allah SWT. Antara lain golongan manusia yang dimakbulkan doanya ialah doa para pemimpin dan pemerintah yang adil, doa orang yang berpuasa hingga berbuka dan doa orang yang di zalimi. Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Ada tiga orang yang doanya tidak akan ditolak. Pertama, penguasa atau pemimpin yang adil. Kedua, orang yang berpuasa hingga ia berbuka. Ketiga, orang yang dizalimi. Allah akan mengangkat doanya tanpa terhalang awan mendung pada hari kiamat dan dibukakan bagi doa tersebut pintu-pintu langit dan Dia berfirman, “Demi kemuliaan Ku, Aku pasti akan menolongmu meskipun setelah beberapa waktu.”




Berdasarkan hadith tersebut, jelas bahawa sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla akan mengangkat doa mereka dengan jaminan bahawa Allah SWT pasti akan menolong hamba Nya tersebut. Oleh itu, beruntunglah para pemerintah yang bersikap adil terhadap rakyatnya. Juga beruntunglah para hamba Nya yang berpuasa serta berhati-hatilah kita dengan orang yang kita zalimi, kerana doa mereka juga tidak akan dihalang dan akan diterima doanya oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, kita harus diingatkan agar tidak melakukan kezaliman, penindasan serta apa jua perbuatan yang boleh menyakiti orang lain. Menjadi hak mereka yang dizalimi untuk berdoa mengadu hal tersebut kepada Allah Jalla Wa 'Ala. Selain itu, doa golongan manusia yang bermusafir dan doa ibubapa terhadap anaknya juga termasuk dalam doa yang dimakbulkan oleh Allah SWT. Perkara ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Ibnu Majah, dinilai hasan li ghairihi oleh Syeikh Syu'aib al-Arna'outh, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya".

Selain itu, doa yang akan dimakbulkan oleh Allah SWT juga ialah doa seorang muslim yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan sesiapa. Dalam kata lain, Allah SWT pasti akan mengangkat doa sesiapa yang mendoakan terhadap seseorang yang lain dalam keadaan orang yang didoakan tersebut tidak mengetahuinya. Ini sepertimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Darda' RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Di sisinya terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia mendoakan saudaranya dengan kebaikan, maka malaikat itu akan berkata: ‘Amin, dan untukmu juga seperti itu.’”

Golongan seterusnya yang doanya dimakbulkan oleh Allah SWT ialah doa orang yang berada di dalam keadaan susah dan terdesak. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah an-Naml ayat 62, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

“Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada Nya dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu manusia sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati (Nya)”




Menurut ayat ini, jelas bahawa Allah Azza Wa Jalla telah mengingatkan para manusia bahawa Dia sahaja yang boleh mengangkat kesusahan yang dialami oleh makhluk. Tidak ada sesiapa pun dikalangan makhluk yang dapat menolong menghilangkan kesusahan dan kesulitan dalam kehidupan melainkan hanya Dialah, Allah Tuhan yang Maha Berkuasa. Malangnya, terdapat segelintir dikalangan umat manusia yang masih tidak sedar akan hal ini. Mereka menjadikan roh-roh Nabi, para wali dan tok syeikh sebagai wasilah mereka menyampaikan doa kepada Allah sedangkan hakikatnya perbuatan tersebut dianggap sebagai syirik kepada Allah. Selain itu, doa golongan manusia yang dimakbulkan oleh Allah SWT juga ialah golongan anak soleh yang mendoakan kedua ibubapanya. Hal ini sebagaimana umum ketahui, dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariyah, ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”

Begitu juga golongan lain yang doanya akan dimakbulkan oleh Allah SWT ialah golongan manusia yang bangun di tengah malam dan berdoa kepada Allah SWT. Jelas bahawa doa manusia yang berusaha bangun di tengah malam tatkala di waktu ramai orang tenggelam dalam keenakan tidur dan dibuai mimpi, dirinya bangun lalu mendirikan solat dan berdoa, pastinya doa tersebut dimakbulkan diterima oleh Allah Jalla Wa 'Ala. Ini juga berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad, daripada Muadz bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila seorang muslim tidur dalam keadaan berzikir dan suci, lalu terbangun di malam hari, kemudian berdoa kepada Allah meminta kebaikan dunia dan akhirat, maka pasti Allah akan memberikan kepadanya”




Dalam pada itu, Allah SWT juga akan memakbulkan doa manusia yang banyak berdoa di ketika masa senang dan lapang. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang ingin doanya terkabul pada saat sedih, dan susah, maka hendaklah memperbanyakkan berdoa pada saat lapang.”

Demikianlah antara sebahagian doa yang dimakbulkan oleh Allah SWT Hakikatnya terdapat banyak lagi golongan manusia lain yang doanya dimakbulkan oleh Allah SWT. Secara ringkas, antara lain ialah doa orang yang menunaikan ibadah haji dan umrah, doa orang yang sedang berperang menegakkan kalimah Allah, doa orang yang banyak mengingati Allah Azza Wa Jalla, doa orang yang diredai oleh Allah serta doa orang yang soleh. Begitulah luasnya rahmat Allah SWT terhadap para hamba Nya yang berdoa. Doa bukanlah suatu ibadah bermusim tetapi ialah satu jambatan hubungan setiap hari antara Pencipta yakni Allah SWT dan yang dicipta yakni para makhluk Nya. Satu hal yang penting, kita harus tahu dan akui bahawa berdoa bukan sekadar mengungkapkan dengan nada yang sedap dan nyaring, tidak pula semata-mata rutin selepas solat, bahkan lebih besar dari itu, doa merupakan suatu ibadah khas untuk kita berinteraksi dengan sang Pencipta. Berdoa, merupakan suatu kedudukan eksklusif diri kita dengan Tuhan. Semoga kita semua diampuni dan dirahmati oleh Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan