Selasa, 11 Ogos 2026

KIAMAT MENURUT PELBAGAI AGAMA

 

Mahu atau tidak, dunia yang sedang kita diami ini hanyalah bersifat sementara. Padanya mempunyai jangka hayat akan pasti akan menemui penamatnya. Ya, sama ada kita suka atau tidak, dunia ini suatu hari nanti pasti akan hancur, lebur, berkecai dan musnah dengan sekelip mata. Usahkan menunggu detik dan saat tersebut, realiti pada hari ini juga menunjukkan betapa rosaknya muka bumi ini dengan kejadian tanah runtuh, gempa bumi, amukan ombak tsunami dan bermacam lagi bencana yang merosakan alam dunia yang sementara ini. Bercakap tentang kehancuran dunia, hampir semua agama termasuklah agama berteraskan manusiawi berbicara tentang peristiwa kiamat. Kiamat bukanlah sesuatu yang telah terjadi namun keadaannya telah dibahaskan oleh pelbagai agama yang ada di dunia ini dengan menurut naratif ajaran masing-masing.

Perkataan "Kiamat" berasal daripada kosa kata bahasa Arab iaitu al-Qiyamah (القيامة). Pada sudut bahasa Arab, perkataan al-Qiyamah adalah kata terbitan dari perkataan قام- يقوم- قوما- قياما وقيامة yang membawa maksud berdiri tegak atau bangun. Selain perkataan kiamat, terdapat pelbagai lagi perkataan yang menunjukkan nama-nama hari kiamat seperti kata al-Sa'ah (الساعة), al-Qariah (القارعة), al-Zalzalah (الزلزلة), al-Waqi'ah (الواقعة) dan lain-lain lagi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan kiamat merujuk kepada maksud akhir zaman iaitu apabila seluruh alam musnah, akan berlaku tetapi tiada seorang pun yang tahu bila. Kiamat pada sudut istilah pula, boleh difahaminya sebagai hari kehancuran alam semesta dan juga segala isinya dan dianggap sebagai pintu gerbang menuju ke akhirat yang kekal abadi. Maka berdasarkan definisi yang telah dikemukakan ini, boleh kita rumuskan dengan menyebut bahawa perkataan kiamat adalah merujuk kepada suatu pengakhiran kehidupan di dunia ini dengan menyaksikan pelbagai sisi kemusnahan dan kehancuran alam akan terjadi.




Kiamat menurut pandangan agama Buddha, dalam ajaran Buddha-Dhamma, terdapat dua siklus (kitaran) dunia tempat manusia hidup. Dua siklus tersebut adalah siklus naik dan siklus turun. Dalam kepercayaan Buddha, konsep siklus atau kitaran menurun, akan berlaku ketika zaman moral manusia merosot akibat sifat tamak dan kejahilan, menyebabkan jangka hayat manusia memendek secara beransur-ansur. Kitaran menaik pula ialah ketika zaman moral manusia kembali pulih, menyebabkan kualiti hidup meningkat dan jangka hayat manusia bertambah panjang semula. Kiamat akan berlaku pada siklus (kitaran) turun. Dalam kitaran turun yang berlaku, terdapat empat fasa iaitu fasa kekosongan, fasa penciptaan, fasa kediaman dan fasa kerosakan (kiamat). Bagi mereka, kiamat hanya akan berlaku apabila moral manusia, kualiti alam dan jangka hayat manusia sudah mencapai titik paling terendah (merosot sepenuhnya) dalam siklus turun. Sebelum terjadinya kiamat, ajaran agama Buddha percaya akan berlakunya lima kemerosotan atau disebut sebagai kasaya. Lima kemerosotan tersebut ialah kemerosotan pandangan (ditthi-kasaya), kemerosotan hawa nafsu (kilesa-kasaya), kemerosotan kondisi manusia (sattva-kasaya), kemerosotan jangka hayat manusia (ayus-kayasa) dan kemerosotan zaman dunia (kalpa-kasaya). Inilah antara tanda-tanda kiamat bagi kepercayaan agama Buddha.

Selain itu, bagi ajaran agama Hindu pula, kiamat disebut sebagai Pralaya atau Maha Pralaya, yang membawa maksud suatu masa apabila seluruh alam semesta mengalami kehancuran dan kembali kepada sumber asalnya iaitu Ida Sang Hyang Widhu Wasa (Tuhan). Mengikut kepercayaan agama Hindu, kitaran masa atau disebut sebagai Yuga, menyaksikan masa akan bergerak dalam kitaran besar yang mengandungi empat zaman iaitu Satya Yuga, Treta Yuga, Dwapara Yuga dan Kali Yuga. Kiamat akan berlaku apabila zaman Kali Yuga iaitu zaman kegelapan dan kejahatan mencapai kemuncaknya. Menurut kepercayaan ajaran Hindu juga, pada penghujung zaman, Dewa Wisnu diramalkan akan turun ke bumi sebagai Kalki. Kalki adalah merupakan inkarnasi (kelahiran semula) terakhirnya. Tujuan Kalki ini turun ke bumi dengan menunggang kuda putih adalah bertujuan untuk menghapuskan kejahatan dan memulihkan kebenaran yang disebut sebagai dharma. Maka setelah itu akan berlaku kiamat dengan menyaksikan unsur-unsur alam seperti tanah, air, api, udara dan ruang akan hancur dan menyatu semula dengan penciptanya. Selepas fasa kiamat ini selesai, kitaran penciptaan dunia yang baharu pula akan bermula semula dari awal. Demikian sedikit daripada kepercayaan agama Hindu dalam soal hari kiamat.




Bagi agama Yahudi pula, kiamat atau akhir zaman dalam tradisi kepercayaan mereka dikenali sebagai Acharit ha-Yamim yang membawa maksud akhir hari. Konsep utama akhir zaman menurut agama Yahudi adalah bermula pada era Messianik (Yemot HaMashiach). Era Messianik ini ialah tempoh masa di mana seorang pemimpin manusia daripada keturunan Raja Daud, iaitu Mashiach (Messiah) akan muncul bertujuan untuk menyatukan umat manusia, menegakan keadilan dan membawa keamanan abadi tanpa berlakunya peperangan. Pada tempoh masa tersebut juga, mereka percaya bahawa golongan orang yang soleh akan dibangkitkan semula oleh Tuhan pada masa depan untuk menikmati dunia yang telah pulih. Secara asasnya, agama Yahudi sememangnya percaya kepada kewujudan kiamat namun bagi mereka kiamat bukan seperti kebanyakan kita yang fikir akan berlakunya kemusnahan sebaliknya bagi mereka yang beragama Yahudi, kiamat berlaku dengan apabila munculnya seorang pemimpin lalu akan menyatukan seluruh umat dan menentang serta melawan segala macam kejahatan selain akan menegakkan nilai keadilan. Lantas dunia kembali menjadi aman dan damai tanpa adanya peperangan. Sejurus itu, semua orang yang telah mati terdahulu akan dibangkitkan semula dan menikmati kehidupan baharu sesuai dengan amal perbuatan yang dilakukan.

Selain itu, bagi agama Kristian pula kiamat atau akhir zaman merujuk kepada masa ketika Tuhan mengakhiri sejarah dunia dan Yesus Kristus datang kembali ke bumi. Secara asasnya, ajaran agama Kristian percaya dan yakin bahawa hari kiamat bukanlah pengakhiran yang sia-sia. Kiamat adalah merupakan kemuncak rancangan Tuhan untuk menyelamatkan manusia dan memperbaharui alam semesta menerusi kemunculan semula Yesus Kristus. Dalam agama Kristian, perbahasan mengenai kiamat serta kronologinya banyak terdapat di dalam kitab bible terutamanya dalam kitab Wahyu, Matius dan Daniel. Kitab Bible atau disebut alkitab menjelaskan bahawa manusia tidak akan tahu tarikh atau jam berlakunya kiamat namun Yesus memberikan beberapa petanda awal seperti berlakunya bencana dan penyakit, peperangan dan kekacauan, keruntuhan akhlak dan kemunculan penyesat seperti nabi palsu. Mereka percaya bahawa kiamat akan berlaku bermula daripada tempoh 7 tahun dimana bumi akan ditimpa malapetaka yang dahsyat.

Setelah itu akan berlakunya peristiwa yang bersimbolkan empat penunggang kuda. Simbol empat penunggang kuda tersebut ialah kuda merah (peristiwa peperangan), kuda hitam (berlakunya kebuluran), kuda pucat (wabak penyakit dan kematian) dan kuda putih (penaklukan). Maka akan datang kemunculan kedua Yesus Kristus ke dunia ini dengan segala kemuliaan bersama tentera syurga bagi tujuan melawan kejahatan dan mengalahkan antikristus. Pertempuran terakhir ini dikenali sebagai Perang Armagedon. Kemudian Yesus akan memerintah bumi dalam keadaan aman, damai, penuh keadilan dan saksama selama 1,000 tahun manakala iblis akan dikurung. Mereka juga percaya selepas 1,000 tahun tersebut berakhir, iblis dan syaitan akan dibebaskan seketika untuk penentangan terakhir sebelum dibuang ke dalam lautan api neraka untuk selama-lamanya. Semua orang yang mati akan dibangkitkan untuk diadili mengikut amalan baik dan buruk semasa hidup di dunia dahulu. Menurut mereka, orang yang setia, Tuhan akan melenyapkan bumi yang lama dan mencipta langit dan bumi yang baharu yang disebut sebagai New Jerusalem, dimana di sana tiada lagi kematian, kesedihan, kesakitan dan tangisan untuk selama-lamanya. Demikian secara ringkas kiamat menurut kepercayaan agama Kristian.




Dalam agama Islam, percaya kepada hari kiamat merupakan rukun iman yang keenam. Umat Islam wajib percaya dan yakin bahawa akan berlakunya pengakhiran seluruh alam semesta ini dan kebangkitan semula umat manusia untuk diadili oleh Allah Azza Wa Jalla. Hari kiamat adalah merupakan rahsia abadi yang hanya diketahui oleh Allah Azza Wa Jalla. Tarikh, hari dan masa berlakunya kiamat, semunya adalah di dalam pengetahuan Allah SWT sahaja. Tidak ada mana-mana makhluk yang mengetahuinya termasuk iblis, jin, malaikat dan para Nabi dan Rasul. Pun begitu, meskipun Allah merahsiakan bila akan berlakunya kiamat, tetapi melalui lisan utusan Nya, dijelaskan beberapa tanda-tanda kiamat kecil dan besar. Terdapat banyak hadith-hadith yang menceritakan tentang tanda-tanda yang akan berlaku. Sudah tentu petanda ini bukanlah suatu ramalan atau teori konspirasi oleh baginda Nabi. Sebaliknya ianya adalah wahyu dari Allah SWT. Antara tanda-tanda kiamat yang merangkumi tanda besar dan kecil yang dikhabarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW ialah seperti keluar matahari daripada barat, turunnya Isa ibn Maryam, munculnya Yakjuj dan Makjuj, terdapat tiga kabus tebal satunya di timur, keduanya di barat dan satunya di semenanjung tanah Arab dan lain-lain.

Kesemua ini adalah tanda-tanda yang menunjukkan hampirnya kiamat. Setelah terjadinya kiamat, maka masuklah semua makhluk ke alam akhirat yang berbeza dengan dunia. Disana manusia akan dihitung akan segala amalan baik dan buruk lalu akan ditentukan tempat kembali antara dua iaitu sama ada syurga atau neraka. Selepas itu, tiada lagi kehidupan di dunia, yang kekal hanyalah syurga dan neraka. Demikianlah antara perbahasan mengenai kiamat menurut beberapa agama yang berbeza. Apa yang boleh kita simpulkan ialah hampir keseluruhan ajaran agama di dunia ini menekankan tentang adanya hari kiamat. Ini juga menjelaskan bahawa dunia yang kita diami ini ada jangka hayatnya. Apabila tiba masa dan ketikanya, seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT, dunia ini akan hancur lebur sesuai dengan kehendak Nya. Sesungguhnya tiada yang kekal abadi di dunia ini. Daripada Allah SWT kita datang dan tentunya kepada Allah jualah tempat untuk kita kembali. Islam tidak mengajar umatnya untuk sibuk menunggu bila datangnya kiamat tetapi Islam mengajar supaya kita sibuk dengan persediaan menghadapi kiamat dengan cara memperbanyakan amal soleh menurut kehendak Allah dan Rasul Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan