Isnin, 17 Ogos 2026

MAKANAN HALAL DAN HARAM DALAM ISLAM

 

Makanan dan minuman merupakan keperluan hidup yang wajib dipenuhi oleh umat manusia sebagai kelangsungan hidup yang sihat dan bermakna. Pemakanan juga menjadi elemen terpenting dalam kamus hidup manusia kerana ia menyumbang kepada tenaga harian bagi melakukan rutin harian. Hakikatnya ketahanan tubuh badan manusia yang hidup tanpa makan dan minum adalah bergantung kepada pelbagai faktor seperti berat badan, variasi genetik dan lain-lain, namun faktanya jelas menyatakan bahawa manusia tidak boleh hidup tanpa makan dan minum. Ibadah puasa di dalam Islam juga menekankan tentang wajibnya berbuka puasa apabila tiba waktunya. Ini menggambarkan bahawa umat manusia sememangnya amat memerlukan makan untuk kelangsungan hidup yang normal.

Dalam Islam, pemakanan halal adalah penting selari dengan kehendak Allah dan pelbagai hikmah-hikmah di sebalik halal haram tersebut. Secara umum, terdapat tiga jenis bentuk makanan dan minuman yang digariskan oleh syariat Islam. Tiga bentuk tersebut ialah makanan halal yakni makanan yang dibenarkan oleh Islam, keduanya makanan haram yakni makanan yang dilarang dan ditegah oleh Islam dan yang ketiga dinamakan sebagai syubhat yakni makanan yang tidak jelas status halal dan haramnya. Menyentuh tentang perkataan halal dan haram ini, kedua-dua perkataan ini berasal daripada bahasa Arab. Ungkapan halal berakar daripada kata ح-ل-ل. Pada sudut literalnya, halal membawa maksud dibenarkan, dibolehkan atau dilepaskan daripada ikatan. Lawan bagi perkataan halal ialah haram iaitu yang bermaksud dilarang. Maka secara istilah mudahnya, halal bermaksud makanan yang dibenarkan oleh Islam mengikut garis panduan oleh syarak. Manakala haram pula membawa maksud dilarang dan tidak dibenarkan makan menurut garis panduan syarak.




Pensyariatan halal dan haram berkait pemakanan adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 168, dimana Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

“Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menggunakan istilah "Halalan toyyiban" yang merujuk kepada maksud halal lagi baik. Perkataan halalan toyyiban ini merupakan seruan dan perintah Allah kepada para manusia dalam memenuhi keperluan kehidupan. Terma halalan toyyiban bukan sekadar susunan kata semata-mata tetapi membawa makna serta garis panduan yang jelas kepada umat manusia. Melalui konsep halalan toyyiban ini, Islam memerintahkan umat manusia bukan sahaja memilih makanan yang halal tetapi perlulah toyyiban iaitu yang membawa maksud bersih, berkhasiat dan selamat. Sebagaimana kata orang cerdik pandai dahulu, cakap jangan sebarang cakap. Begitu juga di dalam, makan jangan sebarang makan. Hal ini kerana Islam melalui syariat Allah Azza Wa Jalla telah memberikan garis panduan tentang apa yang boleh dimakan dan apa yang tidak boleh dimakan. Terdapat beberapa panduan yang digariskan oleh Islam bagi melihat apa bentuk makanan halal dan haram di dalam Islam.

Antara panduan makanan halal dan haram di dalam Islam ialah makanan tersebut tidak boleh mengandungi sesuatu yang memabukkan (arak). Arak, alkohol atau dalam al-Quran disebutkan sebagai al-Khamr, adalah merupakan diantara bahan yang diharamkan dalam Islam. Ini bermakna semua jenis baik makanan atau minuman yang memabukkan yang dihasilkan daripada apa jua bahan seperti alkohol atau perahan anggur, nira dan lain-lain adalah diharamkan oleh Islam. Bahan-bahan seperti yang disebutkan ini boleh menyebabkan hilang kewarasan akal manusia. Maka antara ciri makanan halal itu ialah mestilah tidak mengandungi bahan yang memabukkan seperti arak dan lain-lain. Ini bertepatan dengan ketegasan Allah SWT di dalam al-Quran melalui surah al-Maidah ayat 90-91, jelas Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil) ?"




Garis panduan makanan halal yang kedua pula ialah ia tidak bersumberkan darah haiwan. Darah adalah merupakan suatu cecair merah yang mengalir dalam urat darah. Darah haiwan dikategorikan sebagai najis dan boleh membawa kemudharatan. Pengharaman makan daripada sumber darah haiwan adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-An'am ayat 145, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

Berdasarkan ayat ini, Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, menyebut bahawa para ulama secara sepakat telah mengharamkan darah haiwan yang mengalir kerana ianya dianggap sebagai najis. Namun begitu pengharaman darah haiwan ini tidak termasuk darah haiwan air seperti ikan, jantung, lilmpa dan hati serta sumber darah yang berada dalam saraf haiwan selepas ia disembelih selama mana darah tersebut tidak mengalir dan darah yang masih kekal selepas dibasuh. Selain itu, Imam al-Baghawi dalam kitab tafsirnya, beliau menukilkan pandangan Ibnu Abbas tentang definisi darah yang mengalir iaitu darah yang keluar daripada haiwan yang hidup, memiliki roh dan keluarnya daripada urat ketika penyembelihan. Ini tidak termasuk hati dan limpa, kerana keduanya darah beku (tidak mengalir), dan halalnya kedua-dua organ itu. Tidak haram juga daging yang bercampur dengan darah kerana ia tidak mengalir.




Selain itu, garis panduan ketiga pula ialah ianya tidak boleh bersumberkan babi, bangkai dan binatang yang tidak sembelih. Secara umum, Islam mengharamkan umatnya daripada memakan bangkai atau binatang yang tidak disembelih dengan nama Allah SWT. Pengharaman ini jelas berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Maidah ayat 3, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala..."

Demikian jelas bagaimana Allah SWT mengharamkan apa jua makanan yang bersumberkan daripada babi, bangkai dan binatang yang tidak disembelih dengan nama Allah SWT. Adapun berkenaan jenis haiwan yang halal atau yang boleh dimakan, secara asasnya terdapat tiga prinsip utama yang digariskan oleh syarak. Prinsip pertama ialah semua haiwan yang dianggap elok oleh orang Arab semasa hidup senang dan pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah dianggap halal. Ini sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Fiqh al-Manhaji, seperti contoh haiwan semua jenis ikan hidup di dalam laut dan binatang ternakan seperti unta, lembu, kambing, kuda dan seladang. Prinsip kedua ialah semua haiwan buas yang memiliki taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram untuk dimakan. Misalnya seperti anjing, serigala, beruang, kucing, musang, gajah, singa dan lain-lain. Manakala prinsip ketiga ialah semua binatang yang disunatkan bunuh adalah haram seperti ular, kala jengking, gagak, helang, tikus dan semua haiwan yang memudharatkan. Kesemua prinsip-prinsip yang dinyatakan ini adalah berdasarkan hadith-hadith baginda Nabi Muhammad SAW.

Begitulah secara asasnya makanan halal dan haram menurut syariat Islam. Dinyatakan secara jelas halal dan haram tersebut adalah berdasarkan wahyu al-Quran dan hadith Nabi Muhammad SAW. Rumusan yang boleh kita katakan ialah Islam adalah agama yang memberikan panduan yang jelas kepada umatnya tentang konsep makann halal dan haram. Sebagai orang Islam, disebalik halal dan haram tersebut kita yakin dan percaya bahawa terdapat hikmah atau kebaikan yang dikehendaki oleh Allah Azza Wa Jalla. Melalui pensyariatan makanan halal dan haram ini, ada perkara yang boleh kita nampak hikmahnya seperti pengharaman arak kerana arak boleh merosakan akal fikiran manusia. Namun sebalik semua itu, hal yang lebih penting dan mustahak adalah tentang soal kepatuhan dan ketaatan hamba kepada Tuhannya. Tugas seorang hamba ialah mentaati dalam hal yang disuruh dan hal yang dilarang. Maka biar apapun hukumnya, ketaatan kepada Allah adalah paling utama meski kita tidak tahu apa sebabnya diharamkan sesuatu perkara. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan