Jumaat, 21 Ogos 2026

BOLEHKAH ORANG BUKAN ISLAM MENYEBUT LAFAZ KHUSUS ORANG ISLAM ?

 

Masyarakat berbilang kaum dan bangsa antara ciri keunikan dan keistimewaan yang ada pada negara kita. Kemajmukan yang wujud ini telah mencerminkan tentang personaliti dan imej negara yang damai dan aman di bawah pemerintahan orang Islam. Secara amnya, Malaysia layak disebutkan sebagai negara Islam kerana padanya terdapat pelaksanaan tatacara dan pentadbiran yang berteraskan kepada intipati ajaran agama Islam. Oleh itu, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa Malaysia boleh dianggap sebagai negara Islam contoh yang padanya diberi jaminan keamanan, keselamatan, kebebasan beramal dengan agama masing-masing meski Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan dan lain-lain lagi keistimewaan yang diberikan kepada rakyat Malaysia merentasi kaum dan agama. Keakraban rakyat Malaysia merentasi kaum telah menjadikan kita saling kenal antara satu sama lain.

Di tengah-tengah celah keakraban, kemesraan dan keramahan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, timbul persoalan mengenai hukum bolehkah orang bukan Islam mengucapkan atau menuturkan ucapan dan lafaz khusus bagi orang Islam seperti ucapan "Alhamdulillah", "Insha Allah", "Subhanallah", "Masya Allah" dan seumpamanya. Perbualan harian yang bercampur kaum dan agama telah menjadikan masyarakat bukan Islam kerap kali mendengar dan kadang terucap dengan lafaz-lafaz khusus yang sedemikian. Hal ini kadang kala mengundang pelbagai persepsi, sentimen serta kegusaran dikalangan masyarakat awam. Menjawab persoalan yang timbul ini, secara asasnya orang bukan Islam adalah diharuskan atau dibolehkan untuk mereka mengucapkan ucapan dan lafaz khusus bagi orang Islam. Keharusan ini adalah berdasarkan beberapa hujah dan dalil daripada hadith baginda Nabi Muhammad SAW. Antara lain seperti yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari Tirmizi dan lain-lain daripada Abu Musa RA bahawa beliau berkata yang bermaksud :

"Suatu ketika golongan Yahudi sering membuat perbuatan bersin di sisi Nabi SAW dengan mengharapkan agar Nabi SAW mengucapkan kepada mereka ‘Semoga kamu dirahmati Allah’, maka Nabi SAW berkata: “Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu.”




Berdasarkan hadith tersebut, sekiranya terdapat seorang yang bukan beragama Islam mengucapkan lafaz alhamdulillah selepas dirinya bersin, maka diharuskan bagi orang Islam yang melihatnya bersin menjawab dengan menyebut semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kamu. Hadith ini juga memberi gambaran jelas kepada kita bahawa orang bukan Islam dibolehkan menyebut lafaz-lafaz khusus Islam dan baginda Nabi Muhammad SAW langsung tidak memarahi apatah lagi membantah perbuatan orang Yahudi tersebut dari mengungkap ucapan alhamdulillah. Dalam penulisan kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, dinyatakan bahawa :

“Sekiranya seorang kafir terbersin dan mengucap ‘Alhamdulillah’ selepas dia bersin, kemudian didengari oleh seorang Muslim, maka orang Muslim itu boleh menjawab dengan berkata, ‘Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kamu’ atau ‘Semoga Allah memberi kesembuhan kepada kamu.’”

Namun begitu, orang Islam ditegah dan dilarang daripada mendoakan keampunan dan rahmat Allah kepada orang bukan Islam. Hal ini kerana keampunan dan rahmat Allah SWT adalah khusus kepada orang Islam sahaja. Ini juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Mulla 'Ali al-Qari dalam kitabnya Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, beliau menyatakan bahawa tidak boleh dikatakan kepada mereka (kafir) ‘semoga Allah SWT merahmati kamu’ kerana rahmat itu khusus kepada orang Islam sahaja. Sebaliknya perlu mendoakan mereka apa yang sesuai bagi mereka iaitu supaya mendapat hidayah dan taufiq untuk beriman kepada Allah SWT. Maka jelaslah kepada kita bagaimana orang Islam perlu merespon terhadap orang bukan Islam yang bersin lalu dirinya mengucapkan ucapan alhamdulillah. Pada satu sudut yang lain juga, jelas bahawa diharuskan dan dibolehkan untuk orang bukan Islam mengucapkan ucapan khusus tertentu bagi orang Islam.




Keharusan untuk orang bukan Islam mengucapkan lafaz-lafaz khusus tertentu bagi orang Islam adalah bersyarat. Syaratnya ialah ucapan khusus yang disebutkan itu tidak bertujuan untuk menyindir, menghina, memperolok-olokkan, menjadikan bahan jenaka dan seumpamanya yang membawa kepada unsur mempermain-mainkan Islam. Sekiranya orang tersebut yang bukan beragama Islam mengucapkan ucapan khusus orang Islam dengan tujuan dan berniat jahat maka hal itu dilarang, ditegah dan dimurkai oleh Allah Azza Wa Jalla. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Jalla Wa 'Alla di dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa' ayat 140, dimana Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Kitab (al-Quran) bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan dipersendakan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka sehingga mereka beralih kepada perbicaraan yang lain; kerana jika kamu berbuat demikian, nescaya kamu adalah sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam neraka Jahanam semuanya.”

Berdasarkan kefahaman ayat ini, Imam Ibn Kathir menyebut dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Quran al-'Azim, beliau menjelaskan bahawa larangan tersebut berkait dengan reda duduk bersama perbuatan mengingkari, memperolok-olokkan dan merendahkan ayat Allah; sehingga seseorang turut serta pada dosa tersebut. Selain itu, seorang tokoh ulama Syria, al-Qasimi pula ketika menghuraikan ayat tersebut, beliau menyatakan dalam kitabnya Mahasin al-Ta’wil dengan menyebut bahawa asas berpaling ialah mengetahui mereka sedang memperlekehkan ayat-ayat Allah ; dan yang dimaksudkan dengan berpaling ialah bangkit meninggalkan majlis, bukan sekadar berpaling dengan hati semata-mata. Turut menyatakan hal yang sama berkenaan tujuan menghina Islam, telah berkata Syeikhul Azhar yang terdahulu, Syeikh Muhammad Sayyid Ali Tantawi dalam kitab tafsirnya al-Tafsir al-Wasit lil Quran al-Karim, beliau menyatakan bahawa jika penggunaan kalimah-kalimah Islam tersebut bertujuan menghina, memperkecilkan atau mempersendakan kesuciannya, maka perbuatan tersebut wajib dihindari dan ditegah. Ini selari dengan penegasan kewajipan meninggalkan majlis yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah SWT.




Maka berdasarkan kepada penjelasan diatas, dapt kita rumuskan kepada dua keadaan berkaitan orang bukan Islam mengucapkan perkataan-perkataan atau lafaz-lafaz khusus bagi orang Islam seperti alhamdulillah, insha Allah, Masya Allah dan lain-lain. Keadaan pertama, adalah hukumnya harus dan dibolehkan untuk orang bukan Islam mengucapkan perkataan atau lafaz khusus bagi orang Islam dengan tujuan yang baik. Ini juga berasaskan kepada doa baginda Nabi Muhammad SAW yang berdoa memohon kepda Allah agar Allah SWT memberikan hidayah kepada seorang Yahudi yang sering membuat perbuatan bersin di hadapan baginda Nabi SAW. Perbuatan baginda tersebut tidak menunjukkan baginda marah atau membantah ucapan alhamdulillah tersebut yang diucapkan oleh seorang Yahudi. Namun begitu, dalam konteks demikian, kita dilarang mendoakan keampunan dan kerahmatan Allah kepada orang bukan Islam kerana ampun dan rahmat tersebut adalah khusus hanya kepada orang Islam sahaja.

Bagi keadaan yang kedua, hukumnya adalah haram dan berdosa bagi orang bukan Islam yang mengucapkan perkataan atau lafaz khusus orang Islam dengan tujuan untuk memperlekeh, mempersenda, memperolok-olokkan, menghina dan seumpamanya. Ini sekaligus menjelaskan kepada kita bahawa tentang larangan mempermainkan agama Islam termasuk dengan cara memperolok-olokkan lafaz khusus bagi orang Islam. Perbuatan sedemikian harus dibantah, ditentang dan dimarah kerana mempermainkan sentimen agama. Ingatlah bahawa orang Islam tidak patut reda dengan perbuatan mempermainkan lafaz-lafaz yang mulia tersebut. Demikianlah penjelasan hukum berkaitan perkara yang melibatkan perbuatan orang bukan Islam melafazkan atau mengucapkan perkataan-perkataan khusus bagi orang Islam. Melihat pada persoalan yang timbul ini, alangkah baiknya jika umat Islam pada hari ini mengambil kesempatan dan peluang diatas isu ini bagi menyampaikan Islam, menerang dan menjelaskan intipati ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya kebenaran tidak akan pernah terpadam dengan kebatilan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan